Bukan hanya untuk ibu hamil, tetapi wanita yang sedang merancang untuk mengandung juga perlu memberi perhatian kepada diet mereka. Harus jaga pemakanan dan carilah suplemen yang bersesuaian dengan keperluan tubuh. Tidak semestinya bergantung kepada suplemen yang ada di pasaran, tetapi anda juga boleh mendapatkan khasiat atau vitamin tertentu daripada sayuran dan buah-buahan.
Menurut Dr Zubaidi Haji Ahmad, salah satu cara untuk meningkatkan tahap kesihatan ialah dengan mengamalkan pemakanan yang sihat. Kebanyakan nutrien yang baik seperti vitamin, mineral, beberapa enzim tertentu dan sebatian lain boleh didapati dari makanan yang tidak berproses terutamanya sayur-sayuran dan buah-buahan segar.
Bagi wanita hamil yang ingin menambah pengambilan vitamin kerana ada masalah kesihatan atau percaya mereka tidak mendapat vitamin yang secukupnya dari makanan yang mereka ambil, boleh mengamalkan beberapa vitamin.
Selalunya doktor akan memberikan pil-pil vitamin tertentu. Pil-pil ini mengandungi vitamin yang diformulakan untuk wanita yang hamil.
Saya juga mencadangkan pengambilan vitamin C dan vitamin E pada wanita yang hamil. Kedua-dua vitamin ini dapat meningkatkan daya tahan, membantu mempercepatan penyembuhan luka dan kerosakan tisu, menjadikan kulit bertambah sihat dan cantik, serta menguatkan dan mempercepatkan pertumbuhan tulang.
Ads
Bagi wanita hamil yang mengalami masalah kekurangan sel-sel darah merah (anemia), vitamin C dan E membantu penyerapan zat-zat besi. Oleh itu bagi wanita yang mempunyai tahap hemoglobin yang rendah, pengambilan zat besi (iron tablet) bersama vitamin C dan vitamin E dapat meningkatkan tahap hemoglobin dengan lebih cepat.
Selain itu, vitamin C dan vitamin E dapat membantu perkembangan otak bayi sejak dari dalam rahim ibu lagi. Ia juga menguatkan pembentukan tulang, tulang rawan (cartilage), tendon dan kulit bayi.
Vitamin C dan vitamin E berfungsi sebagai sebatian antioxida yang terbaik. Mereka bertindak melindungi sel-sel tubuh dari serangan radikal bebas yang berbahaya dan menghalang proses pengoksidaan yang bahaya dalam tubuh. Sebagai antioxidant, vitamin E dan vitamin C bertindak secara sinergi atau bergandingan dalam melawan proses pengoksidaan yang sangat bahaya pada tubuh.
Gandingan keduanya juga sangat baik dalam melawan serangan radikal bebas yang banyak berlaku dalam tubuh.
Ini bermakna vitamin E juga perlu dalam meningkatkan sistem daya tahan dan mengelakkan penyakit. Oleh itu saya sangat mencadangkan pengambilan vitamin C dan vitamin E adalah satu kerana mereka gandingan antioksida yang terbaik.
Banyak kajian membuktikan proses pengoksidaan ketika hamil akan menyebabkan masalah pre eclampsia, meninngkatkan perkembangan fizikal bayi dalam rahim dan menyebabkan kebocoran selaput bayi secara pramatang. Proses pengoksidaan yang keterlaluan juga menyebabkan pelbagai masalah pada bayi yang dilahirkan secara pramatang seperti masalah paru-paru, kerosakan usus yang teruk (disebut sebagai necrotizing enterocolitis) dan banyak lagi. Ini membuktikan proses pengoksidaan yang tidak tekawal berbahaya kepada wanita yang hamil dan bayi dalam rahim.
Ads
Ramai saintis mencadangkan pengambilan vitamin C dan vitamin E ketika hamil untuk dapat mengelakkan komplikasi ketika hamil, walaupun belum banyak kajian yang dilakukan terhadap teori ini. Oleh kerana pengambilan vitamin C dan vitamin E bukanlah sesuatu yang berbahaya ketika hamil, maka tidak salah bagi mereka yang ingin mengamalkannya. Ambil dalam dos yang betul bagi mendapat manfaat vitamin-vitamin ini dan bagi mengelakkan kemudaratannya (walaupun ia jarang berlaku).
Pengambilan vitamin C yan dicadangkan oleh American Pregnancy Association adalah 200-500mg. Pengambilan vitamin C lebih dari dos ini tidak mendatangkan kemudaratan kerana ia larut dalam air. Namun pengambilan vitamin C melebihi 2000mg mungkin akan menjejaskan kehamilan dan mendatangkan kemudaratan.
Pengambilan vitamin E pula antara 30-50mg sehari. Setakat ini belum ada lagi kajian terperinci kemudaratan pengambilan vitamin E, kecuali jika diambil dalam dos yang besar iaitu 400mg dalam sehari.
Ads
Nasihat saya bagi wanita hamil, dalam usaha kita mendapatkan manfaat dari vitamin yang kita amalkan, saya mencadangkan agar berbincang dengan doktor yang faham tentang kepentingan pemakanan dan vitamin. Ini membantu kita mendapat manfaat dan mengelakkan kemudaratan dari ubat atau vitamin yang kita ambil.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ibu hamil kerap kali dilarang makan makanan tertentu. Ada pandangan tentang makanan yang sesuai dan perlu dielak oleh ibu hamil. Makanan yang dikatakan panas, sejuk dan tajam dianggap perlu dielakkan kerana mampu membahayakan ibu hamil dan kandungannya.
Dr Fadzilah Abdul Jalil, doktor di Klinik O&G, Hospital Pakar An-Nur, Bandar Baru Bangi menjelaskan sememangnya, ada sesetengah jenis makanan yang diambil sewaktu hamil berkemungkinan boleh menjejaskan kandungan dan diri ibu itu sendiri. Namun, perlu diingatkan tidak semua makanan menyebabkan hal sedemikian.
Seperti yang kita semua sedia maklum, makanan-makanan yang dikatakan panas, sejuk atau tajam sehingga boleh menjejaskan kandungan dan kehamilan itu adalah berdasarkan pandangan dan maklumat yang disampaikan oleh orang tua-tua terdahulu. Kebanyakannya tidak pernah menjalani kajian saintifik. Maka, tiada satu pun yang dibuktikan benar melalui hasil kajian saintifik.
Perlu diketahui bahawa terdapat sesetengah jenis makanan tidak boleh diambil semasa hamil terutamanya di awal usia kandungan disebabkan faktor-faktor tertentu.
Contohnya makanan berasid. Ia boleh menyebabkan gastrik. Jika ibu hamil sememangnya mempunyai masalah alahan pada awal kandungan seperti loya, mual, muntah dan sebagainya, maka makanan yang mempunyai kandungan asid yang tinggi akan menyebabkan alahan lebih teruk. Dalam keadaan tertentu, boleh menyebabkan alahan lebih parah dan anda dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.
Makanan bersifat panas atau sejuk mahupun tajam merupakan persepsi masyarakat sahaja. Memang ada makanan yang boleh beri kesan sampingan kepada kandungan dan anda sendiri, tetapi secara saintifiknya, tidak ada kategori bagi setiap makanan itu. Ia lebih kepada respons dan tindak balas seseorang ibu hamil terhadap makanan yang diambil. Perlu diingatkan juga, bahawa setiap orang berbeza dan tidak mengalami respons yang sama antara satu sama lain. Malah, ada ketikanya, ia tiada kaitan pun dengan makanan-makanan tersebut.
Faktor alahan terhadap makanan berkenaan juga mungkin menyumbang kepada masalah yang mungkin dialami. Apa-apa pun, ia bergantung kepada individu itu sendiri. Makanan yang diambil akan beri kesan berbeza kepada seorang individu kepada individu yang lain. Sama ada makanan itu panas, sejuk atau tajam, ia bersifat subjektif.
Makanan dan mitos
Durian
Fakta sains menjelaskan bahawa durian sangat kaya dengan potassium, zat besi, serat dan vitamin. Pada masa yang sama, kandungan gulanya juga yang amat tinggi. Jika diambil sewaktu hamil, kecenderungan paras gula meningkat adalah sangat tinggi dan ia amat tidak baik untuk wanita yang bersaiz besar dan penghidap diabetes.
Sebab itulah, anda tidak digalakkan makan terlalu banyak durian. Bukan kerana ia panas tetapi berpunca daripada kandungan gula yang tinggi. Seulas durian mempunyai 54 kalori. Jika teringin, cukuplah sekadar satu atau dua ulas.
Dalam banyak keadaan, potensi anda untuk mengambil lebih daripada dua ulas durian adalah sangat besar. Sebab itulah ia boleh mendatangkan mudarat dan meninggalkan kesan sampingan.
Air tebu
Dalam cuaca yang panas, air tebu sangat bagus diminum. Ia merupakan pelepas dahaga yang baik. Ada mitos menyatakan ia boleh menjadi punca pendarahan dan menyebabkan keguguran. Mungkin orang tua-tua kata ia tajam tetapi sebenarnya ia bersifat sejuk untuk ibu mengandung. Ia mengandungi gula yang tidak sebanyak durian, tinggi serat, zat besi, vitamin B kompleks dan vitamin C.
Nanas
Buah ini kaya dengan vitamin C, tinggi potassium, beta karotena dan serat. Ia bagus, cuma anda tidak boleh mengambil nanas muda sebagai santapan disebabkan banyak kandungan asid hingga boleh mengganggu sistem penghadaman. Kesannya, anda boleh mengalami cirit-birit dan sakit perut.
Di dalam nanas terdapat kandungan bromelain yang berperanan mencerna protein. Ia sering digunakan untuk menjadi pelembut daging. Berkemungkinan bahan ini dipercayai menyebabkan masalah pendarahan dan keguguran. Namun ia tidak benar. Untuk mencetuskan masalah sebegini, anda perlu makan dua biji nenas. Apa-apa pun, anda dinasihatkan untuk mengambil nanas masak dan bukannya mentah.
Tumbuhan menjalar
Sayur-sayuran sebegini sering dikatakan sebagai sejuk. Contohnya, kacang dan timun. sebenarnya tidak ada bukti saintifik yang menunjukkan, sayur-sayuran menjalar boleh menjadi penyebab kembung perut, sakit sendi, otot atau urat dan sebagainya. Ia sama seperti sayur-sayur yang lainnya yang mempunyai tinggi vitamin.
Pesan Dr Fadzilah, apa-apa sahaja jenis makanan boleh diambil oleh wanita hamil. Namun, pastikan ia tidak diambil dalam jumlah yang banyak. Sama juga halnya dengan makanan yang dikatakan baik untuk kandungan dan kehamilan. Jika diambil berlebihan akan menimbulkan kesan sampingan itu bersederhana dan makan ala kadar.
Ibu hamil yang bakal menempuhi bulan Ramadan perlu tahu mereka tidak perlu memaksa diri untuk meneruskan puasa. Ada kelonggaran untuk berbuka dalam Islam.
Beberapa hari lagi umat Islam akan mengerjakan ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadan. Mungkin bagi ibu hamil ada yang terfikir ini adalah peluang untuk berpuasa sebulan penuh memandangkan tiada haid.
Namun sekiranya anda mempunyai masalah kesihatan dan kemudaratan untuk meneruskan berpuasa, ada kelonggarannya. Pa&Ma mendapatkan informasi daripada Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin mengenai topik ini.
Wanita hamil mempunyai kelonggaran dalam ibadah puasa
Para ahli fiqih (pakar hukum) sepakat bahawa menjadi hak wanita yang hamil untuk berbuka. Dalilnya cukup jelas. Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah mencabut puasa dan separuh solat daripada musafir, dan mencabut puasa daripada perempuan hamil dan menyusui.” (HR Nasa’i dan Ibnu Majah).
Mengapa wanita hamil diberikan kelonggaran dalam ibadah puasa?
Menurut ahli tafsir, wanita yang hamil termasuk dalam kategori “orang yang berat menjalankannya (puasa),” sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT dalam Surah al-Baqarah: ayat 184.
Islam memahami beban kehidupan yang memberat di bahu wanita hamil. Wanita hamil biasanya muntah-muntah, loya, pening dan kembung perut. Wanita hamil juga biasanya mengalami kekejangan apabila kurang kalsium, pedih ulu hati dan sebagainya.
Islam mengiktiraf dan menghargai pengorbanan ini dengan merakam kesusahan wanita hamil di dalam al-Quran. Antaranya, firman Allah SWT, “Ibunya mengandungnya dengan susah-payah, dan melahirkannya dengan susah-payah (pula).” (Al-Ahqaf: 15).
Islam sangat berperi kemanusiaan terhadap kesusahan umatnya. Ia termasuklah kepada wanita hamil bahkan kepada musafir meskipun dia bermusafir dengan kenderaan moden, dan kepada ramai lagi golongan lain. Oleh sebab itulah ada konsep ‘rukhsah’ (kelonggaran/keringanan) dalam Islam.
Keadaan yang membolehkan wanita hamil berbuka puasa
Ada pelbagai keadaan wanita hamil. Wanita hamil kadang kala risaukan keadaan dirinya disebabkan payahnya berpuasa. Wanita hamil juga kadang kala risaukan bayi dalam kandungannya. Bayi itu dikesani oleh sumber makanan ibunya. Lebih kerap, wanita hamil risaukan kedua-duanya secara bersama, dirinya dan bayinya.
Dalil hadis di atas yang memberi kelonggaran kepada wanita hamil untuk berbuka, merujuk kepada keadaan wanita itu yang ‘hamil’ secara umum. Ia tidak merujuk kepada keadaan-keadaan khusus bagi wanita hamil itu.
Maka, apabila hamil sahaja seorang wanita, dan dia berasa berat untuk berpuasa, maka boleh baginya mengambil ‘rukhsah’ (kelonggaran) untuk berbuka puasa pada bulan Ramadhan. Jika dia berasakan tidak berat baginya untuk berpuasa, maka dia boleh meneruskan puasa.
Apakah hukumnya jika wanita hamil itu sihat dan tidak mengalami komplikasi tetapi tetap tidak berpuasa?
‘Harus’ baginya berbuka. Hukum ‘harus’ (mubah) bukan bererti ‘mesti’ berbuka. Hukum ‘harus’ bererti ‘boleh’. Mahu meneruskan puasa, boleh. Mahu berbuka pun, boleh. Dia lebih arif tentang kemampuannya saat itu.
Sesihat manapun wanita hamil, keadaan hamilnya itu menggolongkan dirinya berada dalam keadaan yang lemah. Firman Allah SWT, “Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah.” (Luqman: 14).
Orang yang lemah kadang kala berat untuk mengerjakan puasa. Allah memberikannya kelonggaran.
Firman Allah SWT, “Dan bagi orang yang berat menjalankannya (orang sakit berat, orang yang sangat tua, wanita hamil, wanita menyusui), wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin. Tetapi sesiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan (memberi makan kepada lebih seorang miskin dalam satu hari), maka itu lebih baik baginya. Dan puasamu itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 184).
Fidyah adalah sebanyak secupak beras (anggaran 600 gram) untuk setiap satu hari yang ditinggalkannya, diberikan kepada fakir dan miskin. Fidyah wajib dibayar sebelum datangnya Ramadahan seterusnya. Menurut mazhab Syafie, fidyah bertambah, dengan bertambahnya tahun.
Kaedah untuk menggantikan puasa yang telah ditinggalkan
Masalah wanita hamil ‘unik’ berbanding masalah lain. Setelah 9 bulan 10 hari hamil, dia perlu menyusui pula selama 2 tahun. Disebabkan keadaan ‘susah’ yang panjang ini, maka kaedah ‘menggantikan puasa’ yang telah ditinggalkan bagi wanita hamil mempunyai banyak pandangan ulama.
Antara perbahasan mereka ialah:
Adakah wanita hamil diperlakukan seperti orang sakit biasa yang dimestikan mengganti sebanyak puasa yang ditinggalkan?
Atau mereka diperlakukan seperti orang tua renta, baik lelaki mahupun perempuan?
Atau seperti orang sakit yang tiada harapan sembuh?
Adakah mereka harus membayar fidyah setiap hari atau dibebaskan daripada fidyah?
Bukan itu sahaja, para ulama juga membahaskan:
Adakah berbeza hukumnya, antara orang hamil dengan orang menyusui?
Adakah berbeza orang yang khuatir terhadap dirinya, dengan orang yang khuatir terhadap bayinya?
Dengan membahaskan semua kemungkinan ini, maka keluarlah konklusi yang pelbagai di kalangan para ulama berkaitan kaedah menggantikan puasa yang ditinggalkan. Semuanya merujuk al-Quran dan as-Sunnah yang sama, namun cara tafsir dan sudut pandang mereka berbeza. Inilah antara faktor, isu fiqah mempunyai banyak pendapat.
Pendapat Majoriti
Majoriti ahli fiqih memperlakukan wanita hamil dan wanita menyusui seperti orang sakit. Mereka berkata, “Keduanya berbuka dan mengganti.”
Mazhab Syafie yang biasa diamalkan di Malaysia memperincikan:
1. Ibu yang bimbangkan dirinya, tidak mampu dan tidak berdaya, maka dia boleh berbuka. Kemudian mengganti pada hari lain.
2. Ibu yang bimbangkan dirinya dan anaknya, maka dia boleh berbuka. Kemudian, mengganti dan membayar fidyah pada hari lain.
Masa yang diwajibkan adalah 11 bulan mulai Syawal hingga Syaaban. Jika seseorang telah meninggalkan puasa, kemudian tidak menggantinya dalam tempoh itu dengan sengaja, maka dia berdosa, wajib ganti dan bayar fidyah.
Pendapat Kuat dan Praktikal
Ibnu Umar dan Ibnu Abbas (dari kalangan sahabat), juga Ibnu Sirin (dari kalangan Tabiin), berpendapat, “Mereka hanya perlu membayar fidyah (memberi makan orang miskin) dan tidak perlu mengganti.” Ibnu Abbas menyamakan wanita hamil seperti orang tua renta dalam isu ini.
Profesor Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqih Puasa membuat kesimpulan:
1. Yang paling kuat ialah pendapat Ibnu Umar dan Ibnu Abbas. Wanita hamil dan menyusui hanya perlu membayar fidyah dan tidak perlu mengganti. Itu yang banyak diamalkan oleh kaum wanita pada masa lalu. Ia suatu rahmat apabila mereka tidak perlu mengganti, cukup dengan membayar fidyah.
2. Ada wanita yang tempoh kehamilannya berjauhan dan anaknya tidak ramai. Dia kurang berasa susahnya kehamilan dan menyusui, kecuali dua atau tiga kali sahaja, maka yang paling tepat baginya ialah mengganti, sebagaimana pendapat jumhur.
Kesimpulan ini dibuat kerana hukum dibangun atas prinsip ‘keringanan’ dan ‘menghilangkan kesulitan yang berlebihan’. Apabila kesulitan tidak ada, maka hukumpun tiada. Apabila kesulitan ada, maka hukumpun ada. Kaedah menyebut, “Hukum bergerak bersama alasannya, ada atau tiada.”
Bila seelok-eloknya proses penggantian puasa ini dijalankan sedangkan selepas hamil sudah tentu si ibu tersebut akan menyusukan anak pula?
Sesiapa yang memiliki hutang puasa Ramadhan, tidak kira kerana uzur seperti sakit, musafir, haid, nifas, atau yang merasakan sangat berat mengerjakannya, juga wanita hamil dan menyusui, bagi mazhab yang mengharuskannya qadha’ (ganti), maka hendaklah dia bersegera sebaik sahaja uzurnya hilang. Bersegera untuk mengganti hari-hari yang dia berbuka, dalam rangka melepaskan diri daripada hutangnya dan bersegera untuk menunaikan kewajipan
Tidaklah berdosa orang yang mengakhirkan pelaksanaan ganti puasa sepanjang pada hatinya tetap berniat untuk mengganti, kerana kewajipan ganti bersifat ‘luas’ masanya.
Adakah penggantian puasa boleh dilewatkan atas sebab menyusukan anak? Misalnya selepas anak berusia dua tahun.
Soalan ini timbul bagi mereka yang berpegang pada pendapat wanita hamil dan menyusui wajib menggantikan puasa.
Bagi mereka yang berpegang pada pendapat wanita hamil hanya perlu membayar fidyah, maka soalan ini tidak timbul. Lainlah, jika dia memang berasakan menggantikan puasa tidak berat dalam situasi hidupnya. Islam meraikan kondisi individu yang berbeza-beza.
Huraian seterusnya ini bagi mereka yang berpegang pada pendapat wanita hamil dan menyusui wajib menggantikan puasa.
Barangsiapa kedatangan Ramadhan yang baru, sedangkan hutang Ramadhan sebelumnya belum dibayar, jika hal itu terjadi kerana uzur (menyusukan anak) maka ianya tidaklah mengapa. Itu pendapat ijma’.
Dia wajib menggantinya selepas dia mampu berpuasa semula.
Puasa sunat 6 hari bulan Syawal & puasa ganti, mana perlu didahulukan?
Keutamaan puasa 6 hari di bulan Syawal bersandar kepada hadis yang kuat.
“Barang siapa berpuasa Ramadhan kemudian dia iringi dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa setahun.” (HR Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah).
Realitinya, cuti Hari Raya membuka peluang besar untuk kita beramah mesra dan menjamu selera dengan sanak saudara. Tidak seperti hari-hari lain. Maka eloklah seseorang tidak berpuasa sunah pada hari kaum keluarga atau sahabat handai menjamu selera. Dia boleh berpuasa pada hari-hari lain yang masih berbaki. Menjaga hubungan silaturrahim amat penting. Ini selaras dengan hadis Nabi s.a.w, daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya:
“Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti –jika mahu.” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari).
Kita dalam dilema;
1. Jika mendahulukan yang wajib, bimbang tidak berkesempatan berpuasa enam.
2. Jika mendahulukan yang wajib kemudian terus berpuasa enam, bimbang tidak sempat meraikan majlis menjamu selera bersama sanak-saudara.
3. Jika mendahulukan yang sunah, bimbang puasa wajib terus terhutang dan tidak sempat dilakukan pada masa-masa depan.
Pandangan yang sahih berkenaan isu ini, menurut Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, boleh saja melaksanakan puasa sunah sebelum mengganti. Buat puasa sunah enam hari dahulu pada bulan Syawal. Kemudian, melakukan puasa ganti pada hari-hari lain sebelum masuk Ramadhan berikutnya.
Kesimpulan ini diambil daripada ucapan Aisyah r.ha., “Ketika itu saya memiliki hutang puasa Ramadhan. Saya tidak mampu menggantinya kecuali di bulan Sya’ban.” (Muttafaq a’laih).
Tidak boleh disekalikan niat antara yang wajib dan sunat bagi mereka yang mahu menyelesaikan gantian Ramadhan dahulu. Tapi mereka boleh berdoa kepada Allah mudah-mudahan sempat mendapat kelebihan puasa enam.
Benarkah ibu mengandung yang mempunyai tabiat membaca buku menjadikan anak lebih bijak? Ikuti kupasan ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
Ibu hamil sering dihujani maklumat yang boleh menimbulkan kekeliruan tentang bagaimana menjadi ibu bapa terbaik, walaupun sebelum melahirkan anak.
Berbicara mengenai soal mendidik anak-anak, kajian menunjukkan pendidikan anak bermula beberapa bulan sebelum mereka dilahirkan ke dunia dan bertahun-tahun sebelum bersekolah.
Pun begitu, antara topik perbahasan terbesar adalah sama ada tabiat membaca buku kepada bayi ketika mereka masih di dalam rahim benar-benar memberikan manfaat.
Bukan setakat itu, persoalan lain yang turut menjadi tanda tanya adalah mengenai keberkesanan membaca buku dengan kuat oleh ibu mengandung dapat menjadikan bayi lebih pintar.
Anda mungkin pernah terlihat sama ada di perpustakaan, pusat beli-belah, bahkan di jalanan, seorang ibu mengandung meletakkan tangan di perut sambil berbual dengan bayi dalam kandungannya.
Seolah-olah mereka sedang berbicara dengan kanak-kanak atau individu dewasa lain yang dapat memahami apa yang dituturkan.
Apa yang anda fikirkan ketika melihat perkara sedemikian?
Berdasarkan kajian yang dijalankan pada tahun 2013 oleh seorang pakar psikologi mendapati, seorang bayi akan mula dapat menyerap bahasa seawal 10 minggu sebelum dilahirkan.
Analisis tersebut melibatkan kumpulan sampel 40 bayi yang baru dilahirkan; lelaki dan perempuan.
Hasil kajian menunjukkan bayi-bayi tersebut dapat membezakan antara bahasa ibunda ibu mereka dan bahasa asing dalam beberapa jam selepas dilahirkan.
Menurut kajian itu, bayi mula mengembangkan kemampuan untuk mendengar sekitar minggu ke-30 kehamilan. Ini bermakna mereka bukan sekadar mendengar suara tetapi lebih daripada itu.
Ini bermakna tabiat membaca buku dan bercakap dengan bayi dalam kandungan mungkin memberikan beberapa kelebihan.
Jadi, ibu mengandung sekalian, usah terkejut andai si manja memberikan tindak balas terhadap sebarang rangsangan luar, terutamanya jika terdapat bunyi yang kuat.
Sebaliknya, cuba untuk menenangkan mereka dengan cara bertutur secara lembut. Jangan lupa untuk memberikan usapan juga, okay?
Setiap ibu bapa pastinya mahukan yang terbaik untuk si manja mereka, salah satunya pasti supaya anak jadi bijak, kan?
Jadi bila masa yang sesuai untuk mula membaca buku bersama bayi dalam kandungan?
Membaca tidak memerlukan tempoh masa tertentu bagi memulakannya. Namun, jika anda mahu membaca buku untuk si manja, penting untuk anda mengetahui masa yang tepat.
Pada bulan-bulan awal, adalah untuk bayi membiasakan diri dengan keadaan di dalam rahim dan mengenali persekitarannya.
Apabila mereka mula membesar, si manja akan mula mendengar suara daripada luar. Ketika ini, bayi lebih mudah untuk mendengar setiap lagu atau ungkapan kata-kata yang anda ucapkan.
Oleh itu, apabila anda menghampiri minggu ke-23 kehamilan atau secara mudahnya fasa terakhir dalam trimester kedua, anak dalam kandungan akan memberikan tindak balas terhadap suara anda dan bunyi yang didengarnya.
Ini juga bermakna perkembangan kognitif bayi anda juga berkembang pesat.
Anda boleh menggunakan kelebihan ini dengan memperdengarkan muzik serta memulakan tabiat membaca buku yang bermanfaat untuknya.
Mesti anda ingin mengetahui kelebihan membaca buku kepada bayi yang masih berada dalam kandungan, kan?
Berikut disenaraikan 4 kelebihannya:
1. Perkembangan otak bayi
Menjelang trimester ketiga, telinga bayi sudah sedia untuk mendengar.
Secara amnya, bayi di dalam rahim mendengar apa yang berlaku di luar sekitar 10 desibel lebih rendah daripada yang anda ucapkan.
Pun begitu, irama, melodi, dan corak bahasa lain yang menjadi asas pertuturan sebenarnya dapat didengar dengan jelas.
Terdapat juga kajian mencadangkan bahawa pada trimester ketiga, bayi bukan sekadar mengikut corak bahasa, tetapi selepas lahir mereka dapat mengenali kata-kata yang didengar semasa dalam rahim.
Walaupun sejauh mana kemampuan bayi belajar semasa dalam rahim masih belum ditentukan, tetapi bacaan pranatal tetap merupakan cara yang baik untuk memulakan perkembangan otak yang sihat.
2. Mengurangkan tekanan
Luangkan masa untuk tempoh beberapa minit dalam sehari untuk membaca- ini adalah cara terbaik untuk berehat. Bahkan, ia juga sangat membantu ibu mengandung.
Aktiviti santai seperti tabiat membaca buku dengan kuat penting untuk kehamilan yang sihat. Cubalah!
3. Membina ikatan dengan bayi
Kajian menunjukkan bahawa bayi pada trimester ketiga tidak hanya mendengar tetapi juga mengenali suara ibu mereka.
Nada suara ibu bukan sekadar menenangkan tetapi menyebabkan degupan jantung janin menurun.
Di samping itu, ia dapat membantu menjalin hubungan yang berterusan antara ibu dan bayi setelah dilahirkan.
Selain ibu, ayah dan juga ahli keluarga lain boleh menjalinkan hubungan dengan bayi. Jadi bercakap dan berbuallah dengan kandungan, okay?
4. Membina tabiat yang baik
Membaca bersama adalah antara perkara terbaik boleh anda lakukan untuk membantu anak menjadi pembaca dan pelajar yang berjaya.
Mengapa tidak dimulakan sekarang? Jadikan tabiat membaca buku sebagai kebiasaan pada hari ini, agar ia menjadi sebahagian daripada diri kemudian nanti.
Usah risau tentang bagaimana suara anda kedengaran, penggunaan perkataan yang tidak tepat atau terlangkau ayat.
Si manja tidak akan menghakimi anda.
Mulakan tabiat membaca sebagai aktiviti yang menjalinkan ikatan yang membahagiakan untuk anda dan si kecil.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Perlukah suplemen tumbesaran kanak-kanak? Ketahui fakta sebenar menurut pakar pediatrik dan elakkan kesilapan ibu bapa dalam menyokong tumbesaran anak.