
Bila ada anak kecil di rumah, mak ayah memang perlu sentiasa peka dengan setiap pergerakan mereka. Sekejap sahaja leka, tangan si kecil mungkin sudah mencapai barang berbahaya di rumah yang tidak sepatutnya.
Dalam fasa membesar, kanak-kanak suka meneroka dunia sekeliling dengan menyentuh, memegang dan memasukkan sesuatu ke dalam mulut. Masalahnya, mereka masih belum mampu membezakan antara makanan dan bahan berbahaya.
Bagi mereka, sesuatu yang berwarna-warni, berbentuk kecil, kenyal atau berbau manis mungkin kelihatan seperti gula-gula. Sebab itu, ada beberapa barangan biasa di rumah yang sebenarnya boleh mendatangkan risiko serius jika tertelan.

10 Barang Berbahaya Di Rumah Yang Anak Mudah Sangka Makanan
1. Water Beads (Orbeez)
Bebola kecil berwarna-warni yang boleh mengembang jika tertelan dan berisiko menyebabkan usus tersumbat.
2. Dishwasher Tablet
Kapsul pencuci pinggan yang berwarna terang dan mudah disangka sebagai gula-gula.
3. Gel Penyegar Udara
Kelihatan seperti jeli dan boleh menarik perhatian anak kerana warna serta baunya.
4. Bateri Butang
Kecil dan berkilat tetapi sangat berbahaya jika tertelan kerana boleh mencederakan saluran pemakanan.
5. Detergent Pod
Kapsul pencuci pakaian yang menyerupai gula-gula dan mengandungi bahan pencuci berkepekatan tinggi.
6. Toilet Gel Stamp Atau Block
Berwarna terang dan berbau harum sehingga mudah menarik perhatian anak kecil.
7. Kapur Barus
Bentuknya bulat dan putih seperti gula-gula tetapi boleh menyebabkan keracunan jika tertelan.
8. Gummy Vitamin Atau Ubat Kunyah
Rasa dan rupanya seperti gula-gula sehingga anak mungkin mengambilnya secara berlebihan.
9. Cecair Vape Atau Refill Nikotin
Mungkin berbau manis tetapi boleh menyebabkan keracunan serius jika tertelan.
10. Cecair Pencuci Dalam Botol Minuman
Anak boleh menyangkanya sebagai jus atau air kerana disimpan dalam bekas minuman.
Apakah Risiko Jika Anak Tertelan Barang Berbahaya Di Rumah?
Jangan anggap jika anak tertelan sesuatu, kesannya hanya sekadar muntah atau sakit perut. Kesan yang dialami bergantung kepada jenis bahan, objek dan jumlah yang tertelan.
Antara risiko yang boleh berlaku ialah:
- Muntah dan sakit perut.
- Melecur pada mulut, tekak dan saluran pemakanan.
- Sesak nafas.
- Usus tersumbat.
- Pendarahan dalaman.
- Kerosakan organ.
- Sawan.
Dalam kes yang serius, keadaan ini boleh mengancam nyawa anak. Sebab itu mak ayah tidak sepatutnya menunggu sehingga anak menunjukkan simptom yang teruk sebelum mendapatkan rawatan. Jika ada kemungkinan anak tertelan bahan atau objek berbahaya, tindakan segera sangat penting.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Anak Disyaki Tertelan Bahan Berbahaya?
Jika anda mengesyaki anak tertelan mana-mana bahan atau objek berbahaya, lakukan perkara berikut:
- Jangan paksa anak muntah.
- Jangan beri susu, air garam atau petua tradisional tanpa arahan petugas kesihatan.
- Segera bawa anak ke Jabatan Kecemasan atau hospital berhampiran.
- Bawa bersama bekas, label atau pembungkus produk bagi memudahkan doktor mengenal pasti bahan yang mungkin tertelan.
Mak ayah juga perlu ingat bahawa tidak semua keracunan menunjukkan tanda dengan serta-merta. Anak mungkin kelihatan seperti biasa pada peringkat awal tetapi keadaan boleh berubah kemudian.
Cuba Lihat Barang Berbahaya Di Rumah Dari Paras Mata Anak
Kadang-kadang kita merasakan rumah sudah cukup selamat, tetapi cuba duduk atau mencangkung pada paras mata anak.
Adakah terdapat bateri kecil di atas meja rendah? Ubat di dalam beg tangan yang terbuka? Detergent pod di kabinet bawah? Cecair vape di tepi sofa? Atau bahan pencuci yang dipindahkan ke dalam botol minuman?
Barang yang nampak biasa bagi orang dewasa boleh menjadi sangat menarik pada mata anak kecil. Jadi perlu hati-hati demi keselamatan anak kita.
Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!
Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia
MamaKerja2026 Dibuka 17 Ogos Ini, Ibu Bekerja Selangor Dapat RM1,000!
Sumber: Public Health Malaysia
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


