Wanita khususnya yang sudah melalui proses kelahiran mempunyai risiko untuk mengalami rahim jatuh. Lebih berbahaya jika ia berlaku tanpa disedari dan seterusnya menggugat kesihatan rahim. Dr Siti Aishah Daud, Pakar Perbidanan & Sakit Puan Subang Jaya Medical Centre memberikan penjelasanan mengenai keadaan ini.

Meneran Lebih Awal Semasa Proses Kelahiran Boleh Menyebabkan Rahim Jatuh! Kenali 10 Lagi Punca

Rahim jatuh ialah keadaan di mana tisu atau ligamen yang menyokong organ pelvis seperti rahim dan pundi kencing menjadi lemah. Ia lazimnya terjadi kepada wanita yang sudah melahirkan anak dan wanita yang sudah menopaus. Semakin meningkat usia, maka semakin meningkat risiko rahim jatuh.

Ia terbahagi kepada empat tahap;

Pertama: Rahim turun sedikit daripada kedudukan asal iaitu kira-kira 1 cm dari dalam ke pangkal rahim.

Kedua: Rahim seperti terkeluar tidak melebihi 1cm daripada pangkal rahim.

Ketiga: Rahim terkeluar melebihi 2cm daripada panjang vagina.

IKLAN

Keempat: Rahim terkeluar daripada vagina dan tidak boleh masuk semula.

Terdapat keadaan di mana wanita mengalami rahim jatuh disebabkan oleh kecacatan kongenital di mana ligamen pada pelvis sudah sedia longgar sejak lahir?
Ia disebabkan oleh sindrom Morfan serta Ehler-Danlost yang berkaitan dengan masalah gentian kolagen dalam badan.

Punca

Rahim jatuh disebabkan oleh beberapa faktor yang berkaitan dengan kesihatan dalaman dan keadaan sekeliling. Bagi wanita dalam usia produktif dan belum menopaus, ia boleh disebabkan oleh pelbagai punca.

IKLAN
  1. Proses kelahiran yang rumit yang melibatkan penggunaan alat bantu seperti forseps dan vakum.
  2. Ibu yang melahirkan bayi yang besar (berat melebihi 3.5kg ke atas) atau kelahiran kembar.
  3. Meneran lebih awal semasa proses kelahiran iaitu sebelum bukaan mencapai 10cm.
  4. Wanita yang mempunyai ramai anak.
  5. Ibu yang mengalami obesiti.
  6. Mengalami ketumbuhan seperti fibroid atau cyst yang bersaiz besar sehingga menekan ke arah pelvis.
  7. Ibu yang mengalami batuk yang berpanjangan.
  8. Ibu yang merokok atau terdedah kepada asap rokok.
  9. Mengalami masalah pernafasan seperti jangkitan pada paru-paru dan tibi yang menyebabkan batuk yang berpanjangan.
  10. Sembelit yang berpanjangan.
  11. Kerap mengangkat objek yang berat walau pun dalam postur badan yang betul.

Tanda-tanda

Wanita seharusnya peka akan tanda-tanda ini. Kedudukan rahim yang semakin menurun akan ditandai dengan pelbagai simptom.

  1. Rasa tidak selesa pada bahagian pelvis atau bawah abdomen.
  2. Kencing tidak lawas.
  3. Mudah terkencing semasa batuk atau bersin.
  4. Sakit belakang atau pinggang (lower back pain).
  5. Rasa panas dan seolah-olah ada sesuatu yang akan keluar daripada vagina apabila mencangkung.
  6. Mengalami keputihan yang banyak.
  7. Pendarahan yang disebabkan oleh ulser pada rahim.

Kesan rahim jatuh

IKLAN

Kedudukan rahim yang rendah daripada kedudukan asal akan mengakibatkan pelbagai masalah. Antaranya ialah jangkitan kuman pada bahagian rahim yang boleh menyebabkan pendarahan dan ulser. Selain itu, kesakitan juga boleh dirasai semasa hubungan intim.

Otot kawalan kencing dan dubur juga menjadi lemah yang menyebabkan najis dan air kencing terkeluar tanpa disedari. Bagi kes rahim jatuh pada tahap keempat, pembedahan buang rahim atau histerektomi akan dilakukan untuk mengelakkan kesakitan dan pendarahan serius. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan ketidakupayaan untuk hamil lagi pada masa akan datang.

Senaman lantai pelvis cegah rahim jatuh

Bagi menguatkan otot dan ligamen yang memegang rahim, rutin senaman lantai pelvis atau kegel amat disarankan. Ia boleh dilakukan semasa hamil dan seawal seminggu selepas bersalin.

Selain itu, wanita juga disarankan untuk mengamalkan diet seimbang dan minum air yang banyak bagi memastikan kekuatan tisu ligamen peranakan kuat. Paling mustahak ialah mengelakkan sembelit. Senaman dilakukan secara berkala untuk mengekalkan berat badan unggul serta menjalan pemeriksaan kesihatan bagi memastikan diri bebas daripada ketumbuhan fibroid dan cyst.

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI