Ingin berkongsi rasa bahagia mempunyai zuriat sendiri, pasangan selebriti Indonesia Irwansyah dan isteri, Zaskia Sungkar yang sedang menanti saat bergelar ibu dan ayah meluahkan hasrat untuk membantu pasangan yang sudah lama ingin memiliki zuriat.
Niat murni pasangan ini dimaklumkan melalui akaun Instagram Irwansyah baru-baru ini apabila penyanyi lagu Pencinta Wanita itu berkongsi dengan pengikutnya tentang program ‘Bayi Tabung Bersama Syahki’. Ia juga adalah hasil usahasama pasangan ini dengan klinik Morula Jakarta & Bandung.
Menerusi program tersebut, dua pasangan terpilih akan ditaja untuk menjalani rawatan kesuburan iaitu In-Vitro Fertilization atau IVF.
Menurut Zaskia pula kepada Fimela dalam satu sidang media virtual pada Rabu yang lalu, dia dan suaminya mahu berkongsi rasa bahagia memiliki cahaya mata sendiri.
“Kami tidak mahu bahagia sendiri, semoga bayi tabung bersama Syahki ini, kami dapat membantu cita-cita calon ibu dan bapa mendapatkan anak secara IVF dan ia percuma,”
Ads
Memetik laporan Fimela, Irwansyah dan Zaskia turut berasa bersyukur apabila diberi rezeki dari segi kewangan untuk menjalani rawatan IVF tersebut.
Mencari satu pasangan dari Jakarta dan satu lagi dari Bandung, pasangan ini cukup memahami jika ada ibu dan bapa yang mengidamkan cahaya mata tetapi tidak mampu untuk menjalani rawatan IVF yang berkos tinggi.
Program ini turut menetapkan beberapa syarat untuk dipatuhi antaranya pasangan mestilah tidak melebihi 33 tahun, belum memiliki zuriat dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Ads
“Keinginan kami untuk sama-sama berkongsi kebahagiaan dengan membantu pasangan memperoleh anak. Kami berharap program ini memberi manfaat kepada mereka yang benar-benar berkeinginan mempunyai zuriat,” ujar Irwansyah.
September lalu, penantian cahaya mata pasangan ini selama 10 tahun berakhir apabila Zaskia disahkan hamil selepas menjalani rawatan IVF. Usia kandungannya kini memasuki bulan kelima.
Sekadar info, Irwansyah dan Zaskia telah mendirikan rumah tangga pada 15 Januari 2011.
Mana Ada Diet Nak Elak Plasenta Previa, Ini Perkara Penting Ibu Hamil Kena Tahu
Placenta previa boleh menyebabkan risiko pendarahan semasa hamil dan juga ketika proses kelahiran. Ada beberapa situasi yang menyebabkan ibu-ibu hamil dengan kes placenta previa perlu berwaspada.
Menurut Dr Amirul Amzar, plasenta previa ialah satu keadaan di mana uri terletak di bahagian bawah rahim dan menghalang laluan untuk bersalin. Beliau juga turut memberikan reaksi kepada penyebaran info yang mengatakan ada diet tertentu yang boleh mengelakkan plasenta previa ini.
Makin mengarut ajaran doula ekstremis ni. Hari tu kata ada diet untuk elakkan Caesarean. Sekarang ada diet untuk elakkan Placenta Previa pulak!
Saya cari punya cari, tak ada pulak jurnal yang membuktikan informasi ini. Saya tanya pakar perbidanan dan pakar pemakanan pun tak ada jugak makanan untuk elak Placenta Previa. Mana lah doula ni belajar. Lepas tu ajar pada pada orang awam, orang awam pun percaya bulat-bulat.
Placenta previa adalah satu keadaan di mana uri terletak di bahagian bawah rahim dan menghalang laluan untuk bersalin.
Biasanya ia didiagnos selepas 28 minggu kehamilan kerana sebelum itu, uri yang rendah masih ada potensi naik ke atas.
Placenta previa ni ada beberapa jenis. Ada yang masih boleh bersalin normal, ada yang memang kena Caesarean.
Placenta previa juga mendedahkan ibu pada risiko pendarahan yang teruk. Kalau berdarah, sekejap je darah dalam badan si ibu boleh kering. Sebab itu ia perlu pemantauan rapat oleh pakar.
Antara faktor risiko placenta previa adalah:
1. Sejarah placenta previa pada kandungan sebelumnya.
2. Sejarah pembedahan melibatkan dinding rahim seperti Caesarean atau pembuangan fibroid (myomectomy).
3. Sejarah kandungan ramai, terutama jarak antara kandungan rapat-rapat
4. Merokok.
5. Menggunakan kokain sewaktu mengandung.
6. Sejarah pencucian rahim oleh sebab keguguran (dilation and currettage).
7. Kandungan kembar, kerana uri yang lebih besar.
8. Posisi bayi tidak normal seperti songsang atau melintang.
Tak ada lagi makanan yang menyebabkan placenta previa dan tak ada lagi makanan yang boleh membantu dalam rawatan placenta previa.
Jadi, hati-hati bila dengar informasi kesihatan dari doula ekstremis. Kalau dengar, double confirm kesahihan dengan doktor merawat. Takut bayar beratus-ratus, dapat informasi pulak mengarut-ngarut.
Doula hanya peneman. Doula tak ada kelayakan beri nasihat perubatan.
*Doula bukan bidan
*Doula bukan doktor
*Doula bukan pakar pemakanan
*Doula juga bukan farmasis.
Timbul persoalan perlukah seorang ibu hamil mengambil suplemen dan vitamin sepanjang tempoh kehamilan? Apabila disahkan hamil, seorang bakal ibu pastinya akan merujuk dan mencari sumber terbaik bagi bayi yang bakal dilahirkan.
Mungkin masih ramai ibu-ibu hamil terutama yang kali pertama berbadan dua tertanya-tanya keperluan suplemen dan juga vitamin. Pada masa sama juga kebanyakan ibu-ibu hamil tercari-cari apakah vitamin atau suplemen kesihatan yang sesuai untuk mereka ambil.
Diet yang seimbang adalah cara terbaik bagi mendapatkan nutrient yang diperlukan oleh ibu dan bayi dalam kandungan. Justeru itu, ibu hamil dinasihatkan mengambil makanan daripada pelbagai sumber bagi memastikan bayi dalam kandungan mendapat semua vitamin dan mineral yang diperlukan. Ia juga bagi memastikan ibu mendapat tenaga yang diperlukan sepanjang kehamilan.
Walau bagaimanapun,terdapat sesetengah ibu hamil yang tidak dapat memakan makanan yang mengandungi nutrien tertentu atas sebab alahan, mual-mual atau loya, muntah yang teruk, dan sebagainya.
Pengambilan suplemen vitamin adalah disarankan bagi melengkapkan keperluan nutrien yang diperlukan, bukan sahaja untuk ibu malahan untuk tumbesaran bayi dalan kandungan. Pengambilan vitamin dan suplemen kesihatan semasa hamil digalakkan kerana dapat mengurangkan risiko kecacatan bayi, kelahiran pramatang dan kekurangan berat bayi.
Apakah vitamin dan suplemen kesihatan yang penting bagi ibu hamil?
Secara amnya, ibu hamil disarankan mengambil vitamin dan suplemen mengikut keperluan dirinya atau saranan daripada doktor dan ahli farmasi. Beberapa vitamin dan suplemen yang biasanya perlu di ambil oleh ibu hamil adalah:
Asid Folik
Asid folik merupakan suplemen yang paling penting terutamanya semasa trimester pertama kehamilan. Pengambilan asid folik boleh mengurangkan risiko bayi mengalami kecacatan pada tulang belakang (kecacatan tiub neural). Kecacatan tiub neural iaitu spina bifida berlaku apabila saraf di dalam tulang belakang terdedah dan rosak.
Sebaik-baiknya asid folik diambil apabila seseorang wanita merancang untuk hamil. Asid folik dengan dos 400mcg perlu diambil setiap hari sehingga sekurang-kurangnya 12 minggu pertama kehamilan. Ibu hamil juga dinasihatkan mengambil makanan yang mengandungi folat (bentuk semulajadi Asid Folik) seperti sayur-sayuran hijau dan kekacang.
Dalam sesetengah keadaan, dos asid folik yang lebih tinggi iaitu sebanyak 5mg mungkin akan disyorkan oleh doktor. Sebagai contohnya:
*Ibu hamil yang pernah mengalami masalah bayi dengan kecacatan tiub neural dalam kehamilan terdahulu.
*Ibu hamil yang sedang mengambil sebarang ubat anti-epileptik.
*Ibu hamil yang menghidapi penyakit kencing manis.
Zat Besi
Ibu hamil biasanya akan menjalani ujian darah yang akan menunjukkan sama ada kandungan zat besi dalam badan mencukupi ataupun tidak. Jika kandungan zat besi ibu hamil rendah, suplemen zat besi perlu diambil. Ini disebabkan jumlah darah dalam badan ibu semakin bertambah bagi menyokong tumbesaran bayi dalam kandungan. Badan akan menggunakan zat besi yang tersimpan dalam badan sekiranya ibu kurang mengambilnya dalam diet. Akibatnya, penyimpanan zat besi dalam badan akan berkurang dan boleh membawa kepada anemia.
Risiko kelahiran pramatang dapat dikurangkan dengan pengambilan zat besi. Selain itu, pengumpulan zat besi dalam badan juga penting kerana ibu akan kehilangan banyak darah semasa melahirkan. Bayi yang bakal lahir juga mempunyai simpanan zat besi dalam badan mereka. Zat besi ini berasal daripada darah ibunya melalui uri dan boleh bertahan sehingga 4 bulan.
Biasanya, jika ibu mengambil zat besi lebih daripada kuantiti yang disyorkan iaitu 30mg, ia boleh mengganggu saluran pencernaan seperti mengalami sembelit yang dialami oleh kebanyakan ibu hamil, loya ataupun cirit-birit. Suplemen kesihatan dengan kandungan zat besi dalam kuantiti 30mg atau kurang biasanya tidak memberikan sebarang masalah berkaitan.
Ibu hamil disyorkan berbincang dengan doktor berkaitan ketidakselesaan yang dialami. Sekiranya ibu hamil tidak mengalami anemia, terdapat pilihan untuk bertukar kepada suplemen kesihatan dengan kandungan zat besi yang lebih rendah. Walau bagaimanapun, bagi ibu hamil yang mengalami anemia dan tiada pilihan untuk bertukar kepada suplemen lain, disyorkan untuk minum jus prun ataupun mengambil buah-buahan dengan lebih kerap bagi mengatasi masalah sembelit.
Sumber makanan terbaik yang mengandungi zat besi adalah seperti daging merah, kismis, kurma, kekacang dan sayur-sayuran.
Kalsium
Ibu hamil juga memerlukan kalsium bagi pembentukan tulang dan pertumbuhan gigi bayi terutamanya pada trimester ketiga. Kalsium juga penting sepanjang kehamilan bagi mengelakkan kekejangan otot kaki ibu. Sekiranya ibu hamil kekurangan kalsium, ia turut menyebabkan berlaku kekejangan otot dan kerosakan gigi kepada ibu itu sendiri.
Biasanya suplemen ini akan diperskripsikan untuk wanita hamil yang alah terhadap susu atau tidak dapat mengambil kalsium yang cukup dalam pemakanan harian mereka. Kekurangan kalsium yang serius boleh mendedahkan wanita hamil kepada risiko pre-eklampsia yang boleh membawa maut kepada ibu dan bayi dalam kandungan.
Pengambilan kalsium sehari yang dicadangkan untuk ibu hamil ialah dalam dos 1300mg (ibu berumur 14-18 tahun) dan 1000mg (ibu berumur 19-50 tahun).
Asid Lemak Perlu
Asid Lemak Perlu seperti asid lemak omega-3 DHA dan EPA juga penting bagi pembentukan otak dan saraf bayi dari peringkat awal pembentukan. Ikan adalah sumber utama DHA dan EPA tetapi ibu perlu berhati-hati supaya tidak makan terlalu banyak ikan yang mengandungi kandungan merkuri yang tinggi. Memandangkan omega-3 adalah sangat penting untuk bayi, adalah idea yang baik untuk berbincang dengan doktor sama ada ibu memerlukan suplemen tambahan yang mengandungi omega-3 ataupun tidak.
Vitamin D
Vitamin larut lemak seperti vitamin D turut membantu mengekalkan tulang dan gigi yang kuat kerana vitamin D memainkan peranan penting dalam mengekalkan tahap kalsium dan fosforus di dalam badan. Oleh itu, adalah penting bagi ibu hamil mengambil vitamin D tambahan bagi memastikan tulang yang sihat serta menyediakan bayi dengan vitamin D yang mencukupi bagi beberapa bulan pertama mereka. Dos yang dicadangkan ialah 200IU vitamin D setiap hari.
Sumber makanan terbaik yang mengandungi vitamin D adalah ikan sardin, ikan mackerel, ikan salmon, telur dan daging.
TIP PENGAMBILAN VITAMIN DAN SUPLEMEN:
*Sebelum membeli sebarang vitamin atau suplemen, baca label dengan teliti bagi memastikan dos dan kandungan yang tepat dan selamat dipilih agar sesuai dengan keperluan ibu.
*Berbincang dengan doktor atau ahli farmasi tentang penggunaan ubat serta gaya hidup bagi menentukan vitamin dan suplemen kesihatan yang terbaik dan selamat diambil.
*Pastikan ibu hamil tidak mengambil sebarang vitamin atau suplemen kesihatan selain yang dicadangkan oleh doktor ataupun ahli farmasi.
*Bagi mengelakkan loya, cuba ambil suplemen kesihatan pada waktu malam sebelum tidur. Ibu hamil juga dinasihatkan mengambil sebarang vitamin atau suplemen kesihatan selepas makan bagi mengurangkan iritasi dengan perut kosong.
*Bincanglah dengan doktor atau ahli farmasi mengenai multivitamin khas untuk kehamilan. Ia seharusnya mengandungi asif folik, zat besi, vitamin D dan kalsium. Dapatkan juga multivitamin yang mengandungi vitamin C, vitamin D, vitamin B seperti B6 dan B12, potassium, zink dan vitamin E.
*Multivitamin bagi kehamilan tidak mengandungi retinol, iaitu vitamin A daripada sumber haiwan, kerana jika diambil dalam kuantiti yang banyak, retinol boleh menjadi racun kepada bayi dalam kandungan.
Ibu hamil juga perlu mengelakkan makanan yang mengandungi kandungan vitamin A yang tinggi seperti hati dan juga produk berasaskan hati seperti minyak hati ikan (fish liver oil). Bagaimanapun, vitamin A boleh diambil dalam bentuk provitamin A, iaitu betakarotin yang diperolehi daripada sumber tumbuhan dan selamat untuk bayi.
Lebih 130,000 wanita yang dianggarkan kembali bekerja selepas bersalin berpeluang mendapat manfaat daripada geran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan dana keseluruhan berjumlah RM290 juta setahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Perkeso akan meminda akta untuk membolehkan pemberian geran bersamaan 80 peratus daripada nilai gaji yang diinsuranskan pekerja bagi menggalakkan wanita kembali bekerja selepas mereka bersalin.
“Kerajaan prihatin dan sensitif kepada keperluan golongan wanita terutamanya yang terpaksa berhenti bekerja selepas tempoh cuti bersalin untuk menjaga anak-anak kerana kos penjagaan kanak-kanak yang tinggi.
“Justeru, majikan diharapkan dapat memainkan peranan untuk turut bertanggungjawab menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di pejabat.
“Dalam hal ini, kerajaan akan terus memudah cara garis panduan untuk pusat jagaan kanak-kanak di pejabat termasuk membenarkan penyediaan pusat jagaan di aras pejabat yang lebih tinggi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, insentif cukai sedia ada juga akan dilanjutkan bagi elaun jagaan kanak-kanak serta kos menyediakan pusat jagaan di pejabat.
Beliau berkata, jika sambutan daripada majikan kurang menggalakkan, kerajaan akan meneliti keperluan untuk mewajibkan penyediaan kemudahan terbabit demi menyokong ibu yang bekerja.
Pada masa sama katanya, kerajaan akan memudah cara proses pendaftaran dan memulakan semula program pemutihan taska dan pusat penjagaan kanak-kanak yang belum berdaftar di seluruh negara.
“Sejumlah RM15 juta turut disediakan sebagai pinjaman mudah bagi membantu pengusaha.
“Bagi memperluas akses pendidikan awal kanak-kanak, kerajaan akan meneruskan pembinaan 80 taska dan tabika Kemas termasuk 13 projek baharu,” katanya.
Sementara itu, kerajaan pimpinan beliau turut menyediakan RM8 juta bagi memperkukuh peranan Pusat Sokongan Sosial Setempat sebagai tempat intervensi awal isu kesihatan mental dan keganasan rumah tangga.
Selain itu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memberikan perkhidmatan sokongan lebih komprehensif kepada kanak-kanak.
Katanya, Bahagian D11, Polis Diraja Malaysia akan bertindak lebih agresif dalam menyiasat kes-kes seksual, wanita dan kanak-kanak.
“Sebuah unit khas di bawah D11 juga akan ditubuhkan khusus untuk membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak dan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk mencari pelaku yang terbabit.
“Ini kerana kerajaan sentiasa prihatin akan keselamatan masyarakat terutamanya wanita dan kanak-kanak namun, permasalahan membabitkan wanita dan kanak-kanak masih dilihat membimbangkan saat ini,” katanya.
Kegembiraan sebuah keluarga yang meluangkan masa di taman tema air bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kejadian pada Ahad lalu.