
Tinggal kira-kira dua bulan sahaja lagi sebelum Matriks Pembelajaran Tahun 4 dilaksanakan. Tidak hairanlah jika ada ibu bapa yang mula bimbang anak belum sempat menguasai semua topik yang dipelajari.
Namun, ibu ayah tidak perlu terlalu cemas sehingga memberikan tekanan berlebihan kepada anak. Pentaksiran ini bukan sekadar mahu melihat berapa banyak fakta yang mampu dihafal, sebaliknya bertujuan mengenal pasti tahap pembelajaran murid selepas mengikuti pendidikan dari Tahun 1 hingga Tahun 4.
Dengan memahami tujuan sebenar pentaksiran ini, ibu bapa dapat membantu anak membuat persediaan secara lebih tersusun tanpa mewujudkan tekanan yang tidak perlu.

Apakah Matriks Pembelajaran Tahun 4?
Matriks Pembelajaran Tahun 4 merupakan pentaksiran yang diperkenalkan di bawah Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035.
Pentaksiran ini dilaksanakan bagi memberikan gambaran yang lebih jelas tentang tahap penguasaan murid selepas mereka mengikuti pembelajaran di sekolah rendah.
Melalui keputusan yang diperoleh, guru boleh mengenal pasti:
- Tahap penguasaan murid.
- Kekuatan dan kelemahan dalam pembelajaran.
- Topik atau kemahiran yang masih belum dikuasai.
- Bentuk intervensi dan sokongan yang diperlukan.
Maklumat ini membolehkan guru merancang kaedah pengajaran yang lebih sesuai mengikut keperluan setiap murid supaya proses pembelajaran menjadi lebih berkesan.
Bila Matriks Pembelajaran Tahun 4 Dilaksanakan?
Bagi tahun 2026, Matriks Pembelajaran Tahun 4 dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 8 Oktober 2026.
Pelaksanaannya dibuat secara berfasa seperti berikut:
- Tahun 2026 – Pengukuran Pembelajaran Tahun 4.
- Tahun 2027 – Pengukuran Pembelajaran Tingkatan 3.
Jadual rasmi pentaksiran boleh dirujuk melalui portal Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Mata Pelajaran Yang Dinilai
Soalan pentaksiran melibatkan kandungan pembelajaran dari Tahun 1 hingga Tahun 4 bagi mata pelajaran berikut:
- Bahasa Melayu
- Bahasa Inggeris
- Matematik
- Sains
- Bahasa Cina bagi murid SJKC
- Bahasa Tamil bagi murid SJKT
Ini bermakna murid perlu menguasai asas pembelajaran yang telah dipelajari sepanjang empat tahun pertama persekolahan.

Bukan Hafalan Semata-mata
Matriks Pembelajaran Tahun 4 bukan sekadar menguji hafalan fakta. Paling penting murid perlu memahami konsep dan mampu menggunakan pengetahuan tersebut dalam situasi yang berbeza.
Antara aspek yang dinilai ialah:
- Pengetahuan.
- Pemahaman dan aplikasi.
- Penyelesaian masalah.
- Penaakulan.
- Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
Oleh itu, ulang kaji secara memahami konsep, membuat latihan dan membincangkan penyelesaian lebih membantu berbanding menghafal jawapan semata-mata.
Bagaimana Jawapan Murid Diperiksa?
Skrip jawapan akan diperiksa oleh guru mata pelajaran di sekolah masing-masing berdasarkan skema pemarkahan yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan.
Proses moderasi dan verifikasi turut dilaksanakan bagi memastikan pemarkahan dibuat secara seragam, telus dan adil. Tempoh menjawab bagi setiap mata pelajaran ialah 1 jam 15 minit.
Bagi murid berkeperluan pendidikan khas yang mengikuti pendidikan arus perdana, tambahan masa antara 30 hingga 60 minit diberikan mengikut keperluan masing-masing.
Adakah Keputusan Digunakan Untuk Kemasukan SBP atau MRSM?
Ramai ibu bapa tertanya-tanya sama ada keputusan Matriks Pembelajaran Tahun 4 akan menentukan peluang anak memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) atau sekolah khusus.
Berdasarkan penjelasan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pentaksiran ini bukan syarat kemasukan ke SBP, MRSM atau sekolah khusus.
Ia juga bukan pengganti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Sebaliknya, pentaksiran ini dilaksanakan secara berpusat menggunakan instrumen yang sama bagi mendapatkan gambaran menyeluruh tentang tahap pembelajaran murid di seluruh negara.
Maklumat lanjut boleh dirujuk melalui Soalan Lazim Matriks Pembelajaran yang diterbitkan oleh KPM.

Cara Membantu Anak Membuat Persediaan
Dalam tempoh berbaki sebelum pentaksiran berlangsung, ibu ayah boleh membantu anak dengan langkah berikut:
- Menyusun jadual ulang kaji yang realistik.
- Memberikan tumpuan kepada topik asas yang masih lemah.
- Menggalakkan latihan berbentuk aplikasi dan penyelesaian masalah.
- Memastikan anak mendapat rehat yang mencukupi.
- Menjaga pemakanan dan waktu tidur yang berkualiti.
- Mengelakkan perbandingan dengan pencapaian rakan lain.
Selain itu, ibu bapa digalakkan mewujudkan suasana pembelajaran yang positif di rumah. Sokongan emosi dan galakan yang konsisten mampu meningkatkan keyakinan anak ketika membuat persediaan.
Kesimpulan
Matriks Pembelajaran Tahun 4 bukan penentu keseluruhan masa depan anak.
Matlamat utama pentaksiran ini ialah membantu guru dan ibu bapa memahami tahap pembelajaran murid supaya sokongan yang sesuai dapat diberikan.
Dengan persediaan yang konsisten, ulang kaji yang terancang serta sokongan daripada keluarga, anak akan lebih bersedia menghadapi pentaksiran ini tanpa tekanan yang berlebihan.

Anak akan dapat akaun Simpan SSPN bernilai RM30, goodies istimewa dan sijil penyertaan. Sambil bermain, dapat hadiah! Daftarkan anak segera di: https://www.majalahpama.my/edutainment-fest/
Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!
Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia
Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





