
Ramai ibu baru anggap mandi selepas bersalin sekadar rutin biasa. Hakikatnya, dalam tempoh berpantang, setiap perkara kecil termasuk cara mandi boleh memberi kesan kepada keselesaan dan kesihatan tubuh ibu. Sebab itu orang-orang lama sangat menitikberatkan aturan mandi supaya badan cepat pulih, tidak mudah masuk angin dan kekal cergas sepanjang tempoh berpantang.
Perkongsian daripada Puan Siti Aishah, Pewaris Perbidanan Melayu Asli ini antara petua tradisional yang masih diamalkan hingga hari ini.

Mandi Cara Tradisional
Walaupun nampak ringkas, setiap langkah sebenarnya ada sebab tersendiri demi menjaga tubuh ibu selepas melahirkan cahaya mata.
“Kalau ikut cara kaum Cina, 30 hari mereka memang tak jumpa air. Bukan setakat basah rambut. Mandi pun langsung tak boleh. Jadi saya nak kongsi cara bidan-bidan Melayu lama, lengkap dengan aturan dan tertibnya.
- Mandi waktu dhuha. Maksudnya tunggu matahari naik tinggi sedikit dan cuaca jadi lebih suam. Kalau musim hujan dan udara terlalu sejuk, lebih baik tangguhkan mandi. Jangan sampai selepas mandi air suam, badan pula menggigil kerana cuaca sejuk. Itu yang dibimbangkan boleh menyebabkan bentan menggigil.
- Gunakan air suam-suam panas untuk badan. Lagi baik jika mandi menggunakan air rebusan daun herba. Kalau susah dapatkan daun-daun tersebut, air kosong yang suam pun sudah memadai. Yang penting, jangan gunakan air yang suam-suam sejuk kerana bezanya memang ketara pada tubuh.
- Untuk kepala pula, WAJIB gunakan air paip biasa. Jangan sesekali basuh rambut atau muka dengan air panas. Petua orang lama percaya ia boleh menyebabkan ibu mudah pening kepala, rambut gugur dan kulit muka cepat berkedut. Malah amalan ini sesuai diamalkan semua orang, bukan ibu dalam pantang sahaja.
- Jangan mandi terlalu lama. Tempoh paling sesuai sekitar 10 minit sahaja.
- Mandi orang berpantang cukup menggunakan satu baldi besar air. Tidak perlu terlalu banyak air seperti satu kolah penuh. Ratakan air ke seluruh badan, sabun secukupnya dan gunakan baki air untuk membilas.
- Mandi sehari sekali sudah memadai. Menurut petua lama, terlalu kerap mandi ketika berpantang boleh menyebabkan kulit kurang anjal dan wajah nampak sembap walaupun badan kelihatan kurus.
- Minggu pertama selepas bersalin, sebaiknya hanya lap badan sahaja atau ‘dry cleaning’. Ada ibu yang berasa badan lebih selesa dan kurang terkena angin sejuk apabila mengamalkan cara ini.”
Aturan Mandi Ibu Dalam Pantang
- Mandi waktu dhuha, bila cuaca lebih suam dan badan lebih selesa.
- Gunakan air suam-suam panas untuk badan, lebih baik jika air rebusan herba.
- Basuh rambut dan muka dengan air paip biasa, elakkan air panas.
- Jangan mandi terlalu lama, sekitar 10 minit sahaja.
- Cukup guna satu baldi besar air ketika mandi.
- Mandi sehari sekali sudah memadai ketika berpantang.
- Minggu pertama selepas bersalin, digalakkan lap badan sahaja atau ‘dry cleaning’.
Kepentingan Kekal Bersih & Selesa Ketika Berpantang
Walaupun sedang berpantang, ibu tetap perlu menjaga kebersihan diri supaya badan kekal segar dan selesa. Penjagaan tubuh yang baik bukan sahaja membantu ibu lebih yakin, malah dapat mengurangkan rasa tidak selesa sepanjang tempoh pemulihan selepas bersalin.
Mandi dengan cara yang betul juga dipercayai membantu badan lebih cepat pulih, mengelakkan rasa lesu serta mengurangkan risiko badan masuk angin. Sebab itu, orang lama sangat menitikberatkan aturan mandi supaya kesihatan ibu sentiasa terjaga sepanjang berpantang.
Cantik, Bersih Makin Berseri Lepas Bersalin
Begitulah antara aturan mandi yang sering diamalkan oleh bidan-bidan Melayu lama untuk ibu selepas bersalin. Tidak wajib untuk diikuti sepenuhnya, namun ramai percaya petua tradisional ini membantu tubuh lebih cepat pulih dan menjaga kecantikan dalaman ibu ketika berpantang.
Apa pun pilihan ibu, paling penting adalah memastikan tubuh sentiasa selesa, bersih dan dijaga dengan baik sepanjang tempoh pemulihan. Mana tahu, dengan menjaga pantang sebaiknya, ibu bukan sahaja sihat malah makin berseri selepas bersalin!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!






