Masalah kerak di kepala atau ‘cradle cap’ mudah berlaku pada bayi baru lahir. Kerak di kepala yang terjadi pada bayi akan kelihatan seperti kulit mengelupas, kulit kering, kelemumur, kulit menebal, berminyak, kepingan kulit keras berwarna coklat atau kekuningan.
Kerak di kepala berlaku kerana masih ada lagi kandungan hormon ibu dalam badan bayi. Keadaan ini tidak berbahaya kepada bayi dan ia biasanya berlaku pada beberapa bulan pertama selepas lahir.
Walaupun boleh hilang dengan sendirinya tetapi lebih baik ibu bersihkan kerak kepala tersebut kerana ia bukan sahaja mengganggu kecomelan dan kebersihan bayi tetapi juga membuatkan bayi gatal dan tidak selesa serta mengganggu pertumbuhan rambut yang sihat.
Sekiranya rambut dan kulit kepala bersih maka masalah kerak kepala sukar akan muncul. Untuk yang baru bergelar ibu, pastikan anda mencuci dengan betul rambut bayi. Jika si manja ada tanda-tanda kemunculan kerak kepala, lakukan rawatan berikut.
1. Gunakan produk khas bagi mengatasi dan mencegah kerak kepala bayi.
2. Sapukan minyak bayi pada kulit kepala yang berkerak sambil urut perlahan-lahan. Biarkan kira-kira semalaman supaya kerak menjadi lembut dan mudah dibersihkan. Sebaiknya lakukan ketika bayi sedang tidur.
Ads
3. Sikat rambut bayi menggunakan sikat rambut khas yang halus sambil mengeluarkan kerak kepala yang menggelupas. Lakukan perlahan-lahan dan berhati-hati.
Ads
4. Cuci rambut dan kulit kepala bayi dengan syampu khas untuk bayi, bilas bersih dengan air hangat. Bilas sampai bersih.
5. Jika masih ada kerak di kepala, ulang langkah tersebut keesokkan harinya.
Ads
Namun hati-hati dengan risiko jangkitan ketika anda melakukan rawatan kerak kepala bayi. Jangan keruk secara paksa kerak di kepala bayi kerana bimbang boleh melukakan kepala seterusnya menyebabkan jangkitan kuman.
Jangan kopek kerak kepala yang telah kering apatah lagi dilakukan dengan jari tangan anda kerana boleh melukakan kulit kepala bayi, serta menimbulkan risiko jangkitan.
Jika terdapat tanda-tanda jangkitan seperti timbul ruam-ruam merah, bawa bayi berjumpa doktor. Doktor mungkin akan menyarankan anda menggunting rambut di bahagian kulit kepala tersebut, dan memberinya krim antibiotik.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Isu vaksinasi telah lama menjadi bualan ramai pihak dan ia kekal hangat hingga sekarang. Ada ibu bapa degil yang masih tidak memahami bagaimana konsep vaksin ini memberi perlindungan atau ‘memayungi’ populasi awam sehinggakan individu yang tidak divaksin turut mendapat perlindungan. Sempena Minggu Pencegahan Jangkitan Antarabangsa yang bermula daripada 16 hingga 22 Oktober setiap tahun, kami bawakan kepada anda 10 jenis penyakit yang boleh dielakkan melalui penggunaan vaksin.
Diphtheria
Ia adalah sejenis jangkitan bakteria yang menjejaskan membran mukus pada bahagian hidung dan tekak. Ia biasanya menyebabkan sakit tekak, demam, kelenjar yang membengkak dan tubuh yang lemah. Penyakit ini sangat jarang berlaku di negara-negara membangun disebabkan oleh penggunaan vaksin secara menyeluruh.
Di Malaysia, pernah terjadi kematian yang disebabkan oleh penyakit ini dimana seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun meninggal dunia disebabkan oleh jangkitan diphtheria. Kanak-kanak malang tersebut dilaporkan tidak mendapat sebarang vaksin sejak dilahirkan.
Tetanus
Tetanus adalah sejenis penyakit serius yang disebabkan oleh toksin bakteria yang menjejaskan sistem saraf manusia. Ia menyebabkan kontraksi otot yang menyakitkan terutama di bahagian rahang dan otot leher. Ia boleh menyebabkan kesukaran bernafas dan berpotensi mengancam nyawa. Ia juga merupakan sejenis penyakit yang sangat jarang berlaku di negara-negara membangun disebabkan penggunaan vaksin.
Pertussis atau batuk kokol
Pertussis atau sering dikenali dengan nama batuk kokol adalah penyakit berbahaya yang menyebabkan batuk teruk yang menjejaskan pernafasan seseorang individu. Batuk kokol juga boleh menyebabkan pneumonia, bronkitis, serangan tiba-tiba (seizure), kerosakan otak bahkan kematian. Menurut laporan CDC, sejak pengenalan vaksin batuk kokol, kes ini telah menurun dengan drastik daripada 100,000 kes setiap tahun pada tahun 1940, kepada hanya 10,000 kes pada tahun 1965.
Polio
Polio adalah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus yang mana ia boleh menyebabkan kecederaan saraf yang membawa kepada kelumpuhan, kesukaran bernafas bahkan kematian. Pada awal abad ke-20, wabak penyakit ini telah menyerang masyarakat di Eropah dan Amerika Syarikat, menyebabkan kematian ribuan nyawa selain menjangkiti ratusan ribu yang lain.
Measles
Ia turut dikenali sebagai demam campak, dan merupakan sejenis penyakit jangkitan virus yang menyebabkan demam dan ruam merah pada tubuh. Ia sering muncul ketika seseorang itu masih kecil. Untuk pengetahuan anda, virus campak ini boleh bertahan di udara selama dua jam apabila seseorang yang dijangkiti itu batuk atau bersin. Ia juga sangat mudah berjangkit.
Beguk (mumps)
Ia adalah penyakit jangkitan virus yang menjejaskan kelenjar penghasilan air liur yang berada berdekatan telinga anda. Beguk boleh menyebabkan pembengkakan pada satu atau kedua-dua belah kelenjar. Ia pernah menjadi antara penyebab utama ramai individu dimasukkan ke hospital semasa berlakunya Perang Dunia Pertama. Sebelum vaksin beguk diperkenalkan, ia merupakan antara penyakit zaman kanak-kanak yang paling kerap berlaku.
Rubella
Selain dikenali dengan nama rubella, ia turut dikenali sebagai demam campak Jerman memandangkan Jerman merupakan lokasi pertama penyakit ini dikenalpasti. Ia adalah sejenis penyakit disebabkan virus yang boleh berjangkit. Walaupun mempunyai ciri atau simptom yang sama seperti demam campak, rubella dan demam campak adalah dua jenis penyakit berbeza. Ia kerana rubella disebabkan oleh jenis virus lain yang tidak sama dengan virus penyebab demam campak.
Hepatitis B
Penyakit ini disebabkan oleh virus hepatitis B (HBV) yang menjangkiti bahagian hati manusia. Ia boleh menjadi sangat kronik disebabkan ia boleh bertahan sehingga lebih daripada 6 bulan. Hepatitis B yang kronik boleh menyebabkan kegagalan fungsi hati, kanser hati dan cirrhosis, iaitu keadaan yang menyebabkan parut kekal pada hati. Ia boleh dielakkan melalui penggunaan vaksin, tetapi tidak boleh disembuhkan apabila ia telah menjangkiti anda. Ubat-ubatan hanya digunakan untuk mengelakkan penyebaran virus ini pada individu lain.
Influenza
Influenza adalah penyakit yang menyerang sistem pernafasn manusia iaitu hidung, tekak dan paru-paru. Ia turut dipanggil sebagai flu dan untuk kebanyakan individu, ia akan sembuh dengan sendirinya. Walau bagaimanapun, influenza ini boleh menjadi sangat berbahaya sehingga boleh mengorbankan nyawa seperti Spanish Flu yang mengorbankan sekitar 20 hingga 50 juta manusia pada tahun 1918.
Pneumococcal
Penyakit pneumococcal ini disebabkan oleh jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae atau juga disebut sebagai pneumococcus. Ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti jangkitan telingan dan meningitis. Apabila bakteria tersebut memasuki bahagian paru-paru, ia boleh pneumonia atau radang paru-paru.
Kini anda telah mengetahui bahawa kebanyakan penularan penyakit-penyakit ini hampir terhapus di negara kita dan juga di negara-negara lain. Tahukah mengapa? Ini kerana penggunaan dan kewajipan vaksin secara meluas yang telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan kesejahteraan kesihatan semua penduduk. Anda mungkin tidak mengetahui berkenaan Spanish Flu kerana ia telah menjadi satu sejarah. Oleh itu, jangan mulakan sejarah buruk yang baharu disebabkan oleh sikap penting diri dan kecuaian anda dalam memberikan vaksin kepada anak-anak anda.
Wow! “Sememangnya Allah Maha Pengatur.” Begitu kongsi pelakon Datin Niena Baharun yang telah selamat menimang cahaya mata keduanya di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur semalam.
Kelahiran bayi perempuan yang cukup dinantikan oleh keluarga kecil ini. Menariknya kata Niena melalui instagramnya, anak keduanya itu berkongsi tarikh kelahiran yang sama dengan anak sulung lelakinya.
Bukan hanya tarikh, bahkan kata Niena lagi, selain hospital, mereka juga memilih doktor yang sama seperti kelahiran anak sulungnya yang terdahulu.
“Syukur Alhamdulillah! Allah Maha Pengatur. Pada tarikh yang sama, tempat yang sama dan doktor yang sama, Dr. Seri.
“‘Our little girl is born, 24.10.2020’,” katanya berkongsi.
Berita gembira itu dikongsikan Niena menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram miliknya awal pagi tadi beserta sekeping gambar selepas kelahiran bayi keduanya itu.
Melalui entri yang sama juga, Niena meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pengikut yang sentiasa mendoakannya.
“Terima kasih untuk segala doa dan ucapan daripada anda semua,” katanya berkongsi.
Double Celebration Untuk Anak
Melalui entri berlainan pula, Niena turut berkongsi beberapa keping gambar dan video yang memaparkan sambutan hari lahir anak sulungnya serta kelahiran si comel yang berkongsi tarikh sama.
Malah dua biji kek sebagai simbolik ‘double celebration’ buat pasangan ini cukup comel. Cukup bermakna sambil dikelilingi keluarga terapat. Comel sekali.
Dalam pada itu, para pengikut Niena di instagram juga rakan-rakan selebriti turut mengucapkan tahniah sambil mendoakan kesejahteraan pelakon itu.
Terdahulu, Niena mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan, Datuk Aliff Firdaus Abdul Halim pada 1 Februari 2018.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan anak sulung, Adiel Mikael yang kini genap usia dua tahun semalam.
Gigi susu anak yang tumbuh rapat dan kelihatan tersusun kemas sering membuatkan ibu ayah berasa lega. Namun sejak kebelakangan ini, tular pula di media sosial dakwaan bahawa gigi susu anak yang rapat boleh menyebabkan gigi kekal tumbuh berlapis dan tidak cantik apabila dewasa kelak.
Perkongsian sebegini secara tidak langsung mencetuskan kebimbangan, terutamanya dalam kalangan ibu bapa yang prihatin tentang kesihatan pergigian anak sejak usia kecil.
Sebelum ini, terdapat pandangan yang menyatakan gigi susu yang jarang adalah lebih baik kerana memberi ruang kepada gigi kekal untuk tumbuh dengan tersusun. Sebaliknya, gigi susu anak yang rapat dan tiada jarak pula dikatakan berisiko menimbulkan masalah apabila gigi kekal mula keluar. Namun, sejauh mana kebenaran dakwaan ini dari sudut perubatan pergigian?
Menurut seorang pegawai pergigian di sebuah institusi kerajaan, Dr Hamidie Sa’ari, gigi susu anak yang tumbuh rapat tidak semestinya merupakan petanda bahaya atau punca utama masalah gigi kekal pada masa hadapan.
Menerusi perkongsiannya di Threads (@midie.saari), beliau menjelaskan bahawa ramai ibu bapa sering keliru apabila melihat keadaan gigi susu anak sama ada jarang atau rapat, sedangkan kedua-duanya boleh dikategorikan sebagai normal.
“Ramai ibu bapa risau bila nampak gigi susu anak jarang-jarang. Dan ada juga yang risau bila tak ada gap langsung. Yang mana sebenarnya normal?” katanya.
Menurut beliau lagi, gigi susu yang jarang memang boleh membantu memberi ruang kepada gigi kekal, namun ia bukan satu keperluan wajib untuk memastikan gigi kekal tumbuh cantik. Dalam erti kata lain, gigi susu jarang hanyalah faktor sokongan, bukannya jaminan mutlak.
Tambah Dr Hamidie, tubuh kanak-kanak sebenarnya mempunyai mekanisme semula jadi yang membantu pertumbuhan gigi kekal walaupun gigi susu anak tumbuh rapat. Antara mekanisme tersebut termasuk:
Rahang anak akan terus membesar seiring dengan pertambahan usia, sekali gus menyediakan ruang tambahan untuk gigi kekal tumbuh.
Gigi molar susu bersaiz lebih besar berbanding premolar, iaitu gigi kekal yang akan menggantikannya. Apabila gigi susu ini gugur, ia menghasilkan ruang tambahan yang dikenali sebagai leeway space.
Ruang inilah yang membantu gigi kekal tumbuh dengan lebih tersusun walaupun gigi susu sebelumnya rapat tanpa jarak.
Mengulas lanjut mengenai isu gigi kekal tumbuh berlapis, Dr Hamidie menjelaskan bahawa keadaan tersebut lazimnya berlaku akibat gabungan beberapa faktor, antaranya:
Jelas beliau, gigi susu anak yang jarang tidak menjamin gigi kekal akan tumbuh cantik, manakala gigi susu anak yang rapat pula bukan penyebab utama gigi kekal menjadi berlapis.
Berbanding terlalu memikirkan sama ada gigi susu anak jarang atau rapat, ibu ayah disarankan memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan gigi anak secara menyeluruh.
Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian termasuk memastikan gigi susu tidak berlubang, mengelakkan kehilangan gigi susu terlalu awal serta membiasakan anak menjalani pemeriksaan gigi secara berkala sekurang-kurangnya setiap enam bulan.
Gigi susu yang sihat memainkan peranan besar sebagai panduan kepada pertumbuhan gigi kekal yang sihat dan teratur.
Dalam pada itu, seorang doktor gigi dari Klinik Gigi Dentime turut menjelaskan bahawa gigi susu anak yang tumbuh rapat merupakan faktor semula jadi yang tidak boleh dikawal oleh ibu ayah.
Namun, ibu bapa masih boleh mengawal aspek lain seperti kebersihan mulut, pemakanan anak serta memastikan gigi susu kekal sihat sehingga tiba masanya untuk gugur secara semula jadi. Pemeriksaan gigi berkala amat disarankan bagi mengesan sebarang masalah lebih awal.
Walaupun kebanyakan kes gigi susu anak rapat adalah normal, ibu ayah perlu lebih peka sekiranya gigi susu tumbuh terlalu rapat sehingga bertindih.
Antara tanda yang memerlukan perhatian termasuk gigi kelihatan bertindih atau berpusing, gigi susu tidak gugur mengikut usia sepatutnya iaitu sekitar enam hingga lapan tahun, serta rahang kelihatan kecil berbanding saiz gigi.
Jika ibu ayah mengesan tanda-tanda ini, segera bawa anak ke klinik gigi untuk pemeriksaan lanjut bagi mengelakkan masalah pergigian yang lebih serius pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, ibu ayah tidak perlu terlalu panik sekiranya gigi susu anak tumbuh rapat. Apa yang lebih penting ialah memastikan gigi susu dijaga dengan baik kerana gigi susu yang sihat merupakan asas utama kepada pertumbuhan gigi kekal yang sihat dan tersusun.