
Setiap ibu bapa pasti mengimpikan masa depan pendidikan yang terbaik buat anak-anak. Namun, impian itu memerlukan perancangan kewangan yang bermula sejak awal. Menyedari kepentingan tersebut, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkukuh budaya menabung dalam kalangan masyarakat menerusi penganjuran Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2026.
Program signature PTPTN yang memasuki tahun kesembilan penganjurannya sejak 2018 ini berlangsung dari 29 September hingga 1 November 2026.
BMS 2026 terus menjadi platform penting PTPTN dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan perancangan kewangan pendidikan sejak awal, selain memperkenalkan pelbagai manfaat Simpan SSPN kepada orang ramai.
BMS 2026 Meriah Sempena Sambutan Hari Tabungan Sedunia
Bagi meraikan kejayaan penganjuran program ini, PTPTN telah mengadakan Majlis Penutup BMS 2026 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia pada 31 Oktober 2026 di Alamanda Shopping Centre, Putrajaya.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN. Turut hadir ialah YBrs. Encik Azhar Ahmad, Ketua Pegawai Kewangan PTPTN serta Pengurusan PTPTN.

BMS 2026 dianjurkan bersempena Hari Tabungan Sedunia (World Savings Day) yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun.
Bertemakan “AI advises, Human decides”, sambutan tahun ini menekankan peranan teknologi kecerdasan buatan dalam membantu perancangan kewangan.
Bagaimanapun, keputusan untuk menabung tetap bergantung kepada kesedaran, disiplin dan komitmen individu. Justeru, masyarakat digalakkan memanfaatkan teknologi secara bijak sambil membudayakan amalan menabung demi menjamin masa depan pendidikan anak-anak.
Pelbagai Aktiviti Menarik Untuk Ibu Bapa Dan Anak-Anak
Bukan sekadar mengetengahkan kepentingan simpanan pendidikan, BMS 2026 turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik yang mendapat sambutan amat menggalakkan serta reaksi positif daripada orang ramai sepanjang program berlangsung.
Antara aktiviti yang disediakan untuk penyertaan ibu bapa dan anak-anak termasuklah Pertandingan Mewarna, Pertandingan Koir Simpan SSPN, Pertandingan Simpan SSPN Got Talent, Pertandingan Pakaian Beragam, Memory Challenge, Happy Hour serta Teroka & Teka dan banyak lagi.
Malah, orang ramai yang berkunjung ke kaunter PTPTN turut berpeluang mendapatkan tabung edisi khas BMS dan cenderahati eksklusif yang menarik melalui penabungan dalam Simpan SSPN.
Simpan SSPN Catat Deposit RM26.07 Bilion, Libatkan 7.74 Juta Akaun
Dalam perkembangan yang membanggakan, Simpan SSPN terus menunjukkan prestasi kukuh sebagai salah satu instrumen simpanan pendidikan di Malaysia.
Menurut Pengerusi PTPTN, YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, pencapaian yang direkodkan membuktikan bahawa Simpan SSPN kekal relevan dalam membantu masyarakat merancang kewangan pendidikan.
“Sehingga 30 September 2026, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM26.07 bilion melibatkan 7.74 juta akaun. Prestasi ini membuktikan Simpan SSPN kekal kukuh dan relevan sebagai salah satu simpanan pendidikan terbaik di Malaysia.”
Kutipan RM267.7 Juta Sepanjang BMS 2026, Lepasi Sasaran RM250 Juta
Lebih membanggakan, BMS 2026 turut berjaya merekodkan kutipan deposit yang melepasi sasaran ditetapkan.
“Sepanjang BMS 2026 yang bermula 25 September hingga 29 Oktober 2026, kutipan deposit Simpan SSPN yang diterima berjumlah RM267.7 juta, iaitu pencapaian 107.10% berbanding sasaran kutipan sebanyak RM250 juta. PTPTN optimis jumlah kutipan deposit sempena BMS 2026 akan terus meningkat dan mencatatkan prestasi yang lebih membanggakan. Di sebalik pencapaian tersebut, semakin ramai ibu bapa telah mengambil langkah awal untuk menyediakan simpanan pendidikan anak-anak. Syabas dan tahniah kepada seluruh warga PTPTN atas usaha ini,” tambah beliau lagi.
Pencapaian tersebut turut memperlihatkan kepentingan langkah awal ibu bapa dalam menyediakan simpanan pendidikan anak-anak sebagai persediaan untuk masa hadapan.
Pertandingan Koir Simpan SSPN Cipta Kelainan Dalam BMS 2026
Majlis Penutup BMS 2026 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik BMS 2026 serta penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Koir Simpan SSPN.

Menariknya, pertandingan koir yang julung kali dianjurkan oleh PTPTN ini berjaya menyuntik kelainan dan memberikan nafas baharu kepada penganjuran BMS 2026.
Pelbagai Manfaat Simpan SSPN Untuk Masa Depan Pendidikan Anak
Dalam usaha menggalakkan lebih ramai masyarakat Malaysia mengamalkan budaya menabung, Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada para pendeposit.
Antaranya ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit dan Geran Sepadan sehingga RM10,000 secara percuma bagi satu keluarga yang layak.
Selain itu, Simpan SSPN turut menawarkan kadar dividen yang kompetitif, patuh syariah serta simpanan yang dijamin kerajaan.
Bagi menyemarakkan lagi amalan penabungan, pelbagai kempen dan promosi turut dipergiat, termasuk Kempen Cabutan Simpan SSPN 2026.
Kempen ini menawarkan hadiah bernilai hampir RM1.9 juta yang menanti seramai 1,060 orang pemenang.
PTPTN Komited Pupuk Budaya Menabung Secara Konsisten
Sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN kekal komited dalam memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan menabung secara konsisten melalui Simpan SSPN.
Usaha ini penting sebagai persediaan pendidikan tinggi anak-anak, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan pada masa hadapan.
Dengan sokongan dan kerjasama semua pihak, PTPTN akan terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara demi menjamin masa depan pendidikan generasi akan datang.
Sesungguhnya, perancangan pendidikan anak-anak bukan hanya tentang impian yang ingin dicapai, tetapi juga persediaan yang dilakukan sejak hari ini. Simpanan yang dimulakan lebih awal boleh menjadi langkah bermakna untuk masa depan pendidikan mereka.
Untuk maklumat lanjut mengenai Simpan SSPN, orang ramai boleh melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau menggunakan aplikasi myPTPTN bagi menikmati perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat.

sekarang!
