Hantaran terbaharu usahawan dan pempengaruh Noor Nabila di media sosial bersempena ulang tahun kelahirannya mencuri perhatian ramai apabila dia menitipkan penghargaan buat bekas suami, pelakon Sharnaaz Ahmad.
Menerusi perkongsian di Instagram Story (IGs), Noor Nabila, 41, meluahkan ucapan istimewa kepada Sharnaaz kerana tetap teguh berpegang pada janji untuk mengasuh anak mereka, Jebat Jayden, secara bersama selepas perceraian.
Kejayaan Co-Parenting
Menurut Nabila, kejayaan dalam membina hubungan co-parenting bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, demi kepentingan anak, kedua-duanya memilih untuk mengekalkan persefahaman dan meletakkan kasih sayang terhadap Jebat sebagai keutamaan.
“Orang selalu bertanya macam mana kami mampu menjayakan perjalanan co-parenting ini. Hakikatnya, tiada panduan pun.
Hanya dua insan yang pernah berkongsi segalanya dan kemudian memilih bukan untuk menyimpan luka, sebaliknya berkongsi apa yang paling berharga iaitu seorang anak lelaki.
Sebuah tujuan yang sama dan janji yang terukir sejak hari pertama kami mendukung Jebat Jayden,” tulisnya.
Kata-kata ini menggambarkan betapa perjalanan sebagai ibu bapa bukan hanya tentang peranan masing-masing selepas perkahwinan berakhir, tetapi tentang bagaimana mereka mampu bersatu hati demi anak.
Ads
Nilai Seorang Ayah
Nabila turut menyifatkan Sharnaaz sebagai seorang bapa yang bertanggungjawab, penyayang, dan tidak pernah gagal hadir untuk anak mereka.
“Terima kasih kerana menunaikan janji itu bersama saya.
Kerana memilih ketenangan daripada ego. Kerana tetap berdiri sebagai satu pasukan.
Dan kerana tidak pernah gagal hadir untuk anak kecil yang menjadikan kita ibu dan ayah.
Saya bangga melihat siapa diri awak hari ini dan amat menghargai peranan awak sebagai seorang bapa yang bertanggungjawab dan penyayang,” ujarnya lagi.
Ungkapan ini cukup menyentuh hati kerana ia mengingatkan kita bahawa anak memerlukan kasih sayang dan kehadiran seorang ayah dalam hidup mereka, biarpun hubungan perkahwinan sudah berakhir. Kehadiran bapa yang konsisten bukan sahaja memberi rasa selamat, malah membina keyakinan diri anak dalam melalui kehidupan.
Ads
Inspirasi Buat Ibu Bapa
Kisah Noor Nabila dan Sharnaaz Ahmad ini wajar dijadikan contoh kepada pasangan yang melalui fasa perceraian. Co-parenting memerlukan pengorbanan besar – menyingkirkan ego, meredakan luka lama, dan meletakkan anak sebagai prioriti utama.
Ads
Sebagai ibu bapa, kasih sayang terhadap anak harus mengatasi segalanya. Peranan ayah dan ibu tidak boleh digantikan, malah anak berhak mendapat kedua-duanya. Apabila kedua-dua pihak sanggup bekerjasama, anak akan membesar dengan lebih seimbang dari segi emosi, mental, dan kasih sayang.
Latar Belakang Perkahwinan
Untuk rekod, Noor Nabila pernah mendirikan rumah tangga bersama Sharnaaz Ahmad pada April 2017, namun hubungan itu berakhir pada 9 Julai 2020. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden, yang kini berusia 7 tahun.
Walaupun berpisah, hubungan baik yang terjalin antara mereka kini menjadi bukti bahawa peranan sebagai ibu bapa tidak akan pernah berakhir. Apa yang berubah hanyalah status sebagai pasangan suami isteri, tetapi tanggungjawab untuk membesarkan anak akan kekal selamanya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masalah anak yang kencing di malam hari memang memenatkan ibu. Bukan saja penat menguruskan anak tetapi perlukan usaha berterusan untuk membasuh tilam, cadar dan sebagainya setiap hari.
Penat dan buntu. Namun apa sebabnya masalah anak kencing malam ini? Menurut perkongsian Dr Redza Zainol, anak yang bermasalah kencing malam ini bukanlah salah mereka namun ia disebabkan oleh banyak faktor. Ikuti perkongsian beliau.
“Saya pening anak saya hari-hari kencing atas katil. Dah besar panjang masih menyusahkan.”
Cepat-cepat saya tenangkan keadaan. Selepas saya periksa, anaknya baik saja. Tak ada tanda-tanda gangguan saraf yang menyebabkan anak terkencing tanpa kawalan sepanjang masa.
Saya kongsikan sedikit tips untuk ibu ayah yang anak sering terkencing atas katil.
Selalunya kanak-kanak mula berhenti kencing malam selepas usia 5-6 tahun. Namun 6.2% kanak-kanak usia 7-12 tahun masih lagi kencing waktu malam.
Terkencing waktu malam atau nama lainnya Nocturnal Enuresis, sebenarnya bukan salah anak kita. Kalau selalu dimarah atau dimalukan anak boleh jadi tertekan sampai rasa rendah diri.
Punca anak kencing malam:
Ruang pundi kencing yang kecil. Kurang hormone vasopressin semasa tidur. Vasopressin penting untuk kurangkan penghasilan kencing di waktu malam.
Tip untuk ibu bapa
* Beri anak minum air secukupnya pada waktu siang.
* Bawa anak kerap ke tandas, 4-7 kali sehari dan paling penting pastikan anak kencing sebelum tidur.
* Guna alas tilam yang kalis air (waterproof mattress protector)
* Beri ganjaran kepada anak jika dia tidak kencing malam.
* Beri sticker kegemaran anak ialah satu contoh bentuk ganjaran yang selalu diguna.
* Hanya benarkan anak minum 2 jam sebelum tidur.
* Elak beri minuman berkafein seperti kopi dan cola, ia akan buat anak lebih kerap kencing.
Berdasarkan data dari Numbeo.com, Malaysia masih lagi dikategorikan sebagai antara negara yang memiliki kos sara hidup terendah di dunia. Jika anda tinggal di ibu negara Kuala Lumpur, kos sara hidup di sini berada pada ranking ke-222 daripada keseluruhan 354 buah bandar dalam indeks Numbeo.com.
Walau bagaimanapun, bagi mereka yang berkeluarga ramai, semestinya kos yang diperlukan akan menjadi lebih besar. Tambahan lagi, jika seseorang individu tersebut memiliki pendapatan yang tidak seberapa setiap bulan. Secara realitinya, kos bagi membesarkan seorang anak di Malaysia bukanlah satu kos yang kecil.
Kami kongsikan di bawah ini berkenaan dapatan kajian anggaran kos membesarkan seorang anak di Malaysia daripada bermulanya fasa kehamilan sehinggalah anak tersebut mencapai umur sekurang-kurangnya 23 tahun.
Jika anda melihat kepada infografik di atas, kami telah memberikan anggaran jumlah terendah keseluruhan kos yang diperlukan untuk anda membesarkan seorang anak. Kami memberikan dua pilihan anggaran kos, sama ada anda memilih untuk menggunakan kemudahan kerajaan yang bersubsidi atau memilih menggunakan perkhidmatan swasta.
Kehamilan dan keperluan bayi
Kos kehamilan yang diperlukan antara kedua-dua fasiliti kerajaan dan swasta sememangnya mempunyai perbezaan yang agak besar. Jika anda mendaftarkan diri di klinik atau hospital kerajaan, anda hanya memerlukan kos sekitar RM200 hingga RM300 sahaja termasuklah caj wad harian. Manakala bagi hospital atau pusat perubatan swasta, anda boleh mendapatkan perkhidmatan serendah RM4,000 sehingga RM20,000 bergantung kepada jenis hospital dan pilihan pakej anda.
Umum mengetahui, bermula 1 Januari 2020, kerajaan mewajibkan penggunaan kerusi bayi dalam kereta bagi meminimumkan kadar kecederaan dan kematian bayi dan kanak-kanak akibat impak kemalangan. Oleh itu, kami telah memasukkan harga kerusi bayi ini sebagai antara kos wajib yang perlu dibelanjakan oleh golongan ibu bapa atau penjaga untuk anak-anak mereka. RM150 adalah anggaran terendah yang kami berikan kerana kami tidak mahu mencadangkan kerusi bayi yang lebih murah daripada harga tersebut. Soal keselamatan kanak-kanak adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi! Kerusi bayi yang terlalu murah belum tentu selamat digunakan.
Kos persekolahan kanak-kanak
Bagi ibu bapa yang memilih untuk menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah milik kerajaan, yuran yang dikenakan untuk tempoh setahun pembelajaran boleh dikatakan agak rendah. Walau bagaimanapun, kos bagi mempersiapkan anak ke sekolah seperti alat tulis, buku-buku, uniform sekolah, dan belanja harian, perlu diambil kira. Manakala bagi sekolah-sekolah milikan swasta sama ada sekolah rendah atau menengah, kos tahunan akan meningkat sekali ganda daripada kos keseluruhan tahunan sekolah kerajaan. Ini kerana, anda perlu membuat pembayaran kos operasi sekolah tersebut dan pelbagai jenis yuran-yuran lain yang tidak terdapat di sekolah kerajaan.
Pembiayaan ke peringkat pendidikan yang lebih tinggi
Bagi anak-anak yang memohon untuk menyambung pengajian ke peringkat asasi Universiti Awam atau matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kos tahunan juga boleh dikatakan agak rendah kecuali kos pendaftaran pengajian. Ini kerana yuran pengajian telah diberikan subsidi dan ibu bapa hanya perlu membayar sekitar RM350 bagi yuran pengajian dan RM360 bagi yuran penginapan setiap semester. Pelajar yang mendaftar di asasi
Universiti Awam juga akan diberikan elaun sebanyak RM1,250 setiap semester bagi mereka yang layak. Antara Universiti Awam yang menawarkan program asasi ini ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Jika anda memilih Institusi Pengajian Tinggi Swasta atau IPTS sebagai destinasi pengajian tinggi pertama untuk anak anda, kos tahunan yang diperlukan adalah sebanyak tiga kali ganda daripada kos pengajian di Pusat Asasi Universiti Awam atau Kolej Matrikulasi KPM.
Bagi pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, kos yang diperlukan bagi pengajian di Universiti Awam adalah sekitar RM20,400 bagi tempoh setahun. Ini bergantung kepada yuran pengajian setiap semester sama ada kurang atau lebih daripada jumlah RM1,000 bagi setiap semester. Manakala bagi IPTS, ia bergantung kepada jenis IPTS itu sendiri. Bagi IPTS yang berstatus tinggi dan lebih berprestij seperti Taylor’s University atau INTI University, kosnya adalah lebih tinggi berbanding universiti atau kolej universiti swasta biasa. Jika anak anda mendaftarkan diri ke universiti-universiti luar negara yang mempunyai kampus cawangan di Malaysia, kosnya akan menjadi lebih tinggi. Bagi mereka yang mungkin masih tidak tahu, Malaysia merupakan rumah kepada beberapa kampus cawangan universiti luar negara yang ternama. Antaranya termasuklah University of Reading dan Newcastle University (UK) di Johor Bahru, Heriot Watt University (UK) di Putrajaya, Monash University (Australia) di Subang, University of Nottingham (UK) di Semenyih dan Xiamen University (China) di Sepang.
Cadangan bagi mereka yang ingin mengurangkan kos
Terdapat beberapa perkara yang mungkin anda boleh ikuti bagi mengurangkan beban kos yang perlu ditanggung dalam membesarkan anak anda. Antaranya adalah:
Bagi kelengkapan bayi seperti baby walker dan buaian, anda mungkin boleh mendapatkannya melalui pembelian secara second-hand atau meminjamnya daripada saudara mara anda sendiri
Bagi mereka yang tinggal di kawasan Perumahan Awam (PA) atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), anda boleh menggunakan perkhidmatan bas sekolah percuma yang disediakan oleh DBKL
Selain itu, bagi anak-anak yang kerap menggunakan perkhidmatan LRT, MRT atau mana-mana kemudahan pengangkutan awam yang diselia oleh RapidKL, anda boleh memohon Pas Pelajar untuk kegunaan anak anda
Bagi anak anda yang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, pilihlah pusat pengajian yang menyediakan kemudahan biasiswa dan pinjaman pelajaran seperti pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN)
Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar dan pinggir bandar, kos yang diperlukan sememangnya lebih tinggi berbanding di kawasan luar bandar. Namun, kerajaan juga menyediakan beberapa inisiatif tertentu terutamanya kepada golongan bersasar seperti B40 dan M40 bagi mengurangkan beban tanggungan menyara keluarga. Gunakan kesempatan ini secara maksimum kerana kemudahan dan inisiatif yang diberikan ini sememangnya untuk kesejahteraan rakyat.
Individu yang melanggar perintah kuarantin di rumah berkaitan dengan wabak koronavirus (Covid-19) boleh dipenjarakan sehingga dua tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Peguam, Syazlin Mansor berkata, hukuman itu adalah untuk kesalahan kali pertama dan bagi kesalahan kedua, hukuman lebih berat dikenakan kerana boleh berdepan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Menurutnya, bagi kesalahan yang dilakukan berterusan, individu yang disabitkan bersalah boleh didenda selanjutnya tidak lebih RM200 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan.
“Mengikut undang-undang, perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah kediaman bagi kontak jangkitan Covid-19 boleh diambil di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit memperuntukkan kuasa kepada mana-mana pegawai diberi kuasa untuk memerintahkan individu diasingkan di rumah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.
Beliau berkata, sepanjang tempoh diletakkan di bawah pengawasan dan pemerhatian, seseorang individu dikehendaki mematuhi segala perintah yang ditetapkan dan kegagalan mematuhi perintah itu boleh menyebabkan seseorang itu berdepan hukuman.
Sejak penularan Covid-19, arahan kuarantin sama ada di hospital atau di rumah dikeluarkan bagi mengekang penularan penyakit berjangkit itu yang diisytiharkan sebagai pandemik.
Kementerian Kesihatan mengesahkan sebanyak 125 kes baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 553 kes.
Ramai tak sedar bau “fresh” pada pakaian sebenarnya datang daripada bahan kimia tekstil. Ketahui sebab pakar sarankan ibu bapa basuh baju baru anak sebelum dipakai.