Kehamilan

Nelydia Senrose Kongsi Alahan Hamil Trimester Pertama, “Teruk Tapi Saya Enjoy”

Share

Pelakon terkenal, Datin Nelydia Senrose berkongsi khabar gembira apabila mengumumkan dirinya kini sedang hamil. Berita tersebut nyata mengundang rasa sebak dalam dirinya, malah disifatkan sebagai satu rezeki yang hadir tanpa diduga selepas penantian yang cukup panjang.

Menurut Nelydia, dia bersama suami tercinta, Datuk Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid, kini berada dalam fasa yang penuh keterujaan menantikan kehadiran cahaya mata pertama mereka. Dalam masa yang sama, beliau turut berharap agar semua pihak dapat mendoakan kesejahteraan dirinya dan kandungan.

Nelydia Senrose Hamil Selepas Penantian 7 Tahun

Dalam masa yang sama, beliau turut berharap agar semua pihak dapat mendoakan kesejahteraan dirinya dan kandungan.

“Alhamdulillah, selepas tujuh tahun menanti, akhirnya Allah kurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka.

Saya sangat gembira dan bersyukur. Doakan saya selamat melahirkan anak nanti.

Saya akui sebelum ini saya tidak pernah berkongsi perjalanan tujuh tahun kami dalam usaha mendapatkan zuriat. Namun saya sentiasa percaya, Allah akan mengurniakan rezeki itu pada waktu yang tepat,” kongsinya dengan penuh emosi.

Tambahnya lagi, sepanjang tempoh penantian tersebut, dia tidak pernah berhenti berdoa dan terus meletakkan sepenuh kepercayaan kepada ketentuan Ilahi. Kini, kehadiran zuriat yang dinanti-nantikan itu menjadi satu anugerah yang amat disyukuri.

Alahan Trimester Pertama Dialami

Berkongsi pengalaman awal kehamilan, Nelydia turut mengakui melalui fasa alahan seperti kebanyakan ibu hamil lain, terutamanya dalam tiga bulan pertama.

“Sepanjang tiga bulan pertama, saya mengalami alahan seperti ibu hamil lain. Tetapi saya tetap menikmati setiap momen itu.

“Sejujurnya, sebelum ini saya tidak pernah tahu bagaimana rasanya. Walaupun saya kurang selera makan, saya masih menikmati pengalaman tersebut,” jelasnya.

Tambahnya lagi, dia memilih untuk melihat setiap cabaran sebagai satu proses pembelajaran dan pengalaman paling indah dan berharga dalam hidupnya.

Terdahulu, Nelydia dan suami mendirikan rumah tangga pada 6 April 2019 dalam satu majlis tertutup di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

 

Published by
SRM