Pembelajaran bahasa merupakan satu proses yang kompleks. Ia berlaku secara berperingkat dan memakan masa yang panjang. Kanak-kanak mula belajar bercakap selepas dilahirkan dan menjadi mahir apabila berumur 5-6 tahun.

Walaupun begitu terdapat variasi pada tempoh pemerolehan bahasa kanak-kanak. Ada kanak-kanak yang petah bercakap ketika berumur 3 tahun tetapi ada juga yang baru mula bercakap pada umur tersebut. Hal ini kerap merunsingkan ibu-bapa mahupun penjaga. Proses penguasaan bahasa sebenarnya banyak bergantung kepada faktor–faktor yang mempengaruhi pembelajaran bahasa.

Nak Anak Pandai Bercakap Kena Banyak Bercakap Dengan Mereka! Anak Belajar Dari Mendengar

Asas Pembelajaran Bahasa

Kemahiran mendengar, memahami dan bertutur adalah kemahiran asas yang diperlukan untuk mempelajari bahasa. Semua kemahiran ini saling berkaitan di mana kemahiran mendengar dan memahami adalah proses pemerolehan maklumat. Manakala kemahiran bertutur pula merupakan proses penghasilan maklumat.

Kemahiran mendengar

Kemahiran mendengar merupakan titik permulaan pembelajaran bahasa bagi kanak-kanak. Kemahiran ini merupakan kemahiran utama yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak sebelum mereka mengeluarkan bunyi awal.

Di awal kelahiran, bayi mula mendengar dan memberi respon pada ritma pertuturan orang disekeliling mereka. Respon yang diberi biasanya dalam bentuk senyuman, ketawa dan juga tangisan. Bayi mula mengenalpasti suara individu yang kerap berinteraksi dengan mereka. Ketika berumur 6 bulan kemahiran mendengar meningkat dan ketika ini bayi sudah mula membezakan bunyi pertuturan dan bunyi persekitaran. Proses mendengar menjadi semakin kompleks dan ketika berumur satu tahun, mereka mula mendengar dengan lebih baik dan memahami maklumat yang diperolehi.

Kemahiran memahami maklumat

Kanak-kanak mula mengaitkan objek dan perkataan ketika berumur satu tahun. Pada ketika ini mereka mula mengenali objek yang selalu dilihat dan arahan mudah. Kanak-kanak memahami lebih banyak objek, arahan dan gambar apabila berumur 2 tahun. Ketika kanak-kanak berumur 2 hingga 3 tahun, mereka akan mula menggunakan memori dan belajar memahami arahan 2 langkah.

Kanak-kanak menjadi semakin mahir dalam memahami maklumat ketika berumur 3 hingga 4 tahun di mana mereka dapat memahami hampir 1500 perkataan. Mereka mula memahami arahan panjang (3 langkah) dan soalan mudah seperti, apa dan mana. Ketika ini, mereka telah memahami lebih banyak perkara berkaitan konsep seperti preposisi, warna dan jantina.

IKLAN

Kemahiran pemahaman ini akan meningkat sehingga kanak-kanak berumur 7 tahun di mana mereka dapat memahami petikan yang panjang dan lebih sukar. Kefahaman menjadi semakin kompleks di mana mereka juga mula memahami maklumat abstrak seperti sindiran dan gurauan.

Kemahiran bertutur

Semasa bertutur seseorang akan menggerakkan alat pertuturan untuk menghasilkan bunyi yang bermakna. Proses bertutur tidak hanya terhad kepada penghasilan bunyi sahaja tetapi juga melibatkan penggunaan nada dan intonasi yang bersesuaian.

Seawal umur 4 bulan bayi mula menghasilkan bunyi vokal atau juga dikenali sebagai vokalisasi. Kebiasaannya bayi akan menghasilkan bunyi vokal secara berulang seperti bunyi aaa, iii.

Ketika bayi berumur 6 bulan, mereka mula menghasilkan bunyi ‘bebelan’ (babling) dan bunyi cooing. Penghasilan bunyi bebelan berkait rapat dengan penghasilan suara (fonasi) serta pergerakan pembukaan dan penutupan rahang mulut. Pada tahap awal bebelan, bayi biasanya menghasilkan kombinasi bunyi konsonan dan vokal secara berulang seperti (baba atau mama).

Kombinasi bebelan menjadi semakin sukar apabila bayi berumur 8-9 bulan. Ketika ini mereka menghasilkan kombinasi bunyi yang melibatkan penghasilan lebih bunyi konsonan seperti (babadebo).

IKLAN

Seterusnya apabila berumur 9 -10 bulan, bayi mula meniru struktur percakapan orang dewasa. Pada tahap ini mereka mula menghasilkan bunyi ‘jargon’. Bunyi jargon adalah vokalisasi bunyi yang menghampiri pertuturan orang dewasa dari segi intonasi dan tekanan. Walaubagaimanapun bunyi yang dihasilkan tidak mempunyai sebarang maksud.

Kanak-kanak mula menghasilkan perkataan pertama apabila mereka berumur lebih kurang satu tahun. Ketika ini mereka mempelajari bahawa satu perkataan mempunyai makna yang tersendiri. Mereka akan cuba meniru perkataan yang di sebut oleh orang dewasa. Perbendaharaan kata kanak-kanak akan meningkat dengan pesat setelah melepasi umur satu tahun. Kebolehan kanak-kanak membina ayat akan meningkat dari masa ke semasa dan mereka boleh menggunakan struktur ayat orang dewasa ketika berumur 5-6 tahun.

Faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran bahasa

Kesihatan: Tahap kesihatan memainkan peranan yang penting dalam pembelajaran bahasa. Sekiranya kanak-kanak mempunyai masalah kesihatan yang turut memberi kesan pada perkembangan kognitif seperti Sindrom Down, Autisma, Palsi Cerebral dan lain-lain, pemerolehan bahasa akan menjadi lebih perlahan berbanding kanak-kanak normal yang seusia mereka.

Kognitif: Kebolehan kognitif merujuk kepada kebolehan kanak-kanak untuk berfikir. Sekiranya kanak-kanak mempunyai kebolehan kognitif yang rendah, proses penerimaan dan pembelajaran akan menjadi lebih perlahan berbanding kanak-kanak yang sebaya dengannya.

Fizikal: Terdapat banyak organ yang membantu dalam menghasilkan bunyi pertuturan. Organ seperti telinga, peti suara, lidah, mulut, gigi dan lelangit membantu dalam penghasilan bunyi bahasa yang normal. Sekiranya kanak-kanak mempunyai ketidaknormalan pada organ pertuturan, kejelasan bunyi pertuturan akan terjejas. Contoh; Klef pada lelangit mulut boleh menyebabkan bunyi pertuturan menjadi sengau dan sukar untuk difahami oleh orang yang mendengarnya.

IKLAN

Persekitaran: Faktor persekitaran merujuk kepada individu yang berada di sekeliling kanak-kanak termasuklah keluarga, penjaga, guru serta rakan-rakan. Kepentingan individu ini adalah untuk memberikan rangsangan bahasa pada kanak-kanak. Mereka merupakan sumber rujukan awal pembelajaran bahasa kanak-kanak. Walaupun begitu, terdapat juga faktor-faktor lain yang mempengaruhi pembelajaran bahasa kanak-kanak seperti tahap pendidikan, sosioekonomi penjaga dan budaya keluarga.

Perkembangan neurologi: Perkembangan neurologi berlaku dengan pesat sehingga kanak-kanak mencapai umur 7 tahun. Perubahan yang berlaku pada saiz, berat dan pertumbuhan otak meningkatkan kebolehan berfikir kanak-kanak. Oleh itu rangsangan bahasa pada ketika ini amat penting. Kanak-kanak lebih mudah memahami dan mempelajari stimulasi yang diterima daripada persekitaran dalam tempoh kritikal ini.

Rujukan

Owen Robert E. (1995). Language Development: An Introduction. Allyn & Bacon

Carol Bainbridge (2011). How Do Children Learn Language?. Retreived January 13, 2014 from http://giftedkids.about.com/od/gifted101/a/language-learning.htm

Nicole mahony. Learning Language. Retreived January 13, 2014 from www.nsf.gov/news/special-reports/linguistucs/learn jsp

Jill Mc Cain (2000). Language Acquisition and Affective Variables. Retreived January 13, 2014 from serendip-brynmawr.edu/biology/b103/f00/web3/mccain3-html

Muhd Ruslee (2010). Modul BMM 3104 Kemahiran Mendengar Bertutur Membaca Menulis. Retreived February 2, 2014 from http://www.scribd.com/doc/28428335/MODUL-BMM-MENENGAR-BERTUTUR-MEMBACA-MENULIS

Kredit: Myhealth

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI