Mungkin anda di kalangan mama yang mengalami masalah kerap buang air besar selepas makan. Biasanya situasi ini berlaku selepas mengambil sarapan. Keadaan ini menyebabkan ramai di antara kita mengelakkan untuk bersarapan sebelum pergi kerja bimbang rasa sakit perut dalam perjalanan ke tempat kerja.
Kerap buang air besar selepas makan
Bagi mereka yang kerap buang air besar selepas makan, anda sebenarnya mengalami asalah Irritable Bowel Syndrome (IBS). Masalah ini akan lebih jelas apabila anda mengalami stres.
1. Sakit Perut: Pesakit biasa rasa sakit perut memulas-mulas sebaik saja lepas makan dan akan rasa lega selepas buang air besar, walaupun najis yang keluar hanya sedikit.
2. Cirit-birit dan sembelit: Pesakit ada kalanya mengalami cirit-birit, dan ada kalanya mengalami sembelit.
Ads
3. Kembung perut: Kadang kala rasa perut kembung sehingga rasa seolah-olah buncit. Bila sudah membuang air besar, perut akan kempis semula.
4. Kerap buang angin (kentut): perut yang kembung kadang kala rasa lega dengan mengeluarkan kentut. Terlalu banyak kentut juga adalah tanda bagi masalah IBS.
5. Lendiran pada najis.
Punca sebenar bagi masalah IBS tidak diketahui dengan tepat.
Pesakit selalunya mengalami masalah ini berkait rapat dengan:
1. Makanan tertentu. 2. Tahap stress yang tinggi. 3. Masalah kitaran haid terutama bila dekat untuk datang haid. 4. Mengalami anxiety disorder.
Apa yang kita bimbang adalah berkemungkinan tanda kanser usus besar, terutama bagi mereka yang sudah berumur 60 tahun ke atas dan mengalami pendarahan bersama najis yang keluar.
Ads
Doktor akan buat pemeriksaan colonoscopy bagi melihat saluran usus besar dengan lebih jelas. Jika disahkan tiada masalah kanser, makanlah makanan yang bernutrisi dan mengandungi lebih banyak fiber.
Kebanyakan pasangan suami isteri cenderung untuk menjarakkan kelahiran anak-anak mereka antara anak pertama dengan anak kedua dan seterusnya supaya tidak terlalu rapat.
Jika anda dan suami berhati-hati sekalipun dengan kaedah perancangan semula jadi, kadang kala ia tetap tidak berhasil dan anda akhirnya mengandung walaupun anak yang sedia ada masih terlalu kecil.
Cara semula jadi yang lebih berkesan dalam soal perancangan anak adalah kedah menyusukan anak secara eksklusif sejak dia lahir lagi. Mungkin ramai yang ragu-ragu dengan keberkesanan kaedah ini tetapi banyak kajian yang telah dilakukan menunjukkan bukti yang nyata tanpa ragu-ragu.
Menurut kajian yang dilakukan terhadap ibu yang menyusukan bayi sepenuhnya dengan susu ibu, masa ovulasinya akan menjadi jauh lebih lambat daripada ketika ibu yang tidak menyusukan bayinya secara eksklusif. Dengan melambatkan masa ovulasi, kemungkinan untuk ibu hamil adalah terlalu kecil. Oleh itu jika anda tidak mahu kehamilan yang terlalu cepat selepas kelahiran anak, amalkan cara ini ya.
Kaedah ini lebih efektif dan semula jadi berbanding kaedah perancangan moden yang menggunakan ubat-ubatan dan suntikan yang pasti mengandungi bahan kimia yang dibimbangi boleh berkumpul dalam badan dan berisiko kepada wanita yang mengambilnya.
Kaedah menjarakkan kehamilan menggunakan penyusuan susu ibu dinamakan Lactational Amenorrhea Method (LAM) di mana penyusuan susu ibu sepenuhnya berupaya melambatkan kedatangan haid dan ovulasi secara semula jadi.
Walau bagaimanapun, kaedah ini adalah 98 – 99.5 % efektif, sekiranya semua syarat di bawah dipatuhi:
1. Haid ibu belum kembali.
2. Bayi berumur kurang daripada enam bulan.
3. Bayi menyusu secara eksklusif dengan kerap (siang dan malam).
4. Bayi tidak mengambil sebarang makanan lain selain daripada susu ibunya selama enam bulan pertama.
Oleh itu, antara tip untuk memastikan keberkesanan keadah LAM ini, anda haruslah:
*Memastikan bayi sentiasa bersama atau berdekatan dengan ibu.
*Menyusu dengan kerap tanpa had (siang dan malam). Untuk pengetahuan, penyusuan di waktu malam sangat penting kerana pada ketika itu hormon prolaktin adalah sangat tinggi. Hormon ini yang melambatkan ovulasi.
*Menggunakan penyusuan sebagai cara untuk memujuk dan menenangkan bayi.
*Menyusu sambil berbaring apabila berehat atau tidur.
*Tidak menggunakan botol atau puting kosong.
Sekiranya haid ibu telah kembali atau bayi berumur lebih daripada enam bulan atau dia sudah diberi makanan tambahan (pada tahap umur ini, bayi seharusnya diperkenalkan dengan makanan tambahan dan tidak menyusu sepenuhnya), ibu dinasihatkan untuk menggunakan kaedah perancang keluarga yang lain.
Ini kerana selepas enam bulan, perlindungan penyusuan susu ibu terhadap kehamilan mula berkurangan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penyampai radio Sinar, Angah Raja Lawak selamat menimang kelahiran cahaya mata perempuan keduanya semalam bersama isteri tersayang, Amira Asyura Abd Razak.
Menerusi satu hantaran ringkas di instagram miliknya, Angah menyampaikan khabar gembira itu dengan turut berkongsi sekeping gambarnya sambil memegang puteri kesayangannya itu.
Dalam pada itu, Angah atau nama sebenarnya, Iskandar Shah Hashim turut meluahkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberi ucapan dan mendoakan urusan kelahiran tersebut.
“Alhamdulillah syukur bidadari saya selamat melahirkan puteri kami yang sangat comel macam bapaknya.
“Terima kasih semua atas doa dan ucapan kalian ya,” tulisnya berkongsi.
Rata-rata, para pengikut Angah dan rakan selebriti turut memberikan ucapan tahniah buat Angah dan isteri atas kelahiran bayi keduanya ini bersama isteri.
Semoga kelahiran bayi comel ini akan terus memberi kebahagiaan dan melengkapkan lagi kasih sayang mereka sekeluarga.
Terdahulu, Angah mengumumkan kehamilan kedua isterinya pada Ogos lalu.
Angah dan Amira mendirikan rumah tangga pada 19 Februari 2016.
Hasil perkahwinan itu, pasangan ini telah dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Aisyah pada 16 Februari 2019. Melalui perkahwinan terdahulu, Angah juga turut memiliki seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama, Nurrina.
Membuat sabun dari lebihan susu badan sangat popular dalam kalangan ibu menyusu. Namun apakah hukumnya membuat sabun dari lebihan susu badan untuk kegunaan sendiri? Ikuti perkongsian daripada laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Assalamualaikum w.b.t
Saya ingin bertanya, saya mempunyai susu badan yang berlebihan. Dan susu badan tidak dapat disimpan dalam tempoh yang lama. Jadi, saya bercadang hendak menjadikannya sebagai sabun. Soalannya, apakah hukum membuat sabun dengan menggunakan susu badan tetapi untuk kegunaan diri sendiri sahaja? Mohon penjelasan Dato’ Mufti.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Maksudnya : “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.”
(Surah al-Baqarah : 233)
Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa hukum-hukum ini telah ditetapkan oleh syarak bertujuan menjaga dan melindungi anak-anak supaya dapat terus hidup serta menjamin masa depannya. Sesiapa yang berpaling daripada hukum ini, maka dia telah berdosa dan mendapat hukumannya di hari akhirat kerana agama Islam itu adalah rahmat bagi seluruh alam, tidak kira yang masih kecil atau dewasa. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 1/130)
Susu ibu adalah suci
Mengenai kesucian susu ibu, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa :
Maksudnya : “Susu badan adalah suci menurut mazhab Syafie… dan ianya adalah pendapat yang diputuskan oleh para ashab (ulama Syafi’iyyah) kecuali penulis kitab al-Hawi. Beliau telah menukilkan satu pendapat daripada al-Anmathi yang merupakan salah seorang daripada ulama Syafi’iyyah bahawa susu badan adalah najis. Dan ia halal diminum oleh kanak-kanak kerana dharurat… Dan pendapat ini tiada apa-apa (nilai) bahkan telah jelas kesilapannya. Akan tetapi beliau telah menukilkan pendapat seperti ini bertujuan supaya berhati-hati daripada ditipu dengannya (pendapat tersebut). Sesungguhnya Syeikh Abu Hamid telah menukilkan bahawa kaum muslimin telah ijma’ akan kesuciannya. Al-Ruyani telah berkata… sekiranya kita mengatakan, mengikut pendapat mazhab (syafie) bahawa manusia itu tidak menjadi najis disebabkan oleh kematiannya. Maka, apabila seorang wanita itu mati dan di dalam buah dadanya ada susu. Susu tersebut adalah suci serta harus (hukumnya) untuk diminum dan dijual.”
(Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/569)
Selain itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada mengatakan bahawa :
Maksudnya : “Adapun susu haiwan yang dimakan dagingnya seperti susu kuda, sekalipun ia telah melahirkan baghal adalah suci. Firman Allah SWT : {(iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.}[Surah al-Nahl : 66] Dan demikianlah juga susu manusia kerana tidak sesuai dengan kemuliaannya untuk (dikatakan) ia berasal (sumber) daripada najis.”
(Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/234)
Begitu juga al-Mardawi juga ada menyatakan bahawa susu manusia dan susu haiwan yang dimakan adalah suci secara sepakat para ulama (tanpa perselisihan). (Lihat al-Insof fi Ma’rifah al-Rajih min al-Khilaf, 1/343)
Maka, kita ketahui bahawa susu manusia adalah suci dan bukannya najis. Perkara ini kami telah jelaskan di dalam artikel kami al-Kafi li al-Fatawi (1542) : Adakah Susu Ibu Suci serta Sah Solat Dengannya?
Membuat sabun dengan susu manusia
Perbincangan dan perbahasan mengenai susu ibu atau susu badan banyak berkisar mengenai hukum penyusuan iaitu apabila ia diminum ataupun sekiranya ia dijual beli.
Hukum asal menggunakan susu (yang suci) sebagai salah satu bahan dalam sabun adalah harus seperti susu kambing atau lembu. Perkara ini adalah bertepatan dengan kaedah :
الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم
Maksudnya : “Asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil yang menunjukkan pengharamannya”
Akan tetapi menjadikan susu badan sebagai salah satu bahan di dalam pembuatan sabun, kami cenderung untuk mengatakan bahawa perkara tersebut adalah dilarang dan tidak dibenarkan.
Hal ini kerana kedudukan manusia itu tinggi di sisi Allah SWT berbanding makhluk yang lain, jadi semua anggota atau apa sahaja yang berasal daripada tubuh manusia perlu dihormati dan dimuliakan, serta tidak boleh dimanfaatkan sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi jika ia digunakan sebagai bahan mencuci (sabun). Perkara ini bertepatan dengan kaedah Sadd al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada penyalahgunaan bahan yang berasal daripada manusia seperti susu ibu serta merendah-rendahkan kemuliaan seorang manusia.
Lebih-lebih lagi, sabun adalah termasuk dalam perkara tahsiniyyat (menambah baik) dan bukannya hajiyat (keperluan) atau darurat (keperluan mendesak). Sudah memadai apa yang telah Allah SWT sediakan (tundukkan) buat manusia mengambil manfaat daripadanya seperti haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.
Maksudnya : “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.”
(Surah al-Jathiyah : 13)
Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menundukkan untuk kamu semua segala apa yang ada di langit yang terdiri daripada matahari, bulan dan bintang, serta segala apa yang ada di bumi yang terdiri daripada haiwan-haiwan (makanan dan pengangkutan darat), tumbuh-tumbuhan, kapal dan lain-lain, untuk manfaat buat kamu semua. Kesemua nikmat-nikmat ini adalah merupakan pemberian daripada Allah semata-mata, Dia memberikan perkara-perkara tersebut kepada kamu sebagai nikmatNya dan juga kurniaanNya. Maka hendaklah kepadaNya sahaja kamu menyembah (beribadah) dan jangan sekali-kali kamu menjadikan bagiNya sekutu. Sesungguhnya pada apa yang telah Dia tundukkan buat kamu itu ada mengandungi tanda-tanda dan bukti-bukti yang menunjukkan kepada keesaanNya, bagi mereka yang merenung (berfikir) akan ayat-ayat Allah (tanda-tanda kekuasaanNya) serta hujah-hujah dan dalil-dalilNya lalu mereka mengambil pengajaran daripadanya. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 499)
Begitu juga, larangan ini adalah selaras dengan peraturan ditetapkan di dalam Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia yang menyatakan bahawa semua bahan-bahan yang tersenarai di dalam Annex II tidak boleh digunakan bagi menghasilkan produk kosmetik. (Lihat Guidelines for Control of Cosmetic Product in Malaysia, Bhg. Cosmetic Ingredients, hlm. 10) Antara bahan-bahan terlarang yang telah disenaraikan di dalam Jadual Annexe II Part I ialah sel, tisu atau sebarang bahan yang berasal daripada manusia. Oleh itu, susu ibu adalah termasuk di dalam larangan tersebut dan sabun adalah merupakan salah satu daripada produk kosmetik.
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami simpulkan kepada beberapa perkara :
Kami cenderung kepada pendapat yang melarang susu badan atau susu ibu dijadikan sebagai sabun. Hal ini kerana kedudukan manusia itu sendiri yang mulia dan tinggi di sisi Allah SWT. Justeru, semua anggota atau apa sahaja yang berasal daripada tubuh manusia perlu dihormati dan dimuliakan, serta tidak boleh dimanfaatkan sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi jika ia digunakan sebagai bahan mencuci (sabun).
Kemuliaan seorang manusia adalah berdasarkan firman Allah SWT :
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِىٓ ءَادَمَ
Maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam..”
(Surah Al-Isra’ : 70)
Larangan ini juga adalah selaras sebagaimana keputusan mesyuarat panel pakar syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke-86 yang tidak membenarkan penggunaan susu ibu sebagai bahan kosmetik termasuk dalam penyediaan sabun.
Ini juga adalah sebagai langkah Sadd al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada merendah-rendahkan kedudukan manusia itu sendiri serta penyalahgunaan bahan yang berasal daripada manusia seperti susu ibu sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia.
Lebih-lebih lagi, sabun adalah termasuk dalam perkara tahsiniyyat (menambah baik) dan bukannya hajiyat (keperluan) atau darurat (keperluan mendesak). Sudah memadai apa yang telah Allah SWT sediakan (tundukkan) buat manusia mengambil manfaat daripadanya seperti haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.
Kami juga ingin menasihati semua wanita yang mempunyai lebihan susu yang selamat daripada penyakit berjangkit atau kesan ubat-ubatan yang diambil sebelum susu diperah, adalah lebih baik sekiranya dia boleh mencari anak susuan yang benar-benar memerlukan susu ibu untuk diberikan. Moga-moga ia boleh menjadi salah satu amal kebaikkan yang diterima oleh Allah SWT di hari akhirat kelak.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!