Mufti Wilayah Persekutuan pesan penting bagi ibu ayah pilih nama yang ada makna baik untuk anak yang bakal lahir sebab ada perkaitan dengan keperibadiannya nanti. Jangan terlalu terpengaruh memilih nama yang moden dan terkini tanpa mengambil kira maksudnya.
Jom baca penjelasan dari Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan hal ini.
Soalan:
Assalamualaikum. Saya nak tanya boleh tak kalau saya nak namakan anak lelaki saya dengan nama Dayyan Eijaz. Ada maksud yang tidak baik tak pada nama itu? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Soal pemberian nama anak adalah satu perkara yang dititik beratkan oleh syarak. Ini kerana, penamaan nama yang baik merupakan di antara faktor dalam membentuk peribadi yang soleh pada diri seseorang itu. Berikut merupakan beberapa nas nabawi yang menunjukkan kepada hal tersebut:
Daripada Abu al-Darda’ R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu. Riwayat Abu Daud (4948)
Hadis ini dinilai sanadnya oleh Imam al-Nawawi sebagai jayyid manakala Imam Shamsuddin Abu Bakr Ibn Ayyub mengatakan bahawa hadis ini sebagai hasan. Maka jelas daripada teks hadis di atas menyatakan bahawa hendaklah seseorang itu memperelokkan pemberian nama anak-anak serta kaum kerabatnya.
Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Wahb al-Jusyamiy bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Berikanlah nama dengan nama para anbiya’. Dan nama yang paling dicintai oleh Allah adalah Abdullah dan Abd al-Rahman. Riwayat Abu Daud (4950)
Ads
Berdasarkan hadis di atas, Imam Shamsuddin Abu Bakr Ibn Ayyub menyebutkan bahawa Bani Israil dahulu banyak menamakan anak-anak mereka dengan nama Emanuelle, dan maknanya adalah “Tuhan kami bersama dengan kami”. Oleh yang demikian itu, nama yang paling Allah S.W.T sukai adalah Abdullah dan Abd al-Rahman. Dari sudut seorang kanak-kanak itu, apabila dia dapat berfikir dan berakal kelak akan mengetahui bahawa dia adalah hamba kepada Allah dan Allah adalah sayyidnya dan juga maula (penolong) kepadanya. Rujuk Tuhfah al-Maudud (Hlm. 389).
Perkaitan Di Antara Nama Dan Keperibadian
Sebahagian para ulama menjelaskan bahawa terdapat kaitan yang ketara di antara nama dengan seseorang yang dinamakan dengan nama tersebut. Di antaranya adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Shamsuddin Abu Bakr Ibn Ayyub Rahimahullah dengan katanya: Secara kesimpulannya, akhlak serta perbuatan-perbuatan yang buruk itu ada hubungkaitnya dengan nama.
Demikianlah nama-nama yang baik akan mendorong kepada akhlak dan perbuatan yang baik. Dan tidaklah Rasulullah S.A.W itu dinamakan dengan Muhammad dan Muhammad melainkan kerana banyaknya ciri-ciri dan sifat terpuji pada diri baginda S.A.W. Dan sesungguhnya pemilik nama yang baik kadangkala malu dengan namanya, dan kadangkala disebabkan namanya itulah yang mendorong seseorang melakukan perbuatan yang sesuai dengan namanya serta meninggalkan apa yang bercanggahan dengannya. Lihat Tuhfat al-Maudud Bi Ahkam al-Maulud (Hlm. 250).
Maksud Nama Dayyan Eijaz
Ads
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, berikut kami nyatakan penjelasan berkenaan nama Dayyan Eijaz. Perkataan Dayyan دَيَّانُ mempunyai beberapa maksud seperti berikut:
Di antara nama-nama Allah S.W.T yang baik. Yang membawa erti yang menjatuhkan hukuman (Al-Hakim) dan yang melaksanakan hukuman (Al-Qadhi). Ini berdasarkan sebuah hadis yang mana Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Akan dibangkitkan umat manusia pada hari kiamat dalam keadaan telanjang, tidak berkhatan, serta tidak memiliki sesuatu pun. Kemudian Allah S.W.T menyeru mereka: Aku adalah al-Malik dan Akulah al-Dayyan. Riwayat Ahmad (15612)
Ia juga membawa maksud yang memberikan ganjaran kebaikan terhadap perbuatan baik dan memberikan balasan keburukan terhadap perbuatan jahat.
Ia juga membawa erti al-Qahhar iaitu yang Maha Perkasa.
Saidina Ali bin Abi Thalib R.A juga pernah disifatkan sebagai Dayyan oleh sebahagian salaf dengan kata mereka: Adalah Dayyan bagi umat ini selepas Nabi mereka adalah Ali bin Abi Thalib. Iaitu qadhi dan hakim bagi umat ini.
Manakala perkataan Eijaz إيجاز pula membawa maksud berikut:
Ringkasan, iaitu tidak memanjang-manjang.
Lafaz yang sedikit tetapi mengandungi maksud yang banyak.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami berpandangan bahawa penamaan anak dengan nama Dayyan Eijaz adalah dibolehkan. Ini kerana, nama tersebut tidak membawa maksud yang buruk, dan tidak juga dilarang oleh syarak selain ia turut membawa kepada maksud yang baik. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas lagi terang kepada kita dalam beragama. Ameen.
Anak yang berusia antara 1.5 tahun sehingga 3 tahun sememangnya suka memberontak, campak barang, merajuk, mengamuk, menjerit dan macam-macam lagi drama yang mereka buat semata-mata nak dapat perhatian.
Daripada perkongsian Dr. Rozieta Shaary anak-anak kita ni sebenarnya sedang belajar untuk ekspres diri dia disebabkan dia berasa letih atau kecewa akan sesuatu.
Biasanya bila anak tak dapat sesuatu yang mereka nak, mereka akan rasa kecewa dan sedih. Bila dah kecewa dan sedih, lepas tu pula tak dapat layanan yang sepatutnya maka bertambah membuaklah perasaan tu.
Akhirnya mereka akan hilang kawalan dan mengamuk lepas tu menjerit, berguling-guling, baling dan campak barang dan buat apa saje sampai mereka puas hati.
Bagaimana nak lembutkan hati anak?
Berdasarkan perkongsian dari Puan Aminah Hussain, kuasa pelukan adalah ubat paling berkesan untuk anak-anak bermula dari peringkat bayi hinggalah anak yang dah besar.
Jangan pandang rendah pada kuasa pelukan.
Dulu pernah tular kisah seorang ibu yang mempunyai seorang budak 3 tahun yang panas baran. Anak yang tidak boleh kawal rasa marah ini ubat dia ialah pelukan.
Bayangkan umur 3 tahun dah boleh angkat kerusi nak pukul budak lelaki lain. Ibu ini berkongsi seorang pakar psikologi memberi tip, bila anak marah dan mengamuk PELUK lah dia.
Cara memeluk anak ialah kita yang tinggi ni kena melulut biarkan sama paras dengan anak dan memeluk anak dengan kedua tangan kita selama 15- 20 saat. Bacakan surah alfatihah dan tiupkan pada ubun- ubun anak.
Ini kerana 2 ayat terakhir surah al fatihah adalah ubat pada salah laku anak tadi.
“Tunjukilah kami jalan yang lurus.”
“Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.”
Menurut 1 laman web yang saya baca, memeluk anak sebanyak 18 kali sehari menjadikan anak lebih cerdik dan pandai. Senang menerima pembelajaran di sekolah.
Memeluk anak 8 kali sehari pula dapat mengembangkan sikap kreatif dalam diri anak. Memeluk sebenarnya lebih berkesan daripada memuji. Peluk anak jika mereka melakukan sikap yang terpuji daripada hanya memuji “yeay, adik dah pandai”
Cabaran menyusukan anak memang banyak, walaupun kita berniat nak susukan anak selama 2 tahun namun cabarannya sangat besar.
Fakta, 3 daripada 4 ibu yang menyusukan anak gagal meneruskan proses penyusuan sampai 2 tahun adalah disebabkan oleh orang sekelilingnya iaitu suami, adik beradik, keluarga sendiri, keluarga mertua yang tidak menyokong.
Kata-kata yang positif, peranan suami yang baik dan perasaan suami terhadap isteri boleh menyebabkan susu ibu itu melimpah ruah.
Pn Nazira Nazir (Penulis 9 Bulan 10 Hari) berkongsi tentang cabaran yang dihadapi oleh ibu-ibu menyusu antaranya salah seorang pembaca yang datang mengadu tentang sikap orang sekeliling yang tidak menyokong penyusuan susu ibu.
“Saya dah berbincang dengan suami, bila anak lahir saya nak menyusukan anak sampai umur dia 2 tahun. Suami pun menyokong dan kata baguslah” Ain berkata.
Umur si ibu 22 tahun dan berat badan 45kg walaupun dah mengandung dan melahirkan anak tetap sama. Selepas melahirkan anak, dia ingatkan ibu mertua dia akan menyokong penyusuan susu ibu. Ketika hari ke 7 berpantang, ibu mertua dia cakap “Ain tak apa, pergi mandi, mak jagakan baby.”
Selepas mandi, dia tengok mak mertua dia suap susu formula orang dewasa pada bayinya yang baru berusia 7 hari. Susu tepung orang dewasa dan bukannya susu tepung bayi menggunakan sudu. Kemudian Ain datang dan tanya “Mak kenapa mak buat macam ni? Anak saya, saya nak susukan sampai 2 tahun. Saya tak nak campur mak!”
Apa yang mak mertua dia balas? “Kau sedar tak diri kau tu tengah kurus macam ni, aku tak nak cucu aku kurus macam kau!”
Anaknya lahir seberat 2.6kg. Dia menangis dan merayu nak menyusukan anak dia. Mak mertua ambil dan jaga sepenuhnya bayi tersebut dan bawa tidur bersama. Dia ingatkan dia dapat sokongan dari suami, tapi yang paling menyedihkan apabila suaminya sendiri jawab
“Mak saya adalah syurga buat saya, saya kena dengar cakap mak saya”. Si isteri menerima tekanan atau depresi yang sangat hebat.
“Saya kuat, setiap hari saya menangis merayu nak susukan anak. Mak mertua suruh picit dan keluarkan sendiri. Selepas beberapa hari, anak itu sakit. Batuk, demam dan cirit-birit.”
gambar hiasan
Ain ni dia bijak, dia minta mak mertua dia bawa anak ke hospital. Hospital nasihatkan mak mertua dia, “apa yang makcik buat adalah salah”. Bila doktor nasihat barulah si ibu faham. Akhirnya ibu mertua dia suruh Ain meneruskan penyusuan susu ibu.
Begitulah, bukan mudah untuk menyusukan anak sehingga dua tahun. Orang sekeliling kena memainkan peranan penting untuk menyokong ibu-ibu ini meneruskan perjuangan yang hebat.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebagai ibu bapa, anda pasti setiap anak bersatu hati, saling menghormati antara satu sama lain dan sayang menyayangi.
Memang kadang-kadang akan ada perbalahan kecil sesama mereka. Namun, jika anda sejak daripada awal, sudah mendidik mereka erti kasih sayang antara adik-beradik, tidak mustahil mereka akan berbaik dalam masa yang singkat lantaran tahu menilai kasih sayang yang telah anda terapkan dalam diri mereka.
Berikut adalah antara perkara yang perlu dilakukan semasa anak-anak anda masih lagi kecil. Diharapkan ia dapat membantu anda membina hubungan adik-beradik yang kukuh sepanjang hayat.
1. Makan bersama
Dalam sehari, pastikan anda dan anak-anak berkumpul seisi keluarga untuk makan bersama-sama. Selesai makan, anda dan mereka boleh saling berbual dan bercerita tentang apa sahaja yang berlaku pada hari kejadian. Dengan yang demikian, semua ahli keluarga berasa seronok apabila dapat terlibat dalam aktiviti seharian masing-masing.
2. Jaga antara satu sama lain
Sentiasa ingatkan anak-anak untuk menjaga diri mereka antara satu sama lain. Yang lebih berusia perlu tengok adiknya yang lebih kecil. Malah anak yang lebih muda pun boleh melakukan perkara yang sama juga.
Sebelum tidur katakan pada anak-anak “Abang atau kakak perlu jaga adik. Begitu juga adik. Perlu juga jaga abang atau kakak.” Percayalah jika dari kecil anda sudah ingatkan perkara ini kepada anak-anak, apabila mereka dewasa kelak, pesanan ini akan sentiasa kukuh dalam ingatan mereka.
3. Berlaku adil
Tanpa sedar, kadang-kadang ibu bapa itu sendiri berlaku tidak adil kepada anak-anaknya.
Paling biasa dilakukan ialah apabila adik buat silap, kakak atau abangnya akan dipersalahkan. Hal sebegini akan membuatkan anak yang tua berasa kecil hati dan berdendam kepada adiknya.
Sama juga halnya apabila membeli sesuatu barangan. Pastikan anda sentiasa berlaku adil. Hal ini penting untuk tidak menimbulkan perasaan cemburu di antara mereka. Tidak kira apa-apa pun, sebenarnya setiap anak mahu dihargai secara sama rata. Untuk itu, anda perlu bijak mengawal keadaan.
4. Tolong-menolong
Biarpun anak-anak masih kecil tetapi sikap tolong-menolong perlu diajar daripada awal. Antara yang boleh anda lakukan ialah meminta adik dan kakak atau abangnya sama-sama mengemas alat permainan yang telah digunakan semasa bermain bersama-sama. Sambil mereka mengemas, jangan lupa selitkan kata-kata pujian kepada mereka. Pastikan mereka bangga dapat berbuat baik sesama sendiri.
5. Tunjukkan contoh baik
Jika mahu anak-anak berhubungan baik antara satu sama lain, anda sendiri pun perlu menjaga hubungan dengan adik-beradik. Sikap saling tolong-menolong, ziarah-menziarahi dan saling berhubung antara anda dan adik-beradik, secara tidak langsung menunjukkan bahawa ikatan kekeluargaan yang ada itu perlu dijaga setiap masa. Contoh yang baik seperti ini dapat mereka jadikan panduan di masa hadapan mereka.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.