Makan Jamu Nak Sihat Dalaman, Bertenaga Tapi Pakar Jelaskan Salah Satu Punca Kanser Rahim

Share

Biasanya wanita bila dah masuk usia 30-an mula terfikir untuk kekal awet muda dan bertenaga. Lagi-lagi yang bersalin dan mempunyai anak lebih dari seorang. Macam-macam difikirkan, terutama bab kesihatan dalaman dan aset wanita.

Ini antara situasi biasa yang berlaku pada kebanyakan wanita. Disebabkan inilah ramai dari kalangan wanita mula memikirkan untuk mengambil jamu atau suplemen.

Malah banyak iklan-iklan yang menawarkan cantik luar, cantik dalam dengan makan jamu. Dengan pelbagai khasiat dan kebaikannya ibu-ibu mula rasa nak mencuba tapi hakikatnya tidak pernah pun memikirkan kesan sampingan jangka panjang.

Menurut Pakar Perunding Ginekologi Onkologi, Datuk Dr Rushdan Noor pengambilan jamu antara salah satu punca kanser rahim.

Berikut antara perkongsiannya

Seorang lagi pesakit kami berusia 45 tahun dikesan menghidap kanser, iaitu kanser rahim selepas mengamalkan jamu selama 10 tahun. Kali ini jamu yang berbeza dengan kes yang pernah saya ceritakan dalam posting saya yang lalu, rujuk di pautan bawah:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10211398874315404&id=1468333443

Beliau dikesan menghidap kanser rahim apabila mengalami pendarahan haid yang tidak tetap. Memandangkan usia sudah melebihi 40 tahun, ujian mengambil sampel dinding rahim dilakukan dan laporan makmal mengesahkan kanser rahim iaitu daripada jenis “Endometrioid adenocarcinoma”.

CT scan juga menunjukkan adanya sista pada kelenjar ovari beliau. Kami hairan kerana pesakit ini tidak mempunyai ciri-ciri dan risiko-risiko menghidap kanser rahim seperti obesiti, diabetes, darah tinggi, infertiliti ataupun menghidap PCOS.

Akhirnya beliau mengaku sudah mengamalkan sejenis jamu selama 10 tahun. Jamu ini jenis yang berbeza daripada kes yang lalu dan juga dikenali ramai. Beliau sudah menjalani pembedahan mengeluarkan rahim dan kedua-dua belah ovarinya.

Kes ini memberi petunjuk bahawa risiko kanser wanita yang mungkin dibawa akibat amalan jamu tidak tertumpu kepada satu jenama sahaja tetapi juga jenama lain. Mungkin ramai lagi yang mengalami masalah yang sama tetapi menyembunyikan amalan mereka.

Ini cuma penyakit kanser, banyak lagi penyakit-penyakit lain yang boleh dihidapi oleh wanita-wanita yang mengambil jamu akibat daripada bahan yang terkandung di dalamnya.

Saya menasihati wanita-wanita yang mengamalkan jamu supaya memantau kesihatan mereka dan bertemu dengan doktor segera jika mengalami masalah haid, perut kembung ataupun sebarang gejala-gejala yang meragukan. Sikap paling bijak adalah jangan mengambil sebarang jamu, anda juga boleh menjimatkan wang.

Datuk Dr Rushdan Noor

Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

IKLAN