Pasukan peguam yang mewakili Puan Noraidah Lamat, 45, ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, mengambil keputusan untuk menahan diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan laporan bedah siasat anaknya. Keputusan ini dibuat bagi mengelakkan percanggahan maklumat sebelum laporan rasmi pihak hospital dikeluarkan.
Menurut kenyataan bersama peguam Shahlan Jufri dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi, mereka mahu memastikan segala maklumat yang dikongsi kepada orang ramai adalah tepat dan tidak menimbulkan kekeliruan. Tambahan pula, kes ini cukup sensitif dan menyentuh hati banyak pihak.
Ads
“Demi mengelakkan berlaku percanggahan di antara laporan lisan bedah siasat yang dimaklumkan kepada kami dan ibu Zara Qairina selepas tamatnya bedah siasat pada Ahad lalu dengan laporan rasmi bedah siasat yang akan dikeluarkan oleh pihak hospital, kami menahan diri dari mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan laporan itu,” kata mereka.
Terima kasih kepada semua yang terlibat
Dalam kenyataan itu juga, mereka menyampaikan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara kerana mengarahkan pihak polis membuat permohonan untuk menggali semula kubur arwah bagi menjalankan proses bedah siasat. Ucapan terima kasih turut diberikan kepada pihak polis yang mengawal ketat sepanjang proses berkenaan bagi memastikan ia berjalan lancar.
Ads
Tidak dilupakan, ucapan terima kasih juga ditujukan kepada pengamal media yang setia berada di tanah perkuburan dan di sekitar Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dari pagi hingga malam, bagi membuat liputan proses penggalian semula, pengebumian dan bedah siasat arwah.
Ads
“Sokongan anda semua amat kami hargai,” tambah mereka.
Dari mata hati seorang ibu
Bagi seorang ibu, kehilangan anak adalah luka yang tidak pernah sembuh. Apa yang sedang dilalui oleh Puan Noraidah memerlukan kekuatan luar biasa. Keputusan pasukan peguam untuk berdiam diri sementara waktu adalah satu langkah bijak demi menjaga emosi keluarga dan menghormati proses siasatan.
Semoga Allah SWT mengurniakan ketabahan buat Puan Noraidah, keluarga serta semua yang menyayangi arwah Zara Qairina. Kita sama-sama doakan agar kebenaran akan terungkap dan arwah ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia atau NASOM melakar satu detik bersejarah apabila memperkenalkan identiti baharu organisasi, sekali gus merasmikan Pejabat Sekretariat NASOM yang kini beroperasi di Ara Damansara, Petaling Jaya.
Majlis bermakna ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Inisiatif ini bukan sekadar perubahan visual, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan NASOM sebagai peneraju perkhidmatan serta advokasi autisme di Malaysia.
Pengenalan logo baharu NASOM membawa aspirasi untuk tampil lebih moden, progresif dan relevan dengan keperluan semasa komuniti autisme. Ia melambangkan semangat penerimaan, kefahaman serta sokongan berterusan terhadap individu dalam spektrum autisme yang memerlukan pendekatan berbeza sejak usia awal.
Menurut Mohd Nazrul Mohd Amin, Presiden NASOM, logo baharu ini merupakan medium pemerkasaan yang mencerminkan komitmen organisasi untuk terus responsif terhadap aspirasi komuniti autisme dan keluarga mereka.
Beliau turut menegaskan bahawa identiti baharu ini menjadi simbol bahawa setiap suara ibu bapa, penjaga serta individu autisme sentiasa dihargai dan diambil kira dalam hala tuju organisasi.
Logo baharu NASOM direka dengan elemen simbolik yang sarat makna dan nilai empati. Simbol infiniti melambangkan konsep neurodiversiti, iaitu kefahaman bahawa perbezaan neurologi seperti autisme bukan kekurangan, sebaliknya variasi semula jadi manusia yang wajar diterima dan dihormati.
Simbol dua titik air pula menggambarkan fleksibiliti serta keupayaan menyesuaikan diri, selari dengan realiti kehidupan anak autisme yang memerlukan sokongan berterusan mengikut persekitaran dan fasa perkembangan mereka.
Dari sudut warna, setiap tona membawa mesej tersendiri. Merah jambu melambangkan kasih sayang, empati dan belas kasihan, manakala warna firus mencerminkan ketenangan, kestabilan emosi serta kejelasan. Biru pula membawa makna kepercayaan, keselamatan dan rasa damai.
Gabungan ini menjadikan logo baharu NASOM bukan sekadar identiti visual, tetapi simbol sokongan emosi buat keluarga anak autisme.
Perasmian Pejabat Sekretariat NASOM menandakan langkah penting dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan dan sokongan komuniti. Menurut Julian Wong, Pengerusi NASOM, sekretariat ini akan menjadi nadi utama kepada perancangan program, kerjasama strategik serta usaha advokasi.
Pejabat ini juga diharap menjadi pusat rujukan buat ibu bapa yang memerlukan bimbingan, maklumat dan sokongan sepanjang perjalanan membesarkan anak dalam spektrum autisme.
Ditubuhkan pada 3 Mac 1987, NASOM telah lebih 38 tahun komited menyediakan sokongan sepanjang hayat kepada individu autisme. Antara program yang ditawarkan termasuk intervensi awal, intervensi intensif, terapi cara kerja, latihan vokasional serta pembangunan kemahiran.
Kini, NASOM mengendalikan 18 pusat di seluruh negara dan memberi perkhidmatan kepada lebih 400 pelajar dengan sokongan 120 kakitangan termasuk guru terlatih.
Sebagai pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, NASOM terus bergantung kepada sokongan masyarakat melalui pelbagai inisiatif kesedaran, program komuniti dan pengumpulan dana.
Dengan sokongan, kefahaman dan penerimaan masyarakat, anak-anak autisme mampu membesar dengan yakin serta mencapai potensi terbaik mereka.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hati ibu mana yang tak tercalar bila lihat anak dikasari di sekolah. Kes tular seorang kanak-kanak yang dikasari seorang pengasuh di sebuah tadika turut mengundang kemarahan pelakon dan pengacara, Elly Mazlein.
Elly yang juga ibu kepada dua orang cahaya mata ini mengakui amat terkesan selepas menonton video yang tular beberapa hari lalu.
Bahkan kata Elly, kerjaya mengasuh dan mendidik kanak-kanak di sekolah perlukan kesabaran yang tinggi dan tidak sewenang-wenangnya memegang amanah itu.
“Kalau nak jaga budak, kau kena bersabar. Kalau kena dekat anak-anak aku, lunyai kau ni. Hal lain no last, no 1 kau lunyai dulu.
“Aku ni menggelegak je tengok & baca. Apa nak jadi la orang sekarang ni. Kesal,” tulisnya tegas menerusi Instagramnya.
Bahkan kata Elly lagi menerusi perkongsiannya di Instagramnya, setiap sekolah perlu mempunyai CCTV yang lengkap serta guru-guru yang berpengalaman selayaknya.
Malah turut mengesyorkan beberapa panduan terbaik agar amanah menjaga anak-anak dapat dilaksanakan dengan telus.
Perkongsian dari Elly itu sudah semestinya mendapat sokongan wargamaya.
“Wajibkan semua ada nursery ada CCTV. Ibu bapa berhak untuk tengok. Kalau tak dibenarkan tengok, kau dah kenapa tak bagi tengok? Memang sesuatu.
“Pekerja harus kursus, jangan nak kaut untung saja, main ambil je pekerja tak ada pengalaman.
“Pekerja pun harus ada minat dalam kerja menjaga anak. Bukan main tangkap muat je. Lepas tu suka-suka hati kau je tak boleh salahkan sekolah.
“Sekolah harus bertanggungjawab sebab mereka yang ambil pekerja sampah macam ni,” tulisnya lagi.
Pernah tular gambar fotogenik bersama kerbau kesayangan, Syukor, ‘Mowgli Malaysia’ kembali tarik perhatian. Suatu ketika dahulu, pernah tular gambar ikonik seorang kanak-kanak bersama kerbau ternakannya. Gambar tersebut bukan sahaja mencuri tumpuan ramai, malah mencipta fenomena yang luar biasa.
Keunikan hubungan erat antara kanak-kanak dan haiwan peliharaannya berjaya menarik perhatian dunia dan diiktiraf dalam pelbagai pertandingan fotografi peringkat antarabangsa.
Gambar itu mula terkenal selepas dipilih untuk dipamerkan di Austrian Cultural Forum, Itali, sebagai sebahagian daripada himpunan gambar terbaik Alfred Fried Photography Award 2018.
Pencapaian ini merupakan satu kebanggaan, bukan sahaja kepada jurugambar yang mengambil gambar tersebut, tetapi juga kepada kanak-kanak yang menjadi subjek utama dalam karya tersebut.
Tidak terhenti di situ, gambar tersebut turut memenangi Anugerah Istimewa dari Siena International Photo Awards dalam kategori Wajah dan Karektor Menarik. Anugerah ini mengiktiraf kekuatan emosi dan ekspresi wajah yang ditampilkan dalam gambar, memperlihatkan keistimewaan hubungan antara manusia dan haiwan.
Selain itu, kejayaan gambar ini diteruskan apabila ia dinobatkan sebagai pemenang Asian Geographic: Imej Asia 2018 bagi kategori Manusia atau Jalanan (Street or People). Pencapaian ini mengukuhkan lagi status gambar tersebut sebagai karya yang tidak hanya indah dari segi visual, tetapi juga membawa makna mendalam tentang kehidupan dan keakraban manusia dengan alam sekitar.
Difahamkan, kanak-kanak yang berusia 14 tahun dalam gambar tersebut ialah Mohd Syukor Khamis, yang terkenal dengan hubungan erat bersama kerbau-kerbau ternakannya. Syukor, dengan wajahnya yang tenang dan penuh kasih sayang, telah berjaya menawan hati jutaan orang melalui gambar tersebut.
Hubungan uniknya dengan kerbau telah menjadi simbolik kepada keakraban manusia dengan haiwan, memperlihatkan nilai-nilai kasih sayang, kepercayaan, dan penjagaan.
Kejayaan gambar ini bukan sahaja mengangkat nama Syukor, tetapi juga membuka mata dunia kepada keindahan dan kekuatan hubungan antara manusia dan haiwan. Ia adalah peringatan tentang pentingnya memelihara dan menghargai alam sekitar, serta bagaimana hubungan ini boleh mencipta kenangan indah yang dirakam dalam gambar.
Gambar ikonik Mohd Syukor bersama kerbaunya akan terus dikenang sebagai lambang kasih sayang, keakraban, dan kejayaan yang mampu melangkaui sempadan budaya dan geografi.
Ia merupakan inspirasi kepada generasi muda dan masyarakat, bahawa kasih sayang kepada haiwan dan alam semulajadi mempunyai keindahan dan makna yang tidak ternilai harganya.
Baru-baru ini, Syukor kembali menjadi perhatian apabila GIATMARA Malaysia menerusi laman Facebook berkongsi gambar terkini ‘Mowgli Malaysia’ itu sebagai salah seorang pelajar di institut tersebut.
“Macam kenal? Mungkinkah dia? Raut wajah ini seperti insan dikenali yang pernah tular satu masa dahulu.
“Kini beliau telah berjaya menamatkan Kursus Teknologi Motosikal selama 6 bulan di GIATMARA Hulu Terengganu.
“Beliau telah beraksi di Ekspo TVET@KKDW dalam pertandingan servis motosikal yang diadakan di Melaka tempoh hari.
“Dengan jolokan ‘Mowgli Malaysia’ sebelum ini, beliau kelihatan selesa bersama peliharaannya yang kelihatan begitu akrab dan bersahaja.
“Ya benar! Beliau adalah Syukor Khamis- ‘The Kampung Boy’ yang pernah tular bersama kerbau kesayangan sejak beliau masih kecil lagi,” tulis hantaran di laman Facebook.
Tambah GIATMARA, Syukor memilih bidang kemahiran motosikal kerana ingin meneruskan legasi keluarga yang memiliki bengkel motosikal sendiri.
Berikut hantaran di TikTok GiatMara:
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut mencuri perhatian ramai warga maya yang kagum dengan perkembangan terkini Syukor.
Ramai yang tidak menyangka kanak-kanak yang pernah membintangi telemovie “Budok Kuba” itu kini telah dewasa.
Berikut antara komen-komen warga maya di laman Facebook GiatMara:
“Hebat anak bangsa. Beginilah yang selalu kita harapkan pada anak bangsa. Tak pandai akademik tak mengapa tapi bijak dalam bidang yang lain. Jauhi dadah.. Tahniah MARA. Terus terang. MARA Memang terbaik dan banyak membantu anak bangsa.”
“Selamat Maju Jaya the Kampung Boy.”
“Wahhhhh! Dah remaja Syukor.”
“Syukur Khamis the kampung boy.”
“Alhamdulillah, selamat maju jaya.”
Sumber: Facebook GIATMARA Malaysia TikTok GIATMARA dan Facebook Syukor Khamis – Kampong Boy