bila anak tak makan, sesetengah ibu ayah akan menggunakan trik tertentu supaya mereka bekerjasama. Selain diberikan mainan, ada juga yang benarkan anak-anak makan sambil tengok handphone. Dengan cara itu, anak akan seronok untuk makan sebab dapat main gajet. Elok ke sebenarnya kaedah ni?
Betul, bila kita bagi anak gajet atau mainan dapat mengalih perhatian anak dan membuatkan mereka makan. Pun begitu, ia bukanlah cara yang betul. Ikuti penjelasan dari Dr Ahmad Luqman Bukhari tentang cara makan yang patut dipraktikkan.
MENCABAR RAWAT ANAK OBES
Antara perkara super mencabar ialah bila kami berhadapan pesakit kanak-kanak berbadan obes. Nak ambil darah susah. Nak masukkan jarum ke saluran darah untuk berikan ubat atau hidrasikan tubuhnya dengan air, pun sama.
Tu yang kadang-kadang berkali-kali terpaksa cucuk sebab salur darahnya tak kelihatan seperti kanak-kanak lain.
Sumber foto: www.freepik.com
Belum cerita lagi, bila jumpa kanak-kanak yang terlampau obes dan berat badan dah hampir macam orang dewasa. Sekali mereka mengamuk, boleh terbang staff kesihatan yang bertubuh kecil. Huhu.
ANAK GEMUK SEBAB SALAH CARA MAKAN
Ads
Biasanya, antara punca budak jadi terlampau gemuk, ialah mak ayah tak ajarkan cara makan yang betul.
Sepatutnya, makan mesti dalam keadaan duduk bertenang. Bukan depan tv, bukan sambil menonton di smartphone atau tablet. Bukan juga masa tengah bermain.
Tapi dalam keadaan benar-benar menikmati makanan serta mengunyah dengan baik. Didik anak untuk kunyah sehingga 30 atau 40 kali untuk pastikan makanan betul-betul hancur dan mudah dihadam.
Ads
Bila mereka berjaya ambil masa yang cukup untuk mengunyah, barulah makanan hancur lumat dan kalenjar dalam mulut dapat merembeskan enzim amylase secukupnya. Enzim ni penting tau untuk bantu proses penghadaman.
Mengikut kajian, otak perlukan 20 minit untuk terima signal yang perut dah kenyang. Nahas kalau makan tergesa-gesa, perut dah penuh tapi masih belum rasa kenyang sebab otak masih berterusan keluarkan hormon Ghrelin.
Ghrelin ni lah yang buatkan rasa lapar dan nak makan lagi. Akhirnya selalu terlebih portion makan lantas mengakibatkan masalah obesiti.
Berbeza bila anak-anak makan penuh tertib dan perlahan-lahan, ia memberikan masa pada usus kecil menghantar signal pada otak supaya merasa kenyang dan penuh. Porsi makan tak berlebih.
Ads
Barulah makan jadi suatu proses bermanfaat, bukan mudarat.
Semoga bermanfaat!
Diharapkan dengan perkongsian dari Dr Luqman ini dapat memberi penjelasan kepada ibu bapa tentang cara memberi anak makan yang betul.
Masalah anak memilih makanan hampir dilalui oleh semua ibu. Ada yang tak mahu makan langsung hanya minum susu sahaja, ada juga yang hanya makan benda yang sama sahaja dan ada juga yang kalau nak makan terpaksa berperang ke hulu ke hilir nak suap anak makan.
Itu adalah situasi yang sering mama hadapi bila anak-anak sudah mula makan. Hakikatnya menguruskan anak yang memilih atau cerewet makan tidak mudah. Bila anak nampak kurus, tak cukup makan pastilah ibu yang sering dipersalahkan.
Untuk mengatasi masalah ini, perkongsian daripada Puan Maryam Jamadi, Pediatric Occupational Therapist mengulas lebih lanjut tentang permasalahan ini.
ANAK “PICKY EATER”
“Anak saya tak nak minum air kosong/ makan nasi atau semua makanan kecuali susu”
“Setiap kali waktu makan, mesti berperang nak suap anak makan”
“Anak tak nak berus gigi, mesti menangis setiap kali nak sentuh dalam mulut. Habis gigi semua rosak”
Menguruskan anak yang memilih makan bukannya mudah, kadang-kadang ada yang sampai bergaduh suami isteri menyalahkan diri masing-masing. Selalunya golongan mak mak yang akan dipersalahkan sebab dah biasa dengan norma masyarakat kita, perempuan duduk didapur menguruskan makan minum satu keluarga. Maka bila pulang ke kampung jumpa keluarga lain, bila anak memilih makan pasti golongan mak juga yang akan dipersalahkan dan dilabel “tak pandai jaga anak”. Adakah salah anak ataupun salah mak ayah?
Jom baca
Apa punca anak memilih makan?
Ada banyak punca menyebabkan anak memilih makan, tetapi kebanyakan kes melibatkan isu terhadap 2 deria penting iaitu:
Kedua-dua deria ini memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan pemilihan makanan anak. Apabila anak memilih makan, mak ayah perlu tahu adakah disebabkan deria bau atau deria rasa ataupun kedua-duanya yang terlebih sensitif (hypersensitif) atau terkurang sensitif (hyposensitif).
Jika terdapat hypersensitif atau hyposensitif terhadap mana-mana deria, ia dipanggil “Sensory Prosessing Disorder” atau bahasa mudah kecelaruan sensori yang mungkin menyebabkan penerimaan bau/rasa yang tidak normal, kesannya anak memilih makan.
Genetik juga memainkan peranan dalam pemilihan makanan. Kalau mak ayah suka makanan yang berbau dan rasa kuat, anak juga cenderung ke arah itu. Cuma perbezaannya, sensitiviti terhadap deria bau dan rasa telah di “normalize”kan mengikut masa. Sebab itu, ada yang masa kecil tak makan sayur dan buah tetapi makan apabila sudah dewasa.
Hanya mak ayah yang mempunyai anak memilih makan sahaja tahu betapa “struggle”nya nak beri anak makan. Saya juga salah seorang “picky eater” yang teruk semasa kecil, sampai mak saya kurung dalam stor 3 jam tunggu saya telan makanan sambil mak menangis dekat luar. Bila dah besar sedikit, pandai makan sendiri selalu saya sorok-sorok buang sayur. Sorry mak ayah!
Maka, bila ada anak sendiri sekarang saya harap dengan menggunakan ilmu yang ada, anak saya tidak ikut jejak langkah saya.
Jadi tips dibawah ini adalah berdasarkan beberapa rujukan dan pengalaman saya sebagai ibu + occupational therapist untuk mengelak anak memilih makan sejak bayi. Untuk yang mempunyai anak bawah 3 tahun yang memilih makan, boleh juga cuba sebab masih belum terlambat lagi untuk memperbaikinya cuma memang ianya mengambil masa dan memerlukan kesabaran yang tinggi.
TIPS MENGELAK ANAK MEMILIH MAKAN SEAWAL BAYI
Tips ini dipecahkan beberapa bahagian:
– Amalkan membersihkan dalam mulut bayi menggunakan kain basah yang bersih seawal baru lahir.
– Gunakan berus gigi mengikut peringkat umur. (Kain ➡ Finger brush ➡ Extra soft brush). Boleh rujuk Doktor Gigi untuk info lebih lanjut.
– Kerapkan menyentuh dalam mulut bayi untuk tujuan mengurangkan sensitiviti deria dalam mulut.
– Lewat memberus gigi / membersihkan mulut anak juga adalah salah satu faktor menyebabkan anak memilih makan. Maka, ayuhlah kita rajin-rajin bersihkan mulut anak ya.
– Jangan terlampau menghalang anak masukkan benda dalam mulut tapi tak ganti dengan benda yang selamat (teether, finger food) sebab skil ini penting untuk merangsang sensori dalam mulut.
– Elakkan memberi makanan yang telah diproses sehingga anak mencapai umur 1 tahun.
– Kesilapan utama yang selalu dilakukan oleh mak ayah dalam memperkenalkan makanan awal pada anak adalah dengan memberi anak makan semua termasuklah makanan diproses dengan tanggapan:
“Bagus,beri anak makan semua benda untuk memberi rangsangan deria rasa”
“Kasihan anak tengok kita makan ais krim, kek, sosej, nugget atau fast food. Bagilah dia juga”
“Makan ais krim laju je, comelnya anak mummy”
Tak beri rasa bukan sebab tak sayang, tapi sebab sayangkan usus dan deria rasa anaklah kita perlu elakkan. Kalau kasihan juga, makanlah sorok-sorok jangan beri anak nampak. Tak lama pun, tunggu sampai anak umur 1 – 2 tahun. Bila kita dah awal-awal beri anak rasa makanan diproses yang mempunyai perisa tiruan dan manis secara tak langsung kita telah membiasakan dan mengajar deria rasa anak cenderung kepada perisa tiruan dan rasa manis seterusnya menyebabkan anak mengelak makan sayur-sayuran yang pahit.
Anak umur 6 bulan, tak reti pun lagi meminta kalau kita tak pernah beri. Banyak sangat buah dan sayur yang perlu dia belajar rasa berbanding makanan diproses sebab deria rasa anak sangatlah sensitif sejak lahir, sebab itu bubur kosong pun dah sedap bagi bayi. Maka, tak perlu pun letak perisa tambahan penyedap rasa untuk bayi 6 bulan.
Untuk ibu yang bekerja yang sibuk dan tiada masa untuk buat makanan bayi. Kini banyak sangat tips mudah di fb, buat stok sebulan sekali, bekukan dalam tempat ais krim seterusnya simpan dalam bag ziplock. Bubur nasi pun buat stok seminggu. Makanan bayi “homemade” pun sudah banyak dijual di pasaran. Mudah kan?
Pengalaman saya, saya memang tegas dalam pemakanan anak saya sebab tak nak anak jadi pemilih makan macam saya, kami makan juga fast food ataupun makanan diproses tapi tak pernah beri anak walaupun “sikit-sikit” dari anak umur 6 bulan hingga umur 1 tahun. Dalam beg memang sentiasa bawa bekal makanan dan “finger food” dan anak juga tak ada minta atau mengamuk nak rasa makanan kita sebab dia tahu makanan dia dalam bekal sahaja sehinggalah umur 1 tahun. Kasihan kan?
Tapi sebab sayangkan usus dan deria rasa anaklah saya buat macam ini.
Anak saya juga memang menunjukkan tanda-tanda memilih makan masa umur 6 bulan, akan menangis dan kadang-kadang boleh sengaja memuntahkan semula makanan setiap kali cuba sayur dan buah yang baru. Saya pasti ramai ibu lain mengalami situasi ini, mungkin ada yang akan stop dan tak beri lagi. Tapi cara saya, saya akan beri juga selagi tidak memudaratkan sebab lebih mudah berperang dengan anak bawah 1 tahun berbanding apabila dah besar. Kesannya, peperangan menyuap anak tak lama pun sehingga anak umur 8 bulan dia sudah boleh menerima semua buah dan sayur.
– Setiap makanan baru perlu di perkenalkan selama 4 hari berterusan, ia juga dipanggil “4 Day Wait Rule” untuk melihat jika ada kesan alahan dan untuk tujuan “normalize”kan deria rasa anak.
– Beri anak rasa satu persatu jenis makanan sebelum mencampurkannya.
– Jangan putus asa dalam mencuba kerana corak pemakanan awal banyak mempengaruhi gaya pemakanan anak. Baik menangis sekarang dari menangis di kemudian hari.
– Pelbagaikan tekstur makanan (lembut, kasar, melekit, kering dan basah) yang boleh didapati dari pelbagai jenis buah dan sayur. 🍉🍊🍋🍌🍎🍓🥑
– Ajar anak untuk menguyah dan mengigit makanan seawal anak reti memasukkan benda/makanan ke dalam mulut dengan memberi “finger food”.
– Menguyah makanan adalah salah satu latihan mulut untuk perkembangan skil bercakap anak juga.
– Jika sayang anak takut anak tercekik tapi jangan terlalu lama memberi makanan kisar sehingga umur 2 tahun ya.
– Kalau takut anak tercekik semasa pemberian “finger food” buah- buahan, mak ayah boleh beri “Food Feeder” untuk anak gigit-gigit.
– Kalau malas nak cari, boleh cuba cara orang dulu-dulu dengan masukkan buah dalam kain lepas itu ikat macam sup bunjut. 😋
– Setiap kali pengenalan makanan baru, beri anak main-main dengan sayur/buah tersebut dahulu sambil kenalkan nama sebelum beri anak rasa.
– Jangan marah atau jerit kalau anak gigit sedikit kerana perbuatan ini akan buat anak takut untuk menyentuh buah dan sayur lagi sebaliknya hanya tolak tangan anak.
– Pelbagaikan suhu setiap makanan, contohnya puree epal boleh beri sejuk dan suam tak perlu terikat pada 1 suhu sahaja.
Sebagai mak ayah, kita tak harap pun anak makan semua benda. Apa yang kita harapkan, anak makan makanan yang berkhasiat dan seimbang. Contohnya buah dan sayur, ada bermacam macam jenis buah dah sayur. Kita tak harap pun anak makan semua, kalau dapat makan 1-2 jenis pun dah bersyukur asalkan anak dapat sumber serat.
Maka, abaikan sahaja pandangan dan kecaman orang lain bila anak kita memilih makan.
Siapa yang tak sayang anak kan?
Siapa yang tak nak anak makan semua makanan?
Siapa yang tak nak pastikan anak tidur dengan perut yang kenyang?
Maka, kita janganlah terlampau “judgemental” kerana kita tak tahu betapa sedihnya perasaan setiap kali anak menolak makanan yang diberi atau masak. Jadi, mak ayah sekalian boleh cuba tips di atas untuk mengelak anak menjadi “picky eater” seawal lepas lahir. Setiap tindak balas dan cara adalah berbeza setiap orang, kita hanya mencuba dan usaha dari awal. Usaha selepas itu barulah tawakal, jangan mengalah dan putus asa.
Jika mak ayah dapati anak mengalami masalah dalam pemakanan, disarankan rujuk Dietitian untuk dapatkan konsultasi untuk elakkan masalah perkembangan anak terbantut.
Untuk pengetahuan Occupational Therapist juga mengendalikan kes anak memilih makan cuma pendekatan kami lebih kepada isu sensori, oral-motor atau isu-isu lain yang berkaitan.
Ini baru cerita part punca dan cara mengelak anak memilih makan belum lagi tips menangani anak memilih makan sebab dah terlalu panjang.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa yang tak mahu anak bijak. Anak yang bijak harus dirangsang lebih awal penggunaan otaknya. Usaha paling awal boleh dilakukan oleh ibu ketika waktu hamil lagi. Ambil makanan yang baik, fokus untuk pembentukan otak bayi.
Menurut Dr Rizal Abu Bakar, Pakar Otak, ketika awal kandungan lagi, iaitu sebaik tulang belakang terbentuk, pemakanan yang tepat sangat disyorkan untuk ibu hamil.
Pemakanan yang paling tepat pastinya pemilihan makanan yang mengandungi folid asid dan juga vitamin B12 yang sangat membantu pembentukan darah merah. Antara yang dikongsikan oleh Dr Rizal adalah daripada sumber tumbuh-tumbuhan semulajadi.
Malah kata pakar otak ini juga, tumbuh-tumbuhan juga begitu disarankan kerana sememangnya diyakini sifat semulajadinya yang baik untuk tubuh.
“Antara makanan yang kaya dengan folate adalah seperti sayuran hijau seperti asparagus, brokoli, avokado, kekacang seperti badam, kuaci dan sebagainya.
“Malah avokado juga mempunyai kandungan tersendiri yang baik dari rambut hingga keseluruhan tubuh.
Begitu juga dengan bijian-bijian yang bagus untuk pembentukkan darah merah pada bayi.”
Makanan dengan sumber folate – asparagus, brokoli, kapsikum, bendi,
Makanan dengan sumber Vitamin B12 -lobak merah, telur, mangga, apricot, pic dan sebagainya.
Jangan dilupa pengambilan makanan dengan nutrisi zink yang tinggi kerana ia membantu perkembangan otak bayi.
Antara makanan dengan kandungan zink yang tinggi adalah seperti tembikai, ayam, bayam, badam, dark coklat, ikan salmon begitu juga dengan ikan kembung yang sama khasiatnya dengan ikan salmon.
Ibu hamil juga dinasihatkan makan makanan dengan vitamin C yang tinggi untuk menghasilkan kulit anak dan bayi yang cantik ketika hamil.
Sertai ‘Komuniti Pa&Ma Ikhtiar Hamil‘ untuk mengikuti pelbagai tip kesuburan dan kehamilan serta pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma bersama pakar.
Memberi anak makanan pejal adalah salah satu pencapaian penting dalam perkembangan anak anda. Dalam artikel ini, kami akan membincangkan mengenai tips untuk memulakan makanan pejal pada anak anda.
Pakar menyarankan supaya ibu bapa mula memberi makanan pejal kepada bayi semasa usia mereka 4-6 bulan. Bagaimanapun, bukan semua kanak-kanak berkembang pada tempoh yang sama. Sesetengah kanak-kanak mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk mula makan makanan pejal. Petunjuk terbaik untuk mula berikan anak makanan pejal adalah apabila bayi sudah boleh duduk tegak sendiri tanpa bantuan orang dewasa, ataupun jika dia sudah boleh memusingkan kepalanya atau mengunyah makanan.
Bertukar terus kepada makanan pejal boleh menjejaskan penghadaman anak anda. Berbanding melakukan perubahan mendadak, anda sepatutnya memperkenalkan makanan pejal secara perlahan-lahan kepada anak anda. Jangan terus menggantikan susu ibu dengan makanan pejal pada peringkat awal pengenalan.
Anda boleh mulakan pemberian makanan pejal dengan menawarkan si manja bijirin bayi. Anak anda akan merasai banyak perisa baru daripada pelbagai pilihan bijirin yang terdapat di pasaran. Bagaimanapun, carilah bijirin yang diperkuat dengan zat besi. Zat besi dan zink adalah nutrien penting dalam tempoh separuh kedua pada tahun pertama kelahiran bayi anda.
Makanan pejal akan memberikan rasa aneh pada bayi. Bayi anda mungkin tidak suka pada makanan tersebut dan mungkin menolak untuk makan semasa ditawarkan pertama kali. Tidak mengapa jika anak anda hanya makan sesudu ataupun dua sudu makanan pejal tersebut. Bersabarlah apabila memperkenalkan makanan baru kepada anak anda.
Memilih tekstur makanan yang betul boleh membantu anak anda lebih menikmati makanan pejal mereka. Berikan anak anda makanan puri apabila mereka memasuki usia 6 bulan, kemudian tawarkannya makanan lecek, makanan cincang dan makanan yang dipotong. Anda boleh menjadikan masa makan anak anda lebih menyeronokkan dengan memperkenalkannya kepada makanan ringan/ kudapan (finger food) apabila dia memasuki usia lapan bulan.
Bayi akan lebih berminat untuk makan semasa mereka tengah lapar. Namun, ini tidak bermakna yang anda perlu membiarkan anak kelaparan! Bayi yang telah kenyang tidak akan berminat kepada makanan. Anda boleh lihat jika anak lapar, mereka akan teruja melihat anda menyediakan makanan, atau mereka akan cenderung ke arah anda semasa berada pada kerusi makan.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Insiden kebakaran melibatkan dua beradik yang ditemui separuh sedar di sebuah apartmen membuka perbincangan penting tentang keselamatan kanak-kanak apabila ditinggalkan di rumah tanpa pengawasan.