Keibubapaan

Ibu Ayah Jangan Terus Tidur! Periksa 7 Perkara Ini Dulu Untuk Elak Risiko Kebakaran Rumah

Share

Keselamatan kebakaran rumah mungkin bukan perkara yang selalu bermain di fikiran sebelum kita tidur. Namun sejak kebelakangan ini, beberapa kejadian kebakaran rumah yang meragut nyawa benar-benar membuka mata ramai.

Rumah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk kita berlindung bersama anak-anak boleh bertukar menjadi lokasi berbahaya dalam tempoh yang sangat singkat apabila berlaku kebakaran.

Sebagai ibu ayah, mungkin sudah sampai masanya kita melihat semula tahap keselamatan di rumah. Bukan mahu hidup dalam ketakutan, tetapi mengambil langkah berjaga-jaga demi memastikan setiap ahli keluarga tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kecemasan.

Benar, soal qada dan qadar adalah ketentuan Allah SWT. Namun tidak salah untuk kita berikhtiar dan melakukan apa yang termampu bagi mengurangkan risiko kepada keluarga.

ebakaran rumah menyebabkan tiga maut di Taman Titiwangsa, Kluang

Pada 9 September lalu, seorang ibu bersama dua anak lelakinya maut dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Titiwangsa, Kluang. JBPM menerima panggilan kecemasan pada jam 10.44 malam dan ketiga-tiga mangsa dilaporkan terperangkap di dalam rumah.

Tidak lama selepas itu, pada 20 September, tiga sekeluarga pula maut dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Desa Tambun, Ipoh. Panggilan kecemasan diterima sekitar jam 4 pagi, ketika kebanyakan penghuni sedang lena tidur.

Lebih menyentuh hati, dalam kejadian di Tambun itu, seorang ahli keluarga memberitahu bahawa jeriji besi di bahagian balkoni menjadi antara halangan ketika usaha menyelamat dilakukan.

Keselamatan Kebakaran Rumah: Perkongsian Di Threads Buat Ramai Mula Periksa Rumah

Rentetan kejadian tersebut, perkongsian pengguna Threads, hazwanzulkifli, mengenai keselamatan kebakaran di rumah turut mendapat perhatian ramai.

Antara pesanan yang dikongsikannya begitu praktikal untuk diketahui ramai. Katanya cukup mudah  sebelum masuk tidur, luangkan beberapa minit untuk melihat keadaan rumah. Benda yang nampak kecil mungkin menjadi sangat penting ketika berlaku kecemasan.

Baca lagi: Ubat Cacing Kanak-Kanak: 7 Petanda Amaran Anak Dijangkiti Cacing Yang Ramai Ibu Bapa Terlepas Pandang

Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah

Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya

1. Periksa Jeriji Pintu Dan Tingkap

Cuba periksa jeriji yang dipasang di rumah. Jika berlaku kebakaran, adakah ia boleh dibuka dengan mudah dari bahagian dalam? Atau seluruh keluarga perlu mencari kunci terlebih dahulu?

Ini bukan perkara remeh.

JBPM sendiri menasihatkan pemilik kediaman supaya tidak memasang jeriji kekal pada pintu dan tingkap kerana ia boleh menyukarkan penghuni menyelamatkan diri. Sekiranya jeriji diperlukan atas faktor keselamatan, JBPM menyarankan jenis yang boleh dibuka dari dalam ketika kecemasan.

Bagi rumah dua tingkat, pastikan juga ibu ayah tahu jalan alternatif sekiranya laluan tangga tidak dapat digunakan.

Lebih penting, ajar anak yang sudah cukup besar bagaimana hendak membuka pintu atau tingkap yang menjadi laluan kecemasan.

2. Pertimbangkan Tutup Pintu Bilik Ketika Tidur

Ada yang terbiasa tidur dengan pintu bilik terbuka supaya mudah mendengar suara anak.

Namun dari sudut keselamatan kebakaran rumah, pintu bilik yang tertutup boleh membantu memperlahankan kemasukan asap, haba dan api ke ruang tidur.

U.S. Fire Administration turut menggalakkan pintu bilik tidur ditutup sebelum tidur sebagai salah satu langkah keselamatan kebakaran.

Bagi keluarga yang mempunyai anak kecil, ibu ayah boleh menyesuaikannya dengan keadaan rumah masing-masing sambil memastikan penggera asap berfungsi dengan baik.

3. Tetapkan Tempat Kunci Dan Telefon

Bayangkan rumah tiba-tiba dipenuhi asap dalam keadaan gelap. Ketika itu bukan masa untuk mencari kunci yang entah berada di dalam beg, atas meja makan atau terselit di celah sofa.

Tetapkan satu tempat khusus untuk menyimpan kunci yang diperlukan bagi membuka laluan keluar dan pastikan orang dewasa di rumah tahu lokasinya.

Begitu juga dengan telefon. Namun pastikan tempat penyimpanan kunci mengambil kira keselamatan anak kecil dan risiko pencerobohan.

4. Jangan Jadikan Laluan Keluar Sebagai Tempat Menyimpan Barang

Kasut, kotak, basikal, rak dan pelbagai barangan lain sering diletakkan berhampiran pintu atau tangga kerana nampak seperti ruang yang sesuai untuk menyimpan barang.

Ketika kecemasan, semua itu boleh menjadi penghalang.

Laluan keluar perlu sentiasa mudah digunakan. Panduan keselamatan kebakaran juga mengesyorkan setiap keluarga mengenal pasti sekurang-kurangnya dua laluan keluar daripada setiap ruang jika keadaan rumah membenarkannya.

Ibu ayah juga boleh tentukan satu lokasi berkumpul di luar rumah supaya selepas berjaya keluar, semua ahli keluarga tahu di mana perlu berkumpul.

5. Pasang Penggera Asap Untuk Keselamatan Kebakaran Rumah

Ini antara perkara yang sangat penting tetapi mungkin masih kurang diberi perhatian di rumah.

Penggera asap boleh memberikan amaran awal ketika keluarga sedang tidur.

U.S. Fire Administration mengesyorkan penggera asap dipasang di setiap tingkat rumah serta di dalam dan berhampiran kawasan tidur. Penggera juga perlu diuji secara berkala bagi memastikan ia berfungsi.

Jangan tunggu sehingga berlaku kejadian baru mahu memikirkannya.

6. Periksa Soket, Plug Dan Peralatan Elektrik

Sebelum tidur, lihat semula keadaan peralatan elektrik yang digunakan. Elakkan sambungan terlalu banyak pada satu soket dan tutup suis peralatan yang tidak digunakan apabila sesuai.

Suruhanjaya Tenaga turut menasihatkan supaya soket tidak dibebankan dengan sambungan peralatan elektrik secara berlebihan dan suis soket ditutup apabila tidak digunakan.

Biasakan juga memeriksa kabel atau plug yang sudah rosak, longgar atau menunjukkan tanda luar biasa.

7. Sediakan Alat Pemadam Api Yang Sesuai

Ramai yang berkongsi pengalaman bahawa alat pemadam api membantu mereka mengawal kebakaran kecil sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

JBPM menyatakan alat pemadam api merupakan peralatan bantuan awal untuk memadam kebakaran pada peringkat awal.

Namun ibu ayah juga perlu tahu cara menggunakannya dengan betul.

Jika api sudah besar, asap terlalu tebal atau laluan keluar berisiko tertutup, jangan mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan barang.

Keluar segera.

Penting: Jangan menyimbah air pada kebakaran minyak atau lemak di dalam kuali kerana tindakan itu boleh menyebabkan api merebak dengan lebih ganas.

Kalau Rumah Dah Dipenuhi Asap, Apa Perlu Buat?

Asap kebakaran juga sangat berbahaya. Jika terpaksa melalui kawasan berasap untuk keluar, rendahkan badan dan bergerak di bawah lapisan asap menuju laluan keluar.

Sebelum membuka pintu yang tertutup, periksa keadaan pintu menggunakan belakang tangan. Jika pintu terasa panas atau asap menghalang laluan, jangan membukanya dan gunakan laluan alternatif jika ada.

Selepas berjaya keluar, jangan masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil barang. Hubungi talian kecemasan 999, yang menghubungkan orang awam  gan agensi kecemasan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Artikel trending:Tragedi FDS Rentap Bahagia Keluarga, Juruterbang Jelas 5 Persoalan, No. 4 Kenapa Mangsa Tak Guna Payung Terjun

Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!

Jangan Bergantung Pada Tuala Basah Untuk ‘Redah’ Api

Antara tip yang sering dikongsikan di media sosial ialah membasahkan tuala, membalut badan dengannya kemudian meredah kawasan yang terbakar.

Cara ini jangan dianggap sebagai perlindungan yang membolehkan seseorang meredah api atau asap tebal.

Keutamaan ketika berlaku kebakaran ialah mencari laluan keluar yang selamat, berada serendah mungkin jika melalui asap, menutup pintu di belakang jika boleh dan keluar secepat mungkin.

Jika api, haba atau asap menghalang semua laluan keluar, berlindung di dalam bilik dengan pintu tertutup, hubungi bantuan kecemasan dan beri isyarat lokasi kepada pasukan penyelamat.

Anak Pun Perlu Tahu Tentang Keselamatan Kebakaran Rumah

Jangan tunggu sehingga kecemasan berlaku baru mahu memberitahu anak.

Bagi anak yang sudah boleh memahami arahan, ajar mereka:

  • bunyi penggera asap bermaksud mereka perlu bertindak segera;
  • jangan bersembunyi di bawah katil atau dalam almari ketika berlaku kebakaran;
  • tahu pintu atau laluan yang boleh digunakan untuk keluar;
  • bergerak rendah jika terdapat asap;
  • selepas keluar, pergi ke tempat berkumpul yang sudah ditetapkan;
  • jangan masuk semula ke dalam rumah.

Latihan ringkas bersama keluarga boleh membantu anak memahami apa yang perlu dilakukan ketika keadaan sebenar berlaku. Panduan keselamatan kebakaran turut menyarankan ibu ayah berlatih pelan menyelamat bersama seluruh ahli keluarga.

Malam Ini, Luangkan 5 Minit

Sebelum masuk tidur malam ini, cuba pusing rumah sekejap.

1.Periksa jeriji.

2.Pastikan laluan keluar tidak terhalang.

3.Lihat keadaan plug dan soket.

4.Tetapkan lokasi kunci dan telefon.

5.Pastikan penggera asap berfungsi.

6.Lihat di mana alat pemadam api diletakkan.

Dan paling penting, pastikan pasangan serta anak-anak yang sudah besar tahu apa yang perlu dilakukan jika terdengar penggera atau ternampak api.

Lima minit mungkin terasa seperti perkara kecil pada hari biasa, tetapi persediaan yang dilakukan lebih awal boleh menjadi sangat bermakna ketika berlaku kecemasan.

Menjadikan pemeriksaan ringkas ini sebagai rutin juga boleh membantu ibu ayah lebih peka terhadap keselamatan kebakaran rumah tanpa perlu hidup dalam ketakutan. Matlamatnya bukan untuk menjangka perkara buruk akan berlaku, tetapi memastikan keluarga lebih bersedia sekiranya berdepan situasi yang tidak dijangka.

Takziah buat seluruh ahli keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi kebakaran baru-baru ini.

Semoga kita semua mengambil pengajaran dan semoga Allah SWT sentiasa melindungi keluarga serta kediaman kita.

Sumber: hazwanzulkifli

Published by
Nor Yusoff