Menjadi seorang ibu tidaklah mudah. Kadang-kadang akan hilang sabar dek kerana keletihan dan banyak tekanan yang dirasai. Tak kisahlah sama ada ibu bekerja mahupun suri rumah, kedua-duanya akan melalui perkara yang sama.
Banyak sangat buat kerja, mulalah rasa stres. Terlalu penat sehingga jatuh air mata, ingatlah kita manusia biasa. Menangis dan stres adalah perkara normal yang kita rasai.
Kebanyakan ibu lebih suka memendam perasaan, ia sebenarnya tak bagus untuk emosi mereka. Sebenarnya tak salah untuk memberitahu apa yang kita supaya orang lain lebih peka dengan keadaan kita.
Penulis keibubapaan, Wawa Shauqi ada berkongsi tentang hal ini. Ikuti penjelasan beliau ini;
Jadi mak ni, ada waktu yang saya akui, saya lost balance. Nak jadi mak, nak jadi isteri, nak jadi life planner, nak cope dengan kepenatan mengandung. Semua nak pikul dalam satu masa.
Beberapa minggu lepas, saya burn out. Kepala rasa tepu sangat. Tak terpikul dah rasa. Malam tu saya menangis teruk. Kebetulan, husband pula sibuk mengurus hal hantar ambil abah dari Pahang ke IJN, balik ke Pahang.
Saya tinggal semua kerja rumah dan menangis di bilik. Datang Aqlan si 6 tahun tu memujuk. Macam anak kecik, saya terus peluk dia. Bahu saya digosok-gosok lembut. Beberapa minit lepas tu, lega sikit rasa. Agak-agak dah reda, Aqlan tanya saya.
Ads
“Mama ok?” “Mama overwhelmed. Mama stres. Rasa tak larat dah nak kerja.” Kata saya. Tak segan dah tunjuk muka huduh, berselaput air mata. “Kalau mama tak larat, mama rehatlah dulu. Mama ajar Aqlan. Nanti boleh Aqlan tolong mama sikit-sikit.” Katanya.
Dengan anak saya yang ni, memang saya sejenis telus je cerita hal ehwal perasaan. Dah macam kaunselor saya buat dia. Bila dia pulak datang mengadu, saya pulak jadi kaunselor dia. “Mama kena buat apa ye Aqlan? Mama kena berenti kerja ke? Mama kena usaha lagi?” Saya cuba menguji dia. “Ikut mama la. Mama nak berenti boleh. Tapi Aqlan suka mama usaha lagi.” Katanya dengan tenang. Sambil tangan menepuk-nepuk belakang saya.
Waktu awal-awal jadi mak dulu, saya skeptikal juga. Takut sangat, bila kita mudah zahirkan air mata depan anak, anak pun ikut fragile. Tapi, pandangan saya berubah, bila dengar sendiri dari nasihat psikologis. “It’s healthy. As long as we model healthy coping strategy.”
Meluahkan tak sama dengan mengeluh. Bila kita mengeluh, anak pun belajar mengeluh. Tapi meluahkan emosi yang dihadapi, ia berbeza.
Maknanya, 1) Lebih baik kita telus dan terbuka dalam meluahkan kita punya masalah dan perasaan. Berbanding kita sorok dan tidakkan perasaan sendiri. 2) Bila kita lebih terbuka, dan validate perasaan sendiri, anak pun lebih terbuka dengan masalah yang dia hadapi. Dari situ datangnya rasa selesa untuk mereka datang berkongsi. Dan jadikan kita tempat nak merujuk. 3) Sebaliknya, bila kita sorok masalah, dan tidakkan kesedihan yang kita lalui, anak cenderung untuk ikut sorok masalah dan perasaan sendiri. Itu lebih berbahaya dan meningkatkan risiko depres dalam diam. 4) Kajian dari Journal of Psychology pernah memetik, mak ayah yang selindungkan stres dan masalah yang dihadapi, interaksi di antara anak-anak lebih dingin. Dan hubungan sihat antara anak-anak dan parents susah terjalin. 5) Apa yang terbaik adalah, kita terus terang pada anak. Dan tunjukkan cara kita handle rasa stress tu. 6) Antara ‘coping strategy’ yang boleh kita modelkan pada anak adalah : 🟡 Selesa luahkan perasaan pada anak 🟡 Positive self talk : “Insya Allah, mama akan usaha lagi.” 🟡 Bertaawuz 🟡 Berdoa minta petunjuk Allah 🟡 Deep breathing 🟡 Peluk untuk dapatkan support 🟡 Tulis list strategi/ solusi, macam mana nak selesaikan masalah tu.
Awal tu memang tak yakin. Takut anak pun ikut fragile dan tisu macam kita. Sebaliknya saya nampak anak saya ni lebih pandai ekspresikan apa yang dia rasa. Syukur alhamdulillah.
Ads
Especially Aqlan. Sebab dia lebih banyak dapat kesempatan berbicara secara terbuka bab emosi dengan saya. Dia tak sempurna. Kuat merengek juga. Kalau marah tu, keluar juga suara singa
Tapi alhamdulillah, dia mampu terbuka ekspresikan apa yang dia rasa. Dia tak kekok nak minta tolong untuk cope emosi yang dia rasa susah nak cope. Dan masya Allah, dia boleh namakan emosi kompleks yang dia lalui.
It’s hard. But possible. Semoga anak-anak kita jadi anak-anak yang beruntung. Sebab ada mak ayah sendiri sebagai tempat yang selamat untuk mereka tuju. Dan bahu untuk anak bersandar bila rasa perlu.
Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ketika anak masih kecillah mereka patut dididik dalam segala hal, bukan ketika mereka sudah besar dan mula memahami keadaan disekelilingnya.
Antara perkara yang mak ayah boleh mulakan sejak anak kecil lagi adalah mendidik anak bersolat. Perkongsian ibu ini, Dr. Farhuda Zulaikha yang mendidik anak-anak kecilnya bersolat boleh dijadikan contoh dan panduan untuk kita sama-sama mendidik anak kita bersolat.
Tak susah pun nak ajar anak-anak solat sejak kecil. Yang penting ibu ayah pun perlulah menitik beratkan hal solat masing-masing. Ini antara TIPS mudah ajar anak-anak solat.
1. Solat ibu ayah perlulah awal waktu, tunjukkan bahawa solat itu penting untuk kita dahulukan.
2. Sebaiknya solat di depan anak-anak sejak mereka bayi lagi. Walaupun ada anak kecil atau bayi, usahalah untuk solat berjemaah suami isteri. Letakkan bayi di sebelah kalian. Jika dia sudah pandai merangkak atau berjalan, pastikan keadaan sekitar tidak merbahaya sebelum kalian mulakan solat.
Ye mungkin kadangkala mereka akan memanjat, masuk dalam kain dan sebagainya. Itu fitrah mereka. Segala itu akan menjadi kenangan nanti. Bukankah cucu Rasulullah pun memanjat baginda ketika bersolat?
3. Lagi bagus jika ada ruang khas solat di rumah. Boleh jadi bilik khas mahupun sekadar suatu sudut khas. Pastikan keadaan kawasan berkenaan bersih dan jauh dari bunyi bising. Jika bersolat di ruang tamu, ajarkan anak-anak bahawa tv perlu ditutup atau dihentikan ketika waktu solat.
4.Jika ayah tiada di rumah, ibu harus memainkan peranan untuk ajak anak solat bersama. Jika ibu ‘cuti’ pastikan anak-anak tetap disuruh bersolat.
5. Sekiranya ada anak-anak yang baru sahaja melelapkan mata apabila tiba waktu solat, pastikan sebaik sahaja mereka bangun mereka harus solat biarpun telah melepasi waktu. Ajarkan yang solat itu wajib. Apabila sudah boleh berfikir, ajarkan apa itu solat qada’ dan juga masbu’.
6. Ayah perlu baca surah kuat-kuat, tertib dan tartil. Biar dapat didengari anak sepatah-demi sepatah. InsyaAllah mereka boleh menghafal surah dengan hanya mendengar bacaan kita setiap hari.
7. Ajarkan mereka perlahan-lahan. Tidak perlu tunggu mereka pandai semua rukun baru nak suruh solat. Biarkan mereka bersolat walupun sekadar meniru pergerakan dalam solat. Walaupun ada yang kejap meniarap, kejap menonggeng, kejap pandang belakang. Semakin besar nanti ajarlah mereka apa itu rukun solat, apa yang tidak boleh dilakukan.
8. Ajarkan wudhu’ bila mereka sudah faham. Awal-awal belajar solat itu wudhu’ boleh diajar kemudian. Kalau tidak, jenuh juga bertukar baju yang lencun nanti bila yang umur 3 tahun ambil wudhu’. Slowly but surely.
9. Didik dan semailah dalam jiwa mereka kenapa kita perlu melaksanakan solat. Ajarkan berapakah solat wajib yang perlu dilaksanakan. Berapa rakaatkah setiap solat. Apakah tanda masuknya waktu solat.
10. Ibu ayah, jika boleh solatlah berjemaah. Selain pahalanya berganda-ganda, anak-anak juga akan lebih excited jika mereka memerhatikan semua perkara kita buat bersama-sama. Berjemaahlah sekalipun hari itu kita tengah berkecil hati/ salah faham/ berperang dunia dengan pasangan kita. InsyaAllah akan sejuk selepas itu.
11. Sediakan sejadah peribadi milik mereka setiap satunya. Sekarang ini pelbagai jenis sejadah moden yang dijual. Ada juga yang specially designed untuk kanak-kanak dengan gambar kartun dengan saiz yang lebih kecil. Kami membelikan sejadah kecil begini untuk mereka. Sejadah-sejadah ini dibeli ketika masih kecil, kebetulan pula warna-warna itu bertepatan dengan warna character kartun PJ Mask dengan Owlette (merah), Geko (hijau), Catboy (biru). Rehal pun beli warna yang sama.
12. Reward system. Ketika mereka masih kecil, boleh galakkan mereka untuk solat dengan sistem reward menggunakan sticker. Tampalkan sticker pada board peribadi mereka. It may look for fun but it works.
13. Beri peluang kepada anak-anak kecil untuk mengetuai bacaan doa. Usai doa abah yang panjang, minta merela mengetuai bacaan doa ringkas sambil kita turut menadah tangan. Contoh doa yang paling mudah adalah doa ibu bapa. Si anak bujang boleh diberi mandat untuk Iqamah.
Tidak lupa ajak juga anak – anak untuk membaca alFatihah untuk ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Semoga mereka istiqamah melakukan perkara yang sama apabila kita meninggal kelak.
14. Apabila tiba sahaja waktu untuk solat, boleh minta abah yang garang bagi hint : Whudu’!! Maka akan bertempiaran larilah yang si besar-besar untuk segera ambil wudhu’ meninggalkan apa yang sedang mereka kerjakan.
15. Solat tidak boleh tinggal langsung. Jika di rumah solat lima waktu ajarkan juga mereka bahawa sama juga jika balik kampung atau semasa jalan-jalan. Tiada pengecualian.
16.Akhir sekali, tunggulah mereka di atas tikar sejadah sebelum kalian mengangkat takbir. Pastikan semua orang bersedia sepenuhnya barulah mereka bersemangat solat bersama dan tanda kita mahu mereka bersama-sama menghayati solat.
Marilah melentur buluh dari rebungnya. Children won’t follow your orders, they imitate you.
Setiap tahun, pasti kebanyakan keluarga akan memilih beraya di kampung jika masih ada ibu bapa. Sama ada di kampung suami atau isteri, sudah semestinya salah seorang akan menjadi menantu.
Perkara ini nampak mudah. Takkan beraya pun nak kena ada garis panduan? Untuk orang yang biasa, betul. Tak perlu baca pun mereka sudah pandai bawa diri di rumah mertua apabila beraya di sana.
Tetapi, penulisan dari Encik Akhtar Syamir ditujukan kepada kita semua yang masih keliru bagaimana nak bawa diri atau mainkan peranan di rumah mertua pada musim perayaan.
Penulisan ini ditujukan untuk pihak suami dan pihak isteri. Ya, jangan kita ingat suami sahaja yang perlu ilmu ini, ramai juga para isteri yang masih terlepas pandang tanggungjawab mereka semasa di rumah mertua.
Adab Semasa Beraya di Rumah Mertua
1. Bantu mertua di dapur
Nampak seperti mudah, tapi ramai yang tak endahkan. Ramai yang mengelat. Tak kurang juga yang duduk berkurung dalam bilik. Ada juga yang buat-buat sibuk jaga anak walaupun anak tu dah besar dan tak perlu penjagaan 24 jam pun.
Yang mana tak begitu pandai masak, jangan jadikan tu sebagai alasan. Proses memasak tu bukan hanya campak benda dalam kuali je. Penyediaan bahan-bahan masakan tu pun penting.
Potong bawang, blender cili, potong ayam, daging, basuh pinggan, siapkan tempat makan, tolong kacau lauk dan macam-macam lagi boleh dibuat untuk membantu. Pokok pangkalnya nak dengan tak nak je.
Jadikan diri tu berguna. Percayalah yang banyak mata memerhati setiap gerak geri anda. Nanti tak pasal-pasal jadi bahan umpatan.
2. Mengemas
Perkara paling utama ialah mengemas tempat tidur selepas bangkit dari tidur. Di kampung, selalunya akan ramai tidur di ruang tamu. Jadi, selepas bangun tidur tu, kemaslah tempat tidur korang sekeluarga. Takkan nak tunggu Tuan Rumah kemaskan kot? Tak manis la macam tu. Nampak rumah bersepah, tolong la kemas sekali, atau tolong sapu ke. Kita balik kampung ni umpama kita menumpang rumah orang. Orang berbudi, kita berbahasa la. Tak gitu?
3. Tolong jagakan anak
Para suami, bila isteri sedang membantu mertua atau ipar mereka di dapur, tolong la jagakan anak tu. Jangan la sibuk sangat dengan urusan lain sehingga mengganggu isteri. Bagi ruang untuk dia jalankan peranan dia.
Memang la ada ketika perlu panggil mamanya untuk menyusu, tapi kalau bab salinkan pampers dan basuh kencing dan berak anak tu, rasanya sepatutnya takde masalah kot kalau nak buat sendiri?
4. Tolong bawa keperluan asas sendiri
Berus gigi, ubat gigi, sabun, syampu, pencukur dan lain-lain tu tolong bawa sendiri punya. Takkan la nak habiskan semua yang tuan rumah punya? Kalau satu keluarga tak mengapalah. Tapi kalau dah yang baliknya 4-5 keluarga? Botak kepala mertua nak topup tu semua.
Benda yang selalu orang tak terfikir nak bawa ialah extension plug. Benda ni sangat-sangat penting. Nak pulak kalau satu keluarga tu ada 4-5 telefon. Sebut pasal telefon, charger pun bawa la sekali. Orang lain nak cas telefon diorang sendiri. Kan dah menyusahkan je kalau asyik nak pinjam charger orang lain?
5. Bermesralah dengan mertua dan ipar
Masa inilah masa yang patut kita manfaatkan untuk merapatkan silaturrahim. Bukan selalu jumpa pun. Tanyalah khabar, berboraklah, cerita la pasal apa pun. Asalkan jangan terlebih-lebih cerita pasal politik. Memang akan menjadi satu perkara yang teramat bosan. Walaupun satu keluarga tu sokong satu pihak sahaja, tapi pasti akan penuh dengan kecaman dan lain-lain sedangkan masa itu sepatutnya digunakan untuk cerita pasal keluarga, bukannya ahli politik itu ini.
6. Tinggalkan kerja di rumah
Kepada yang kaki bisnes tu, tinggalkanlah kerja di rumah. Jangan datang rumah mertua, asyik sibuk dengan kerja. Memanjang bergayut, telefon orang itu, orang ini. Cakap pulak kuat-kuat. Semabang kencang semacam. Orang lain pulak yang jadi tak selesa dengan kita.
7. Berhenti membanding-banding
Tolong la, berhentilah membanding-banding sesama keluarga. Nak muntah rasanya dengar anak orang tu degree sini, anak orang ni diploma sana, anak orang ni Doktor sini, anak orang tu Peguam kat sana.
Stop it ! Berhenti riak, berhenti berbangga-bangga, menunjuk-nunjuk dan berlagak. Tak semua orang mampu, tak semua orang ditakdirkan berjaya dan tak semestinya kita perlu menilai orang dari segi tahap pembelajaran, pekerjaan dan duit semata-mata. Hargailah orang di hadapan kita tu sebagai saudara kita. Susah sangat ke?
8. Tolong jaga aurat
Aurat sendiri wajib jaga. Wajib bertudung dan pakai baju lengan panjang. Tak boleh la pakai baju lengan pendek je. Lengan tu aurat jugak. Banyak sangat mata bukan mahram yang nampak.
Bapa dan mak saudara sebelah pasangan bukan mahram ye. Tak perlu salam cium tangan. Sepupu bukan mahram, tak perlu laga-laga pipi la. Buat dosa je. Orang tua yang berlainan jantina pun bukan mahram kecuali mak, bapa saudara atau nenek dan datuk sendiri. Mertua tu sendiri memang mahram. Rasanya tak perlu bagitau.
Cara nak elak mudah je, senyum dan letak tangan kat dada. Yang penting tu senyum, supaya orang tu tahu yang anda hormat dia cuma anda tak boleh salam je.
Satu lagi benda yang sangat-sangat penting tapi orang tak endahkan atau pandang ringan. Aurat anak kecil. Terlalu ramai orang yang salin pampers anak depan orang lain. Walaupun baby, itu tidak memberi lesen untuk anda pamerkan kemaluan anak kepada orang lain. Lagipun, kita di zaman yang tenat sekarang, banyak kes pedofilia yang bernafsu terhadap budak kecil. Bayangkanlah, anda jamu nafsu dia dengan anak sendiri macam tu je.
Situasi mandi juga perlu diambil perhatian. Jangan la pergi berkemban depan ipar duai, mertua, sanak saudara. Perempuan satu hal, lelaki pun sama. Selamba pakai seluar pendek, nampak pusat depan isteri abang atau adik. Tutup la sikit. Anak-anak lepas mandi pun, janganlah dibiarkan mereka berbogel dari bilik air sampai ke bilik. Memang tak patut macam tu.
9. Membuli mertua
Ada yang dah hantar anak awal-awal kerana cuti raya kali ini didahulukan dengan cuti sekolah. Kononnya untuk bagi anak bergembira main dengan sepupu-sepapat. Lepas hantar anak, mak ayahnya pun balik. Tinggalkan anak dengan baju seluar je. Yang lain tak peduli pun. Anak nanti nak makan ape, anak nanti nak mandi, nak berak. Semua siapa yang nak buat? Dah sah-sah la mertua yang kena buatkan semua. Ingat mertua dah takde keje lain nak basuh berak cucu je setiap hari? Fikirlah sikit. Mertua pun kebanyakannya dah tua. Bukan tugas diorang nak jaga anak kita.
Anak tu pulak kalau yang dah besar darjah 1 ke atas kira ok la jugak, reti mandi berak sendiri. Ini dengan anak umur 3 – 4 tahun pun ditinggalkan macam tu je. Dah jadi keje mertua nak masakkan anak-anak yang tak puasa ni, bagi makan pagi, tengahari, malam. Bagus sangat jadikan mertua sebagai orang gaji. Kalau bayar gaji betul pun belum tentu diorang larat nak buat. Memang pentingkan diri betul. Fikir sikit, kita nak seronok berjalan pergi beli belah baju raya, anak ditinggalkan macam tu je.
10. Jangan memalukan pasangan
Manusia tak lepas dari perbalahan atau salah faham. Bila terjadinya kat rumah mertua, tolong la simpan masalah tu. Jangan ditunjuk depan orang ramai. Kalau malam tadi bergaduh dengan suami kat dalam bilik, jangan esoknya dok hempas itu ini depan suami. Kalau tadinya bergaduh dengan isteri, janganlah marah dia tengking dia depan mak ayah atau adik beradik dia. Jagalah air muka pasangan. Diorang mesti malu kalau dibuat begitu.
Bila bersama dengan keluarga lain, amat penting untuk jaga air muka atau aib keluarga dan pasangan. Jangan sekali-kali buat hal dalam rumah orang. Itu tandanya anda tak hormat kat pasangan dan tak hormat kat mertua yang juga tuan rumah.
11. Jaga harta benda mertua
Tolong awasi anak-anak anda. Janganlah merosakkan harta benda mertua. Memang kalau terjadi apa-apa mereka akan cakap, “tidak apa” atau “biasalah budak-budak”, tapi siapa yang tak marah kalau barang berharga kita orang rosakkan?
Lepas tu, nak guna atau nak pakai apa-apa milik mertua tolong la minta kebenaran dulu. Jangan gatal tangan guna set pinggan Corell atau set Tupperware mertua dengan selamba je. Kita tak tahu benda tu dibeli untuk pakai je atau perhiasan dan koleksi. Jadi, jangan memandai-mandai sebelum meminta kebenaran.
12. Basuh, sidai dan lipat baju sendiri
Yang mana balik beberapa hari tu dah tentu ada yang basuh baju sendiri. Jangan la dilonggok je mengharapkan mertua yang basuhkan. Dah la orang tua tu tolong basuh, dia jugak yang kena sidai dan lipat. Kalau balik nak menyusahkan, baik jangan balik. Tak kesian langsung kat mertua.
Paling penting, bawa plastik untuk buang pampers anak. Jangan selamba je buang tepi toilet atau dalam tong sampah biasa. Bau tu menyengat, bila campur jumlah 5 6 orang budak, memang busuk. Bila dah penuh pulak, rajin-rajinkanlah diri buang. Kesian mertua nak kena buangkan pulak taik anak kita.
13. Peka dengan barang dapur mertua
Jangan balik tangan kosong. Bawa sekali barang dapur atau beli kat sana. Tolong bantu dan topupkan barang dapur tu. Bukan murah-murah bahan mentah sekarang. Bayangkan memasak untuk 5 keluarga, ayam je dah berapa ekor habis sekali masak tu. Kalau duduknya pun 3, 4 hari dah berapa banyak habis tu?
Konsepnya mudah je. Permudahkan urusan mereka, jangan menyusahkan. Tak semua orang mampu untuk tanggung makan minum 5 keluarga sekaligus. Mertua di kampung bukannya kerja gaji ribu-ribu. Ada yang menoreh lepas sahur lagi. Kita sedap-sedapnya perabihkan duit diorang.
Buka mata, tanya mertua atau tanya isteri apa yang tak cukup. Lepas tu pergi beli. Tak perlu tunggu sampai mertua sendiri terpaksa pergi sendiri.
14. Jangan bangun lambat
Kat kampung tu ramai orang. Melainkan ada bilik khas sendiri, kalau tidur kat ruang tamu tu, bangun la awal. Jangan dah pukul 10, dah terang- benderang, budak-budak dah berlari sana sini, orang pun dah mula menyapu rumah semua, masih lagi terbongkang kat tengah rumah tu. Karang dengan yang tidur tu sekali orang sapu, baru ada akal.
15. Bonus. Khas untuk anak-anak mertua tu (ipar)
Jangan ambil kesempatan, bila ipar duai dah balik, jangan nak rasa macam tuan rumah sangat. Tak boleh la semua nak mengharapkan diorang je buat. Anda sebagai anak pun kena sama bantu dan list ini juga untuk anda baca dan amalkan.
16. Adab melayan baby
Bila berkumpul tu selalunya akan ada ipar atau biras yang baru melahirkan. Jadi, ada la baby comel yang ramai geram nak pegang, dukung, cium. Kena tahu yang baby ni antibodi dia tak kuat mana. Pakcik yang baru lepas merokok tu tak payah la nak pegang cium baby. Yang mak saudara pulak, kalau baru lepas potong ayam ke, sapu rumah ke, tak perlu la nak gomol baby orang. Habis semua kekotoran, bakteria tu kena kat baby. Bahaya.
Lepas tu, kalau anak tu baru umur 6, 10 tahun, tak perlu la bagi diorang pegang baby. Keselamatan baby tu sangat penting. Kalau jatuh sapa yang susah? Nak marah budak tu ke mak budak?
17. Bil elektrik dan bil air
Kipas on 24 jam. Aircond kalau ada pun on selalu. Tv jarang tutup. Lampu pun sentiasa banyak yang bukak. Belum masuk lampu lip lap lagi. Air pun banyak guna. Berbelas, berpuluh orang mandi setiap pagi.
Sebelum pulang tu, hulurlah sedikit buat bantu bayar bil elektrik dan air. Lega sikit hati mertua. Takde la mereka rasa terbeban dengan kehadiran kita sekeluarga.
__________
Sebagai menantu ni, walaupun anda dah berkahwin dengan suami atau isteri, tak semestinya anda tak perlu lagi ambil hati mertua. Mertua ni sama sahaja dengan mak ayah kita, layan mereka dengan sebaiknya. Mereka yang melahirkan pasangan kita. Itu jasa yang kita takkan mampu balas sepenuhnya. Tapi kita boleh berusaha untuk meringankan beban mereka.
Selepas selamat menyambut cahaya mata sulung mereka pada 22 Februari yang lalu, pasangan selebriti terkenal Indonesia, Atta Halilintar dan isteri Aurel Hermansyah turut memuat naik gambar bayi kesayangan mereka.
Si cilik kesayangan semua, Ameena Hanna Nur Atta ini dipotretkan dalam pelbagai gaya pada sesi fotografi anak kecil itu.
Beberapa koleksi gaya comel Ameena, cucunda kesayangan Kris Dayanti ini dipersembahkan dalam pelbagai gaya.
Menerusi beberapa perkongsian Atta dan Aurel di Instagram mereka, paling menarik perhatian pastinya gaya Ameena yang turut lengkap berpakaian tradisi Minang. Tidak ketinggalan juga bergaya funky seperti ahli muzik.
Tidak mahu ketinggalan sukan futsal yang begitu diminati bapanya, Ameena turut lengkap berjersi seperti sedang bersukan. Comel sangat!
Rata-rata pengikut pasangan ini di Instagram meninggalkan pelbagai pujian di ruangan komen. Kesemuanya memuji akan kecomelan Ameena dan persalinannya yang sempurna.
Terdahulu Aurel dan Atta selamat menyambut cahaya mata sulung mereka yang dilahirkan pada tarikh cantik, 22 Februari lalu di sebuah hospital di Jakarta. Pasangan ini telah mempersiapkan sebuah rumah dan kereta berwarna merah jambu khusus untuk menyambut kelahirannya.
Atta dan Aurel juga turut mengadakan majlis akikah dengan berat daging 222kg bagi sebagai tanda simbolik tarikh kelahiran bayi mereka.
Dah tak ada idea nak masakkan apa untuk anak, semua dia tolak. Tak tahulah di mana silapnya padahal dah cuba macam-macam resipi. Untuk mommies yang ada masalah anak susah makan, jom segera dapatkan e-book 100++ Resipi Si Manja & Tip Untuk Mama!
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Uyaina Arshad selamat bersalin anak ketiga apabila pengacara dan pelakon popular itu dikurniakan seorang bayi lelaki yang sihat, sekali gus menamatkan debaran selepas melalui...