Tantrum adalah salah satu perkara yang biasa bagi kanak-kanak dua tahun ke atas. Pada fasa ini ibu ayah perlu lah banyakkan bersabar kerana ia ada kaitan dengan perkembangan otak si manja.

Ibu ini telah berkongsi mengenai tantrum yang dihadapi oleh kanak-kanak. Katanya, tantrum ialah sesuatu yang biasa buat anak kecil. Ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing untuk mengatasi dan mengawal keadaan.

ANAK TANTRUM? WAJIB AMBIL TAHU NI

Ada ke ibu ayah yang anaknya tak tantrum?
Kalau ada, mungkin anak patung, anak kucing atau anak tekak.

Ingat lagi saat anak belum lagi lahir ke dunia, betapa kita berikrar nak menyayangi anak tanpa syarat. Saat anak lahir, ya Allah pipi gebu fluffy bak pau tu mengundang segunung rasa sayang kita yang memandang.

Langsung tak terfikir wajah mendamaikan jiwa itu mampu ‘throw tantrum’ dengan tenaga bak rasaksa. Tak kira di rumah, mahupun di tempat awam, tantrum tetap sesuatu episod ngeri buat ibu bapa/ penjaga.

Hanya kerana mainan tercalar sebesar kaki kuman, suara tangisnya ditekan ke pitch tertinggi.

Saya sendiri waktu mula jadi ibu dan mengadap siri-siri tantrum anak memang berkecai rasa jiwa. Kesabaran benar-benar teruji.

Tau tak siapa yang bertanggungjawab menjadikan anak kiut kita itu bertukar macam anak hulk?

AMYGDALA

Puncanya adalah Amygdala (amik-dah-la).

Amygdala bukan seorang gadis rusia mahupun seekor bakteria. Ia adalah bahagian otak yang terletak di himesfera bawah. Bahagian inilah yang mencetus tantrum anak.

Bahagian ini jugalah yang mendorong kita yang dewasa bertumbuk hanya kerana berebut parking dan mencaci maki di laman sosial. Otak inilah penyebab seseorang bertindak tanpa berfikir. Bertindak terburu-buru dan betul-betul ikut navigasi nafsu.

Walaupun ia menjadikan kita seperti seorang manusia yang teruk, tapi Amygdala ini jugalah yang bantu kita bertindak mempertahankan diri kita bila diancam bahaya.

Tanpa Amygdala, kita mungkin dengan selamba menghampiri seekor ular yang sedia mematuk atau buat tak tau je kalau ada penjenayah mengacu pistol.

Dalam buku Whole Brain Child tulisan Dr Daniel Siegel ada menjelaskan bagaimana otak berfungsi waktu anak TANTRUM.

IKLAN

OTAK ANAK IBARAT RUMAH DUA TINGKAT

Beliau mengandaikan otak ibarat rumah 2 tingkat.

Tingkat bawah adalah ruang emosi. Ruang yang dilengkapi kemudahan asas seperti tandas, bilik tv dan dapur.
Manakala tingkat atas adalah ruang rasional dan logik. Ruang terletaknya bilik yang kita gunakan untuk mengurus diri dan berehat.

Waktu anak kecil, tingkat atas ni tak lengkap lagi. Bumbung masih lopong, ruang masih kosong, dinding pun belum berlepa.

Masuk usia 20-an, barulah tingkat atas otak kita siap. Itupun masih ramai manusia dewasa yang dah berusia tapi otak ‘tingkas atas’ masih tak siap-siap’.

Nak tengok otak tingkat atas tu siap atau tak, kita lihat seseorang tu kawal emosi. Kalau seseorang nampak ‘cool’ walau menghadapi situasi yang menekan, itulah tanda otak ‘tingkat atas’nya siap dan berfungsi dengan baik.

Kalau kita sering mengalami kebanjiran emosi sepanjang dewasa, marah, sedih dan kecewa yang tidak disembuhkan, berkemungkinan kita perlukan sedikit masa untuk jadi penyabar.

BAGAIMANA OTAK BERFUNGSI BILA ANAK TANTRUM?

Bayangkan di tangga yang memisahkan tingkat atas dan tingkat bawah, terdapat pagar keselamatan di antaranya.

Bila anak menangis sepenuh hati akibat terlalu kecewa cerita Paw Patrol di tv dah habis, badan akan bertindak balas dengan mengeluarkan tenaga yang amat banyak.

Tenaga yang terlalu banyak tu akan menutup rapat pintu keselamatan sehingga anak tak mampu nak masuk ke tingkat atas, iaitu tingkat rasional.

Cakaplah apa sahaja ayat nasihat, bawaklah Dr Fadilah Kamsah sekalipun untuk bagi motivasi, fikiran anak tetap tak mampu rasional.

Waktu itu, bantulah anak. Bantu dengan kawal dulu emosi kita.
Jiwai sikit watak seorang pelawak dan penghibur tanpa mengharapkan anak kita dan-dan-tu terhibur.

6 TIP IBU BAPA BOLEH LAKUKAN SEMASA ANAK TANTRUM’

Percayalah, waktu tantrum, anak sendiri rasa terseksa mengawal emosinya yang dah bertukar jadi rasaksa.

Cuba :

1) Samakan paras mata kita dan anak.

2) Maniskan wajah kita pada anak, seperti wajah nurse yang kita nak lihat waktu kita sakit.

3) Nyatakan perasaannya.
“You look so upset.
How big is it?
This big or thiiiisss bigg?”

4) Kalau masih marah, tarik perhatian pada benda lain.

Tunjuk buku cerita favorite anak ke, bawak pergi jalan kat luar ke atau apa sahaja yang dapat alihkan fokusnya.

5) Kalau nampak tangisannya reda, berkemungkinan ‘pagar keselamatan’ dah berjaya dibuka.

Cuma, kadang-kadang sebab terlalu marah dengan kita, walaupun fikirannya mula rasional, dia masih ada rasa geram yang berbaki.

Waktu ini mungkin kita boleh tinggalkan dia sementara.

“I think you still upset with me. I should leave you here. Please come to me once you feel ok.”

6) Waktu anak diasingkan, boleh la PANCING anak.

Buat-buat baca buku cerita kuat-kuat, makan biskut kegemaran dia atau tonton kartun kegemarannya.

Bila perasan dia intai-intai kita, terus ajak dia join apa yang sedang kita buat.
Bila dia dah mula mesra dengan kita, waktu itulah kita boleh peringatkan kembali peraturan yang perlu anak ikuti.

Tapi awas! Kadang-kadang anak gunakan otak rasional iaitu otak tingkat atasnya untuk tantrum juga. Ia adalah saat anak tantrum untuk mendominasi kita.

Tantrum untuk dapatkan mainan yang dia nak dan tantrum melebih-lebih depan ayah untuk minta ayah membela nasibnya dari kena marah dengan mama.

IBU AYAH PERLU KENTALKAN HATI

Tantrum kerap berlaku pada anak usia 2 tahun. Waktu anak banyak kehendak tapi belum tahu nak menyatakannya atau tak capai standard yang mereka harapkan.

Kentalkan hatimu ayah, ibu. Menghadap tantrum itu langsung tak mudah. Tapi bila dah terbiasa, lama-lama jadi tak susah.

Pukul dan marah mungkin shortcut berkesan pada awal-awalnya. Tapi ia tidak membantu anak membina sistem kawalan diri dan emosi.

Taknak kan, anak jadi macam kita. Dah besar pon, tapi tingkat kedua otak masih lopong sana sini. Sikit hal marah! Tak kena sikit, bocor dinding rumah ditumbuk kita. Sobs!

Bantu anak bina ‘tingkat kedua’ otak dengan baik. Ia sangat membantu anak menjadi dewasa yang tahan tekanan.

Ibu MUDA Anak Dua

sumber: Wawa Shauqi

Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, setiap Rabu jam 9 malam di Astro Ria saluran 104/124 dan ulangannya setiap Ahad jam 9.30 pagi.