Mommies mesti tak sabar nak bawa bayi keluar berjalan-jalan, kan? Tapi boleh ke bayi baru lahir dibawa berjalan? Ini yang perlu anda ketahui.
Selamat ke bayi baru lahir dibawa berjalan?
Untuk memutuskan bila masa yang sesuai untuk bawa bayi keluar di tempat awam atau berjalan-jalan untuk kali pertama pastinya boleh mendatangkan kerunsingan pada ibu bapa.
Kebimbangan utama adalah mengenai tahap sistem imun si manja yang masih belum berkembang sepenuhnya. Pastinya menyukarkan bayi untuk melawan penyakit atau jangkitan.
Adakah perlu untuk menunggu sehingga tempoh waktu tertentu sebelum bayi baru lahir dibawa keluar berjalan?
Sebenarnya tiada keperluan untuk menunggu sehingga tempoh tertentu sebelum membawa bayi keluar.
Sekiranya ada yang mengatakan anda perlu menunggu sekurang-kurangnya sebulan, ia salah sama sekali.
Tiada tempoh tertentu untuk bawa bayi keluar
Hakikatnya, jika bayi anda sihat, mendapatkan udara segar pastinya 1 pilihan yang baik untuk ibu dan bayi, jika anda mengambil langkah berjaga-jaga.
Menurut kebanyakan pakar dan profesional kesihatan pediatrik, bayi baru lahir boleh dibawa ke tempat awam atau keluar selagi ibu bapa mengikuti beberapa langkah keselamatan asas.
Tidak perlu menunggu sehingga 6 minggu atau 2 bulan. Bawa bayi keluar, khususnya bersantai di taman sangat sesuai untuk ibu bapa dan si manja.
Cahaya matahari dan udara segar boleh memberikan manfaat kesihatan seperti pendedahan vitamin D, menjadikan tahap emosi dan tenaga lebih baik.
Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, doktor mungkin akan menyarankan untuk tidak membawa bayi keluar.
Keadaan tersebut melibatkan bayi kelahiran pramatang atau mempunyai keadaan kesihatan yang menjejaskan sistem imun mereka.
Ads
Tip bawa bayi baru lahir keluar
Untuk memastikan bayi baru lahir anda sihat dan selamat, penting untuk anda berwaspada dengan persekitaran dan individu yang akan ditemui ketika keluar di tempat awam.
Tugasan penting tersebut perlu dilakukan untuk selama beberapa minggu dan bulan bagi mengurangkan risiko terdedah kepada penyakit sewaktu bawa bayi keluar.
Jika anda sudah bersedia untuk membawa si manja berjalan, berikut beberapa tip mudah boleh anda amalkan:
Hadkan pendedahan cahaya matahari
Sememangnya matahari dapat memberikan vitamin D yang sangat diperlukan oleh badan terutamanya bayi yang baru dilahirkan.
Pun begitu, bayi lebih terdedah untuk mengalami selaran matahari, jika terdedah secara berlebihan.
Sebaiknya hadkan pendedahan kepada sinar UV secara langsung untuk tempoh 15 minit sahaja.
Untuk lebih kepastian, berbincanglah dengan doktor bagi menentukan jumlah cahaya matahari yang selamat untuk si manja.
Ads
Elakkan sentuhan dan ciuman
Ini tip penting yang perlu diikuti jika anda mahu membawa bayi baru lahir keluar berjalan-jalan.
Anda harus sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan individu sekeliling kerana anda tidak dapat mengetahui keadaan kesihatan seseorang.
Jadi idea paling baik adalah untuk menjauhkan sebarang sentuhan tangan dan wajah kanak-kanak mahupun individu yang tidak dikenali daripada memegang atau mencium bayi anda.
Dengan ahli keluarga sendiri juga anda harus memilih dan tidak membenarkan mereka yang sakit untuk memegang si manja.
Tetapi dinasihatkan untuk anda melakukan dengan cara yang berhemah. Elakkan daripada menimbulkan perselisihan faham.
Selektif tentang lokasi
Bukan semua tempat sesuai untuk bawa bayi berjalan, ingat ya wahai mommies.
Tempat seperti sekolah, pejabat doktor, hospital, pusat jagaan harian, kapal terbang mahupun sebarang pengangkutan awam lain adalah tempat yang dikenali sebagai ‘pusat kuman yang utama’. Jadi, sebaiknya, elakkan!
Ads
Tetapi jika keadaan memerlukan anda membawa bayi baru lahir ke tempat disebutkan di atas, sentiasa pastikan si manja berada dalam dakapan atau diletakkan dalam carrier mahupun kereta sorong.
Pastikan anda sentiasa membasuh tangan selepas menyentuh sebarang permukaan atau barangan mahupun tangan individu lain sebelum memegang si manja.
Keadaan cuaca
Perhatikan juga keadaan cuaca. Jika anda mahu bawa bayi keluar bersiar di taman, elakkan daripada memakaikan pakaian yang berlebihan kepada si comel.
Biasanya ibu bapa serta datuk dan nenek percaya bayi sentiasa mahu dibaluti selimut. Hakikatnya ia bergantung kepada cuaca.
Jika tidak ia mungkin membuatkan bayi berasa panas dan tidak selesa. Cuma sediakan selimut sebagai langkah persediaan.
Sediakan kelengkapan
Untuk membawa bayi baru lahir berjalan-jalan, walaupun sekadar bersiar di taman kawasan perumahan, anda tetap perlu menyediakan kelengkapan si manja.
Pakaian salin, lampin bersih, kain napkin, pelindung penyusuan dan tisu basah antara barangan yang harus sentiasa ada semasa keluar.
Jika anda berasa segan untuk menyusukan bayi di tempat awam, mungkin anda boleh mencari tempat yang lebih selesa untuk melakukan penyusuan.
Pertimbangkan secara rasional
Walaupun tiada larangan untuk bawa bayi keluar, namun sebagai ibu bapa, anda harus mempunyai pertimbangan rasional.
Bagi bayi baru lahir yang mempunyai isu berkaitan kesihatan, untuk jangka masa tertentu sehingga dibenarkan doktor, elakkanlah daripada keluar.
Fikirkan tentang keselamatan si manja dan keperluan untuk membawa mereka keluar, sama ada penting ataupun tidak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hampir semua wanita menyimpan hasrat untuk memberikan susu ibu secara eksklusif kepada si kecil sehingga usia enam bulan dan meneruskannya sehingga dua tahun. Dalam melengkapkan misi ini, tentunya banyak cabaran yang perlu dihadapi. Setiap cabaran yang dihadapi pasti akan ada cara untuk mengatasi.
Susu ibu, rezeki buat anak
Semua wanita bergelar ibu pasti mempunyai impian untuk menyusukan sendiri bayi. ia merupakan hadiah pertama paling berharga dan terbaik buat yang tersayang. Susu ibu dicipta oleh Allah SWT sebagai rezeki yang perlu disalurkan kepada anak melalui ibu.
Kebiasaannya, ramai ibu terutama yang pertama kali melahirkan anak seakan-akan hilang arah dan tiada panduan penyusuan sejurus selepas melahirkan bayi. Ada juga golongan yang bersungguh mahu menyusukan anak sepenuhnya dengan susu ibu tetapi keliru apa yang sepatutnya dilakukan dek kurang sokongan dan ilmu penyusuan.
Ramai ibu beranggapan penyusuan merupakan suatu perkara yang mudah dan susu akan dihasilkan dengan banyak sejurus selepas melahirkan. Sedangkan realitinya tidak. Bukan mudah untuk menjayakan penyusuan jika tiada sokongan padu daripada suami dan persekitaran. Penyusuan bukan sahaja tanggungjawab ibu, malah tanggungjawab ayah juga.
Ramai ibu tidak menyedari dan tidak tahu, badan menghasilkan susu sejak dari peringkat awalkehamilan iaitu pada fasa memogenesis (sekitar minggu ketujuh atau kelapan kehamilan).
Seterusnya apabila kandungan masuk ke trimester kedua sekitar 16 – 24 minggu proses penghasilan susu untuk menghasilkan kolostrum (laktogenesis 1) bermula. Ini bermakna sejak dari kandungan lagi payudara telah menghasilkan susu!
Hebat sekali ciptaan Allah SWT kerana Dia sediakan susu seawal usia kandungan 24 minggu. Pada waktu ini, ada bayi yang dilahirkan pramatang. Walaupun bersalin awal, ibu tetap mampu menyusukan anak.
Kolostrum merupakan susu pertama yang sangat berharga dan perlu diperoleh oleh bayi sebanyak yang boleh kerana di dalamnya terkandung banyak manfaat. Salah satunya adalah zat antibodi (imunoglobulin). Selain itu, terdapat faktor-faktor pertumbuhan yang berfungsi untuk menyempurnakan pertumbuhan dan perkembangan manusia dari bayi hingga dewasa.
Susu tiada selepas bersalin?
Jawapannya tidak benar! Setiap ibu yang melahirkan anak sudah mempunyai susu. Penghasilan kolostrum sudah bermula sejak minggu ke-16 kehamilan. Cuma paras hormon yang berbeza membuatkan ada ibu yang mula keluar susu sejak sebelum melahirkan. Ada ibu lain hanya keluar susu pada hari kedua atau ketiga bayi dilahirkan.
Bagi meningkatkan paras hormon prolaktin, rangsangan daripada hisapan bayi sangat diperlukan terutama pada jam-jam pertama kelahiran. Oleh itu, anda perlu:
Mendapatkan bayi secepat mungkin untuk disusui supaya proses pengeluaran susu lebih cepat berlaku.
Bersedia dan susukan bayi dengan yakin tanpa ragu-ragu. Bila puting payudara dipicit ia seakan tiada susu, kerana fizikal kolostrum yang pekat dan sangat sedikit sesuai dengan keperluan dan saiz perut bayi yang sangat kecil.
Warna kolostrum jernih pada awalnya dan kekuningan menyebabkan ia tidak kelihatan. Hanya rangsangan kerap pada payudara dapat membantu kolostrum diterima oleh bayi.
Apa yang perlu anda lakukan hanyalah susukan anak sekerapnya termasuk sebelah malam.
Lebih kerap payudara mendapat rangsangan, lebih cepat kolostrum keluar dan lebih banyak kolostrum diterima oleh bayi. Jadi, lebih banyak susu bakal terhasil.
Jangan risau kerana bayi mampu bertahan selama enam jam walaupun tanpa makanan kerana bekalan makanan yang diterima dari plasenta mampu menampung keperluan jam-jam pertama kehidupannya.
Bayi menangis bukan semata-mata kerana kelaparan. Banyak faktor penyebab yang lain. Susukan anak kerana hanya penyusuan dapat menenangkannya.
Pelekapan betul membantu melancarkan aliran susu ibu serta penghasilannya. Hal ini perlu diberi penekanan dalam penyusuan di peringkat awal kelahiran. Teknik pelekapan yang betul mustahak untuk memastikan anak mendapat bekalan susu yang cukup untuk keperluan tumbesarannya dan mengelakkan payudara mudah melecet atau luka.
Adalah sesuatu yang normal jika anda mengalami puting melecet atau merekah pada minggu-minggu pertama kelahiran. Ia akan beransur pulih secara perlahan-lahan.
Pelekapan yang betul bukan hanya membantu anak mendapat susu yang cukup, ia juga memastikan anda menghasilkan bekalan susu mencukupi. Bagi mengelak masalah puting merekah, sebaiknya anda menyapu susu ibu setiap kali selesai sesi penyusuan.
Susu ibu mengandungi vitamin dan ciri-ciri anti mikrob yang membantu memulihkan rekahan dan mengelakkannya berulang. Bantuan dan sokongan moral daripada suami dan keluarga amat diperlukan pada saat menyakitkan ini.
Pelekapan yang terbaik adalah apabila mulut bayi terbuka luas, dagu bersentuh dengan payudara, hidung tidak tertutup oleh payudara, bibir atas dan bawah melekap keluar. Bayi melekap di kawasan areola bukan bergantung pada puting semata-mata.
Bagi memastikan penyusuan berjaya, anda perlu merapatkan bayi secara mengiring dan rapat pada tubuh. Pastikan perut anda dan bayi bertemu. Lengan anda mengampu belakang dan punggung bayi dalam keadaan yang selesa.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap ibu yang baru bersalin pasti ingin menyusukan sendiri anak yang baru sahaja dilahirkan. Namun dek kerana penyakit jantung berlubang yang dihidapi membuatkan Shahiera Afida Abdul Wahab, 21 dari Kota Bharu Kelantan terpaksa pasrah dan berhenti menyusukan anak sulungnya Maliki Azrul Majdi Wajdi yang kini berusia lima bulan.
Hanya sempat merasai pengalaman menyusukan anak selama 14 hari, tanggungjawab itu terpaksa dihentikan oleh ibu muda ini demi mengelakkan risiko terhadap jantungnya yang bermasalah.
Menurut laporan Harian Metro, Shahiera Afida menyatakan, ketika usia kandungan enam bulan, lubang di jantungnya hanya 0.6 sentimeter (cm) dan kini sudah menjadi 0.15 cm.
“Doktor meminta jangan menyusu badan secara terus kepada Iki (Maliki) kerana bimbang jantung berdegup laju dan tidak dapat mengepam darah ketika proses penyusuan.
“Iki hanya sempat menyusu badan secara langsung sehingga usianya 14 hari saja dan sehingga kini dia hanya bergantung kepada susu formula biasa.
“Memang agak terkilan dan sedih kerana tidak dapat menyusukan anak sendiri lebih-lebih lagi anak sulung namun saya reda untuk elakkan kesan kepada jantung,” katanya ketika ditemui semalam.
Tak Dapat Jalani Pembedahan Kerana Faktor Kewangan
Menurutnya, doktor mencadangkan dia menjalani pembedahan tiga bulan lalu namun tidak dapat dilakukan berikutan kekangan kewangan.
“Masalah utama kami sekarang adalah sumber kewangan kerana pembedahan itu mencecah ribuan ringgit dan kami tidak mampu.
Suami Ada Penyakit Jangkitan Paru-paru
Bagai jatuh ditimpa tangga, sudahlah keadaan kesihatan sendiri tidak mengizinkan, suami Shahiera juga tidak berapa sihat dan kini tidak bekerja kerana ada jangkitan kuman di paru-paru
“Suami hanya bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan RM50 sehari dan kini sudah hampir sebulan tidak dapat bekerja kerana ada jangkitan kuman di paru-paru,” katanya.
Cari Kerja Sesuai Untuk Tanggung Keluarga
Suami Shahiera, Majdi Wajdi Muhamad, 29, berkata, kini dia tidak dapat bekerja dan hanya mengharapkan simpanan yang semakin berkurangan serta ihsan ahli keluarga.
“Saya perlu membuat pemeriksaan darah dan imbasan selepas ini bagi mengenal pasti penyakit yang dihidapi.
“Pada masa sama saya juga sedang mencari pekerjaan sesuai kerana tidak boleh berada dalam persekitaran berhabuk serta berdebu,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Shahiera bernombor 03021-41-00001779-2.
Pastinya mama yang menyusu badan ada pengalaman digigit puting oleh bayi. Lagi-lagi bayi yang baru tumbuh gigi. Ini antara yang paling dirisaukan ibu. Insiden ini akan berlaku secara mengejut dan tak dijangka.
Memang kebanyakan masanya kita tak dapat menjangka. Ada yang hampir terlena, tapi tiba-tiba saja menggigit. Rasanya bukan main pedih. Ada yang sampai menitis air mata menahan sakit. Tapi, takkan nak marah si kecil yang tak tahu apa-apa?
Apa yang perlu dilakukan apabila bayi mengigit puting ibu?
1) Elakkan daripada terus menarik payudara dari mulut bayi. Ia menyebabkan puting akan terluka. Ibu dapat mendekatkan bayi kepada badan ibu sehingga mukanya tenggelam di dalam payudara ibu.
Dengan cara itu, hidungnya akan terhalang dan pernafasan akan sedikit sukar, bayi akan terus melepaskan payudara ibu dari mulutnya.
Ibu juga dapat meletakkan jari kelengkeng di celah mulut bayi ataupun menutup hidungnya supaya bayi melepaskan payudara ibu.
2) Elakkan daripada menjerit dengan kuat semasa bayi mengigit kerana ia dapat menakutkan bayi. Bayi mungkin merajuk ataupun menolak daripada disusukan.
3) Hentikan penyusuan sebaik sahaja bayi mula mengigit. Bayi akan mendapat isyarat yang dia tidak boleh mengigit sekiranya mahu menyusu.
Sekiranya bayi mengigit kerana gusinya “gatal’ dan mahu tumbuh gigi, berikan sesuatu untuk dia gigit seperti tuala basah yang sejuk ataupun mainan khas untuk bayi.
Ada juga gel yang dijual difarmasi untuk letak digusi bayi bagi mengurangkan kesakitannya. Boleh dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.
4) Sekiranya bayi masih terus mengigit walaupun langkah-langkah di atas sudah di buat, katakan kepadanya dengan nada tegas, tetapi jangan sampai pula sampai menjerit.”janganla gigit. Adik mahu menyusu atau tidak? ibu sakitlah.”
Kemudian, hentikan penyusuan beberapa saat. Cuba susukan kembali sejurus selepas itu. Sekiranya dia masih mengigit, hentikan terus penyusuan. Mungkin bayi sebenarnya tidak mahu menyusu.
Kredit dari Dr Faridah Idris, Terbitan PTS Millenia Sdn Bhd..
**Dapatkan barangan bayi pada harga promosi yang sangat berbaloi. Klik sini
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.