
Bagi seorang ibu, melihat rumah dipenuhi suara dan gelak tawa anak-anak adalah antara kebahagiaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Dalam hati, mungkin tersimpan satu lagi harapan kecil — mahu menambah zuriat, membesarkan keluarga dan menyambut seorang lagi insan yang bakal menjadi penyeri kehidupan.
Namun soal zuriat bukan sesuatu yang boleh dirancang sepenuhnya mengikut kehendak sendiri. Ada yang dikurniakan dengan mudah, ada pula perlu melalui perjalanan yang lebih panjang, penuh usaha, air mata, doa dan penantian.
Perasaan itu turut dilalui selebriti versatil, Neelofa, apabila perjalanan mendapatkan cahaya mata ketiganya kali ini ternyata berbeza berbanding dua kehamilan terdahulu. Perkongsian mengenai Neelofa hamil anak ketiga turut membuka sisi lain perjalanan seorang ibu yang melalui fasa menanti, berusaha dan berdoa untuk mendapatkan zuriat sebagaimana perkongsian selebriti popular ini menerusi podcast Habis Cerita.
Artikel Berkaitan: Tanda-Tanda Awal Kanser Darah Pada Kanak-Kanak Yang Mengejutkan, Panduan Penting Ibu Bapa
Artikel Trending: Nahas Helikopter FDS: Luahan Pilu Isteri Juruterbang, “Doakan Saya Dan Anak-Anak”
Artikel trending:Tragedi FDS Rentap Bahagia Keluarga, Juruterbang Jelas 5 Persoalan, No. 4 Kenapa Mangsa Tak Guna Payung Terjun
Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 37, berkongsi bahawa usaha untuk hamil kali ketiga tidak berlaku semudah pengalaman mendapatkan dua anaknya sebelum ini.
Pengalaman melalui fasa trying to conceive (TTC) itu juga membuatkan dirinya lebih memahami emosi dan cabaran wanita yang sudah lama menanti kehadiran cahaya mata.
Menurut Neelofa, kehamilan pertama dan keduanya berlaku dengan mudah malah tidak dirancang. Namun untuk zuriat ketiga, dia perlu melalui satu tempoh usaha yang lebih panjang.
“Kali ini ambil masa sebelum saya sampai ke sini (hamil). Anak pertama dan kedua saya dahulu tidak dirancang dan sangat mudah untuk diperoleh.
“Namun, kali ketiga ini saya berusaha melalui proses TTC. Perjalanan itu mengajar saya erti yang berbeza sebab baru saya faham perasaan orang yang sukar mengandung.
“Selama ini saya tidak pernah mengalaminya,” katanya menerusi sebuah audio siar.
Dalam melalui perjalanan tersebut, bekas pengacara program MeleTOP itu turut mempunyai perancangan untuk menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) sekiranya usaha mendapatkan zuriat masih belum berhasil.
Bagaimanapun, sebelum mengambil langkah berkenaan, Neelofa memilih untuk terus mencuba beberapa bentuk ikhtiar dan rawatan lain.
Katanya, hampir setahun dia sering menetapkan tarikh tertentu sebagai tempoh akhir sebelum mengambil keputusan untuk menjalani IVF.
“Hampir setahun saya sentiasa meletakkan tarikh sasaran, kononnya jika tidak berjaya menjelang Januari, saya mahu buat IVF.
“Tetapi saya terus menunda tarikh itu. Sampai satu hari saya sudah berusaha macam-macam, buat suntikan, makan suplemen dan pergi dapatkan rawatan perubatan tradisional Cina.”
Namun di sebalik segala ikhtiar yang dilakukan, satu persoalan akhirnya bermain dalam fikirannya sejauh mana dia benar-benar menyerahkan keinginan tersebut kepada Allah SWT melalui doa.
“Persoalannya, adakah saya betul-betul berdoa kepada Allah atau tidak? Saya kenal diri sendiri, saya tidak merayu dan mengetuk pintu rahmat Allah dengan bersungguh-sungguh,” luahnya.
Bagi Neelofa, antara detik yang cukup memberi kesan dalam perjalanan TTC tersebut adalah ketika dia mengambil keputusan untuk menunaikan ibadah umrah.
Sebelum berangkat, dia mula memberikan perhatian khusus terhadap doanya, terutama pada malam-malam yang dianggap mustajab termasuk malam Lailatulqadar.
Selepas Hari Raya, Neelofa meminta izin daripada suaminya untuk mengerjakan umrah. Dalam tempoh tersebut, antara hajat yang benar-benar dibawa dalam doa adalah keinginannya untuk dikurniakan seorang lagi cahaya mata.
“Pada malam Lailatulqadar, saya fokus berdoa dan menetapkan beberapa hajat termasuklah untuk hamil. Saya merintih ‘Ya Allah sebenarnya aku nak sangat tetapi aku tak tahu adakah ini yang terbaik untuk aku atau tidak’.
Dalam doanya itu, Neelofa mengakui dia benar-benar meluahkan apa yang terpendam di hati sehingga terlintas sama ada dirinya terlalu bersungguh-sungguh meminta perkara tersebut.
“Sampai satu tahap saya terfikir, adakah wajar meminta kepada Allah sampai begini sekali. Adakah terlalu berlebihan sebab saya meminta sampai merengek-rengek.”
Namun selepas melalui hampir setahun tempoh menanti dan berusaha, berita yang diharapkan akhirnya tiba. Detik mengetahui Neelofa hamil anak ketiga
menjadi jawapan kepada penantian panjang yang dilaluinya.Menurut Neelofa, kira-kira dua minggu selepas pulang daripada mengerjakan umrah, ujian kehamilan yang dilakukannya menunjukkan keputusan positif.
“Dua minggu selepas itu apabila pulang dari umrah, keputusan ujian kehamilan adalah positif. Allah menjawab doa itu selepas hampir setahun perjalanan untuk hamil,” kongsinya.
Pengalaman itu meninggalkan pengajaran besar buat Neelofa. Baginya, setiap pasangan yang sedang menanti zuriat mungkin melalui perjalanan yang berbeza.
Ada waktunya penuh harapan, ada masanya rasa kecewa datang apabila apa yang dinantikan masih belum tiba. Namun dalam melakukan pelbagai usaha dan ikhtiar, dia mengingatkan dirinya mengenai pentingnya pergantungan kepada Allah SWT.
“Pengajaran terbesar yang saya perolehi adalah kita memang boleh berusaha, berikhtiar serta merasai pelbagai emosi seperti jatuh, teruja dan sedih tetapi kita perlu bertanya kembali kepada diri sendiri.
“Adakah kita sudah benar-benar berdoa secara habis-habisan atau tidak?” katanya.
Buat ibu atau pasangan yang sedang melalui perjalanan TTC, setiap kisah tentunya tidak sama. Ada yang menunggu beberapa bulan, ada yang bertahun-tahun dan ada juga yang perlu melalui pelbagai bentuk rawatan.
Apa yang pasti, di sebalik sebuah impian untuk mendukung seorang lagi cahaya mata, tersimpan begitu banyak usaha, harapan dan emosi yang mungkin hanya benar-benar difahami oleh mereka yang pernah melaluinya.
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
Kisah Neelofa hamil anak ketiga juga memperlihatkan bagaimana pengalaman TTC kali ini memberikan perspektif yang berbeza buat dirinya selepas dua kehamilan terdahulu berlaku dengan lebih mudah.
Sebelum ini, meskipun perubahan fizikal Neelofa sudah mula menjadi perhatian ramai, beliau memilih untuk tidak mengumumkan kehamilan ketiganya.
Sekadar info, Neelofa mendirikan rumah tangga dengan pendakwah Haris Ismail atau PU Riz pada 27 Mac 2021.
Pasangan itu kini dikurniakan dua cahaya mata, Bilal, 4, dan Abbas, 3 tahun, dan kini sedang menantikan kehadiran seorang lagi penyeri keluarga. Berita Neelofa hamil anak ketiga sekali gus melengkapkan satu lagi perjalanan penuh makna buat keluarga mereka selepas melalui hampir setahun usaha mendapatkan zuriat.
Sumber: Youtube Habis Cerita