Selalu kita dengar orang cakap, biarkan anak bermain sepuas-puasnya dulu dan kecapi kebahagiaan masa kecilnya. Apabila anak dah besar, nikmat ini dah tak dapat di ulang kembali dan akan berlalu begitu saja. Rugi sangat kan?
Namun dek kerana peredaran masa sekarang, teknologi lebih menguasai perkembangan anak-anak kita. Sehinggakan anak sanggup menghabiskan masa berjam-jam dengan gajet atau menonton televisyen setiap hari.
Aktiviti bermain seolah-olah tak dijadikan aktiviti utama anak. Masing-masing lebih suka bersendirian dalam bilik. Sebagai ibu bapa kita harus berikan anak kebebasan bermain. Nak tahu kenapa?
Berikut perkongsian Influencer Parenting, Puan Wawa Shauqi
Ads
Penting ke bermain ni untuk kanak-kanak? Tak penting. Tapi SANGAT PENTING.
Kajian mendapati anak-anak yang membesar dalam persekitaran yang membenarkan mereka bermain dan meneroka, otak mereka akan berkembang dengan sangat pesat.
Sebab itu hak anak bermain jangan dihalang.
Dan sebab itu kita perlu takut sekiranya anak dibiar menonton TV atau bermain gajet berjam-jam lamanya.
Dan kita patut lakukan sesuatu sekiranya anak tak tau nak cari inisiatif untuk hiburkan diri sekiranya gajet / skrin tak ada.
Bila bermain, anak-anak ada medium untuk salurkan tenaga mereka. Kurang jugalah insiden mengamuk.
Bermain juga menjadikan badan mereka cekap, otak mereka laju, fokus mereka makin tajam dan kemahiran sosial mereka hebat. Malah IQ dan EQ mereka bergerak seiringan.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mendidik anak sebenarnya fleksibel. Jika kena formulanya memang berkesan tapi kadang-kadang kesilapan juga boleh berlaku kerana kita sebagai ibu bapa terlalu mengikut perasaan.
Mungkin kita tak boleh nak kawal kemarahan pada waktu itu namun bila keadaan dah kembali reda baru kita rasa insaf dan kasihan pada anak. Inilah lumrah kita sebagai ibu bapa.
Perkongsian dari seorang bapa, Ws Adli W Muhammad ini boleh dijadikan pengajaran bersama dan semoga kita sama-sama menjadi ibu bapa terbaik dalam mendidik anak.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.
Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun.
Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.
Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul. Katanya:
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.
Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.
Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.
Bila anak mula menangis terutamanya ditempat umum, emosi mak ayah mulalah terganggu. Nak dimarah nanti makin kuat pula menangis, nak dibiarkan apa pula kata orang ramai yang lalu lalang. Serba tak kena dibuatnya.
Apa yang ibu ayah perlu buat adalah kenal keperluan dan perkembangan anak-anak yang sememangnya berbeza. Menurut Puan Maryam Jamadi, Pediatric Occupational Therapist, perkara pertama yang perlu ibu ayah buat adalah abaikan kata-kata orang lain. Paling penting kita tahu kenapa si kecil tiba-tiba menangis.
Ikuti perkongsian yang bermanfaat untuk semua!
ANAK MENANGIS
Anak menangis?
Semua mak ayah akan menghadapi situasi ini cuma yang membezakan macam mana kita menyelesaikannya. Ada banyak sangat pendapat terutamanya di media sosial. Ada yang kata:
“Biarkan je anak menangis, biar dia belajar mengawal emosi sendiri dan bagus untuk paru-paru”
“Jangan biar anak menangis sebab akan menyebabkan masalah perkembangan di masa akan datang”
“Anak menangis terus angkat, mak ayah spoil anak”
Setiap kali Kelas Merangsang Perkembangan Anak, mesti akan ada soalan tentang anak menangis. Jadi, disini saya nak kongsikan tentang topik anak menangis.
Benda pertama adalah mindset mak ayah, kalau kita serabut bila anak menangis. Anak lagilah serabut.
Anak yang selalu menangis tak semestinya disebabkan mak ayah “tak pandai jaga anak” kerana setiap keperluan dan perkembangan berbeza. Terutamanya anak yang umur 3 tahun ke bawah yang tak mahir sangat untuk luahkan perasaan mereka. Saya pasti semua mak ayah inginkan apa yang terbaik untuk anak. Kadang-kadang, kita terlalu sangat fikirkan apa orang kata sehinggakan kita dah lukakan perasaan anak kita.
Jangan takut orang kata apa, tetapi lebihkan fokus kepada keadaan yang sedang berlaku.
Cara mengatasi dan memujuk anak adalah sangat berbeza mengikut umur dan tahap perkembangan. Sebab itu, sangat penting untuk mak ayah kenal anak dan memahami betul-betul tahap perkembangan anak.
UMUR 0-6 BULAN
– Tak reti manipulasi mak ayah.
– Meluahkan perasaan dan “bercakap” dengan cara menangis.
– Menangis apabila keperluannya tak tercapai.
– Tak akan berhenti menangis selagi tidak di layan.
– Berhenti disebabkan sudah penat menangis.
Ada kajian menunjukkan 1 daripada 10 bayi menangis lebih 3 jam sehari. Bayi pula ada banyak kategori, bayi kategori “high need” akan lebih banyak menangis dalam sehari. Selagi tak capai keperluannya, selagi itu dia akan menangis. Keperluan bayi pula bukan sahaja kenyang, sihat dan kering tetapi keperluan nak peluk dan dodoi pun termasuk juga. Ada bayi yang letak sahaja boleh tertidur sendiri, ada bayi yang dah dodoi pun susah tidur.
Menurut Paediatrician Dr. Armeet Singh, semasa anak 4-6 bulan adalah waktu kritikal untuk mak ayah dapatkan “special bonding” dengan bayi. Maka, mak ayah WAJIB elakkan bayi menangis lama kerana waktu ini anak sedang belajar sayang dengan orang yang selalu “tolong” semasa mereka menangis. Semakin anak percaya mak ayah, semakin kurang dia menangis. Anak yang kerap dibiarkan menangis semasa ini mungkin mempunyai masalah untuk mempunyai “bonding” dengan mak ayah di masa akan datang.
– Dah mula belajar memanipulasi mak ayah dengan menggunakan tangisan.
– Mempunyai masalah “separation anxiety” iaitu resah apabila terpisah.
– Menangis apabila berjauhan.
– Rasa tidak selamat dengan tempat, barang atau orang yang tidak dikenali.
Waktu ini memang fasa anak sedang belajar untuk hidup dan mengenalpasti yang mana selamat dan tidak selamat. Banyak menangis disebabkan takut dengan benda baru atau sebab berjauhan dengan mak ayah. Anak ingat yang mak ayah akan hilang selamanya jika dia tak nampak disebabkan masalah dengan”object permanence” terutamanya semasa bawah 8 bulan.
Sewaktu ini mak ayah dah boleh tinggalkan anak menangis sebentar untuk mengajar anak yang kita tak hilang pun jika kita pergi ke tandas sekejap. Kemahiran “object permanence” ini akan mula develop semasa 4-7 bulan dan akan betul-betul ada apabila bayi umur 8 atau 9 bulan.
– Fasa autonomi, perasaan konfiden untuk melakukan sesuatu dengan sendiri dan kebolehan buat sesuatu atau fikir tentang diri sendiri.
– Sedang belajar mengurus emosi yang pelbagai, (marah, sedih, cemburu, malu, kecewa dll).
Ini adalah waktu yang paling mencabar dan kritikal untuk anak belajar mengurus emosi sendiri. Anak yang mengalami masalah lewat perkembangan bahasa selalunya akan mempunyai masalah tingkahlaku. Masalah tingkahlaku menyebabkan anak lagi kerap menangis. Semakin anak membesar, semakin mereka kurang menangis kerana dapat meluahkan perasaan dengan kata-kata.
Periksa dan analisa satu persatu, jika semua tak ada masalah. Cuba peluk dan dukung anak, kalau anak diam dari menangis bermakna mereka perlukan pelukan dan perhatian mak ayah kerana pelukan juga salah satu keperluan sensori anak terutamanya semasa bawah 3 tahun.
Kalau dah buat semua benda tapi anak tetap menangis, mungkin ada perkara yang mereka sendiri tak tahu atau melibatkan kecelaruan emosi mereka sendiri.
Ingat kita sahaja ada masalah emosi, anak juga ada terutamanya semasa 18 bulan – 3 tahun. Ada masa yang kita buat semua cara untuk pujuk anak menangis tetapi semua tak jalan. Makin kita pujuk, makin teruk anak menangis sambil tutup mata.
Jika mak ayah menghadapi waktu ini, cara yang terbaik adalah tinggalkan anak menangis sekejap sambil kita pun tenangkan emosi sambil fikir dan analisa punca anak menangis teruk. Bila anak dah mula menangis perlahan dan mula buka mata serta pandang sekeliling barulah mak ayah datang kepada anak dan peluk.
Mengatasi anak mengamuk waktu ini sangat memerlukan kemahiran menganalisa mak ayah. Sama ada anak menangis disebabkan oleh perkara yang boleh diatasi atau yang tidak dapat diatasi:
– Nak urus diri sendiri (pakai baju, buka seluar, makan minum sendiri)
– Nak pergi ke tempat yang boleh diterima dan selamat.
– Main mainan yang susah.
– Nak memanjat atau main di tanggga.
– Makan atau minum makanan yang tidak sesuai (air bikarbonat, sup pedas, air panas, ubat mak ayah).
– Pergi tempat yang bahaya atau tak sesuai (naik tangga rumah orang lain, jalan raya)
Jika anak menangis disebab A, cara terbaik adalah mak ayah latih skil-skil penting anak sambil beri sokongan pada anak. Semakin cepat anak pandai buat sendiri, semakin kurang episod menangis anak. Kalau anak menangis disebabkan nak memanjat, banyakkan bawa anak pergi memanjat di taman.
Jika anak menangis disebabkan B, tak ada cara lain selain alihkan perhatian anak atau tinggalkan anak menangis sebentar sambil terangkan kenapa anak tak boleh pergi atau makan apa yang dia nak.
Jangan sesekali, anak menangis kita marah mereka menangis sebab menangis tak salah. Inilah satu-satunya cara anak untuk lepaskan perasaan mereka. Anggaplah anak seperti diri kita sendiri yang terperangkap di dalam badan budak kecil yang tersesat di planet lain dan bahasa lain.
Bila kita letakkan mindset sebegini, pasti kita kurang stress bila mengurus anak menangis. Emosi mak ayah sangat memainkan peranan terhadap perkembangan emosi anak. Kalau kita mahu anak belajar mengurus emosi sendiri, pastikan kita pandai dahulu uruskan emosi.
TEKNIK “CRY IT ALL”
Jika mak ayah dah baca sampai habis, agak-agak berapa lama jangka masa kita biarkan anak menangis?
– 1 minit, 5 minit, 10 minit, 30 minit?
Tak ada
Semuanya bergantung kepada perkembangan anak dan kenapa anak menangis. Setiap personaliti anak berbeza sejak mereka 4 bulan lagi. Berdasarkan pengalaman menterapikan beribu kanak-kanak, saya setuju dengan kenyataan ini kerana memang ada anak yang memang “tahan menangis” sehingga berjam-jam.
Teknik “cry it out” tak berkesan untuk semua anak. Tak kiralah nak ajar anak tidur sendiri, nak bercerai susu ataupun mengasingkan tempat tidur.
Saya sendiri pernah cuba lakukan teknik ini kepada anak saya sendiri kononnya untuk “mengajar” anak saya tidur sendiri dan saya menyesal. Hasilnya anak saya tetap tak dapat tidur, tahan menangis 1 jam dan emosinya terganggu serta dia jadi sangat sensitif disebabkan emosinya tercedera. Ambil masa lebih kurang seminggu untuk pulihkan emosinya.
Ada masa yang kita mak ayah sendiri tahu adakah anak kita bersedia atau tidak. Jangan terlampau terikutkan orang. Tenunglah mata anak dan tataplah muka anak, adakah anak bersedia?
Jika anak kerap sangat menangis dan mak ayah pernah terfikir untuk cederakan anak, sila dapatkan bantuan profesional. Saya percaya tak semua orang mampu mendengar tangisan anak kerana deria auditori setiap orang berbeza. Jangan malu-malu untuk minta tolong pasangan, keluarga atau profesional untuk membantu
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Jangan lupa untuk saksikan power talk istimewa #Nifightagainstcancer yang akan berbincang tentang topik kanser pada 18 November 2020 ini!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tentu ramai di kalangan kita yang mempunyai masalah berkaitan alahan dan alergi. Selalu selsema, gatal-gatal kulit, mata, telinga, hidung dan bermacam-macam lagi. Untuk yang ada anak-anak, dah tentu masalah ini menjadi suatu perkara yang amat berat untuk kita terima.
Puas dah kita cari rawatan, mana-mana tempat kita dah pergi untuk berubat, namun masalah anak kita masih tidak selesai. Apa masalahnya ini?
Masalah alahan ini berlaku akibat tindak balas sistem imun tubuh kita kepada beberapa faktor allergen. Akibatnya tubuh kita akan mengalami gejala alahan seperti saya sebut tadi.
Beberapa punca biasa menyebabkan simptom ini berlaku perlu dikenalpasti oleh pesakit sendiri dan juga ibu bapa. Kita sebut sebagai ‘allergen’. Ini amat penting bagi memastikan gejala sama tidak berulang lagi.
Walaubagaimanapun, selain daripada gejala yang biasa ditemui, salah satu keadaan berbahaya boleh berlaku kepada pesakit. Jika ini berlaku, maka langkah perlu dan segera perlu dilakukan. Bawa ke hospital!
Anafilaksis adalah tindak balas alergi yang boleh mengancam nyawa. Ia boleh berlaku secara tiba-tiba, berlaku sebaik sahaja pendedahan kepada faktor alergen berlaku. Keadaan ini akan menjejaskan seluruh sistem badan pesakit!
Histamines dan bahan kimia lain dikeluarkan dari pelbagai tisu di seluruh badan, menyebabkan gejala berbahaya seperti:
Beberapa risiko meningkatkan kebarangkalian serangan ini berlaku.
Jika anda atau anak-anak anda mengalami gejala alahan yang luar biasa, jangan biarkan di rumah. Segera dapatkan pemeriksaan doktor.