Keibubapaan

Bayi 6 Bulan Perlukan Makanan Tinggi Zat Besi Setiap Hari, Penting Untuk Otak!

Share

Apabila bayi mula makan sekitar usia enam bulan, ramai ibu ayah teruja mahu memperkenalkan buah-buahan, bubur nasi atau puri sayur sebagai makanan pertamanya.

Namun, makanan pejal pertama bukan sekadar untuk membolehkan bayi merasa pelbagai jenis makanan. Pada usia ini, simpanan zat besi dalam tubuh bayi mula berkurang, sedangkan keperluannya semakin meningkat seiring dengan proses tumbesaran.

Menurut perkongsian Dr. Nisa Khalil, makanan tinggi zat besi bayi 6 bulan perlu diberi perhatian apabila bayi mula mengambil makanan pejal kerana nutrien ini sangat penting untuk perkembangan fizikal dan otak.

Jangan Hanya Beri Bubur Kosong Atau Buah

“Anak mula makan sekitar umur 6 bulan. Tapi tahu tak, masa ni juga simpanan iron dalam badan dia mula berkurang? Sebab tu first food bukan sekadar bagi baby rasa-rasa makanan.

Bila baby masuk sekitar 6 bulan, keperluan iron dia mula meningkat. Iron diperlukan untuk buat haemoglobin, yang bawa oxygen ke seluruh badan. Ia juga penting untuk brain development.

Sebab tu first food bukan sekadar bubur kosong atau buah saja. Susu masih penting. Tapi bila dah start solid, cuba masukkan satu iron-rich food dalam menu harian baby.

Bila baby dah start solid, cuba bagi satu iron-rich food setiap hari. Contohnya: Daging, ayam, ikan, telur, kacand dhal, tauhu dan iron-fortified cereal.

Masak sampai lembut, then blend atau lenyek ikut tahap baby. Untuk sumber macam dhal, tauhu atau cereal, pair dengan vitamin C supaya iron lebih mudah diserap. Tak perlu fancy.

Yang penting, iron masuk dalam menu harian baby.

 

Kenapa Zat Besi Sangat Penting Untuk Bayi?

Zat besi diperlukan oleh tubuh untuk menghasilkan haemoglobin, iaitu protein dalam sel darah merah yang bertanggungjawab membawa oksigen ke seluruh badan.

Selain membantu pertumbuhan yang sihat, zat besi juga penting bagi perkembangan sistem saraf dan fungsi otak. Bayi yang mendapat bekalan zat besi mencukupi berpeluang membesar dengan perkembangan kognitif yang lebih baik.

Sekiranya bayi mengalami kekurangan zat besi dalam tempoh yang lama, mereka berisiko mengalami anemia, mudah letih, kelihatan pucat, kurang aktif dan perkembangan mungkin terganggu.

Oleh itu, ibu ayah tidak digalakkan hanya memberikan bubur kosong atau buah-buahan setiap hari tanpa menambah sumber protein dan makanan yang kaya dengan zat besi.

Senarai Makanan Tinggi Zat Besi Bayi 6 Bulan

Antara pilihan makanan yang sesuai ialah:

  • Daging
  • Ayam
  • Ikan
  • Telur
  • Dhal
  • Tauhu
  • Bijirin bayi yang diperkaya dengan zat besi (iron-fortified cereal)

Semua makanan ini boleh dimasak sehingga benar-benar lembut sebelum dikisar, dilenyek atau dipotong mengikut tekstur yang sesuai dengan tahap perkembangan bayi.

Gabungkan Dengan Vitamin C Untuk Penyerapan Lebih Baik

Bagi sumber zat besi berasaskan tumbuhan seperti dhal, tauhu dan bijirin, ibu ayah digalakkan menggabungkannya dengan makanan yang mengandungi vitamin C.

Vitamin C membantu tubuh menyerap zat besi dengan lebih berkesan.

Antara kombinasi yang boleh dicuba ialah:

  • Bubur dhal bersama tomato.
  • Tauhu bersama brokoli.
  • Bijirin bayi dicampurkan dengan puri betik.
  • Puri mangga atau buah naga bersama bijirin bayi.

Pastikan tekstur makanan sentiasa sesuai dengan usia dan kemampuan bayi untuk mengelakkan risiko tercekik.

Tak Perlu Menu Terlalu Fancy

Menyediakan makanan tinggi zat besi bayi 6 bulan tidak semestinya mahal atau rumit.

Ibu ayah boleh menggunakan bahan yang mudah didapati seperti ayam, ikan, telur, tauhu dan dhal. Yang paling penting ialah memastikan bayi menerima sumber zat besi setiap hari sebagai sebahagian daripada menu seimbang.

Pada peringkat awal, jangan terlalu fokus kepada kuantiti makanan yang dihabiskan. Bayi masih sedang belajar mengenali rasa, tekstur dan cara menelan makanan.

Teruskan menawarkan makanan secara konsisten tanpa memaksa. Sedikit demi sedikit, bayi akan semakin mahir makan dan lebih mudah menerima pelbagai makanan berkhasiat yang diperlukan untuk tumbesaran mereka.

Dengan pemilihan makanan tinggi zat besi bayi 6 bulan yang sesuai setiap hari, ibu ayah dapat membantu memenuhi keperluan nutrisi bayi serta menyokong perkembangan otak, sistem imun dan pertumbuhan yang optimum sejak awal kehidupan.

Anak akan dapat akaun Simpan SSPN bernilai RM30, goodies istimewa dan sijil penyertaan. Sambil bermain, dapat hadiah! Daftarkan anak segera di: https://www.majalahpama.my/edutainment-fest/

Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!

Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia

Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!

Sumber: Thread @dr.nisa.khalil

Published by
SRM