Ingatkah lagi bagaimana perasaannya apabila mendengar perkataan pertama dituturi oleh anak? Mungkin sesetengah bayi agak lewat pertuturannya tetapi keterujaan yang kita rasai tetap sama. Perkataan pertama terlalu dinanti-nantikan oleh setiap ibubapa. Ibubapa yang berkesempatan untuk merekod momen gemilang itu sudah pasti akan menghebahkan keterujaan di media sosial untuk dikongsikan bersama seluruh dunia.

Kita Tak Sabar Tunggu Anak Boleh Bercakap, Tapi Bila Dia Boleh Bercakap..Kita Lupa Momen Tu

JANGAN LUPA MOMEN ITU

Semakin anak menguasai bahasa dan pertuturan, semakin mudah kita menguruskan anak. Jika ‘tantrum’ kerap berlaku ketika usia awal kerana ketidakupayaan anak untuk meluahkan emosi dan ketidakupayaan anak untuk menyampaikan apa yang diingininya, berkembangnya bahasa dan pertuturan mengurangkan kadar meragam anak.

IKLAN

Jika sebelum ini kita perlu meneka-neka apakah yang diingini anak, keupayaan untuk bertutur membuka peluang komunikasi yang lebih bermakna di antara ibubapa dan anak.

Bagaimanapun keterujaan yang kita rasakan itu selalunya tidak lama.

Semakin usia anak meningkat, semakin anak pandai bertutur, semakin anak menguasai bahasa, semakin anak tahu meluahkan emosi dan semakin anak berupaya menyampaikan keperluannya, komunikasi di antara ibubapa dan anak mula menjadi semakin hambar.

IKLAN

Ibubapa mula diam kerana sibuk.
Ibubapa semakin diam kerana ‘technoference’.
Ibubapa diam kerana anak sudah terbukti normal boleh bertutur, kenapa perlu dirisaukan lagi?
Kenapa perlu meluangkan masa mendengar anak bertutur seperti ketika anak kecil dahulu?

Anak diam bukan kerana tidak boleh bertutur tetapi anak diam kerana tidak teruja untuk berbual.
Anak diam kerana dia sudah dibiasakan untuk ‘berbual’ dengan gajet.
Anak diam kerana tidak pasti adakah ibubapa sudi mendengar.
Anak diam kerana rakan lebih memahami perasaannya.
Anak diam kerana tidak diberi peluang untuk bersuara walaupun dia boleh bertutur.

IKLAN

Jika dahulu ‘tantrum’ anak kecil semakin mudah diurus apabila dia boleh bertutur meluahkan emosi dan keperluannya, kini ‘tantrum’ anak remaja sukar diurus kerana dia tidak meluahkan emosi dan keperluannya walaupun boleh bertutur.

Jangan lupa bagaimana kita ternanti-nantikan saat anak menutur perkataan pertamanya dahulu. Luangkan masa dan berbuallah.

Sumber:
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI