
“Ibu kena kuat.” Ayat ini mungkin kedengaran seperti kata-kata semangat. Namun apabila terlalu kerap diucapkan kepada seorang ibu yang sedang penat menguruskan anak, rumah, kerja dan pelbagai tanggungjawab lain, ia kadang-kadang boleh terasa begitu berat.
Seolah-olah seorang ibu tidak dibenarkan penat. Tidak boleh menangis. Tidak boleh mengeluh. Tidak boleh meminta ruang untuk dirinya sendiri kerana semua orang mengharapkan dia sentiasa mampu menguruskan segalanya.
Hakikatnya, seorang ibu juga manusia biasa. Di sebalik insan yang setiap hari menyediakan keperluan anak, memujuk ketika anak menangis, berjaga malam, menguruskan rumah dan memastikan semuanya berjalan lancar, ada seorang wanita yang juga perlukan masa untuk berhenti seketika dan berehat. Ada masanya, sedikit Me Time juga diperlukan supaya ibu mempunyai ruang untuk menjaga dirinya sendiri.

Bila Terlalu Lama ‘Kena Kuat’, Tubuh Pun Boleh Beri Tanda
Rasa penat selepas seharian menguruskan anak memang biasa. Namun tekanan yang berpanjangan tidak seharusnya dipandang ringan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), stres memberi kesan kepada minda dan tubuh. Apabila stres menjadi terlalu tinggi, seseorang boleh mengalami kesukaran untuk berehat, mudah marah, sukar menumpukan perhatian, sakit kepala, gangguan perut, perubahan selera makan serta masalah tidur. Stres kronik juga boleh memburukkan masalah kesihatan yang sedia ada.
Jadi apabila seorang ibu berkata dia penat, jangan terus menganggap dia hanya perlu “kuatkan semangat”. Kadang-kadang tubuh dan emosinya sedang memberitahu bahawa dia benar-benar memerlukan rehat dan sokongan.
Ibu Tak Perlu Jadi ‘Superwoman’ Setiap Masa
Selepas mempunyai anak, kehidupan seorang wanita boleh berubah dengan begitu banyak. Jika dahulu dia mungkin mempunyai masa untuk tidur dengan cukup, keluar bersama kawan, membaca buku atau sekadar duduk menikmati secawan kopi tanpa gangguan, kini kebanyakan masanya mungkin tertumpu kepada anak.
Bangun pagi, uruskan anak. Nak makan, fikir anak sudah makan atau belum. Nak tidur, pastikan anak sudah lena.
Malah ketika keluar rumah sekali pun, fikirannya masih tertanya-tanya sama ada susu cukup, lampin sudah dibawa, anak selesa atau tidak dan bermacam-macam lagi.
Lama-kelamaan, keletihan bukan sahaja boleh dirasakan pada tubuh tetapi juga emosi. Malah dalam bidang psikologi, terdapat istilah parental burnout yang digunakan untuk menggambarkan keletihan melampau berkaitan peranan sebagai ibu atau bapa.
Kajian semakan mendapati parental burnout merupakan keadaan yang kompleks dan dipengaruhi pelbagai faktor termasuk tekanan keibubapaan, hubungan pasangan, sokongan sosial dan tuntutan menjaga anak. Ia juga bukan sekadar “penat biasa”.

‘Me Time’ Bukan Bererti Ibu Pentingkan Diri
Ada ibu yang berasa bersalah apabila mahu keluar seorang diri. Baru sejam meninggalkan anak bersama suami atau ahli keluarga, hati sudah tidak tenang. Sedangkan mengambil sedikit masa untuk diri sendiri bukan bermaksud seorang ibu tidak sayangkan anak.
Malah WHO menyenaraikan self-care atau penjagaan diri sebagai sebahagian daripada usaha menjaga dan mengekalkan kesihatan. Ia termasuk amalan seperti mendapat tidur yang mencukupi, aktif secara fizikal, mengambil makanan yang sihat dan terus berhubung dengan orang lain.
Jadi, Me Time tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang mementingkan diri. Kadang-kadang Me Time seorang ibu hanya sesederhana:
- mandi dengan tenang tanpa tergesa-gesa,
- tidur sebentar ketika ada orang menjaga anak,
- minum kopi seorang diri,
- berjalan di luar rumah,
- membaca buku,
- menonton cerita kegemaran,
- berjumpa kawan,
- bersenam,
- melakukan kembali hobi yang disukai, atau
- duduk diam tanpa perlu menyelesaikan kerja rumah buat seketika.
Yang penting, ibu mempunyai ruang untuk dirinya sendiri tanpa rasa bersalah.
Cuba Teknik Pernafasan Bila Emosi Terasa Penuh
Ada masa ibu tidak mempunyai peluang untuk keluar rumah atau mendapatkan Me Time yang panjang. Jika hanya ada beberapa minit, teknik pernafasan perlahan boleh dijadikan salah satu cara mudah untuk menenangkan diri ketika stres.
National Health Service (NHS) United Kingdom mencadangkan latihan pernafasan untuk stres, keresahan dan panik yang boleh dilakukan dalam keadaan duduk, berdiri atau berbaring.
Antara caranya ialah bernafas masuk perlahan melalui hidung, kemudian menghembus keluar secara perlahan. Jika selesa, boleh mengira satu hingga lima ketika menarik dan menghembus nafas. Latihan ini disarankan dilakukan sekurang-kurangnya sekitar lima minit dan diamalkan secara berkala untuk mendapat manfaat yang lebih baik.
WHO juga mempunyai panduan pengurusan stres Doing What Matters in Times of Stress yang menggunakan teknik seperti memberi perhatian kepada apa yang sedang berlaku, grounding, memberi ruang kepada emosi dan bersikap lebih baik kepada diri sendiri. Malah beberapa minit latihan setiap hari boleh digunakan untuk mempraktikkan kemahiran pengurusan stres tersebut.

Me Time Juga Sebahagian Daripada Menjaga Diri
Ibu tidak perlu menunggu sehingga terlalu penat atau emosi benar-benar habis sebelum memberikan sedikit ruang kepada diri sendiri. Berehat seketika bukan bermaksud mengabaikan tanggungjawab. Sebaliknya, ia memberi peluang kepada tubuh dan fikiran untuk kembali mendapatkan tenaga.
Me Time juga tidak semestinya memerlukan masa berjam-jam atau aktiviti yang mahal. Kadang-kadang beberapa minit duduk dengan tenang, menarik nafas atau melakukan sesuatu yang disukai sudah cukup untuk memberikan sedikit ruang kepada diri sendiri.
Dan apabila seorang ibu berkata dia penat, mungkin dia tidak perlukan orang lain untuk terus mengingatkannya supaya menjadi kuat. Kadang-kadang apa yang lebih diperlukan hanyalah seseorang yang memahami, membantu meringankan tugas dan memberikan ruang untuk dia berehat tanpa rasa bersalah.
Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!
Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia
MamaKerja2026 Dibuka 17 Ogos Ini, Ibu Bekerja Selangor Dapat RM1,000!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

