Ads

KPM Teliti Cadangan Anak 3 Tahun Masuk Tadika, Cetus Pelbagai Reaksi Ibu Ayah!

KPM Teliti Cadangan Anak 3 Tahun Masuk Tadika, Cetus Pelbagai Reaksi Ibu Ayah!

Baru usia tiga tahun, ada anak yang masih memakai lampin, belum petah bercakap dan masih menangis apabila berpisah dengan ibu ayah. Namun, bagaimana pula sekiranya cadangan anak 3 tahun masuk tadika dilaksanakan?

Cadangan membenarkan kanak-kanak seawal usia tiga tahun memasuki tadika yang sedang diteliti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat, khususnya ibu bapa.

Ada yang melihatnya sebagai peluang memberikan pendedahan pendidikan awal kepada anak-anak, namun tidak kurang juga yang bimbang sekiranya si kecil belum benar-benar bersedia dari segi emosi, fizikal dan perkembangan diri.

Apatah lagi, setiap anak mempunyai tahap perkembangan yang berbeza meskipun berada dalam lingkungan usia yang sama.

KPM Teliti Cadangan Anak 3 Tahun Masuk Tadika, Cetus Pelbagai Reaksi Ibu Ayah!

KPM Sedang Selaraskan Undang-Undang

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, KPM kini sedang menyelaraskan peruntukan undang-undang berkaitan bersama kementerian dan agensi lain sebelum cadangan tersebut dapat dilaksanakan.

Menurutnya, penyelarasan itu penting memandangkan pengurusan pusat penjagaan kanak-kanak turut melibatkan bidang kuasa kementerian lain, termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Jadi, kita sedang berusaha bersama kementerian lain untuk menyelaraskan undang-undang berkenaan.

“Jika semuanya sudah bersedia, kita akan membawa kertas ke Kabinet dan melalui proses berkaitan, termasuk kemungkinan pindaan undang-undang,” katanya pada sesi Taklimat KPM bersama Media, semalam.

Ini bermakna cadangan anak 3 tahun masuk tadika masih dalam peringkat penelitian dan belum dimuktamadkan pelaksanaannya.

Ads

KPM Teliti Cadangan Anak 3 Tahun Masuk Tadika, Cetus Pelbagai Reaksi Ibu Ayah!

Buka Peluang Pendidikan Awal Kepada Anak Usia 3 Tahun

Dalam perkembangan sama, Mohd Azam memaklumkan bahawa KPM turut mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pengusaha tadika swasta bagi menerangkan implikasi perubahan kohort susulan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun (kohort 5+) ke Tahun Satu.

Menurutnya, pengusaha tadika swasta memahami perubahan berkenaan memandangkan mereka masih mempunyai kohort 4+ untuk diuruskan.

Dalam masa sama, KPM sedang berusaha membuka peluang kepada kanak-kanak kohort 3+ untuk memasuki tadika sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan akses pendidikan awal.

Bagaimanapun, penyelarasan tersebut perlu mengambil kira aspek pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak bagi memastikan kesinambungan sistem dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.

Anak 3 Tahun Masuk Tadika, Dah Bersedia Ke?

Menerusi beberapa reaksi di media sosial, terdapat segelintir masyarakat yang berpendapat usia tiga tahun masih terlalu awal untuk kanak-kanak mengikuti rutin pembelajaran di tadika.

Pada peringkat usia ini, anak-anak sedang giat meneroka dunia di sekeliling mereka. Ada yang baru belajar membina ayat, mengenali emosi, berkongsi permainan dan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

Ads

Malah, ada juga yang masih memerlukan bantuan ibu ayah untuk makan, memakai pakaian dan menggunakan tandas.

Bagaimanapun, pendidikan awal tidak semestinya bermaksud anak perlu duduk di dalam kelas, memegang pensel atau menyiapkan latihan akademik setiap hari.

Aktiviti seperti bermain, menyanyi, bercerita, mewarna dan berinteraksi bersama rakan sebaya juga merupakan proses pembelajaran yang sesuai dengan perkembangan si kecil.

Justeru, apabila bercakap mengenai anak 3 tahun masuk tadika, kesediaan si kecil untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu juga perlu diberikan perhatian.

KPM Teliti Cadangan Anak 3 Tahun Masuk Tadika, Cetus Pelbagai Reaksi Ibu Ayah!

Jangan Sampai Anak Tertekan Mengejar Akademik

Sekiranya cadangan ini dilaksanakan kelak, pendekatan pembelajaran yang bersesuaian dengan usia kanak-kanak wajar diberikan perhatian.

Ads

Antara aspek yang perlu dititikberatkan termasuk:

  • Pembelajaran berasaskan permainan dan penerokaan.
  • Persekitaran yang selamat dan mesra kanak-kanak.
  • Masa rehat dan bermain yang mencukupi.
  • Perkembangan emosi dan kemahiran bersosial.
  • Tiada tekanan untuk menguasai kemahiran akademik terlalu awal.
  • Tenaga pengajar yang memahami perkembangan kanak-kanak.

Pendidikan awal seharusnya menjadi pengalaman yang menyeronokkan sehingga anak teruja untuk belajar, bukannya sesuatu yang membuatkan mereka berasa takut atau tertekan.

Sekiranya anak 3 tahun masuk tadika, ibu ayah juga perlu memahami bahawa tujuan pendidikan awal bukan semata-mata untuk melihat si kecil cepat pandai membaca, menulis atau mengira.

Setiap Anak Ada Fasa Perkembangan Tersendiri

Sebagai ibu ayah, pastinya kita mahu melihat anak membesar dengan bijak, berdikari dan mempunyai keyakinan diri.

Namun, lebih awal anak memasuki alam pendidikan tidak semestinya menjamin mereka lebih cemerlang pada masa hadapan. Kesediaan emosi, minat dan keperluan perkembangan anak juga perlu diberikan perhatian.

Ibu ayah tidak seharusnya membandingkan kemampuan anak dengan kanak-kanak lain kerana setiap anak mempunyai proses tumbesaran tersendiri.

Dalam mempertimbangkan cadangan anak 3 tahun masuk tadika, keperluan dan kesediaan si kecil seharusnya menjadi antara pertimbangan utama ibu ayah.

Jangan sampai dalam keterujaan mahu melihat anak cepat pandai, kita terlupa bahawa zaman kanak-kanak juga merupakan waktu untuk mereka bermain, meneroka dan mencipta kenangan indah.

 

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Untuk Papa Mama

Hebatnya Anak Ini! Sapu 10 Anugerah Sekolah, Ibu Kongsi 5 Rahsia...

Masya-Allah, bukan satu atau dua, tetapi 10 anugerah berjaya dibawa pulang oleh seorang kanak-kanak bernama Adam Imran Hakimi! Pastinya pencapaian ini menjadi antara hadiah...