Ramai ibu bapa yang tertanya-tanya, apakah cara untuk mengukur kelewatan bahasa bagi anak-anak mereka terutama anak yang berusia 3 tahun? Menurut perkongsian daripada Ruby Speech Therapy, pada usia 3 tahun sepatutnya kanak-kanak boleh menyambung 3-4 patah perkataan dalam satu ayat.
(Followers Pa&Ma yang nak dapatkan barangan penjagaan diri boleh klik di SINI)
Contohnya:
“adik nak beli mainan”
“jom la kita balik”
“ummi, tengok abang buat”
“abi nak pergi mana?”
“nak ikut abi”
Hampir 75% dari pertuturan hariannya boleh difahami. Ini bermakna, kanak-kanak masih ada sedikit pelat dari segi gabungan perkataan sukukata panjang.
Contohnya, anak saya Irham pernah menyebut “tinggal medunya” untuk perkataan sebenar ialah ‘meninggal dunia’.
Kanak-kanak 3 tahun juga boleh menerangkan lokasi dengan jelas seperti “atas meja”, “bawah katil”, “dalam besen”. Bagi kanak-kanak yang lambat bertutur, mereka lebih senang menunjuk saja guna tangan, atau sebut “ni”, “yang tu”, “kat situ”.
Ads
Kanak-kanak 3 tahun juga sering dilabel ‘kuat melawan’. Ini kerana mereka mula bijak menggunakan kata nafi dalam perbualan harian. Mereka sedar yang mereka ada kuasa untuk memilih.
Kanak-kanak yang lambat bertutur pula sebaliknya tidak mampu membuat penafian. Semuanya “ya” saja. Semuanya ambil yang hujung saja. Contoh jika kita tanya, “nak makan roti ke, makan mee?” dia jawab “mee”. Tapi bila kita tanya sekali lagi “nak makan mee ke, makan roti?” dia jawab “roti” pula.
Begitu juga jika kita tanya “kucing boleh terbang?” dia jawab “terbang”.
Kanak-kanak usia 3 tahun semakin cekap bertanya soalan. Semua yang dilihat ingin ditanya. Maka barulah ibu bapa sedar betapa banyaknya benda yang kita memang tak tahu.
Bagi kanak-kanak yang lambat bertutur, tiada apa yang ingin ditanya. Mereka terima apa saja yang disediakan seadanya.
Ads
Mungkin mama papa akan lebih jelas apabila membaca perkongsian ini. Namun apakah aktiviti yang sesuai dilakukan jika anak anda yang berusia 3 tahun mempunyai kelewatan bahasa? Ikuti perkongsian daripada Dr Redzal Zainol ini.
Aktres cantik kacukan Melayu-Scotland, Catriona Bahrin Ross yang juga ibu kepada tiga cahaya mata berkongsi cerita tentang anaknya, Jammal Raess yang telah di diagnosis dengan Gangguan Spektrum Autistik (Autism Spectrum Disorder-ASD).
“Saya mula tahu daripada pakar selepas saya dapat rasa yang dia ada sesuatu yang lain. Mata dia tak pernah fokus bila kita panggil dia padahal saya ada di depannya.
“Bila panggil, tanya nak susu, tapi dia hanya pandang tanpa sebarang reaksi. Saya pun buat appointment dengan beberapa pakar. Pakar pertama mengatakan anak saya autisme,”
“Masa itu, saya rasa lutut lemahnya, padahal saya duduk dekat kerusi tapi rasa nak rebah. Saya pandang suami, suara saya tiba-tiba ‘sayang, saya tak boleh bernafas. Ketika itu usianya baru dua tahun”
“Saya ingat lagi saat itu, ingatkan saya duduk dah okay. Suami lebih kuat dan minta saya sabar. Saya ingat, saya cakap I think, Im gonna die,” kata Catriona dalam nada sebak.
JANGAN MALU BERITAHU MASYARAKAT
“Nasihat saya kepada ibu bapa yang ragu-ragu akan keadaan anak supaya membuat ujian diagnosis bagi mengenal pasti keadaan sebenar. Apabila disahkan, hantar anak mengikuti terapi. Jangan disia-siakan peluang untuk mengajar anak belajar, berdikari dan menguruskan diri sendiri. Jangan malu untuk memberitahu masyarakat kerana dengan sikap terbuka ini kita jadi lebih tenang dan lebih ramai lagi yang akan berkongsi tip.”
“Misalnya apabila ada rakan yang menjemput kami sekeluarga ke majlis hari jadi, saya akan minta untuk datang 30 minit lebih awal sebelum ketibaan tetamu lain dan akan pulang awal. Ini kerana Raess tidak boleh menghadapi orang yang ramai. Jadi mustahak bagi kita untuk mengadaptasi keadaan anak dengan situasi semasa supaya semua pihak berpuas hati.”
“Saya tidak meletakkan harapan yang terlalu besar. Cukup sekiranya dia boleh berdikari dan menguruskan dirinya sendiri. Diharapkan keakraban Raess dan Edruce akan kekal sampai bila-bila walau pun nanti saya sudah tiada di dunia ini, mereka saling membantu dan Edruce akan menjadi penjaga abangnya.”
Jammal yang pada asalnya non verbal (tak boleh bercakap menunjukkan perkembangan sangat baik apabila dia mula menyebut beberapa perkataan.
Setiap ibu bapa menginginkan hubungan yang akrab dengan anak-anak. Pasti anda akan berasa gembira tatkala hubungan yang akrab itu kekal sehingga lah mereka dewasa.
Jurang diantara anak-anak dengan ibu bapa boleh terjadi kerana tiada asas komunikasi yang baik berlaku sewaktu anak-anak masih kecil. Apabila anak-anak ini meningkat dewasa, mereka akan memilih untuk mengasingkan diri.
Sebagai ibu bapa anda kena faham bahawa zaman remaja merupakan zaman paling rumit sekali. Sewaktu zaman ini lah anak-anak akan melalui pelbagai jenis cabaran terutamanya dari segi pelajaran, persahabatan dan juga percintaan. Jika komunikasi anda dan anak-anak kurang baik semenjak kecil lagi, maka tidak peliklah mengapa mereka lebih gemar meluahkan dengan kawan-kawan.
CARA UNTUK CREATE BONDING DENGAN ANAK-ANAK
1)Ucap kata sayang pada anak-anak
Cuba tanya diri anda, bila kali terakhir anda ucap sayang pada anak-anak anda tanpa sebab. Jika anda lihat, budaya orang barat termasuklah orang Korea (jika anda pernah lihat rancangan realiti tv The Return of Superman) mereka sangat mudah mengucapkan rasa sayang pada anak-anak.
Sangat berbeza dengan budaya sewaktu kita dibesarkan. Ibu bapa lebih bersikap ego dan jarang sesekali mengucapkan rasa sayang. Budaya kita lebih kepada menunjukkan rasa sayang daripada mengucapkan rasa itu. Dalam Islam pun ada menjelaskan bahawa, ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak mengikut zaman mereka, bukan mengikut zaman ibu bapa itu dididik.
2) Ringankan mulut untuk memuji anak
Jika anak-anak melakukan sesuatu yang membanggakan seperti mengemas mainan tanpa disuruh, makan sehingga habis, atau mendengar cakap; anda seharusnya memuji sikap mereka.
“Bagusnya anak ibu, makan sampai licin.”
“Pandainya anak ayah, kemas mainan. Tak payah suruh pun.”
Selain menggalakkan anak-anak untuk terus bersikap baik di masa akan datang, anda juga membantu merapatkan lagi hubungan dengan anak-anak. Ini kerana, anak-anak akan berasa bahawa anda sangat prihatin dengan mereka.
3)Ucap terima kasih
Sebagai orang tua, kita sering kali menasihatkan anak-anak untuk mengucapkan terima kasih jika menerima sesuatu. Tapi adakah kita juga mengucapkan benda yang sama jika mendapat bantuan daripada anak-anak?
Sebagai ibu bapa, kita seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik agar mudah menjadi ikutan buat anak-anak. Jangan pula kita mengharapkan anak menunjukkan contoh teladan yang baik sedangkan kita mengambil mudah dengan sikap sendiri.
4)Mohon maaf pada anak-anak
Belajar untuk rajin memohon maaf dengan anak-anak andai ada kesilapan yang anda lakukan secara sengaja atau tidak.
“Sorry adik, ibu tak dengar adik panggil tadi.”
“Sorry abang, ayah ada kerja sikit ni. Lepas selesai kerja ayah teman abang buat kerja sekolah yer.”
Perkataan maaf yang diucapkan secara tidak langsung akan mengurangkan jurang antara anak-anak dan ibu bapa. Anak-anak akan lebih menyayangi ibu bapa mereka kerana bersikap lebih bertolak ansur dan memahami.
Sumber: ningsalmah.com
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kelebihan bermain ‘cak’ dengan bayi, rangsang anak jadi bijak. Bermain dengan bayi bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga mempunyai banyak manfaat untuk perkembangan mental dan emosi mereka. Salah satu permainan yang paling mudah tetapi sangat bermanfaat adalah permainan ‘cak’.
Permainan ini melibatkan menyorokkan muka dengan tangan atau objek lain dan kemudian menunjukkan muka semula sambil berkata “Cak!” atau “Peekaboo!” dalam bahasa Inggeris. Meskipun ia nampak sederhana, permainan ini mempunyai banyak kelebihan dalam merangsang perkembangan bayi.
1. Melatih Komunikasi Terawal
Senyuman dan ketawa adalah salah satu cara terawal manusia berhubung sesama sendiri. Ia bagaikan sebuah bahasa tanpa sempadan tidak mengira usia dan bangsa seseorang.
Tiada apa yang lebih menenangkan selain melihat senyuman si kecil, apatah lagi apabila mereka sudah mula bersuara dan ketawa. Memang riuhlah rumah dengan ketawanya yang comel!
Senyuman juga adalah tanda bayi dapat merespon terhadap persekitaran selain menjadi cara si kecil menunjukkan bahawa dia senang dengan kehadiran kita. Dengan senyumanlah juga hubungan boleh menjadi lebih erat.
2. Meningkatkan Kemahiran Sosial
Kemahiran sosial bayi merupakan asas utama baginya dalam membentuk corak komunikasi yang positif. Selain berbual dan bernyanyi untuknya, bermain “cak” juga adalah medium untuk bayi belajar untuk mewujudkan hubungan sosial dengan orang lain.
Bermain “cak” dengan bayi memerlukan tumpuan sepenuhnya terutama sekali ‘eye contact’. Mungkin pada awal kelahiran, bayi menunjukkan kurang respon dan lebih mudah terkejut. Lama-kelamaan, dia mula belajar untuk mengagak apa yang berlaku.
Dengan sentiasa meluangkan masa dengannya, kemahiran komunikasinya juga akan berkembang dengan baik. Bayi juga lebih bijak dalam mentafsir dan meniru emosi yang ditunjukkan oleh orang sekeliling.
3. Mengajar Bayi Mengenal Diri & Persekitaran
Menurut pakar psikologi, bayi sering menganggap dirinya dan ibu sebagai seorang individu yang sama. Semakin kita kerap bermain “cak” disertai dengan senyuman dan sentuhan, dia semakin lama mengerti bahawa dia dan ibunya adalah dua orang yang berbeza.
Hal ini dapat disedari apabila bayi menyentuh ibunya, dan ibunya pula memberi tindakbalas selanjutnya; contohnya ketika bayi mula menyentuh bahagian mata atau menarik rambut ibu.
Bayi juga mula bijak membuat perbandingan antara dirinya dengan orang lain dan mula untuk mengingat persekitaran serta orang di sekelilingnya. Dengan kesedaran ini, dia lebih giat untuk meneroka persekitaran dan menjadi lebih lincah lagi sebaik dia sudah boleh bergerak ke sana ke mari.
4. Merangsang Deria Bayi
Permainan mudah juga memberi kesan positif pada perkembangan derianya; lebih-lebih lagi jika ramai yang meluangkan masa dengannya. Walaupun bayi baru lahir dilihat kurang merespon, sebenarnya mereka amat mudah diajak bermain “cak”. Hanya dengan hanya menggunakan tapak tangan dan ekspresi muka yang lucu, keseluruhan deria mereka dapat dirangsang.
Dengan rangsangan bunyi atau visual, rangsangan bayi boleh menjadi lebih tajam dan peka. Bila bayi semakin besar, anda boleh mempelbagaikan cara bermain permainan ini dengan mereka supaya lebih mencabar, contohnya bermain sembunyi-sembunyi.
5. Meningkatkan Kecerdasan Memori
Bayi yang baru lahir sering menganggap jika kita hilang dari pandangan, sentuhan, atau pendengarannya bermakna kita tiada dengannya. Sebab itulah bayi mudah menangis apabila ibu hilang daripada pandangan. Permainan sebegini mampu membantu mereka memahami konsep kehadiran seseorang atau objek.
Ini bermakna kebolehannya untuk menyimpan memori dan corak pemikirannya semakin berkembang. Semakin kita rajin bermain “cak” dengannya, mereka mampu memahami dan mengingat bahawa ibu masih ada dengan mereka. Oleh sebab itu, bayi yang baru lahir elok diperkenalkan dengan permainan sebegini.
Permainan ‘cak’ bukan sahaja mudah dan menyeronokkan, tetapi ia juga memberikan banyak manfaat kepada perkembangan mental, emosi, dan sosial bayi anda. Dengan hanya beberapa minit bermain setiap hari, anda boleh membantu merangsang perkembangan otak bayi dan membina asas yang kukuh untuk kemahiran yang lebih kompleks di masa hadapan.
Dengan meluangkan masa dengannya, bayi bukan sahaja dapat melatih rangsangan minda serta kemahiran sosial, malah dapat memupuk kasih sayang dan rasa prihatin. Jadi, jangan ragu-ragu untuk bermain ‘cak’ dengan bayi anda dan nikmati detik-detik berharga ini bersama mereka!
Penyebab utama anemia di kalangan wanita mengandung adalah kekurangan zat besi. Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.