Ketika mengandung anak pertama, kebanyakan bakal ibu berasa keterujaan yang luar biasa. Itu memang perasaan normal.
Gembira, tak sabar, bertuah, bangga, bersemangat, semuanya bersatu menjadi satu kebahagiaan.
Namun, apabila disahkan mengandung anak kedua, cara penerimaan kehamilan sudah berbeza. Bukan tidak gembira dengan rezeki yang datang tetapi perlu lebih kuat, cekal dan realistik tetang kehidupan yang bakal dilalui dengan seorang bayi baharu serta si kecil yang sedang membesar.
Apatah lagi jika anda mengandung anak kedua ketika anak pertama masih lagi berusia bawah 12 bulan. Cabarannya memang berganda.
Berikut antara perbezaan antara kehamilan anak pertama dan anak kedua.
1. Kepenatan
Perkataan ‘penat’ mungkin tidak dapat menggambarkan kepenatan yang dirasai. Masa mengandung anak pertama, anda masih boleh bersantai, bermalas-malasan dan tidur sekejap apabila rasa penat terutama di hujung minggu. Tetapi bila mengandung anak kedua, anda perlu abaikan semua itu sebab si kecil yang sulung perlukan perhatian dan bermacam keinginannya yang perlu dipenuhi.
2. Senaman
Semangat ibu mengandung sulung memang berbeza. Maklumlah banyak masa. Segala tips yang dipelajari daripada majalah, internet semua dipraktiskan termasuklah senaman khusus untuk ibu hamil. Tetapi bila mengandung anak kedua, cukuplah ‘senaman’ melayan kerenah anak sulung. Sudah cukup buat ibu berpeluh. Itu belum lagi bab anak minta didukung!
3. Komen
Masa mengandung anak sulung, ramai yang memuji penampilan berseri-seri. Katanya seri ibu mengandung sulung. Tetapi masa mengandung anak kedua, kebanyakannya memberitahu betapa letihnya diri anda, hairan bagaimana boleh uruskan kehamilan yang meletihkan dan anak kecil yang banyak ragamnya.
4. Lemah kawalan air kencing
Jangan terkejut, jika anda hamil rapat anak kedua, kemungkinan masalah sukar mengawal air kencing akan berlaku terutama ketika bersin, ketawa, batuk dan banyak pergerakan.
5. Perancangan
Bukan pilih kasih tetapi kebanyakan ibu terutama yang mengandung rapat anak pertama dan kedua mungkin tidak sempat melakukan perkara yang sama. Jika hamil anak sulung, semua dirancang dan diuruskan dengan teratur seperti membeli peralatan bayi, menyimpan gambar ‘scan’ bayi setiap kali pemeriksaan kehamilan dan bermacam lagi perkara berkaitan bayi anda. Tetapi bila masuk anak kedua anda tidak sempat hendak melakukan perkara yang sama kerana sibuk menguruskan anak sulung. Jangan rasa bersalah, itu memang normal.
Apa pun cabarannya, raikan kandungan kedua dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan namun dalam masa yang sama layan anak sulung dengan penuh kasih sayang.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ada sebabnya mengapa ibu hamil dilarang tidur posisi terlentang ketika sedang sarat. Tidur terlentang sebenarnya hanya akan membuatkan ibu tidak selesa bahkan lebih teruk lagi, posisi jenis ini hanya akan memberi kesan kepada ibu dan bayi.
Menurut Dr Muhammad Izzat, posisi yang paling disarankan pada ibu hamil pastinya tidur mengiring. Dan ini penyebab tidur terlentang amat dilarang.
Saya sarankan semua ibu mengandung untuk berbaring secara mengiring bila kehamilan dah mencecah 28 minggu. Why?
Kalau ibu berbaring terlentang pada 3 bulan terakhir kehamilan (bermula 28 minggu), rahim yang besar boleh menekan salur darah utama dan kurangkan pengaliran darah pada rahim dan bekalan oksigen pada bayi akan terjejas.
Nak mengiring kiri atau kanan? Mana-mana boleh. Takda masalah.
Kalau memula tidur tu dah mengiring, tetiba bangun da terlentang. Macam mana?
Normal la tu posisi tidur berubah-ubah kan. Yang paling penting, masa nak berbaring – tak kisah la tidur waktu malam atau taking a nap, perlu mengiring kiri/kanan. Bila bangun tu da terlentang tak mengapa.
Apakah risiko bayi meninggal secara tetiba sekiranya saya baring secara terlentang? Kajian menunjukkan secara keseluruhan, risiko kematian bayi secara tiba-tiba berlaku dalam 1 dalam 500 kehamilan.
Kajian terbaru telah mengesahkan bila ibu tidur mengiring, risiko bayi mati secara mengejut dalam kandungan ni dapat berkurang 50 peratus.
Saya pasti, tidur terlentang dengan abdomen yang besar tu pun sebabkan ibu tak selesa kan?
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tinggal lagi dua minggu, MUA Bellaz bakal menyambut kelahiran anak keempatnya yang dijangka bersalin pada penghujung bulan ini.
Menerusi Instagramnya, MUA yang cukup disenangi ramai ini sudah pun mempersiapkan diri untuk ke hospital. Malah kata Bellaz, dia juga sudah pun menyediakan segala keperluan dan menggantung barangan bayi keempatnya yang digelar Baby N.
“Semoga dipermudahkan urusan ku. Harini dah start gantung-gantung baju baby, dah prepair barang-barang standby nak ke hospital bila-bila masa saja.
“Dah 37 weeks dah hampa. Doa Bellaz kita semua dipermudahkan segala urusan. Amenn,” kongsi Bellaz yang turut memohon doa dari semua.
Malah menurut Bellaz lagi, biarpun belum lahir, rezeki anak perempuannya itu mencurah-curah. Banyak hadiah yang sudah pun diterima, khusus untuk menyambut anak keempatnya itu.
“Alhamdulilah rezeki anak, terima kasih yang sudi memberi hadiah kat Baby N. Terima kasih semoga kalian semua dimewahkan rezeki tak disangka sangka Amen.
“Dan saya doakan untuk pejuang-pejuang garisan dua bakal jadi ibu tak lama lagi. Amenn amen ya Allah dikurniakan malaikat kecil dalam rahimmu Aminnn,” kongsinya.
Tidak hanya bersedia untuk menempuh detik cemas bersalin, bahkan Bellaz juga turut bersedekah kepada beberapa orang ibu hamil sebanyak RM500 untuk membeli barang keperluan bayi.
“Bellaz dah transfer RM500 ringgit untuk ibu-ibu bertuah haritu. Dapatlah membeli serba sedikit keperluan baby. Alhamdulilah,” katanya lagi.
Kenali Braxton Hicks, kontraksi palsu semasa hamil atau supaya tiada kekeliruan di kalangan ibu hamil. Ikuti panduan ini supaya mama tidak tersilap lagi.
Menjelang tarikh jangkaan bersalin dua minggu lagi, Shafini mengalami kontraksi. Dia fikir, masa bersalin sudah tiba sehingga mengambil keputusan ke hospital kerana panik. Setelah diperiksa, serviksnya belum terbuka. Selang beberapa hari, kontraksi tersebut datang lagi dan kali ini ia lebih tegang meski pun ritma tidak teratur. Sekali lagi dia ke hospital. Namun, doktor menyuruhnya pulang dengan alasan masa bersalin Shafini belum tiba.
Bagi anda yang bakal bersalin, kontraksi sebegini dikenali sebagai kontraksi palsu. Ia juga dikenali sebagai Braxton Hicks. Hal inilah yang berlaku kepada Shafini sebelum ini. Semakin hampir dengan tarikh jangkaan, kontraksi Braxton Hicks ini akan semakin kuat dan kerap berlaku. Kontraksi ini palsu sehingga menyebabkan sesetengah wanita menyangka proses kelahiran sudah bermula dan bakal bersalin dalam masa terdekat. Ada yang sudah ke hospital tetapi diarahkan pulang ke rumah kerana ia hanyalah Braxton Hicks.
KENALI KONTRAKSI BERSALIN
Ada yang mengatakan kontraksi bersalin adalah seakan-akan senggugut. Kontraksi bersalin adalah keadaan di mana otot uterus yang menguncup dan meregang. Ia digambarkan seperti rasa memulas yang bermula daripada bahagian belakang dan membawa ke bahagian hadapan abdomen. Ada juga yang mengatakan kontraksi bersalin adalah seperti tekanan pada bahagian belakang.
Semasa kontraksi, bahagian abdomen menjadi keras. Kontraksi membantu kelahiran dengan melembutkan bahagian atas uterus (fundus) untuk menguncup dan menebal manakala bahagian bawahnya meregang dan relaks. Keadaan ini membantu bayi meluncur dari dalam uterus ke laluan serviks untuk dilahirkan.
LANGKAH MENGIRA
Sebagai ibu kali pertama atau pertama kali bersalin secara normal, kontraksi sukar untuk dibezakan dengan perkiraan kasar. Maka, langkah-langkah tertentu perlu diambil untuk mengenal pasti kontraksi yang dirasakan. Antara langkah yang perlu diambil ialah seperti berikut;
Jangka masa
Anda boleh membezakan antara kontraksi hendak bersalin dan Braxton Hicks dengan cara mengira sela masa antara kontraksi pertama dan kontraksi kedua. Sekiranya ia menunjukkan bacaan masa yang berbeza dan tidak teratur, maka ia adalah kontraksi Braxton Hicks.
Kontraksi sebenar akan berlaku dalam jarak masa lima minit dengan kontraksi berikutnya. Ia berlaku teratur dan setiap kontraksi berlangsung selama kira-kira 60 saat.
Catatan
Catat masa dan tempoh kontraksi berlangsung pada sekeping bertas untuk membolehkan anda mengenal sama ada kontraksi palsu atau sebenar. Contoh catatan kontraksi bersalin adalah seperti berikut;
WAKTU TEMPOH KONTRAKSI
10:00 PAGI 45 saat
10:10 PAGI 45 saat
10:15 PAGI 55saat
10:20 PAGI 55 saat
10:25 PAGI 60 saat
10:30 PAGI 60 saat
5 minit atau kurang
Sekiranya kontraksi seperti di atas iaitu berlaku pada sela masa lima minit sekali atau kurang, maka anda sedang berada dalam fasa kelahiran aktif. Jangan berlengah. Sila ke hospital dalam kadar segera kerana ia kontraksi bersalin yang sebenar sudah berlaku.
Kontraksi bersalin adalah keadaan di mana otot uterus yang menguncup dan meregang. Ia digambarkan seperti rasa memulas yang bermula daripada bahagian belakang dan membawa ke bahagian hadapan abdomen.
10 INFO MENGENAI BRAXTON HICKS
1. Braxton Hicks adalah kontraksi yang tidak teratur, lemah dan tidak dijangka.
2. Sekiranya posisi atau kedudukan menghentikan kontraksi yang sedang dialami, maka ia adalah Braxton Hicks.
3. Braxton Hicks tidak menyebabkan berlakunya sebarang pendarahan atau kantung air ketuban pecah.
4. Ia adalah kontraksi uterus yang berlaku pada trimester ketiga kehamilan. Ia adalah normal bagi setiap ibu yang hamil. Malah ada yang mendapat kontraksi palsu ini pada trimester kedua lagi.
5. Keadaan ini merupakan persediaan uterus untuk melalui fasa melahirkan kelak.
6. Semakin kerap dan tegangnya Braxton Hicks yang dirasakan, maka semakin hampir dengan kelahiran. Dengan cara ini, mama boleh mengagak masa bersalin dan membuat persediaan mental dan persiapan material.
7. Kebanyakan wanita melaporkan bahawa Braxton Hicks akan berlaku kerap sekiranya mereka tidak meminum air yang cukup.
8. Bagi anak kedua dan seterusnya, Braxton Hicks akan mula dirasai lebih awal.
9. Pergerakan ibu yang aktif juga boleh mencetuskan Braxton Hicks.
10. Hubungan intim khususnya orgasm juga dikatakan penyebab berlakunya kontraksi palsu ini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!