Seorang murid lelaki tahun dua di sini mendakwa retak tulang mata dan patah tulang hidung selepas diserang beberapa rakan sekolah pada 30 Julai lalu.
Hal itu disedari ibunya, Rifka Amelia Bustomi Sofian, 37 tahun, apabila anak lelakinya yang baru berusia lapan tahun itu pulang dengan wajah penuh kesan dipukul.
Foto: Sinar Harian
Bercerita hal itu, anaknya didakwa dikepung oleh sekumpulan pelajar, dipegang kedua tangannya dan kemudian ditolak hingga jatuh. Akibat daripada itu, hidungnya patah dan retak tulang mata.
“Dia pulang dalam keadaan berdarah dan lebam selepas diserang oleh sekumpulan murid di sekolah. Ada yang memegang tangan… ada yang menolak dan menumbuk muka sehingga terjatuh.
“Saya segera membawanya ke sebuah klinik swasta dan imbasan sinar X menunjukkan tulang hidungnya patah dan tulang mata retak.
Ads
“Pihak klinik menasihatkan supaya saya membuat laporan polis dan merujuk kes itu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),” katanya berkongsi detik menghibakan itu.
Tambahnya lagi, anak kedua daripada tiga beradik itu terpaksa menjalani pembedahan untuk menyambung semula tulang hidung yang patah di HSNZ.
Foto: Sinar Harian
Bukan kejadian pertama kali
Ads
Bahkan kongsinya lagi, kejadian tersebut bukan kali pertama berlaku terhadap anaknya namun dia mendiamkan diri kerana tidak mahu menimbulkan masalah. Namun insiden kali ini lebih teruk menyebabkan dia bimbang terhadap keselamatan anaknya.
“Anak saya pernah mengadu dibuli dan dilontar dengan batu sehingga cedera di mata pada Jun lepas namun saya tidak membuat sebarang laporan tetapi kali ini saya ambil keputusan untuk buat laporan polis dan ambil tindakan undang-undang,” katanya lagi.
Ads
Foto: Sinar Harian
Difahamkan pihak sekolah telah memanggil ibu bapa murid terlibat untuk perbincangan. Ada yang memohon maaf secara bersemuka atau melalui mesej, namun masih ada murid yang belum dikenakan tindakan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan menerima laporan dan memaklumkan siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada ejek-mengejek. Kes kini dirujuk kepada pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Sumber: Sinar Harian & Berita Harian
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ribut, bumbung rumah terangkat – “Saya terketar-ketar sambil memegang erat cucu.” “Saya menggigil sambil mendakap erat cucu,” – Mangsa ribut imbas detik cemas bumbung rumah diterbangkan angin.
Kejadian ribut petang semalam di Kampung Pak Darus, Bukit Gantang, Perak telah mengakibatkan kerosakan teruk kepada kediaman penduduk, termasuk rumah Rosnani Che Meh yang kehilangan keseluruhan bumbung. Insiden itu berlaku sekitar jam 4.45 petang ketika beliau berada di dalam bilik utama bersama cucu lelakinya yang baru berusia empat bulan.
Rosnani menceritakan, dia sedang bermain dengan cucunya apabila rumahnya tiba-tiba terasa bergoncang kuat. Dalam keadaan cemas, beliau melihat bumbung rumah terangkat beberapa kali sebelum tercabut sepenuhnya.
“Saya peluk cucu yang menangis ketakutan sekuat hati. Ketika itu, hanya Tuhan saja tahu betapa takutnya saya. Saya cuba keluar dari bilik tapi pintunya tidak dapat dibuka kerana angin terlalu kuat,” katanya.
Menurutnya lagi, hanya selepas salah seorang anak melaungkan azan, pintu bilik dapat dibuka, dan mereka segera keluar untuk menyelamatkan diri.
Rosnani merupakan antara kira-kira 100 orang penduduk kawasan Parlimen Bukit Gantang yang terjejas teruk akibat ribut tersebut. Buat masa ini, beliau dan keluarganya berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Taman Kats dan bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat.
Beliau juga berharap agar pihak berwajib dapat membantu membaik pulih rumahnya secepat mungkin.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, dalam lawatannya ke kediaman Rosnani, memaklumkan bahawa kontraktor tempatan telah dilantik untuk membaiki rumah-rumah yang terjejas, termasuk menggantikan bumbung yang rosak.
Katanya, hampir 100 buah rumah di kawasan seperti Taman Ria, Taman Kaya, Taman Damai dan Kampung Pak Darus mengalami kerosakan akibat ribut tersebut.
Sementara itu, menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak, seramai 27 mangsa daripada 14 keluarga telah dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Taman Kaya. Di Perak Tengah pula, seramai 75 mangsa daripada 17 keluarga kini berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Jejawi.
Setiap perkahwinan pasti pernah dilanda badai. Setiap pasangan pasti pernah bermasam muka antara satu sama lain. Itu adalah lumrah kehidupan berumah tangga. Tiada masalah untuk sesekali berselisih pendapat kerana dengan cara itu kita akan lebih mengenali si dia.
Memetik perkongsian dari laman Facebook Peguam Syarie Khidmat Masyarakat seperti yang dinyatakan oleh Ustaz Datuk Kazim Elias, ada empat punca mengapa sesebuah perkahwinan itu tidak bahagia. Ia bukan kerana duit, rupa mahupun agama semata-mata, tetapi lebih daripada itu.
Ustaz Datuk Kazim Elias ada share 4 punca kenapa satu-satu perkahwinan tu tak bahagia.
Sebab duit ke? Sebab rupa? Atau sebab agama semata?
1. Punca pertama ialah sebab semua benda isteri buat. Basuh baju isteri, kemas isteri, masak isteri. Sedangkan isteri ni cuma dituntut untuk layan suami je. Jadi, tak perlu ke isteri buat semua tu? Isteri solehah dia TOLONG buat kerja. Bantu sama membantu. Masing-masing kena faham erti tanggungjawab.
Ustaz siap cakap, semakin suami rasa senang rileks tak buat apa-apa, lagi senang dia lupa tanggungjawab dia. Bukanlah balik ni hang pi kabo kat laki hang “Awak, start harini saya taknak basuh baju masak apa semua.”
Tak tak.
Benda susah akan senang bila buat sama-sama. Jangan senang je bersama. Bila susah pas kat pasangan pulak. No no 🙅🏻♀🙅🏻♀🙅🏻♀
2. Punca kedua sebab kita tak faham PERANGAI pasangan masing-masing.
Nak jaga laki ni senang je bak kata Ustaz Kazim.
1- Bagi makan kenyang-kenyang. Zahir dan batin. Semoga segalanya dikira ibadah. Aamiin ya Rabb. 2- Mana suami tu pergi, ikut ! Hahaha 😂 Selagi hang boleh ikut, ikut.
3. Punca ketiga sebab kita TAK REDHA itu pasangan kita. Ramai orang hanya menghargai seseorang lepas seseorang tu meninggal. So tak best la nak tunggu laki ke bini hang mati pastu baru nak cakap, “takde yang sama macam laki/bini aku dulu.” 😢
Kita memang takkan kenal pasangan kita selagi kita tak share serumah, sekatil, sebantal dengan dia. Hat mak pak dia pun takkan kenal dia sedalam kita kenal dia. Sebab tu kabo, bini lagi kenal laki dia dari mak dia kenal dia.
Tapi orang bijak, lelaki soleh, wanita solehah akan selalu menganggap bahawa pasangan itu adalah ANUGERAH.
Ada pasangan tu, bersyukur. Sebab ada ramai lagi yang masih Allah tak kabulkan doanya untuk berpasangan. Jadi, bersyukurlah.
Bukan senang zaman sekarang, nak dapat pasangan yang solat, yang mengaji, yang nafkah tak culas apa semua. Jadi kalau kita dapat pasangan hat gitu, belajar menghargai walaupun dia tak cantik ke boroi ke apa.
Hat boroi, tak lawa, tak comey ke apa, kat situ Allah nak uji kita, siapa antara kita yang paling BERTAQWA. Memilih yang beragama, mengatasi segalanya.
4. Yang last sekali, punca dia ialah bila seseorang tu tak jadi yang saling menyenangkan. Ye, belajar jadi seorang yang menyenangkan pasangan masing-masing.
Kalau pasangan kita suka sekian-sekian, so kita usahalah untuk memberi sekian ataupun lebih. Yang penting usaha ye, yang lain tu biar Allah yang tentukan. Insyaa Allah.
Ustaz tu share lagi, musibah ni dia mai dalam 3 bentuk :
•UJIAN •TEGURAN •BALA
Kalau kita rasa dalam kahwin ni asyik musibah je, meh kita tengok hat tiga ni. Mana satu sebenarnya yang Allah nak tunjuk.
Yang ujian tu adalah untuk orang-orang beriman. Dia bagi contoh, Asiah yang solehah bersuamikan Firaun yang zalim. Tu ujian untuk dia.
Hat yang Allah uji seseorang tu soleh solehah, solat tak tinggal, mengaji tak miss, puasa penuh tapi bertahun-tahun tak dapat anak. Itu ujian namanya. Dan ujian ini tak lain adalah untuk angkat darjat taqwa dan iman kita lebih tinggi. Bersabarlah dan bergembiralah dengan ujian Allah bagi.
Yang kedua, musibah yang mai dalam bentuk teguran. Yang ni Allah hantar sebab Allah nak tegur suruh kita balik semula kepada kebaikan.
Contoh, kita dok leka kejar duit sana sini, kaya sana sini, papppp Allah bagi accident. Takleh dah carik punca rezeki. Tu teguran namanya. Mungkin kita solat tak khusyuk. Kita buat ibadah tapi banyak culasnya. Jadi, Allah nak jentik sikit nak bagi teguran. Nak bagi kita kembali balik pada Dia. Jadi, jangan melatah dok mengata Allah. Allah tak buat benda sia-sia.
Yang last pulak musibah ni mai dalam bentuk bala atau azab.
Dalam kahwin ni, kalau kita nak ketenangan, kita kena belajar untuk REDHA. Redha apa yang Allah bagi. Redha itu pasangan kita. Redha atas segala ujian Allah.
Kalau satu detik nanti Allah uji takde rezeki jodoh panjang, takde rezeki nak bersama.
“Kalau masih mampu, pegang elok-elok, kalau tak mampu, lepaskan elok-elok.”
Selalulah belajar untuk curi hati suami/isteri. Belajar rebut segala pahala yang Allah nak beri dalam perkahwinan. Belajar jadi orang yang dahagakan pahala.
Perkongsian ini ringkas, mudah difahami. Diharapkan dengan penjelasan dari Ustaz Datuk Kazim ini dapat memberi sedikit pencerahan kepada pasangan berkahwin akan kepentingan bekerjasama, bertoleransi dan memahami suami atau isteri kita.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa sangka janji suka-suka seorang ayah boleh bertukar jadi momen manis seisi keluarga. Pelakon Fazreen Rafi baru-baru ini berkongsi detik membanggakan apabila anaknya, Haq, berjaya memperoleh 100 peratus untuk kesemua 10 subjek dalam Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).
Sebelum ini, Fazreen pernah bergurau menawarkan ganjaran RM1,000 jika Haq mendapat keputusan sempurna. Tak sangka, anak kecil itu bukan sahaja menyahut cabaran—malah menuntut janji yang dibuat ayahnya sendiri.
Detik comel itu dikongsikan Fazreen di media sosial, sambil berseloroh bahawa kata-kata yang keluar dari mulutnya akhirnya “makan diri”.
Namun jauh di sudut hati, kecemerlangan akademik yang diperolehi anaknya suatu kebanggaan dan kesyukuran buat dirinya bergelar ayah.
“Tak pasal-pasal melayang RM1,000. Ceritanya begini, dua minggu lepas, masa ambil mereka balik sekolah, Faz tanya macam mana peperiksaan. Haq pula dengan selamba cakap senang dan dia boleh dapat 100 peratus.
“Faz pun dengan yakinnya balas, “Mengarutlah Haq boleh dapat 100 dengan tak study.”
“Faz pun saja-saja cakap, “Kalau Haq dapat 100 peratus, daddy bagi RM1,000.”
“Haq terus teruja dan jawab, “Sumpah, janji.” Tak pasal-pasal budak Haq ni dapat RM1,000. Lagi menakutkan, dia cakap ada lagi dua paper yang dia yakin boleh dapat 100 peratus.
“Esok Faz nak kena jumpa cikgu suruh ubah markah.”
Pelakon Suamiku Paling Sweet dan Pengantin 100 Hari itu juga berkongsi momen anak keempatnya menuntut ganjaran. Biarpun awalnya tidak yakin, janji tetapi dikotakan.
Kisah lucu tetapi manis ini mengingatkan ramai ibu bapa supaya berhati-hati ketika membuat janji dengan anak. Dalam masa yang sama, ia sekaligus menunjukkan bahawa Fazreen Rafi seorang ayah yang memegang kata-kata dan sentiasa menghargai usaha anak-anaknya.
Ramai warganet turut memuji tindakan Haq yang berusaha gigih serta memuji sikap ayahnya yang menunaikan janji walaupun dibuat secara seloroh. Kisah ini bukan sekadar hiburan, malah menjadi inspirasi ramai ibu bapa untuk memberi motivasi secara positif kepada anak-anak.
Untuk rekod, Fazreen Rafi sebagai seorang selebriti yang sangat rapat dengan keluarga. Sekadar info, Fazreen yang kini bergelar usahawan berkahwin dengan Syarifah Marlina Ashikin dan mempunyai lima anak iaitu Mohd Rizqin Qayyum, 13, Mohd Rizqin Quwais, 11, Rizqeen Humaira, 10, Mohd Rizqin Haqq, 7 dan seorang lagi anak perempuan, 2 tahun. Kehidupan keluarga ini sering mendapat perhatian kerana keakraban dan momen-momen lucu yang dikongsikan oleh Fazreen Rafi di media sosial.