Mama kalau nak elak jadi garang macam ‘singa’ terutama sekali bila tiba masa meminta anak buat sesuatu kerja, ada caranya. Nak menyuruh anak ini, kena betul gayanya. Baru mahu ikut cakap kita. Kalau tak kena gaya, habis tenaga kita terbazir sebab terpaksa menyuruh mereka dalam keadaan marah-marah.
Mama, Ini Cara Elak Garang Macam ‘Singa’
Sebenarnya, ada cara yang lebih senang nak menyuruh anak. Asalkan mak ayah tahu personaliti anak itu macam mana.
1) Nak suruh anak yang STRONG WILLED
Bagi kuasa memilih.
Nak suruh mandi. “Abang lepas mandi nak pakai baju yang ni ke, yang ni?”
Nak suruh kemas bilik. “Mama nak kemas rumah ni. Abang nak mama kemaskan bilik abang tak? Kalau nak, abang kemas dapur mama. Ke, nak kemas bilik sendiri?”
2) Nak suruh anak AUDITORI
Mereka mudah motivated dengan kata-kata. Guna ayat pendek-pendek.
Ads
“Jom kita tidur awal. Esok boleh bangun awal.”
“Siapa nak jadi jadi ahli syurga? Jom solat.”
Bila Nak Suruh Anak Buat Sesuatu
3) Nak suruh anak yang SUKA BERSAING
Nak suruh kemas mainan. “Jom kita lumba, siapa kutip mainan paling banyak.”
Nak suruh mandi. “Jom bersiap hensem-hensem. Siapa paling hensem, dia menang! Dapat seringgit.”
Ads
4) Nak suruh anak yang TINGGI EMPATI
“Allah. Banyaknya kerja mama kena buat ni. Kalaulah ada yang sudi tolong, leganya hati.”
5) Nak suruh anak yang SUKAKAN PENGIKTIRAFAN. (especially lelaki)
“Abah rasa, tak ada siapa yang boleh buat kerja lagi bagus dari kamu. Tolong buangkan sampah. Sebab kamu buat paling kemas.”
6) Nak suruh anak TINGGI IMAGINASI
“Jom kita mulakan pengembaraan mengutip serpihan asteroid (mainan yang berterabur)”
“Mari askar-askarku. Kita bina kubu.”
(Padahal nak suruh susun bantal je.)
Nyatakan satu demi satu apa tugas yang dia kena buat.
❌ “Buat kerja sekolah!”
✅ “Ambil kerja sekolah yang dalam beg. Kemudian duduk atas meja.”
❌ “Jangan lari-lari.”
✅ “Berjalan kena perlahan-lahan.”
Lebih berkesan apabila bercakap sambil memandang mereka sama paras dengan mata mereka.
Cuba:
✅ Elak bebel. Penat dan stres.
✅ Rendahkan expectation.
✅ Beri task yang sesuai dengan keupayaan anak. Task yang susah, menghilangkan motivasi anak.
✅ Puji setiap usaha anak. Pujian buat anak addict nak buat baik.
Seorang suami sanggup berbelanja ribuan ringgit demi membalas jasa dan pengorbanan isteri yang telah melahirkan serta membesarkan anak-anak. Kisah menyentuh hati ini dikongsi oleh Mod Yazid Ismail di Facebook apabila beliau mendedahkan kos rawatan gigi isterinya mencecah RM26,000.
Menurut Yazid, isterinya, Widyana Ali, mengalami kerosakan gigi selepas hamil dan melahirkan tujuh orang anak. Sepanjang tempoh itu, Widyana banyak berkorban mengandung dan menyusukan anak-anak dengan susu badan sepenuhnya. Namun, pengorbanan tersebut meninggalkan kesan pada kesihatan dirinya.
“Isteri saya banyak berkorban untuk anak-anak. Tapi akibatnya, kalsium banyak disalurkan ke anak sehingga gusinya bermasalah, giginya rapuh dan beberapa batang gigi geraham terpaksa dicabut,” jelas Yazid.
Bagi Yazid, geraham adalah bahagian penting dalam proses pencernaan. Jika tidak dijaga, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan lain. Atas sebab itu, beliau nekad membawa isterinya mendapatkan rawatan implant gigi di klinik swasta meskipun kosnya sangat tinggi.
“Saya buat banyak research sebelum buat keputusan. Memang kosnya mahal, RM26,000 hanya untuk dua batang gigi. Tapi demi kebaikan dia, saya sanggup. Di hospital kerajaan lebih murah, tapi kena tunggu lama,” katanya.
Yazid menambah, kesihatan isteri adalah tanggungjawab seorang suami. Beliau yakin rezeki yang dibelanjakan demi keluarga pasti diganti Allah SWT dengan keberkatan.
“Bagi saya, tiada harga yang boleh dibandingkan dengan kesihatan dan senyuman seorang isteri. Dia telah berkorban tubuh badannya untuk anak-anak, jadi sudah jadi tanggungjawab saya untuk buat apa yang perlu. Setiap sen yang dikeluarkan, insyaAllah Allah akan ganti dengan keberkatan.”
Menurut Yazid lagi, proses implan gigi isterinya masih belum selesai dan akan diteruskan pada bulan Oktober nanti.
Kisah ini bukan sahaja mengingatkan kita tentang pengorbanan seorang ibu, malah membuka mata betapa pentingnya sokongan seorang suami dalam menjaga kesihatan isteri selepas melalui pelbagai fasa kehamilan dan penyusuan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus komited memperkukuh institusi keluarga di Malaysia melalui pelancaran Pakej KASIH MADANI 2.0. Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail bersempena dengan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK) 2025. Inisiatif ini merupakan kesinambungan usaha kerajaan dalam membina keluarga bahagia dan berdaya tahan seiring aspirasi Malaysia MADANI.
Menurut YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, cabaran sosial yang semakin kompleks menuntut pengukuhan peranan keluarga sebagai asas kepada keharmonian masyarakat. “Apabila keluarga kuat, masyarakat akan stabil, dan negara akan makmur,” tegas beliau.
Komitmen Kerajaan MADANI ke Arah Keluarga Sejahtera
Selaras dengan matlamat kerajaan membina masyarakat inklusif dan berdaya tahan, sebanyak RM4.1 bilion telah diperuntukkan kepada KPWKM melalui Belanjawan 2026. Peruntukan ini merangkumi pelbagai program berimpak tinggi seperti Program Bantuan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI), pendidikan keibubapaan, serta Agenda Nasional KASIH Keluarga Negara yang menekankan keseimbangan peranan dan sahsiah keluarga.
Pakej KASIH MADANI 2.0: Dua Modul, Satu Matlamat
Dibangunkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan kerjasama pakar akademik dan NGO, pakej ini menampilkan dua modul utama iaitu Modul Romantika Cinta dan Modul Kebapaan.
Modul Romantika Cinta memberi tumpuan kepada pasangan yang baru berkahwin melalui latihan komunikasi, pengurusan konflik serta penghayatan nilai kasih sayang dalam perkahwinan. Sementara itu, Modul Kebapaan pula memperkukuh peranan bapa sebagai pelindung dan peneraju keluarga, sejajar dengan tanggungjawab membimbing serta memberi teladan kepada anak-anak.
Ketua Pengarah LPPKN, YBhg. Dato’ Abdul Shukur Abdullah menjelaskan bahawa pembangunan modul ini dirangka dengan pendekatan holistik yang sesuai dengan realiti keluarga masa kini.
“Kita mahu setiap pasangan dan bapa memahami bahawa kasih sayang bukan hanya tentang emosi, tetapi tentang tanggungjawab, komunikasi, dan kesediaan untuk mendengar. Keluarga yang saling memahami akan melahirkan masyarakat yang lebih harmoni,” ujar beliau.
November Bulan Keluarga Kebangsaan (NBKK): Tradisi Unik Malaysia
Malaysia merupakan satu-satunya negara yang meraikan Bulan Keluarga Kebangsaan sepanjang bulan November, satu inisiatif yang diisytiharkan oleh YAB Perdana Menteri pada tahun 2012. Tahun ini, sambutan NBKK 2025 diadakan pada 8 dan 9 November di Padang Semarak, Taman Wetland, Putrajaya, selepas majlis Kick-Off di Santubong, Sarawak pada Oktober lalu.
Objektif utamanya ialah mengarusperdana nilai kekeluargaan sebagai asas pembinaan masyarakat MADANI serta menggalakkan penglibatan menyeluruh melalui pendekatan Whole of Nation.
Penghayatan Nilai K.A.S.I.H dalam Kehidupan Berkeluarga
Tema tahun ini, “KASIH Keluarga, Bahagia Bersama”, mengajak masyarakat menghayati nilai K.A.S.I.H yang terdiri daripada Kasih sayang, Akhlak mulia, Sihat dan selamat, Ilmu, serta Harmoni.
Nilai-nilai ini menjadi teras pembentukan keluarga sejahtera: kasih sayang yang mengukuhkan komunikasi, akhlak mulia yang membentuk peribadi terpuji, kesihatan yang menjamin kesejahteraan, ilmu yang memperkasa daya saing keluarga, dan harmoni yang mewujudkan keamanan dalam masyarakat.
Menjana Kesejahteraan Negara Melalui Keluarga Bahagia
Melalui pelbagai program dan aktiviti ini, sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan bukan sekadar meraikan kasih sayang dalam keluarga, tetapi juga memperkukuh kesedaran bahawa kesejahteraan negara bermula dari rumah. Menurut Ketua Pengarah LPPKN iaitu Dato’ Abdul Shukur Abdullah,
“Keluarga bukan hanya tempat kita dilahirkan, tetapi tempat nilai-nilai kemanusiaan disemai. Jika setiap keluarga bahagia, Malaysia juga akan bahagia.”
Tambah beliau lagi, pelaksanaan November Bulan Keluarga Kebangsaan (NBKK) bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi satu usaha strategik negara untuk memperkukuh dasar kekeluargaan secara menyeluruh.
“BKK diwujudkan sebagai satu platform untuk mengarusperdana dasar penerapan nilai kekeluargaan dalam masyarakat. Ia bukan sekadar kempen semata-mata, tetapi satu gerakan nasional untuk memperkasa keluarga sebagai teras pembinaan masyarakat MADANI,” jelas beliau.
Sambutan ini turut menggalakkan penglibatan pelbagai pihak melalui pendekatan Whole of Nation, melibatkan sektor kerajaan, swasta, komuniti, serta NGO bagi menjayakan aktiviti kesejahteraan keluarga di seluruh negara.
“Kita mahu setiap rakyat merasakan bahawa pembangunan keluarga adalah tanggungjawab bersama. Apabila nilai KASIH diterapkan di rumah, ia akan menjalar hingga ke peringkat komuniti dan seterusnya membentuk masyarakat yang saling menghormati, berakhlak dan harmoni,” ujar Dato’ Abdul Shukur.
Signifikan Tema ‘KASIH Keluarga, Bahagia Bersama’
Mengulas tentang tema sambutan tahun ini, Dato’ Abdul Shukur menjelaskan bahawa ia membawa makna yang cukup mendalam dan relevan dengan cabaran sosial masa kini.
“Tema ‘KASIH Keluarga, Bahagia Bersama’ menuntut kita untuk kembali kepada asas iaitu kasih sayang dan saling menghargai. Nilai K.A.S.I.H yang diangkat bukan sekadar slogan, tetapi panduan hidup keluarga moden yang sering diuji oleh tekanan ekonomi, masa dan teknologi.”
Beliau turut menghuraikan bahawa lima elemen dalam akronim K.A.S.I.H iaitu Kasih Sayang, Akhlak, Sihat, Ilmu dan Harmoni merupakan nilai asas dalam membina keluarga seimbang.
“Apabila kasih sayang menjadi asas, akhlak mulia menjadi panduan, kesihatan dijaga, ilmu terus dipupuk dan keharmonian dipelihara, maka barulah terbentuk keluarga yang bahagia dan berfungsi. Inilah nilai yang ingin kita hidupkan kembali dalam setiap rumah tangga,” tambah beliau lagi.
Tahap Kesejahteraan Keluarga di Malaysia
Menyentuh tentang tahap kesejahteraan keluarga di Malaysia, Dato’ Abdul Shukur berkata bahawa secara umum, keluarga di negara ini menunjukkan tahap ketahanan sosial yang baik, namun masih terdapat keperluan untuk memperkukuh aspek komunikasi dan keseimbangan peranan ahli keluarga.
“Kajian LPPKN menunjukkan ramai ibu bapa kini semakin sedar tentang kepentingan komunikasi dua hala dengan anak-anak, tetapi masih wujud jurang dalam mengurus tekanan emosi dan tanggungjawab domestik. Di sinilah peranan pendidikan keibubapaan dan modul seperti Romantika Cinta dan Kebapaan amat penting,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kesejahteraan keluarga bukan hanya diukur dari segi ekonomi, tetapi juga daripada kestabilan emosi, kesihatan mental, dan kemampuan keluarga menangani konflik dengan matang.
“Keluarga yang bahagia bukan bermakna tiada masalah. Tetapi keluarga yang sejahtera ialah mereka yang mampu berdepan masalah dengan penuh kasih dan tolak ansur,” jelas beliau dengan nada penuh makna.
Program Sempena November Bulan Keluarga Kebangsaan 2025
Berbicara tentang program tahun ini, Dato’ Abdul Shukur menzahirkan rasa teruja dengan sambutan masyarakat terhadap pelbagai aktiviti interaktif yang dirancang.
“Tahun ini kita bawakan konsep Ekspo K.A.S.I.H, iaitu gabungan pameran dan aktiviti yang mengetengahkan elemen pendidikan kekeluargaan, gaya hidup sihat, dan kesedaran keselamatan. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi ruang pembelajaran santai untuk seisi keluarga,” ujarnya.
Antara tarikan utama termasuk KASIH Family Fun Run yang dijangka menarik penyertaan lebih 3,000 peserta, Bazaria Keluarga dengan jualan Rahmah dan Agro MADANI, serta pelbagai aktiviti mesra keluarga seperti Petting Zoo, Santai Karom, dan Malam KASIH Keluarga.
“Kita mahu setiap pengunjung pulang dengan bukan hanya kenangan indah, tetapi juga ilmu dan inspirasi untuk menjadi ibu, ayah, anak atau pasangan yang lebih baik. Inilah matlamat sebenar sambutan ini untuk menjadikan nilai kekeluargaan sesuatu yang hidup, bukan sekadar disebut,” ujar beliau mengakhiri perbualan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pesanan guru bersara buat ibu bapa, jangan biar anak hanyut dalam ‘dunia sendiri. Mendidik anak-anak bukan sekadar memastikan mereka membesar dengan sihat dan cukup makan, tetapi juga membentuk mereka menjadi individu yang berakhlak, berilmu, dan bertanggungjawab.
Ibu bapa memainkan peranan utama dalam mencorakkan masa depan anak-anak kerana didikan di rumah adalah asas kepada pembentukan sahsiah mereka. Dalam dunia yang semakin mencabar, ibu bapa perlu lebih proaktif dan bijak dalam mendidik anak-anak agar mereka menjadi generasi yang berkualiti.
Jadi, apakah langkah-langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak membesar dengan baik?
Perkongsian daripada Puan Fariza Nurbaya Muhammad ini boleh djadikan ikhtibar dan panduan buat ibu bapa yang lain. Semoga kita, ibu bapa berusaha melahirkan generasi yang penyabar dan saling kasih mengasihi.
Sebab semasa anaknya masih kecil, ibu hanya ketawa dan gelak-gelak sahaja apabila anak memukul-mukulnya dan tidak memberitahu anaknya bahawa perbuatan tersebut adalah salah.
Dan menggunakan kata-kata kasar seperti babi, bodoh, bangang dan lain-lain.
Sebab sewaktu kecil ibu dan bapanya hanya gelak-gelak dan ketawa sahaja semasa anak yang masih kecil itu menyebut perkataan-perkataan tersebut, malah tidak menegur kesalahan anaknya.
Kata ibu bapanya, lucu dan pandai anakku!
Sebab dari kecil lagi ibu bapa tidak menghalang anak-anak mereka keluar dan tidak menetapkan peraturan bahawa anak-anak wajib berada di rumah pada waktu malam.
Apabila segalanya sudah menjadi kebiasaan kepada anak-anak, maka sudah tentu sukar bagi ibu bapa untuk membetulkan kesilapan tersebut. Kata orang tua, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Untuk anak-anak muridku yang telah bergelar ibu atau bapa, ingat pesan guru tua ini.
1. Bercakaplah dengan bahasa yang baik dan sopan dengan anak-anak. Tegur dan berikan hukuman semerta jika anak-anak mengeluarkan kata-kata kesat.
2. Jangan benarkan anak-anak kecil bermain telefon bimbit. Berikan buku atau permainan yang sesuai dengan umur anak-anak.
3. Jangan dibiarkan televisyen terpasang 24 jam di rumah anda. Hadkan masa menonton, contohnya pada waktu petang sahaja. Malam ialah masa untuk anak-anak mengulang kaji dan bermesra dengan ahli keluarga. Jika anak-anak tidak dibenarkan menonton televisyen, ibu bapa juga hendaklah mengorbankan keinginan sendiri untuk tidak menonton tv juga.
4. Jangan benarkan anak-anak menunggang motosikal apatah lagi memberikan motosikal kepada anak-anak. Biarlah kita yang menghantar dan mengambil mereka jika mereka mahu ke mana-mana. Susah sikit tak apa. Alah bisa tegal biasa.
5. Tiada telefon bimbit adalah lebih baik. Benarkan anak-anak memiliki telefon bimbit apabila anak-anak sudah bijak, matang dan dapat memanfaatkan penggunaan telefon bimbit dengan baik.
6. Solat berjamaah dengan anak-anak terutama pada waktu Subuh, Maghrib dan Isyak sama ada di rumah atau masjid.
7. Waktu antara Maghrib dan Isyak sangat sesuai untuk membimbing anak-anak mengaji al-Quran.
8. Ambil tahu perkembangan pendidikan anak-anak. Semak buku-buku latihan dan kerja rumah anak-anak.
Kegembiraan sebuah keluarga yang meluangkan masa di taman tema air bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kejadian pada Ahad lalu.