Menyentuh mengenai perkembangan mental dan tingkah laku anak, permainan seperti pretend dan role play contohnya mainan masak masak, permainan doktor dan sebagainya dapat membantu.

Namun apabila bercakap mengenai permainan set dapur ini, ia lebih sinonim dengan kanak-kanak perempuan. Adakah ini bermakna kanak-kanak lelaki tidak boleh bermain permainan ini?

Main Masak-Masak Tak Akan Jadikan Anak Lelaki Lembik, Malah Banyak Kelebihan Untuk Perkembangan!

Ayuh ikuti penjelasan lanjut mengenai isu ini.

Mainan masak masak untuk anak lelaki, boleh ke?

Jangan terkejut kerana jawapannya adalah anak lelaki boleh bermain permainan set dapur ini, bahkan amat digalakkan. Eh tetapi bukan ke mainan tersebut lebih sinonim dengan kanak-kanak perempuan sahaja?

Hakikatnya, pembahagian kategori mainan untuk kanak-kanak lelaki atau perempuan ini adalah taktik pengeluar mainan semata-mata, yang akhirnya melekat menjadi stigma bagi kebanyakan daripada kita.

Sejujurnya tanpa mengira jantina, setiap kanak-kanak boleh bermain sebarang permainan dan tidak seharusnya wujud diskriminasi.

Tidak dinafikan, jika berada di kedai permainan, mainan set dapur ini kebanyakannya terdapat dalam warna merah jambu – yang amat sinonim dengan kanak-kanak perempuan.

Namun terdapat juga sebilangan besar dapur mainan masak masak ini dihasilkan dengan lebih neutral, realistik dan sesuai untuk kanak-kanak lelaki serta perempuan, seperti dapur yang diperbuat daripada kayu.

Mengapa anak lelaki perlu didedahkan kepada permainan set dapur ini? Ini kerana satu fakta yang pasti, setiap individu perlu belajar untuk memasak.

Malah di kebanyakan rumah pada masa kini, ia adalah satu gambaran biasa untuk anak melihat kedua-dua ibu bapanya memasak di dapur. Bahkan terdapat ramai chef lelaki terkenal!

Jadi, tiada salahnya untuk membiasakan kanak-kanak lelaki dengan persekitaran dapur melalui permainan masak-masak ini.

Mainan masak masak, 7 manfaatnya kepada anak

Sudah tentu salah satu faedah yang tidak dapat dinafikan dengan permainan ini adalah ia dapat membuatkan si kecil ‘sibuk’ sementara anda melakukan tugasan rumah lain seperti memasak atau mengemas rumah.

IKLAN

Tetapi adakah hanya itu manfaatnya? Tidak, kerana permainan set dapur ini menawarkan kelebihan buat anak dari pelbagai aspek, antaranya:

Main Masak-Masak Tak Akan Jadikan Anak Lelaki Lembik, Malah Banyak Kelebihan Untuk Perkembangan!

1. Membina keyakinan diri
Permainan dapur ini sangat bagus untuk mendedahkan anak dengan kemahiran hidup dan mengembangkan kebebasan serta keyakinan diri.

Anak perlu bertanggungjawab memastikan kekemasan dapur, menyusun bahan-bahan, belajar tentang konsep asas memasak dan pemakanan sihat semasa bermain.

2. Belajar mendengar arahan dengan mainan masak masak
Semasa anda sibuk memasak di dapur, adakah si kecil turut bersama dan sentiasa bertanyakan soalan? Jika ya, ini tandanya mereka perlu diberikan set permainan dapur.

Anda akan dapat menerangkan bagaimana pentingnya untuk mengikut arahan bagi menghasilkan sesuatu makanan yang sedap – walaupun pada hakikatnya dengan set permainan dapur ini, anak tidak menghasilkan makanan sebenar.

3. Mainan masak masak dapat meningkatkan kreativiti
Role play sangat bagus untuk meningkatkan daya imaginasi dan mengembangkan kreativiti anak.

Ini kerana sememangnya kanak-kanak suka melakonkan atau meniru kembali perkara yang mereka lihat dalam kehidupan sebenar.

Permainan masak-masak ini pastinya sangat menarik untuk kanak-kanak. Mereka akan mencipta senario dapur unik sambil bermain dengan peralatan dan perkakas mainan.

4. Meningkatkan kemahiran motor halus
Anda mungkin tidak menyedarinya, tetapi sebenarnya setiap kali memasak, kemahiran motor halus sedang digunakan.

IKLAN

Anda perlu memotong, menapis, membasuh dan pelbagai lagi pergerakan fizikal lain, walaupun hanya untuk membuat hidangan ringkas.

Ini juga akan berlaku kepada si kecil apabila mereka berpura-pura memasak di dapur mainan – semua tindakan anak memerlukan kemahiran motor halus seperti individu dewasa.

5. Mainan masak masak dapat meningkatkan kemahiran mengecam visual
Semasa bermain masak-masak, anak akan belajar mengenal pasti pelbagai jenis makanan dan peralatan penting yang digunakan di dapur.

Ia akan membantu anda mengajar mereka mengenai makanan sihat seperti buah-buahan, sayuran dan sebagainya serta menghindari makanan ringan. Ini seterusnya akan membantu mereka untuk membesar dan memilih gaya hidup sihat.

6. Memperbaiki kemahiran bahasa dan komunikasi
Set permainan dapur ini sangat bagus dalam mengembangkan kemahiran bahasa dan komunikasi anak.

Untuk anak yang lebih kecil, mereka mungkin akan mula mempelajari nama makanan dan perkakas yang berbeza serta tindakan seperti mengacau, menggaul atau memotong.

Semakin membesar, mereka akan beralih kepada membangunkan pemikiran naratif dan penceritaan sambil menghasilkan permainan untuk dimainkan.

7. Serlahkan personaliti diri
Membiarkan anak lelaki anda bermain masak-masak atau segala jenis permainan tanpa diskriminasi jantina membolehkan mereka mengekspresikan diri dan mengembangkan keperibadian. Ini kerana bukan semua budak lelaki suka bermain bola sepak, kereta atau action figure.

Satu hari nanti, anak anda mungkin membesar menjadi pereka fesyen, pendandan rambut, tukang masak, mahupun penulis. Sementara ramai lagi yang akan menjadi saintis, jururawat, guru, arkitek ataupun jurutera.

Seorang kanak-kanak lelaki bermain dengan anak patung, hanyalah untuk berseronok dan mungkin akan belajar nilai kasih sayang pada masa yang sama.

IKLAN

Main Masak-Masak Tak Akan Jadikan Anak Lelaki Lembik, Malah Banyak Kelebihan Untuk Perkembangan!

Kesimpulannya
Apabila bercakap mengenai permainan, sebaiknya isu mengenai mainan hanya untuk kanak-kanak lelaki atau perempuan tidak perlu timbul. Biarkan si kecil bebas bermain apa sahaja barang permainan kerana ada faedah yang mungkin tidak kita sedari.

Seperti mainan masak masak, ia membantu mengembangkan pelbagai kemahiran penting, di samping mempromosikan kebaikan memasak di rumah dan cara mengendalikan dapur ketika dewasa nanti.

Bukan sahaja anak perempuan, malahan anak lelaki juga perlu diajar kepentingan memasak yang sihat, menjaga dan mengenali peralatan dapur serta sebagainya.

Jadi jika anak lelaki anak lebih cenderung untuk bermain set mainan dapur, biarkan mereka. Mana tahu mungkin rezeki mereka untuk menjadi chef tersohor suatu hari nanti!

Kredit: Hello Doktor

 

Main Masak-Masak Tak Akan Jadikan Anak Lelaki Lembik, Malah Banyak Kelebihan Untuk Perkembangan!

Pelajari ilmu penyusuan untuk menjayakan bf journey mama bersama pakar-pakar bertauliah di webinar Mama Nak Susukan Anak. Daftar sini : https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-mama-nak-susukan-anak/

 

 

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

 

 

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI