Keibubapaan

Imbas Kembali Detik Tragedi Nur Haira Wafiqah, Luahan Ibu Ayah Sangat Meruntun Jiwa

Share

Tiada ibu bapa yang sanggup melihat anak kecil menanggung kesakitan sebesar ini. Apatah lagi apabila kecederaan yang dialami bukan sedikit dan perjalanan untuk kembali pulih masih panjang.

Namun di sebalik kesedihan, rasa terkilan dan persoalan yang mungkin bermain di fikiran, ibu dan ayah kepada Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi memilih untuk menguatkan hati menerima apa yang telah berlaku.

Kata-kata mereka cukup meruntun jiwa. Sedih yang barangkali tidak mampu diluahkan sepenuhnya dengan kata-kata, namun sebagai ibu dan ayah, mereka sedar Haira memerlukan kekuatan mereka untuk meneruskan rawatan dan menjalani kehidupan selepas ini.

Nur Haira Wafiqah Kini Fokus Rawatan Bahagian Kepala Dan Pipi

Menerusi perkongsian media , ibu Haira, Nur Wahyuni Harun,  berkongsi perkembangan terkini keadaan anaknya selepas melalui pembedahan pertama.

yMenurutnya, keadaan bahagian tubuh Haira yang lain menunjukkan perkembangan baik dan mereka kini menunggu luka beransur pulih.

Namun tumpuan ketika ini adalah kepada kecederaan pada bahagian kepala serta pipi yang memerlukan pembedahan lanjut.

“Bahagian lain okey. Pembedahan pertama total daripada kepala sampai kaki. Tangan, kaki semua okey, just tunggu luka baik.

“Cuma sekarang fokus bahagian kepala dan pipi yang perlukan pembedahan, kalau boleh segera.”

Sebelum ini, Nur Haira Wafiqah dilaporkan mengalami kecederaan parah terutama pada bahagian kepala dan pipi selain luka pada beberapa bahagian tubuh selepas diserang lima ekor anjing liar. Selepas pembedahan pertama, luka pada tangan, kaki dan belakangnya turut menerima rawatan serta jahitan.

Laporan pada 14 September turut menyebut kanak-kanak itu menerima sekurang-kurangnya 40 jahitan pada seluruh badan, manakala bapanya memaklumkan keadaan Haira ketika itu stabil dan proses pemulihannya berjalan dengan lancar serta terkawal. Namun beberapa siri pembedahan masih diperlukan, khususnya pada bahagian kepala yang mengalami kecederaan serius.

Artikel Trending: Nahas Helikopter FDS: Luahan Pilu Isteri Juruterbang, “Doakan Saya Dan Anak-Anak”

Artikel trending:Tragedi FDS Rentap Bahagia Keluarga, Juruterbang Jelas 5 Persoalan, No. 4 Kenapa Mangsa Tak Guna Payung Terjun

Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!

“Dari Hari Pertama Saya Dah Reda”

Sebagai seorang ibu, tentu sukar menerima apabila anak yang selama ini berada di depan mata tiba-tiba perlu melalui ujian sebegini besar.

Namun ibu Nur Haira Wafiqah memilih untuk tidak terus mempersoalkan apa yang berlaku.

Sebaliknya, apa yang menjadi keutamaannya sekarang adalah berusaha sehabis baik agar anak kecilnya mendapat rawatan yang diperlukan demi masa depannya.

“Dari hari pertama saya dah reda. Saya tak boleh argue, Allah dah takdirkan.

“Sebagai ibu saya kena buat terbaik, sehabis baik untuk masa akan datang.

“Kalau dia ditakdirkan cacat kekal, kita dah reda. Tapi apa yang kita kena bantu untuk masa akan datang, terutama bila dia besar, untuk self-confidence.”

Luahan seorang ibu itu cukup menyentuh hati. Di sebalik kerisauan terhadap kesan kecederaan yang mungkin perlu Haira lalui, fikirannya sudah jauh memikirkan bagaimana anak kecil itu akan membesar suatu hari nanti.

Bukan sahaja soal luka yang perlu sembuh hari ini, tetapi juga keyakinan diri Haira apabila dia semakin besar kelak.

Ayah Nur Haira Wafiqah Terkilan Tidak Berada Di Situ Ketika Kejadian

Lebih meruntun hati apabila bapanya, Mohammad Hamizi turut meluahkan rasa kecewa terhadap dirinya sendiri kerana tidak berada bersama Haira ketika kejadian berlaku. Rasa bersalah itu masih ada, tetapi pada masa sama dia sedar apa yang sudah berlaku tidak mampu diputarkan kembali.

“Sedih. Kecewa dengan diri sendiri sebab masa kejadian saya tak ada di situ. Saya kecewa dengan diri sendiri.

“Benda dah tertulis nak jadi, saya kena terima, saya kena reda.

“Macam mana sekali pun saya kena terima. Saya kena kuatkan diri hadap benda dah jadi. Tapi saya tak boleh nak kata apa lah.”

Kata-kata itu mungkin ringkas, tetapi cukup menggambarkan perasaan seorang ayah yang sedang cuba berdamai dengan apa yang berlaku kepada anaknya.

Ketika kejadian, ibu dan bapa Haira dilaporkan baru bergerak ke Johor Bahru untuk berniaga sebelum menerima panggilan kira-kira 30 minit kemudian memaklumkan anak mereka diserang anjing.

Nur Haira Wafiqah Diserang Lima Anjing Liar

Terdahulu, Nur Haira Wafiqah yang ketika kejadian berusia dua tahun 10 bulan diserang lima ekor anjing liar kira-kira jam 7 pagi pada 5 September 2026 ketika berada di luar rumah neneknya di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat.

Kejadian itu turut disaksikan abangnya yang berusia 12 tahun.

Abangnya dilaporkan cuba menghalau anjing-anjing tersebut apabila melihat adiknya diserang, namun kejadian itu meninggalkan kesan trauma terhadap dirinya sehingga dia kerap menangis apabila teringat kembali apa yang berlaku.

Haira kemudiannya menerima rawatan dan menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru selepas dipindahkan dari Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat. Dia sebelum ini turut ditidurkan sebelum dilaporkan kembali sedar pada 8 September.

Selepas membuka mata, perkembangan Nur Haira Wafiqah terus menunjukkan tanda positif. Malah menurut perkongsian ahli keluarganya, antara perkataan yang disebut Haira selepas sedar ialah “susu” dan “bear”

.

Baca lagi: Ubat Cacing Kanak-Kanak: 7 Petanda Amaran Anak Dijangkiti Cacing Yang Ramai Ibu Bapa Terlepas Pandang

Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah

Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya

Perjalanan Nur Haira Wafiqah Masih Panjang

Walaupun keadaan Haira kini menunjukkan perkembangan yang lebih baik berbanding hari-hari awal selepas kejadian, proses rawatan dan pemulihannya masih belum selesai.

Buat ibu dan ayahnya, mereka memilih untuk reda dengan ketentuan yang berlaku tetapi reda bukan bermaksud berhenti berusaha.

Selagi ada ruang dan peluang untuk membantu Haira mendapatkan rawatan terbaik, itulah yang mahu dilakukan mereka demi anak kecil ini.

Apa yang diharapkan kini hanyalah agar urusan pembedahan seterusnya, khususnya melibatkan bahagian kepala dan pipi Haira, dipermudahkan.

Semoga Nur Haira Wafiqah terus kuat melalui setiap proses rawatan, luka-lukanya beransur sembuh dan seluruh keluarganya diberikan kekuatan menghadapi perjalanan yang masih panjang ini.

Sumber: Threads: Berita AlHijrah

Published by
Nor Yusoff