Bila agaknya masa yang sesuai untuk anda menggunakan ujian kehamilan di rumah? Ini panduan untuk bakal ibu bagi memeriksa kehamilan anda.
Sebelum itu jom ikuti dahulu mengapa ujian ini perlu dan bagaimana cara melakukannya.
Apa itu ujian kehamilan?
Ujian kehamilan boleh menentukan sama ada anda mengandung menggunakan sampel urin (air kencing) atau darah untuk hormon tertentu. Hormon ini dipanggil human chorionic gonadotropin (hCG).
Bila hormon hCG dapat dikesan?
Tahap hCG yang tinggi adalah tanda kehamilan. Biasanya hCG akan meningkat dengan cepat dalam tempoh 10 minggu pertama selepas telur disenyawakan menempel pada dinding rahim.
Jadi bila boleh buat urine pregnancy test?
Ujian air kencing untuk kehamilan paling tepat untuk dilakukan selepas satu atau dua minggu anda tidak mengalami kedatangan haid.
Jika dilakukan terlalu awal, keputusan yang diperolehi mungkin negatif walaupun diri anda sebenarnya hamil. Ini kerana badan mungkin belum menghasilkan hCG yang mencukupi untuk dapat dikesan kit kehamilan.
Ads
Malah ujian air kencing hormon hCG ini boleh dilakukan sama ada di klinik atau dengan menggunakan kit ujian di rumah.
Panduan untuk ibu hamil melakukan ujian kehamilan ini di rumah.
1. Masa sesuai lakukan ujian kehamilan
Pregnancy test yang baik biasanya boleh mengesan kehamilan dalam masa tujuh hari selepas terlepas haid.
Pada masa itu badan berkemungkinan telah menghasilkan hCG mencukupi untuk dapat dikesan melalui ujian air kencing. Jika terdapat hCG dalam badan, ia akan terkumpul dalam air kencing semalaman dan memuncak pada waktu pagi. Melakukan ujian selepas bangun pagi membantu untuk mendapatkan keputusan yang lebih tepat.
Ads
3. Semak tarikh
Pastikan menyemak tarikh luput kit kehamilan atau anda mungkin akan mendapat hasil kurang tepat.
4. Baca arahan ujian kehamilan
Tidak semua kit kehamilan sama. Jadi walaupun anda mungkin pernah melakukannya sebelum ini, anda tetap perlu membaca arahan sepenuhnya untuk memastikan ia dilakukan dengan betul.
5. Gunakan cawan
Bagi mendapatkan keputusan lebih tepat, ikuti langkah berikut:
Kumpulkan air kencing di dalam cawan plastik kemudian, rendam kit kehamilan di dalamnya mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
6. Ujian susulan
Tidak kira apa keputusan yang diperolehi – positif atau negatif – anda boleh mendapatkan lebih kepastian dengan melakukan ujian perubatan. Ia akan dilakukan oleh doktor atau kakitangan perubatan.
Ads
Perkara perlu dielakkan
Berikut pula beberapa perkara yang harus dihindari semasa melakukan ujian air kencing untuk kehamilan di rumah:
1. Minum air terlalu banyak
Anda mungkin akan mendapat hasil negatif palsu jika minum terlalu banyak air sebelum mengambil ujian. Ini kerana tindakan tersebut boleh mencairkan air kencing dan mengakibatkan hCG yang mencukupi sukar dikesan.
2. Tempoh lama melakukan ujian
Terdapat had masa untuk membaca hasil keputusan. Jika anda membacanya di luar tempoh masa yang digariskan seperti dalam arahan, keputusan yang diperolehi menjadi tidak tepat.
Kebanyakan ujian bukan digital menunjukkan garis sebagai tanda kehadiran hCG dalam air kencing. Satu baris sebagai garis kawalan dan baris kedua petanda kehamilan.
Jika ujian negatif, terdapat kemungkinan anda masih melihat garis penyejatan samar dan tidak berwarna yang muncul semasa air kencing mengering.
Bagi mereka yang tidak biasa dengan garis penyejatan, akan menganggapnya sebagai keputusan positif apabila melihat garisan ini. Jadi elak membiarkan ujian terlalu lama sebelum dibaca. Jika tidak anda mungkin membaca garis penyejatan dan menganggap diri hamil.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ketika hamil, macam-macam ragam si ibu. Mengidam makanan adalah normal dan ada masanya teringin sesuatu yang pelik dan sukar nak cari. Kalau setakat nak makan menu yang biasa-biasa atau tahu di mana nak dapatkan, mudahlah untuk si suami. Namun, kalau tiba-tiba nakkan sesuatu yang tak wujud pening kepala dibuatnya!
Begitulah yang terjadi pada wanita ini yang menangis kerana dia mengidam roti berbentuk buaya. Susah nak cari, suaminya menggantikan dengan kudapan yang lain.
Video dirinya yang menangis kerana rasa sedih tak dapat roti tersebut dikongsikan di akaun TikTok sehingga ke pengetahuan ibu mentuanya.
Memenuhi keinginan menantunya, ibu mentua wanita tersebut berusaha menghasilkan sendiri roti buaya biarpun tidaklah 100% berbentuk seperti buaya. Pun begitu, si menantu cukup gembira dan sangat menghargai roti buaya hasil air tangan ibu mentuanya itu.
Lebih menarik lagi, kerana ada yang mengatakan rupa roti buaya yang dibuat ibu mentuanya nampak seperti cicak, mereka akhirnya membuat percubaan sekali lagi bersama-sama.
Melalui rakaman video, wanita ini menunjukkan proses ketika mereka membentuk dan membakar doh tersebut. Di akhir video, kelihatan dia dan suami sangat teruja dapat makan roti buaya buatan sendiri.
Ketika hamil, banyak masalah yang mungkin berlaku pada si ibu. Salah satunya adalah anemia. Ia merupakan masalah kesihatan yang berlaku apabila darah kekurangan sel darah merah yang sihat atau hemoglobin.
Di dalam perkongsiannya di laman Facebook, Dr Zubaidi Hj Ahmad menjelaskan tentang anemia. Biarpun perkongsian ini di buat sekitar tahun 2020, ia masih berguna sebagai rujukan para ibu.
Sumber foto: www.freepik.com
BAHAYA ANEMIA KETIKA HAMIL
Anemia adalah masalah kesihatan yang berlaku apabila darah kekurangan sel darah merah yang sihat atau hemoglobin. Kekurangan hemoglobin bawah paras normal menyebabkan tubuh tidak mendapat oksigen yang mencukupi dan mengakibatkan penghidapnya berasa lemah.
Wanita, kanak-kanak dan penghidap penyakit kronik berisiko tinggi mendapat anemia. Masalah kekurangan darah ini juga boleh diwarisi dan bayi mungkin mendapatnya ketika dilahirkan. Warga emas juga berisiko tinggi mendapat anemia kerana kekurangan zat makanan dan masalah kesihatan. Malah, wanita dalam tempoh subur juga terdedah kepada anemia akibat kekurangan zat besi disebabkan kehilangan darah akibat haid, selain peningkatan permintaan bekalan darah ketika mengandung.
Bagi kebanyakan wanita mengandung pula, mereka akan rasa mudah letih, berasa tidak sihat, emosi mudah terganggu dan tubuh lemah. Keadaan ini memang nampak normal ketika ini hingga tidak diberikan perhatian serius. Mereka menganggap ia mungkin kesan perubahan hormon dalam badan, namun sebenarnya masalah terbabit boleh menandakan gangguan yang lebih serius iaitu anemia atau kekurangan sel darah merah akibat tidak mendapat zat besi secukupnya.
Sumber foto: www.freepik.com
Anemia atau kurang darah adalah suatu keadaan apabila jumlah sel darah merah (hemoglobin) berada di bawah paras normal. Hemoglobin yang terkandung di dalam sel darah merah berperanan mengangkut oksigen dari paru-paru dan menghantarnya ke seluruh bahagian tubuh.
Apabila anda mengalami anemia, tubuh tidak menghasilkan sel darah merah yang mencukupi. Lantas anda tidak mendapat oksigen yang cukup dan akibatnya cepat berasa penat. Malah komplikasi kesihatan serius yang lain juga boleh berlaku.
Apabila seseorang wanita hamil, ada kemungkinan untuknya mengalami anemia apabila tidak mendapat zat besi secukupnya. Dalam keadaan ini, wanita mungkin berasa cepat penat, emosi mudah terganggu dan lemah.
Semasa hamil badan wanita menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin. Sekiranya zat besi atau vitamin B12 dan folat tidak dibekalkan secukupnya, penghasilan darah merah mungkin tidak cukup untuk keperluan badan seseorang itu. Ini kerana apabila usia kandungan semakin meningkat, isi padu darah juga bertambah dan ia menyebabkan pencairan darah berlaku.
Walaupun sel darah merah makin bertambah, penghasilan plasma darah juga bertambah dan menyebabkan keadaan yang dipanggil anemia relatif atau fisiologi. Seseorang itu dikatakan mengalami masalah anemia apabila tahap kepekatan hemoglobin (g/dl) kurang dari 11 g/dl semasa trimester pertama, 10.5 g/dl semasa trimester kedua dan 10 g/dl dalam trimester ketiga.
Kira-kira 75 peratus wanita hamil mengalami anemia akibat kekurangan zat besi. Keadaan ini boleh meningkatkan risiko wanita hamil melahirkan bayi tidak cukup bulan atau berat badan bayi yang rendah. Wanita hamil sentiasa mengalami kekurangan zat besi untuk menampung keperluan semasa mengandung. Mereka disarankan agar meningkatkan pengambilan zat besi dalam diet harian.
Sumber foto: www.freepik.com
Pemeriksaan darah perlu dijalankan secara rutin semasa lawatan pertama ke klinik ibu mengandung. Antara gejala anemia adalah letih, tidak bermaya, sakit kepala, pening, berdebar-debar dan sesak nafas. Selain itu masalah anemia yang tidak dirawat juga boleh menyebabkan komplikasi seperti kelahiran pramatang (tidak cukup bulan), kematian bayi dalam kandungan dan kemurungan selepas kelahiran.
Rawatan zat besi secara rutin disarankan dalam program penjagaan ibu mengandung. Sekiranya ibu mengandung tidak dapat mengambil zat besi dengan cara biasa, maka mereka disarankan mendapatkan suntikan zat besi yang dilakukan di klinik atau hospital. Pemindahan darah mungkin perlu dilakukan sekiranya berlaku anemia yang teruk dalam kalangan wanita mengandung yang hampir bersalin.
Tahap hemoglobin yang perlu untuk pemindahan darah mungkin lebih rendah dalam kalangan mereka yang mempunyai anemia kronik berbanding wanita dengan masalah hemolisis akut. Hemolisis adalah keadaan apabila kemusnahan sel darah merah disebabkan kecederaan pada membran sel.
Anemia yang teruk mesti dirawat sebelum kelahiran bayi untuk mengelakkan komplikasi yang berpunca akibat pendarahan semasa kelahiran. Wanita mengandung disarankan supaya menjalani pemeriksaan mengikut jadual seperti disediakan di klinik ibu mengandung. Ini sangat penting untuk memastikan keselamatan dan kesihatan ibu dan anak.
JENIS ANEMIA KETIKA HAMIL
Masalah anemia ketika hamil boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu :
1. Anemia akibat kekurangan zat besi
Ia berlaku apabila badan tidak mendapat zat besi secukupnya untuk menghasilkan hemoglobin yang diperlukan badan. Jadi, darah tidak dapat membawa oksigen dari paru-paru ke seluruh badan. Ini masalah anemia yang paling lazim dalam kalangan wanita hamil.
2. Anemia akibat kekurangan folat
Folat adalah vitamin yang ditemui secara semula jadi dalam beberapa jenis makanan seperti sayur-sayuran berdaun hijau. Ia sejenis vitamin B yang diperlukan badan untuk menghasilkan sel baru, termasuk sel darah merah. Ketika hamil, wanita memerlukan lebih folat, tetapi kadang kala ia tidak dapat dibekalkan melalui pemakanan. Apabila ini berlaku, badan tidak boleh menghasilkan sel darah merah normal yang cukup untuk mengangkut oksigen ke tisu badan.
Jadi inilah sebabnya wanita hamil diberikan suplemen asid folik. Kekurangan folat boleh menyebabkan kecacatan pada bayi seperti spina bifida dan bayi dilahirkan tidak cukup berat.
3. Anemia akibat kekurangan vitamin B12
Badan kita memerlukan vitamin B12 untuk menghasilkan sel darah merah yang sihat. Apabila wanita hamil tidak mendapat cukup vitamin B12 daripada pemakanannya, badannya tidak boleh menghasilkan sel darah merah yang sihat dalam kuantiti diperlukan.
GOLONGAN BERISIKO TINGGI
Semua wanita hamil berisiko mengalami masalah anemia. Ini kerana mereka perlukan lebih zat besi dan asid folik berbanding biasa. Namun risikonya lebih tinggi dalam keadaan seperti berikut:
1. Kehamilan kembar 2. Kerap hamil dan jarak antara dua kehamilan adalah rapat 3. Banyak muntah kerana mabuk hamil sehingga tidak lalu makan 4. Hamil pada usia terlalu muda (remaja) 5. Tidak mengambil cukup makanan yang kaya zat besi 6. Pernah alami anemia sebelum hamil
GEJALA DAN KESAN ANEMIA TERHADAP KEHAMILAN
1. Pucat, letih, lesu, sesak nafas dan jantung berdegup laju
2. Risiko keguguran, kelahiran pramatang, bayi kecil, koma dan peningkatan kebarangkalian ibu meninggal dunia
PENCEGAHAN DAN RAWATAN
1. Tingkat pengambilan makanan kaya zat besi seperti ayam, sayur berdaun hijau, kekacang, hati, bijirin penuh, tomato, tembikai, labu, bijan, tauhu, lada benggala, kiwi dan buah-buahan kering seperti prun dan kismis
2. Ambil roti dan bijirin diperkaya zat besi, asid folik
3. Dalam kebanyakan kes, doktor mengesyorkan pil zat besi tambahan untuk merawat anemia.
Sepanjang bulan Ramadan, ramai di kalangan kita yang bersungguh-sungguh mengejar barakah yang berada di dalamnya dengan mengerjakan amalan berpuasa dengan sempurna. Bagi lelaki dan wanita yang tidak hamil, tentunya ia tidak menjadi masalah. Bagaimana pula dengan wanita hamil?
BERPUASA BAGI WANITA HAMIL
Pakar perubatan sendiri tidak menggalakkan mereka berpuasa terutama pada 3 bulan yang pertama. Ini kerana kehamilan di peringkat awal selalunya memberikan komplikasi yang tidak menyenangkan bagi wanita hamil di samping di saat ini bayi memerlukan nutrien yang secukupnya.
Namun begitu ramai wanita hamil yang tidak mahu mensia-siakan keberkatan dan peluang untuk beramal di bulan ini. Kebanyakan ulama juga tidak menggalakkan wanita hamil berpuasa jika ia memudharatkan bayi atau diri wanita yang hamil itu sendiri.
Beberapa pakar perubatan juga memberikan pendapat yang berbeza sama ada setiap wanita hamil boleh meneruskan ibadah puasa atau meninggalkannya sepanjang kehamilan. Tiada suatu pendapat seragam yang sesuai digunakan untuk semua wanita hamil. Oleh itu doktor harus menilai wanita hamil secara individual kerana hukum bagi wanita hamil yang berpuasa juga berbeza bagi setiap orang.
Oleh itu janganlah mensia-siakan kemudahan yang Allah berikan pada wanita yang hamil. Hanya mereka sendiri yang dapat mengetahui kekuatan diri mereka untuk berpuasa. Oleh itu jika mengalami kekeliruan terhadap kesihatan haruslah berjumpa dengan doktor untuk berbincang.
Apabila wanita hamil datang ke pusat rawatan untuk pemeriksaan antenatal pada bulan Ramadhan, seseorang itu haruslah memberitahu masalah yang dihadapinya ketika berpuasa.
Doktor boleh memberikan pendapat sama ada wanita hamil itu boleh meneruskan puasa atau harus meninggalkan puasanya. Ini kerana sepanjang tempoh berpuasa, tubuh wanita hamil dan bayi yang di dalam rahem menggunakan segala nutrien dan tenaga yang tersimpan di hati (liver) wanita itu.
Kekuatan wanita hamil untuk bertahan terus berpuasa bergantung kepada beberapa faktor:
1. Berapa lama wanita itu telah hamil? (stage of pregnancy)
2. Berapa lama tempoh berpuasa? Jika di Malaysia tempuh berpuasa antara 12-13 jam, tetapi di negara Eropah mungkin ia lebih lama dan mungkin juga lebih pendek. Jika terlalu lama ada sesetengah wanita hamil tidak sanggup berpuasa kerana banyak nutrien yang disimpan dikongsikan bersama bayi dalam rahem.
3. Adakah bulan Ramadan secara kebetulan bersama-sama dengan cuaca panas atau amat sejuk? Dalam musim yang terlalu panas atau terlalu sejuk (terutama di negara yang mempunyai 4 musim), banyak tenaga yang digunakan untuk mengekalkan haba tubuh di musim sejuk sementara di musim panas, dehidrasi mudah berlaku dan sangat bahaya pada bayi yang dikandung.
4. Bagaimana kesihatan wanita hamil sebelum beliau hamil? Jika wanita hamil itu telah mengalami masalah penyakit kronik sebelum kehamilannya, maka beliau mudah menjadi lemah jika tidak makan dan minum.
Oleh itu saya sering menasihatkan wanita yang merancang untuk hamil atau pun telah hamil di bulan Ramadhan harus berbincang dengan doktor. Ini sangat penting terutama bagi wanita yang mempunyai sejarah kehamilan yang bermasalah (complicated pregnancy) sebelum ini, seelok-eloknya harus merancang bersama doktor.
Jika terdapat tanda-tanda berikut, sebagai panduan asas, wanita hamil boleh berbuka puasa. Antaranya:
i) Rasa pening, lemah, pitam atau penat walaupun telah berehat selama 30 min hingga sejam.
ii). Rasa loya dan mula muntah sehinggakan tiada cara lain selain memakan ubat penahan muntah.
iii). Rasa sangat haus, warna air kencing menjadi keruh dan baunya sangat hancing, menandakan fenomena dehidrasi. Bila dehidsrasi berlaku wanita hamil akan berasa amat lemah dan membahayakan diri dan bayinya. Beliau haruslah berbuka jika perlu meminum air atau dimasukkan air saline ke dalam saluran darahnya secara intravenous.
iv). Jika umur kehamilan melebihi 20 minggu dan bilangan pergerakan bayi dalam rahem menjadi kurang daripada 10 kali pergerakan. Kebiasaannya bayi akan bergerak selepas ibunya makan kerana pada masa itu bayi dalam rahem mendapat nutrisi yang dibekalkan. Kekurangan pergerakan bayi menunjukkan bayi itu memerlukan nutrient dan berada dalam keadaan yang bahaya. Adakalanya apabila wanita itu berbuka puasa, pergerakan bayi dapat dirasakan semula.
v). Rasa sakit perut memulas-mulas seperti mahu melahirkan. Ini mungkin tanda kelahiran pramatang. Dengan makan dan minum, nutrien dapat diberikan kepada bayi dan proses kelahiran pra matang dapat dielakkan.
vi). Wanita hamil tidak mengalami pertambahan berat badan atau mengalami kekurangan berat badan. Ini bermakna tenaga dan nutrient yang disimpan semakin berkurangan yang sepatutnya disimpan secukupnya untuk proses kelahiran nanti.
vii). Mengalami sakit kepala, atau demam yang mana harus memakan ubat bagi menyembuhkan kesakitan dan demamnya.
Pada masa yang sama, doktor akan melarang seseorang wanita itu berpuasa jika dia mempunyai komplikasi kehamilan seperti:
Diabetes mellitus
Penyakit buah pinggang
Penyakit hati (liver) yang tidak berfungsi
Penyakit bronchial asthma yang kuat
Penyakit tekanan darah tinggi yang tidak terkawal
Kehamilan kembar
Mengalami risiko kelahiran pramatang
Masalah-masalah lain berkaitan kehamilan yang serius
TIPS PEMAKANAN
Untuk mengelakkan kekurangan tenaga dan nutrient yang sepatutnya digunakan oleh bayi di dalam rahem, ada beberapa tips yang boleh digunakan bagi persiapan berpuasa.
– Minumlah air yang banyak ketika bersahur dan berbuka (Iftar) bagi mengurangkan dehidrasi yang merbahaya pada bayi.
– Makanlah makanan yang memberikan tenaga secara beransur-ansur seperti kurma dan kekacang ketika berbuka puasa. Makanan seperti ini akan memberikan tenaga berterusan walaupun beberapa jam telah berpuasa.
– Elakkan makanan yang bergula yang boleh menyebabkan paras gula tinggi secara mendadak, kerana apabila insulin dikeluarkan ia akan menyebabkan paras gula menjadi rendah, dan kita akan rasa mengantuk. Selain itu ia hanya memberikan tenaga yang cepat tetapi hanya sebentar saja.
– Makan makanan yang banyak protein – daging dan telur untuk pembesaran fizikal bayi.
Selain itu bagi wanita yang hamil, boleh mengikuti cara-cara berikut untuk mengelakkan keletihan ketika berpuasa untuk wanita hamil.
Rancang jadual seharian agar dapat rehat secukupnya.
Elakkan berjalan jauh atau membawa barang-barang berat.
Elakkan terdedah pada cuaca yang panas kerana ini akan mempercepatkan dehidrasi.
Kurangkan kerja-kerja rumah yang berat dan minta tolong suami untuk melakukannya.
Elakkan membuang masa dengan memperbanyakkan bacaan al- Quran.
Kesimpulannya, seorang wanita hamil boleh berpuasa jika beliau mempunyai kekuatan dan tidak mengalami komplikasi kehamilan. Bagi wanita yang tiada kekuatan akibat penyakit yang sedia dihidapi semenjak sebelum berkahwin, dibenarkan berbuka dan harus menggantikannya.
Bagi wanita yang mempunyai komplikasi kehamilan yang mana dinasihatkan oleh doktor agar tidak berpuasa, boleh meninggalkan puasa dan menggantikannya (jika ia melibatkan diri wanita hamil saja) atau menggantikannya dan membayar fidyah (jika dikhuatiri bayinya mengalami kemmudharatan akibat berpuasa).
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Melangkah masuk ke kediaman mewah ini sudah cukup buat sesiapa teruja. Gabungan dekorasi eksklusif, sentuhan landskap ala resort, dan suasana rumah yang begitu “hidup” menjadikan setiap ruang seolah-olah bercerita tentang gaya hidup si pemiliknya yang penuh warna dan inspirasi.