Keibubapaan

Main Congkak Je Pun, Nampak Biasa Tapi Mampu Asah Motor Halus Anak, Bonding Pun Makin Kuat!

Share

Sebenarnya tak susah pun nak cipta bonding dengan anak-anak di rumah. Tak perlukan kos yang tinggi pun. Cuma berikan tumpuan yang lebih saja. Salah satu permainan yang tak terjangka hebatnya adalah permainan congkak. Bukan saja cipta bonding tapi melatih motor skill anak kecil kita.

Perkongsian bapa penyayang ini, Ahmad Affzan Abdullah di facebooknya, mama papa boleh tambahkan ilmu di dada. Paling penting dapat rangsang motor halus anak dan kemahiran lain. Hebat!


Jika ada masa lapang, congkak inilah salah satu permainan kami sekeluarga. Anak aku yang umur 5 tahun pun seronok main bersama.

Apa kebaikan main congkak?

1. Mengasah skil psikomotor

Bukan mudah menggenggam guli-guli kecil dalam kuantiti yang banyak. Kemudian kau kena lepaskan satu persatu ke dalam lubang ikut tertib pusingan jam.

Kau bayangkan tangan orang dewasa pun terkial-kial nak buat, budak kecil apatah lagi. Namun itulah yang menajamkan lagi skil psikomotor mereka, lebih-lebih lagi waktu pusingan pertama yang kau berebut nak lepaskan guli laju-laju.

2. Belajar mengira

Sekurang-kurangnya anak kau yang kecil dah boleh mengira 1 hingga 7 waktu nak penuhkan lubang congkak sebelum mula bermain.

Kemudian waktu dia lepaskan guli itu satu-satu, kau mintalah dia kira dan sebut dengan kuat. Lama-lama sampai berbelas-belas pun dia dah pandai kira secara tak langsung.

3. Belajar mencongak

Nak main congkak ini bukan kau main hentam saja pilih lubang mana secara rawak. Kau kena congak juga kalau ambil guli dari lubang A, nanti akan habis dekat lubang mana.

Ini semua perlukan skil mencongak dalam kepala. Orang sekarang panggil ‘mental arithmetic’. Kalau anak kau dah boleh mengira, ajar dia mencongak pula supaya permainannya lebih seronok. Tak adalah dia stress asyik mati saja.

4. Belajar strategi dan merancang

Selepas pandai mencongak, anak kau juga perlu merancang nak ambil guli dari lubang yang mana dulu. Guli paling banyak atau paling sikit?

Contoh kalau ada 1 guli dalam lubang sebelah rumah, adakah kau nak masukkan guli itu terus ke rumah, atau tunggu dulu?

Sambil pihak lawan jalan, mata anak kau juga dah jeling-jeling untuk strategi seterusnya. Kemudian kena sentiasa peka, takut pihak lawan menipu. Patut masukkan satu guli, dimasukkannya 2 guli (yang ini kawan aku biasa buat waktu kecil. Aku saja yang jujur main congkak ni).

5. Melatih kesabaran dan kejujuran

Memang bengang kalau pihak lawan ‘tembak’ kita banyak-banyak. Lepas itu, asyik dia saja jalan tak mati-mati. Mau murung seharian dibuatnya. Sudahlah begitu, pihak lawan menang pula akhirnya.

Lalu mulalah kau nak mengelat macam aku cerita kawan aku buat tadi. ‘Skip’ lubanglah, masukkan tambahan guli dalam rumahlah dan macam-macam akal lagi.

Jadi bila nak main congkak ini, kau kena selalu ingatkan pada anak-anak erti sebuah kejujuran. Biarlah kalah, asal kita kalah bermaruah. Cewah.

Ini penting untuk diaplikasikan dalam hidup. Ramai orang menipu dan mengelat untuk lepaskan diri sendiri saja sekarang. Maka dengan bermain congkak ini, sifat jujur ini dapat kau pupuk pada anak-anak.

6. Kos yang murah

Congkak ini pun tak begitu mahal untuk kau beli sebagai bahan aktiviti masa lapang bersama anak-anak. Sekitar RM30-40 pun dah boleh dapat di Lazada.

Kemudian dia tahan lama. Dari anak kau tadika sampai masuk universiti pun masih bertahan lagi, dengan syarat kau tak hempas papan congkak ni ke simen lah.

Kalau guli hilang pun, tak sampai RM5 kau boleh beli sebungkus 100 biji.

7. Meneruskan tradisi warisan negara

Dalam zaman semuanya elektronik sekarang, memang sesuailah kau mesrakan juga anak kau dengan sesuatu yang lebih ‘natural’ dan ‘kembali ke asal’.

Terangkan pada anak-anak tentang permainan tradisional yang menjadi warisan budaya kita agar semua ini tidak hilang ditelan masa.

Walau sejauh mana kita melangkah, ingatlah akar yang menautkan kita dengan bumi yang kita pijak.

Begitulah.

Banyak kelebihan bermain congkak ini selain mengeratkan hubungan kau dengan anak-anak. Jika berkelapangan, ajaklah mereka main bersama. Insya-Allah bermanfaat untuk seisi keluarga.

IKLAN