Ada sesetengah kanak-kanak memang mudah dijangkiti virus demam dan selesema. Sudah tentu perkara ini amat merisaukan ibu ayah. Pasti pelbagai persoalan bermain di fikiran bimbang ada penyakit yang lebih serius datang menjangkiti.
Menurut Dr. Hairin Anisa Tajuddin, Pakar Kanak-kanak, Pakar Laktasi & Pensyarah Pediatrik ada beberapa punca yang boleh menyebabkan keadaan ini. Merujuk kepada persoalan daripada seorang ibu, Dr Hairin Anisa menerangkan apa yang mungkin berlaku kepada si kecil yang sering dijangkiti demam dan selesema ini.
Setiap bulan anak saya yang berumur 2 tahun setengah seringkali dijangkiti selesema dan demam. Itu sangat merisaukan saya dan suami. Ada yang mengatakan anak saya kekurangan vitamin C, namun doktor yang merawat tiada pula menyatakan sedemikian. Apakah ia normal untuk kanak-kanak pada usia anak saya jika sering mengalami selesema dan demam atau saya perlu merujuk kepada pakar untuk dapatkan rawatan lanjut bagi mengetahui apa yang berlaku kepada anak saya?
Diana, Terengganu.
Terima kasih atas soalan Puan.
Ads
Hampir semua bayi dan kanak-kanak tidak dapat mengelakkan daripada dijangkiti kuman seperti virus dan bakteria yang wujud dalam persekitaran termasuk udara. Mengikut kajian Eccles R. Understanding the symptoms of the common cold and influenza. Lancet Infectious Disease 2005 Nov;5(11):718–25, dalam setahun, kanak-kanak akan dijangkiti penyakit batuk dan selesema sebanyak 7 – 10 kali dalam setahun.
Maka, jika anak puan juga mengalami selesema dan demam ini adalah perkara biasa. Namun, jika anak kerap mengalami penyakit berbahaya lebih daripada 2 kali setahun, seperti jangkitan kuman di paru-paru, darah dan otak, ada kemungkinan anak puan mempunyai masalah lemah sistem imun yang perlukan ujikaji lanjut di bawah pengawasan doktor pakar kanak- kanak.
Ads
Untuk pengetahuan Puan, beberapa faktor kanak-kanak kerap mengalami masalah demam dan selesema ialah jika:
Persekitaran rumah samada luar dan dalam yang berhabuk, tidak bersih dan berdebu. Dihantar ke pusat penjagaan yang ramai kanak-kanak, bercampuran kanak-kanak yang tidak sihat dan yang sihat. Kuman akan mudah tersebar dan berulang kali.
Ibubapa yang merokok dan membawa kesan toksik dalam nafas mereka sehingga anak menghidu nafas yang ada toksik. Maka, sistem pertahanan anak dalam hidungnya akan terganggu untuk menghalang jangkitan kuman.
Anak yang kurang makan makanan seimbang termasuk sayuran dan buah-buahan. Maka, sistem imun tidak kuat walaupun badannya membesar dengan normal. Malah, lebih teruk jika nutrisi anak hanya bergantung kepada susu sahaja dan tidak mengambil makanan yang mempunyai zat besi dan zink secukupnya.
Sekiranya anak mengalami masalah resdung atau alahan di mana hidungnya sangat sensitif sehingga kerap mendapat selesema terutama apabila dalam cuaca sejuk. Anak yang mengalami alahan resdung ini sangat sensitif kepada habuk, debunga pokok dan hama rumah (dust mites).
Berkenaan dengan vitamin C, sebenarnya kurang tepat informasi dinyatakan oleh Puan. Sebenarnya Vitamin C merupakan zat makanan yang penting sebagai anti-oksida yang menghalang kerosakan sel oleh bahan-bahan toksik oksida (reactive oxidative species) yang ada dalam tubuh manusia. Namun, ramai kanak-kanak yang tidak diberikan makanan yang mengandungi Vitamin C seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Vitamin C juga berperanan falam membantu penyerapan zat besi dan zink yang maksima. Maka, apabila kurang pengambilan vitamin C dalam diet, zat besi dan zink juga tidak mencukupi dan sistem imun manusia tidak kuat melawan jangkitan kuman dan mudah sembuh.
Ads
Amat disarankan kepada ibubapa untuk memastikan anak-anak makan makanan yang seimbang. Semua ahli keluarga amalkan memakan buah sitrus seperti limau, mangga atau apa sahaja yang mengandungi vitamin C yang tinggi 10 minit sebelum makan hidangan menu utama. Kehadiran vitamin C ini akan membantu penyerapan zat besi dan zink hidangan utama.
Sebenarnya, tiada keperluan untuk memberikan anak- anak ubat vitamin, suplemen tambahan sekiranya makanan yang diamalkan sentiasa seimbang setiap hari. Sebagai ibubapa, peranan utama kalian adalah untuk memujuk anak-anak menggunakan kaedah yang pelbagai cara daripada sawal 6 bulan usia mereka agar biasa dengan amalan pemakanan yang sihat dan seimbang.
Sekiranya anak Puan ada tanda-tanda alahan resdung, dapatkan rawatan lanjut dan pastikan di rumah tiada permaidani berbulu, berserat, binatang peliharaan yang berbulu, dan barang permainan yang berbulu. Sekiranya terdapat hama rumah dan bulu ini dalam sekitar rumah, ini akan menyebabkan keradangan dalam hidung berpanjangan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap bayi pasti akan mengalami masalah kesihatan, tidak kiralah penyakit ringan mahupun berat. Antara penyakit lazim yang sering dialami oleh bayi adalah demam kuning atau jaundis, demam, kolik, dan batuk. Bayi jatuh sakit adalah perkara semula jadi dalam proses tumbesaran mereka. Walau bagaimanapun, masalah ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ada di antaranya yang boleh membahayakan tumbesaran bayi dan mengancam nyawa.
Berikut adalah antara penyakit lazim yang sering dialami bayi:
Demam kuning
Menurut laman Myhealth, lebih 50% bayi akan mengalami masalah jaundis atau demam kuning pada minggu pertama selepas kelahiran mereka. Manakala lebih 80% bayi tidak cukup bulan akan menghidapi jaundis di antara lima hingga tujuh hari selepas kelahiran. Biasanya ia akan hilang dua bulan selepas kelahiran. Jaundis atau demam kuning sering dialami oleh bayi baru lahir dan ini cukup membimbangkan ibu bapa. Jaundis yang normal dialami oleh bayi baru lahir selepas dua atau tiga hari mereka dilahirkan, dan akan hilang selepas dua minggu.
Bagi yang mengalami demam kuning biasanya akan mendapat rawatan seperti di bawah:
Pemeriksaan untuk mengetahui sama ada bayi tersebut mengalami jaundis lazimnya dilakukan di dalam cahaya matahari atau di bawah lampu panjang putih. Doktor akan mengambil bacaan bilirubin bagi mengetahui tahapnya sama ada masih terkawal atau tidak. Jika dalam seminggu tahap bacaan meningkat iaitu catatan melebihi 340umo1/1 atau 21mg/dL, maka rawatan fototerapi perlu diberikan dan bayi perlu ditahan di hospital.
Bayi akan diletakkan di bawah cahaya lampu biru dengan keadaan hanya memakai lampin dan matanya ditutup. Cahaya ini berfungsi menukar bilirubin kepada biliverdin dan akan dibuang melalui air kencing.
Berikan susu ibu kerana susu ibu baik untuk menggalakkan usus dan membolehkan bilirubin dibuang menerusi najis.
Demam
Demam adalah gejala normal yang dihadapi oleh setiap bayi. Lazimnya, setiap ibu bapa pasti berpengalaman menjaga bayi yang demam. Meskipun begitu, ini bukan bermakna tiada cara untuk mengelakkan bayi daripada jangkitan demam atau merawatnya untuk cepat sembuh. Bagi meredakan demam bayi, anda boleh cuba kaedah tersebut:
Beri paracetamol atau ibuprofen mengikut berat dan umur bayi. Sebaiknya anda dapatkan nasihat daripada doktor sebelum memberikan bayi ubat demam.
Letakkan pelekat suam pada dahi bayi untuk menurunkan suhu demamnya.
Beri bayi anda makan dan minum dengan kerap bagi mengelakkan dehidrasi. Bayi yang berusia 6 bulan ke bawah perlu diberikan susu ibu.
Pakaikan bayi pakaian daripada kain kapas yang nipis.
Kolik
Masalah kolik atau kembung perut adalah normal dan kerap berlaku pada bayi yang berumur kurang daripada enam bulan. Bayi yang mengalami kolik selalunya akan menangis berpanjangan tanpa henti dan meragam. Keadaan ini selalunya berlaku beberapa kali dalam seminggu. Bagaimanapun, ibu bapa tidak perlu risau kerana masalah kolik ini akan berkurangan apabila bayi makin membesar. Cara menangani masalah kolik bayi adalah:
Pemberian gripe water, mengandungi Dill Seed Oil yang dipercayai boleh melegakan simptom angin. Ubat ini hanya boleh digunakan untuk bayi berumur satu bulan ke atas.
Sapukan minyak bayi pada perut, paha, tapak kaki, pelipat tangan dan bahagian belakang pinggang bayi. Urutan lembut juga dapat membantu menghilangkan kembung perut.
Teknik dan penyusuan yang betul serta selesa membantu bayi menyusu tanpa menelan angin. Urut bayi sehingga sendawa setiap kali selepas penyusuan.
Sesetengah protein yang dalam pengambilan diet pemakanan ibu mungkin berada dalam susu ibu yang menyebabkan berlakunya kolik. Jadi ibu yang menyusukan bayi mungkin boleh menghindari pengambilan produk tenusu seperti susu lembu.
Batuk
Batuk secara teknikalnya bukanlah suatu penyakit, tetapi lebih kepada tindakan perlindungan yang berlaku apabila terdapat bendasing pada membran mukus sistem pernafasan. Bendasing yang ada termasuklah habuk, air liur, atau sesuatu yang bayi makan serta minum. Ketahui rawatan untuk mengubati dan mengelakkan batuk bayi.
-Hilangkan atau elakkan punca-punca batuk seperti habuk dan bulu haiwan.
-Pastikan peredaran udara di ruang kediaman anda berkualiti.
-Berikan bayi anda minuman untuk membuatkannya kekal hidrat.
-Bersihkan mukus dengan menggunakan penyedut hidung bagi membantu mukus keluar
daripada rongga hidung bayi anda. Bayi lebih mudah bernafas selepas mukus keluar.
-Sentiasa pastikan bayi anda mendapat preskripsi ubat yang betul sebelu
memberikannya sebarang ubat batuk.
Bagaimana demam kuning berlaku?
Demam Kuning, Punca dan Kaedah Merawatnya – susu ibu penyebab demam kuning
Jaundis berlaku apabila bayi mempunyai kadar bilirubin yang tinggi dalam darah mereka. Bilirubin adalah pigmen kuning yang dihasilkan semasa pecahan sel darah merah yang telah tua.
Bilirubin kebiasaannya melalui hati yang memprosesnya untuk disingkirkan melalui usus. Walau bagaimanapun, dalam bayi yang baru lahir, hati selalunya belum cukup berkembang dan mungkin tidak dapat menyingkirkan bilirubin daripada darah. Apabila terlalu banyak bilirubin dalam darah, ia boleh menetap di kulit. Ini menyebabkan kulit dan mata kelihatan kuning.
Selain masalah menyingkirkan bilirubin melalui hati dengan berkesan, bayi juga tidak mempunyai pergerakan usus yang cukup kerap. Salah satu manfaat kolostrum atau susu pertama bayi ialah ia membantu membersihkan usus bayi anda. Walaupun kolostrum hanya sebanyak satu sudu teh, ‘susu pertama’ ini akan membantu bayi anda membuang air. Jadi, jika bayi anda dipastikan menyusu secukupnya, bayi anda akan menerima banyak kolostrum dan akan menyebabkan banyak pergerakan usus, yang akan membantu bilirubin disingkirkan dengan cepat.
Mitos jaundis
Antara mitos yang tidak boleh dipercayai bagi merawat jaundis bayi antaranya:
-Memberi bayi susu kambing
-Memberi air kepada bayi
-Memberi bayi jus anggur atau madu asli
-Pendedahan kepada cahaya matahari
-Menyapu herba tertentu pada kulit bayi
-Mengelakkan herba, halia dan kunyit yang terkandung dalam makanan ibu
-Berhenti menyusu badan sehari ke dua hari untuk mengurangkan jaundis penyusuan
-Susu ibu boleh menyebabkan bayi demam kuning?
-Jaundis atau kekuningan pada kulit dan mata adalah perkara biasa bagi bayi baru lahir.
Seperti yang dimaklumkan pada awal tadi, lebih daripada 50% bayi baru lahir mengalami demam kuning atau jaundis dalam masa beberapa hari selepas kelahiran. Kebiasaannya apabila bayi baru lahir didapati mengalami jaundis, doktor akan menyarankan agar bayi diberikan susu ibu dengan secukupnya. Tetapi dalam keadaan yang sangat jarang berlaku, bayi mungkin mengalami demam kuning disebabkan susu ibu sendiri. Jadi, apakah sebenarnya kaitan antara demam kuning yang dialami bayi dengan susu ibu?
Susu ibu dan demam kuning
Terdapat dua jenis demam kuning yang berkaitan dengan penyusuan badan iaitu demam kuning susu ibu (breast milk demam kuning) dan demam kuning penyusuan susu ibu (breastfeeding demam kuning).Dalam kebanyakan hal, bayi anda mungkin mengalami demam kuning penyusuan susu ibu, iaitu disebabkan tidak menyusu dengan mencukupi. Dalam keadaan ini, anda akan disarankan untuk menyusukan bayi anda sekerap mungkin, agar lebih banyak bilirubin dibuang daripada badan bayi. Doktor anda mungkin akan menyarankan tip-tip berikut:
Sejurus selepas kelahiran, pegang bayi anda kulit ke kulit supaya menggalakkan bayi menekap di payudara. Letak bayi di dada sekerap mungkin.
Susukan bayi sejurus selepas kelahiran dan sekerap mungkin dalam beberapa hari pertama. Lebih kerap bayi menyusu, lebih kerap bayi akan membuang dan menyingkirkan bilirubin.
Pam susu anda untuk diberikan kepada bayi, jika perlu.
Jika bayi anda kerap mengantuk, pam susu kolostrum dan berikan menggunakan cawan atau sudu.
Hubungi konsultan laktasi untuk pemeriksaan teknik menyusu untuk memastikan semuanya berjalan lancar.
Ketahui isyarat lapar bayi anda dan segera bertindak balas! Jangan tunggu sampai bayi anda menangis untuk mula memberinya makan.
Pastikan anda menyusu sekurang-kurangnya 8 hingga 12 kali dalam tempoh 24 jam.
Jika bayi anda tidak bangun sendiri dalam tempoh 3 jam, kejutkan untuk menyusukannya.
Buka pakaian bayi anda dan biarkan lampin sahaja agar bayi terjaga sewaktu menyusu dan menyusu dengan betul.
Teruskan menyusu. Jangan memberikan air untuk menyingkirkan bilirubin.
Demam kuning susu ibu (breast milk demam kuning) pula adalah penyakit kuning dalam bayi yang berlaku seminggu selepas kelahiran. Keadaan ini sangat jarang berlaku dan dilaporkan terjadi dalam kurang daripada 3% bayi. Keadaan ini kadang-kadang boleh bertahan sehingga 12 minggu, tetapi jarang menyebabkan komplikasi pada bayi yang sihat dan menyusu baik.
Punca sebenar jaundis susu ibu tidak diketahui. Walau bagaimanapun, ia mungkin terkait dengan bahan dalam susu ibu yang menghalang protein tertentu dalam hati bayi daripada memecahkan bilirubin. Keadaan ini boleh diwarisi dalam keluarga.
Maklumat ini mungkin menimbulkan kerisauan bagi para ibu yang mengesyaki anak mereka mengalami jaundis susu ibu. Pun begitu, anda tidak boleh berhenti menyusu jika anda khawatir bayi anda mungkin mengalami demam kuning susu melainkan atas arahan doktor. Susu ibu adalah penting untuk kesihatan bayi anda. Ia membekalkan semua nutrien yang diperlukan dan melindungi bayi daripada penyakit dan jangkitan. American Academy of Pediatrics mengesyorkan bayi menyusu lapan hingga 12 kali sehari untuk enam bulan pertama kehidupan.
Simptom bahaya demam kuning
Demam Kuning, Punca dan Kaedah Merawatnya – simptom
Walaupun penyakit jaundis merupakan satu masalah biasa yang sering dialami oleh kebanyakan bayi, tetapi ia bukanlah satu perkara yang boleh dipandang remeh. Ini kerana demam kuning boleh mendatangkan risiko kepada masalah kesihatan yang lain. Antara simptom yang perlu dilihat adalah:
-Kulit bayi kelihatan kuning terutama di kawasan paha atau kaki.
-Bayi tidak aktif, kurang menyusu atau kurang kencing (kurang enam kali sehari)
-Bayi asyik merengek, menangis dengan suara nyaring
-Najis bayi kelihatan kelabu pucat (najis bayi biasanya berwarna kuning)
-Bayi yang mendapat jaundis berterusan melebihi dua minggu perlu mendapat pemeriksaan segera kerana bayi mungkin mempunyai masalah berkaitan hati, kekurangan hormon tiroid (boleh menyebabkan kecacatan otak jika lewat dirawat) atau jangkitan kuman.
Apakah bacaan normal dan bahaya bagi demam kuning?
Bacaan normal demam kuning bayi: Tahap bilirubin yang mencapai lebih dari 85 umol/l (5 mg/dL). Tahap bilirubin yang terlebihi sedikit masih boleh dianggap demam kuning bayi yang dapat dikawal.
Bacaan kuning bayi yang memerlukan rawatan fototerapi: Tahap bilirubin melebihi 359 umol/l (21 mg/dL).
Rawatan fototerapi akan membantu bilirubin untuk bertukar menjadi biliverdin yang lebih mesra tubuh dan senang dibuang melalui najis. Pemberian susu yang secukupnya masih penting untuk menggalakkan penyingkiran biliverdin.
Bacaan demam kuning bayi yang tidak normal: Tahap bilirubin yang melebihi 428 umol/l (25 mg/dL) dan apabila tahan bilirubin gagal dikawal dengan rawatan fototerapi. Bayi anda akan terpaksa menjalani pemindahan darah dengan darah lain.
Faktor yang menyebabkan bacaan menjadi tidak normal
Terdapat beberapa faktor yang dipercayai menjadi punca kepada bacaan normal demam kuning bayi boleh bertukar kepada bacaan tidak normal. Antaranya:
-Ibu yang mempunyai darah jenis O.
-Ketidak serasian kumpulan darah antara ibu dan anak.
-Anak yang mempunyai kekurangan G6PD – Kekurangan enzim ini menyebabkan sel-sel darah merah tidak stabil apabila terdedah pada bahan-bahan tertentu. Walau bagaimanapun, tidak lebih daripada 5% bayi mengalami masalah ini.
-Anak yang mempunyai masalah tiroid.
-Bayi pramatang.
-Jangkitan kuman pada bayi. Bayi biasanya kelihatan lemah dan memerlukan rawatan di hospital.
Kaedah merawat jaundis
Fototerapi
Dirawat dengan terapi lampu khas biru (fototerapi) yang terbukti berkesan menurunkan kandungan bilirubin darah. Doktor hanya akan memutuskan rawatan fototerapi selepas rawatan lain tidak berjaya. Fungsi cahaya biru adalah untuk mengurangkan tahap bilirubin dalam badan bayi anda.
Demam Kuning, Punca dan Kaedah Merawatnya – fototerapi
Kedua-dua mata bayi akan ditutup untuk melindunginya dari cahaya terang dan semasa sesi fototerapi, doktor dan jururawat akan memantau tahap bilirubin serta tanda-tanda kesihatan bayi anda. Tubuh bayi akan dibalikkan beberapa kali untuk memastikan semua bahagian tubuhnya terkena cahaya biru.
Jika bayi mengalami dehidrasi semasa terapi, dia akan diberikan cecair intravena. Apabila tahap bilirubin bayi anda turun, terapi akan dihentikan dan dianggap selesai. Jika bayi anda masih kelihatan kuning, hubungi doktor anda untuk mendapat rawatan segera.
Cahaya matahari
Bayi tidak boleh diletakkan di bawah sinaran matahari kerana cara ini tidak selamat dan boleh membahayakan kesihatan bayi. Cahaya matahari tidak sesuai untuk bayi dan boleh menyebabkan komplikasi seperti selaran matahari dan dehidrasi.
Susu kambing
Rawatan dengan susu kambing juga tidak sesuai dan tidak mempunyai bukti saintifik berkesan. Walaupun susu kambing itu baik, tetapi ia tidak sesuai untuk bayi di bawah usia 12 bulan kerana mengandungi protein yang tinggi menyebabkan peningkatan asid urik dan darah bayi berasid. Susu formula yang berasaskan susu kambing juga tidak sesuai kerana urea akan menjadi tinggi, folat menjadi rendah dan ia juga boleh menyebabkan alahan pada bayi.
Penyusuan
Penyusuan ibu mencukupi antara lapan hingga 12 kali mengurangkan kandungan bilirubin dalam darah bayi dan memastikan bayi sihat dan cukup zat makanan. Ini akan menggalakkan pencernaan supaya bilirubin dapat disingkirkan dari badan. Dapatkan bantuan dari pakar laktasi untuk memastikan bayi anda sedang melekap dengan betul. Jika susu ibu kurang, beri susu formula tambahan. Jika keadaan bayi anda bertambah teruk, ibu mungkin perlu berhenti menyusu selama 24 jam. Tapi jangan buang susu itu! Ibu masih boleh mengepam susu dan menyimpan susu itu untuk memastikan susu tetap lancar. Selepas 24 jam, ibu boleh sambung menyusukan anak lagi.
Pemberian makanan atau minuman lain
Pemberian cecair atau makanan selain susu ibu di bawah enam bulan tidak digalakkan kerana ia menyebabkan kemabukan air iaitu pencairan garam sodium dalam darah yang akhirnya boleh mencetuskan serangan sawan pada bayi. Makanan dan minuman selain susu ibu akan membuatkan bayi berasa kenyang dan kurang menyusu secara terus daripada payudara ibu. Tanpa permintaan, lama-kelamaan penghasilan susu ibu akan berkurangan.
Jaundis mudah dirawat, tetapi jika tahap jaundis tinggi boleh membawa komplikasi buruk seperti gangguan otak, masalah pembelajaran dan membahayakan nyawa bayi itu sendiri. Ibu yang mempunyai masalah penyusuan boleh mendapat bantuan nasihat doktor dan kumpulan sokongan penyusuan ibu. Segera dapatkan rawatan jika keadaan jaundis bayi berlarutan.
Risaunya hati bila si kecil disahkan jaundis. Sebenar apakah punca terjadinya jaundis yang?
Jaundis adalah warna kekuningan yang kelihatan pada kulit yang disebabkan oleh meningkatnya kadar bilirubin dalam darah. Jaundis bagi bayi ialah jaundis yang berlaku dalam tempoh sebulan selepas bayi lahir. Jaundis sering berlaku pada bayi di mana 50% bayi akan mengalami jaundis pada minggu pertama kehidupan.
Bilirubin adalah sejenis pigmen yang dihasilkan daripada pemecahan sel darah merah. Ia kemudian diproses di dalam hati sebelum dikeluarkan ke dalam najis.
JENIS JAUNDIS PADA BAYI
Jaundis mula terjadi kira-kira selepas 48 jam bayi dilahirkan dan akan beransur hilang pada akhir minggu pertama kelahiran. Jaundis jenis ini terjadi disebabkan oleh pemecahan sel-sel darah merah dan keadaan organ hati yang belum cukup matang.
Fisiologi jaundis
Patologi jaundis
Ketidak serasian kumpulan darah antara ibu dan anak. Ia terjadi apabila ibu mempunyai Rhesus negative atau kumpulan darah ‘O’.
Defisiensi G6PD pada bayi di mana bayi kekurangan enzim ini menyebabkan sel-sel darah merah tidak stabil apabila terdedah pada bahan-bahan tertentu. Walau bagaimanapun, tidak lebih daripada 5% bayi mengalami masalah ini. Bayi akan diperiksa status G6PD sejurus selepas lahir.
Jangkitan kuman pada bayi. Bayi biasanya kelihatan lemah dan memerlukan rawatan di hospital.
PUNCA JAUNDIS BERPANJANGAN
Jaundis berpanjangan ialah apabila kekuningan pada bayi berlanjutan sehingga melebihi 14 hari bagi bayi yang lahir cukup bulan dan 21 hari bagi bayi lahir pramatang. Berikut ialah punca jaundis berpanjangan kepada bayi.
Penyusuan susu ibu sepenuhnya (breast milk jaundice). Jaundis yang berpanjangan ini tidak berbahaya pada bayi selagi ibu tidak mengambil ubat-ubatan tradisional.
Penyekatan aliran hempedu daripada hati ke usus yang akhirnya menyebabkan najis yang pucat dan air kencing yang pekat. Bagaimanapun, kes ini jarang terjadi.
Kekurangan hormon tiroid. Kes ini sangat jarang, satu daripada 4000 kelahiran.
6 TANDA JAUNDIS SERIUS PADA BAYI
Dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera sekiranya mendapati
Anak anda terdahulu pernah mengalami jaundis teruk.
Bayi kelihatan tidak aktif dan tidak mahu menyusu.
Najis bayi kelihatan pucat atau air kencingnya menjadi pekat.
Jaundis terjadi dalam masa 24 jam selepas dilahirkan
Peningkatan kekuningan yang cepat
Bayi anda mengalami kekurangan G6PD.
Doktor akan memeriksa bayi anda dan melakukan ujian darah serta memberikan rawatan yang sesuai. Mereka juga akan memberikan nasihat yang berkaitan.
RISIKO KEPADA BAYI APABILA JAUNDIS SERIUS
Paras bilirubin yang tinggi boleh menyebabkan bahaya. Ia boleh mengakibatkan;
Gangguan pendengaran di mana terjadi kerosakan otak di bahagian kawalan pendengaran.
Kerosakan otak yang teruk (kernicterus).
Justeru, bagi mengelakkan masalah ini, ibu bapa perlu mendapatkam rawatan segera bagi mengelakkan terjadinya komplikasi jaundis yang teruk.
JANGAN JEMUR BAYI!
Terdapat dua jenis rawatan akan diberikan kepada bayi iaitu bayi jaundis iaitu dengan meletakkannya di bawah sinaran komponen cahaya biru tertentu sehingga indirect bilirubin akan ditukarkan kepada bahan yang tidak bahaya. Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak mendedahkan bayi anda pada cahaya matahari pagi secara terus-menerus kerana ia boleh membahayakan bayi.
Kadar bilirubin yang dianggap bahaya bagi bayi baru lahir adalah melebihi 20 mg/dL (340 umol/L). Rawatan pertukaran darah adalah pilihan cara terakhir bagi menghindarkan terjadinya kerosakan otak. Kadar bilirubin untuk rawatan ini bergantung kepada banyak faktor termasuk usia bayi dan penyebab jaundis itu sendiri.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bila anak batuk tak berhenti-henti, segala macam dah cuba tapi tak berkurang juga batuk pastinya rasa risau dalam hati mama ayah. Apa lagi yang perlu di buat atau di cuba bagi melegakan batuk anak. Kesian melihat anak yang tak selesa lebih-lebih lagi waktu tidur.
🌟Urutan Untuk Melegakan Batuk🌟
Sehari-2 ni Fydh dijangkiti selesema & batuk. Mak mana yang tak risau bila anak batuk berterusan sampai susah nak bernafas. Fydh ni walaupun dah makan ubat, tapi bila dia aktif sangat main & melompat², mesti batuk non stop sampai nak termuntah² jadinya.
Bila anak batuk non stop ni, selalunya saya akan urut/picit kat point² tertentu untuk legakan batuk. Macam yang pernah saya beritahu sebelum ni, saya belajar sikit² dari tukang urut/reflexologist, pembacaan buku & online untuk kegunaan masa² terdesak. Selama ni saya hanya urut diri sendiri, anak & suami serta famili terdekat. Tapi 2 hari sebelum raya tahun lepas, saya berkesempatan urut mak mertua yang asyik batuk non stop. Syukur alhamdulillah batuk beliau beransur reda setiap kali diurut.
Sebenarnya kesan urutan acupressure/refleksologi ni lebih cepat nampak pada bayi & anak kecil berbanding pada orang dewasa. Jadi tak salah jika mak² yang ada anak kecik ni belajar sikit² point² penting untuk kegunaan masa² terdesak. Lebih² lagi anak bawah umur 2 tahun tak boleh diberikan ubat batuk. So, selain gunakan teknik tepuk percussion, daun herba, boleh juga gunakan urutan refleksologi/acupressure sebagai salah satu kaedah alternatif. Dulu reflexologist pernah beritahu, setakat nak urut diri sendiri/anak kita tak perlu jadi betul² mahir. Walaupun point yang diurut tu tak berapa tepat (kena sikit² je) tapi simptom tetap boleh reda kalau lakukan dengan konsisten.
🌺 Tip Mengurut 🌺
🔹Kalau boleh, mak² cari setiap point yang saya tunjukkan ni pada diri sendiri dahulu supaya lebih mudah faham. Bila dah tahu kedudukan setiap point, lebih mudah nak urut/picit anak nanti.
🔹Sebelum urut, sebaik²nya sapukan minyak pada kawasan nak diurut untuk memudahkan proses urutan. Biasanya saya sapukan minyak bawang putih atau boleh juga gunakan vicks (boleh gunakan vicks baby balsam jika anak bawah 2 tahun).
🔹Jika anak baring, kedudukan kepala perlu ditinggikan sikit supaya saluran pernafasan tak terganggu/tersekat.
🔹Bayi setahun ke bawah, memadailah urut pada tapak kaki & tapak tangan je.
🔹Jika urut anak kecil/warga emas, JANGAN TEKAN/PICIT DENGAN TERLALU KUAT. Urut point gunakan hujung jari dimulai dengan perlahan & tambahkan sikit tekanan (sederhana kuat).
🔹Urut membulat selama 2-3 minit, kemudian tekan/picit je (tekan kuat sikit) dalam 3-5 saat lagi untuk rangsang refleks dalam tubuh badan.
🔹Perlu urut kedua² belah tapak tangan/kaki untuk organ yang mempunyai dua bahagian (contohnya paru² kanan & kiri)
🔹Buat urutan dengan kerap sekurang²nya 2-3x sehari untuk dapatkan kesan terbaik.
🔹Sebaik²nya lepas urut galakkan anak minum air untuk singkirkan toksin yang terhasil dalam badan
🌺 Point Untuk Redakan Batuk 🌺
Ada banyak point yang saya tunjukkan kat sini, tapi mak² tak perlu urut semua sekali. Urut pada bahagian yang paling senang/bahagian yang dapat dicapai. Macam saya, bila anak baring selalunya saya akan urut bahagian dada & tapak kaki. Tapi kekadang masa kat luar atau dalam kereta, bila susah nak urut bahagian dada, saya urut bahagian belakang & juga tapak tangan.
Sebenarnya banyak lagi refleks point lain, tapi saya cuma tunjukkan point yang senang nak ingat & point yang selalu saya gunakan je.
Point di Bahagian Dada
👉 Point A
• Urut point ni untuk hentikan batuk secara beransur² • Melegakan batuk, sesak nafas, sakit tekak, bronchitis & pedih hulu hati.
👉 Point B
• Kuatkan sistem imun, meredakan batuk serta masalah berkaitan pernafasan yang lain (sakit tekak, kahak, asthma, dll)
👉 Point C
• Merupakan refleks point yang penting untuk penyakit berkaitan paru-paru • Meredakan batuk, bunyi wheezing, asthma serta sakit dada.
Point di Bahagian Belakang
👉 Point D
• Kedudukannya pada tulang belakang, berdekatan hujung tulang belikat. • Meredakan batuk, asthma, sakit di bahu dan belakang.
👉 Point E
• Melegakan batuk & sesak nafas
Point di Tapak Tangan
👉 Urut secara membulat pada refleks point untuk “paru-paru” bagi meredakan/menghentikan batuk
Optional:
👉 Picit refleks point “pituitary” pada ibu jari untuk merangsang penghasilan endorfin yang berfungsi sebagai pain killer semulajadi dalam badan.
Point di Tapak Kaki
👉 Urut secara membulat pada refleks point untuk “paru-paru” bagi meredakan/menghentikan batuk
Optional:
👉 Picit refleks point “pituitary” pada ibu jari kaki untuk merangsang penghasilan endorfin yang berfungsi sebagai pain killer semulajadi dalam badan.
⚠ Perlu diingatkan ye, urutan refleksologi/acupressure ni BUKAN MENYEMBUHKAN PENYAKIT tapi sekadar kaedah alternatif untuk MENGURANGKAN SIMPTOM. Pastikan dapatkan rawatan doktor sekiranya perlu.
⚠ Selalunya batuk jadi makin teruk pada waktu malam disebabkan keadaan cuaca yang sejuk. Kalau mak² perasan, masa batuk teruk ni dada anak pun akan terasa sejuk je bila disentuh. Sapukan minyak bawang putih/vicks/minyak hangat sebelum anak tidur untuk kurangkan batuk.
⚠ Batuk gak jadi teruk tiap kali bila bangun tidur. Ini disebabkan mucus yang terkumpul dalam dada & saluran pernafasan masa tidur tu.
*Dalam video saya tunjukkan cara cari point berdasarkan kedudukan tulang selangka (collar bone). Anak yang berbadan kurus, senang nampak tulang selangka tapi anak yang berbadan agak berisi/chubby, kena cari kedudukan tulang selangka dulu. Step ni saya tunjuk untuk mudahkan mak² cari kedudukan setiap point. Sok² dah tau kedudukan point, tak perlu la cari kedudukan tulang selangka ni tiap kali nak picit 😆
*Boleh rujuk makanan kurangkan mukus dalam album menu anak tak sihat
*Untuk info tentang teknik percussion & daun sirih, boleh klik link post lame ye
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.