Bukan mudah menjadi ibu bapa yang sabar di zaman serba moden dan maju ini. Tugas dan beban yang perlu ditanggung dalam kehidupan sehari-hari pastinya banyak mencabar daya kesabaran kita.
Mempunyai kesabaran yang tinggi adalah idaman setiap ibu bapa, namun tak semua ibu bapa dapat bertahan dengan kesabaran yang mutlak.
Ada tiga jenis sabar yang diperlukan ibu bapa untuk memastikan kasih sayang, keharmonian dalam rumah tangga dan hubungan dengan anak sentiasa terpelihara seperti yang dikongsikan oleh Puan Noor Afidah Abu Bakar.
SABAR EMOSI
Sabar sebagai ibubapa selalu dikaitkan dengan keupayaan untuk menahan rasa marah.
Bersabar agar kita tidak mengamuk, tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan tidak menghukum sehingga membawa kepada penderaan.
Anak meragam, anak menguji kesabaran, anak melawan, anak tidak mendengar kata, anak tidak hormat, anak meraung, anak sepahkan rumah, semua ini menjadi cabaran kepada emosi ibubapa. Sabar emosi ini penting untuk menjaga keharmonian dalam keluarga dan juga untuk memastikan kewarasan diri kita sendiri.
IKLAN
SABAR MENUNGGU HASIL
Walau apa saja yang kita usahakan dalam mendidik anak-anak ia tidak akan menunjukkan hasilnya dalam waktu yang singkat. Mendidik anak-anak adalah satu proses tarbiyah yang dimulai dengan asuhan, didikan dan bimbingan peringkat demi peringkat sehinggalah anak berupaya untuk melakukannya sendiri.
Didikan dan bimbingan ini jugalah yang akan menghasilkan ‘inner speech’ atau suara hati dalam diri anak yang akan menjadi motivasi dalaman supaya anak melakukan kebaikan dan meninggalkan perkara yang tidak baik.
Proses ini mengambil masa dan menuntut kesabaran ibubapa. Janganlah terlalu mengharapkan hasil yang tergesa-gesa sehingga memaksa anak di luar kemampuan dan kupayaan dirinya.
IKLAN
SABAR BERUSAHA
Jika satu kaedah tidak bersesuaian dengan anak, berusahalah mencari dan mencuba kaedah yang lain pula. Jangan cepat berputus asa dan menyalahkan diri sendiri. Jangan juga menyalah anak semata-mata jika sesuatu usaha kita itu tidak berjaya. Setiap anak berbeza-beza sebagaimeana setiap keluarga berbeza-beza.
IKLAN
Bersabarlah dalam berusaha mencari jalan penyelesaian kepada apa saja cabaran yang kita hadapi dengan anak-anak.
Bersabar bukanlah bermaksud kita hanya berdiam diri menunggu keajaiban berlaku tanpa usaha.
Sebagai ibu bapa, anda pasti mengalami kejutan apabila mendengar percakapan anak yang tidak sepatutnya. Itu impaknya jika anda tidak menjadi contoh teladan terbaik buat mereka
Ibu bapa jadi contoh teladan
Setiap ibu bapa akan berfikir tentang bagaimana cara anak bercakap dengan kita mahupun individu di sekeliling serta tingkah laku mereka.
Sudah tentu teguran adalah cara paling mudah untuk membetulkan kelakuan anak yang dirasakan tidak bersopan santun, kan?
Bahkan, anda mungkin mempersoalkan dari mana datangnya sikap tersebut sehingga anak menjadi sedemikian rupa.
Tetapi hakikatnya, anda mungkin terlupa bahawa mereka memerhatikan apa yang kita sebagai ibu bapa ucapkan dan cara kita melafazkannya.
Kitalah contoh teladan yang menjadi ikutan mereka, sama ada baik mahupun sebaliknya.
Mungkin anda berasakan anak masih kecil belum pun mencecah usia setahun, jadi tiada apa yang perlu dirisaukan.
Tetapi adakah anggapan tersebut benar?
Sebenarnya anak seawal usia 8 bulan sudah boleh dan pandai meniru tingkah laku dan cara percakapan ibu bapa.
Mereka akan memerhati, mendengar dan mula meniru gaya pertuturan yang ditunjukkan tanpa anda menyedarinya.
Jadi sebaiknya, setiap ibu bapa amat digalakkan untuk mengamal dan menggunakan bahasa yang baik walaupun ketika dalam keadaan tertekan atau marah.
Ini kerana si kecil sedang memerhatikan setiap perlakuan anda sebagai contoh teladan.
Nilaikan cara anda bertutur dengan anak
Sejujurnya, bagi penulis sendiri, sukar untuk kita melihat tindakan sendiri secara objektif.
Jika anda mungkin tertanya-tanya bagaimana caranya anda berinteraksi dengan anak setiap hari, mungkin cara berikut boleh membantu.
Bayangkan anda merakam percakapan dengan si kecil dan mainkan semula gambaran secara visual bersama suara.
Adakah nada suara anda kedengaran penyabar dan penuh kasih sayang? Bagaimana pula tumpuan yang diberikan sewaktu anak sedang bertutur?
Atau mungkin anda membayangkan diri sibuk bermain telefon – melayari media sosial, berbalas mesej – dan bukannya memberikan sepenuh perhatian kepada anak?
Daripada gambaran tentang diri anda sendiri, adakah anda berasa diri berada pada tahap terbaik? Soalan paling utama, sesuaikah ia untuk dijadikan sebagai contoh teladan?
Seandainya, jawapan anda adalah tidak, maka perlu untuk anda melakukan perubahan dalam cara percakapan dengan anak.
Adakah nada suara anda kedengaran kasar, tidak sabar dan marah ketika menegur atas kesalahan anak?
Atau mungkin anda menggunakan nada melenting kepada anak walaupun mereka tidak melakukan kesalahan hanya kerana diri berasa letih?
Maka, untuk menjadi ikutan terbaik, berikan perhatian pada nada suara yang digunakan ketika bercakap dengan anak walaupun pada saat anda ingin membetulkan tingkah laku si kecil.
Contoh teladan: Gunakan nada positif
Berikut adalah 5 sebab penting mengapa nada suara dan percakapan yang digunakan memainkan peranan penting dalam komunikasi dan interaksi antara ibu bapa dan anak-anak:
1. Anak akan lebih mudah mendengar
Umumnya, ia adalah perkara yang paling logik.Tanyakan diri sendiri – anda suka apabila ditegur seseorang dengan nada marah dan menjengkelkan atau menerima teguran daripada individu yang bercakap menggunakan nada tenang dan baik?
Walaupun mungkin wujud perselisihan faham atau anda perlu membetulkan kesilapan anak, gunakan nada suara yang lembut tetapi tegas.
Kaedah ini dipercayai lebih meraih perhatian anak dan mereka akan mudah mendengar setiap teguran.
2. Nada kasar belum tentu berkesan
Apabila anda menjerit atau menggunakan nada yang agresif kepada anak, kecenderungan untuk mendapat hasil yang baik adalah tipis.
Malahan, sikap tersebut boleh merosakkan hubungan anda, apatah lagi untuk menjadi contoh teladan yang baik.
Ya, mungkin mereka mendengar untuk jangka masa pendek dan akan kembali mengulangi kesilapannya semula. Adakah itu yang anda mahu?
Maka, jika anda mahu anak mengembangkan kemahiran yang diperlukan untuk mengawal tingkah lakunya sendiri, mulakan tabiat bertutur dengan baik.
3. Anak menganggap ibu bapa sebagai contoh teladan
Cara paling mudah dan berkesan untuk membuatkan anak bercakap dengan baik kepada anda dan juga individu di sekelilingnya adalah dengan bertutur secara sopan kepada mereka.
Dan jika anda lebih gemar mengkritik dan bercakap kasar kepada anak, jangan melenting seandainya menerima layanan yang sama daripada mereka!
4. Hubungan dengan anak lebih kukuh
Percayalah, jika anda memperlakukan anak dengan rasa hormat dan baik, ia secara tidak langsung akan mengukuhkan ikatan antara kalian.
Jangan malu untuk ucapkan ‘terima kasih’ dan ‘tolong’ apabila bertutur dengan anak. Jelaskan bahawa mereka juga perlu melakukan perkara yang sama kepada anda mahupun individu lain.
Melayani satu sama lain dengan sopan santun dan rasa hormat akan mendekatkan anda dengan anak.
Manakala percakapan yang agresif tanpa rasa hormat sudah tentu akan memberikan kesan sebaliknya.
5. Anak menjadi lebih hormat
Apabila anda menggunakan nada yang baik dengan anak di rumah, secara semula jadi mereka akan melakukan perkara yang sama di sekolah dan tempat lain.
Pastinya, individu di sekeliling akan memberikan komen mengenai tingkah laku dan cara percakapan anak yang baik.
Secara tidak langsung ia akan menimbulkan rasa bangga serta keyakinan dalam diri mereka yang membawa ke alam remaja dan seterusnya.
Mulakan daripada diri anda
Jadi melalui perkongsian di atas secara mudah dapat disimpulkan, jika mahukan anak mempunyai tabiat dan tingkah laku yang baik, maka anda perlu menjadi contoh teladan terbaik.
Jangan pula menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan diri sendiri pun tidak betul!
Nak jaga akhlak anak ibu bapa wajib tapi apa yang anak tengok. Kanak-kanak ini memang suka melakukan peniruan. Tapi masalanya ramai daripada ibu bapa kurang prihatin hingga lupa untuk mengawal pesekitaran anak termasuk kawalan penggunaan gajet, menonton televisyen dan cara komunikasi dalam keluarga.
Sebelum anak melakukan peniruan yang boleh menjejaskan perkembangan yang boleh memberi kesan negatif kepada diri anak-anak eloklah baca perkongsian Pendidik Ilmu Keibubapaan Dr Taufiq Razif tentang kesan akibat peniruan yang dilakukannya oleh kanak-kanak termasuk anaknya sendiri!
Ada satu hari tu Maryam Soolihah ni main dengan Umminya. Entah kenapa tiba-tiba dia buat mimik muka pelik sambil menjelirkan lidah. Adeh!
Rumah saya ni takde TV dan memang anak saya tak tengok TV langsung. Saya syak dia tengok anime kat taska dia kot.
Tu la kehebatan anak kita dan tu lah kehebatan survivor skill yang Allah dah kurnia. Anak kita mampu tiru apa sahaja yang lalu kat depan mata dia.
Tu la kenapa kalau Maryam Soolihah ni ada saya sedaya upaya berlemah lembut dan tunjukkan kasih sayang pada isteri saya sebab cara saya layan isteri saya ni akan jadi ‘benchmark’ bagaimana Maryam Soolihah ni nanti akan layan kawan-kawan dan bakal pasangan hidupnya kelak.
Tu la kenapa saya jadi sedih sangat kalau ada mak ayah yang tak sekat langsung apa yang anak mereka tengok. TV terbuka 24 jam, internet pula bebas dibuka oleh anak bila-bila masa. Bila ada adegan 18sx kat TV pun mak ayah selamber je tengok dengan anak-anak.
Anak takkan tiru benda tak senonoh tu depan-depan kita tapi anak-anak akan cari peluang untuk tiru benda tu di belakang kita nanti.
sebab anak kita memang dilahirkan sebagai PENIRU YANG TERHEBAT. Skill ni sangat berguna tapi pada masa yang sama boleh merosakkan dia kalau kita sebagai mak ayah tak tapis ‘visual’ anak kita.
Tolong bagitahu mak ayah yang belum tahu ye
5 CARA KAWAL ANAK CARA BERHEMAH
Dalam pada itu, beliau juga tidak nafikan nak halang anak 100% menonton agak sukar zaman moden ini. Apa yang perlu ibu bapa lakukan ialah memberi panduan dan tapis.
Jumpa orang automatik anak menangis. Kenapa? Sebenarnya ramai ibu bapa menganggap sifat malu atau takut dengan orang akan hilang dengan sendirinya apabila semakin besar.
Namun tahukah anda bahawa jika kita tidak mengambil tindakan awal makin anak membesar mereka akan takut untuk berhadapan dengan orang ramai dan berasa selesa berada dalam dunia sendiri.
Proses sosial anak pun akan jadi terbatas dan apabila diajak keluar mereka akan bertindak untuk berada dirumah sahaja. Mahukah kita melihat anak berada dalam dunianya sendiri dan pasti akan menyukarkannya apabila mula bersekolah nanti.
Ada beberapa cara yang boleh dilakukan bagi mengubah anak pemalu untuk tampil berani bersosial bersama rakan mereka.
1) Jangan Menyebutnya Pemalu
“Dia memang begitu kalau bertemu dengan orang. Maklumlah, anaknya pemalu sangat.” Kata-kata ini sering kita dengar apabila anak saudara mara kita atau kawan-kawan malu untuk berkawan. Mulai sekarang berhenti menyebut pemalu kepada anak kecil ini. Walaupun kita anggap mereka tidak tahu apa-apa tetapi sebenarnya mereka faham.
Jika anak enggan untuk bergaul apa kata anda sebagai ibu bapa beri kata-kata semangat pada anak. Contohnya “Arif dah besar kan. Pergilah main sama-sama dengan kawan”. Lama kelamaan anak akan faham dan bersemangat walaupun masih takut-takut.
2) Terima Seadanya
Ib bapa yang ada anak pemalu jangan rasa rendah diri apabila berdepan dengan orang ramai. Sebaliknya mengakuinya dan cuba buat yang terbaik. Ada juga ibu bapa buat-buat tak tahu dalam hal ini. Sebenarnya peranan dan psikologi ibu bapa banyak membantu. Usahakan sehabis baik untuk mengurangkan rasa malu dalam diri anak. Kalau anak usia 3 tahun ke bawah masih boleh dibentuk dengan mudah. Jangan cepat putus asa.
3) Mulai Dari Hal Kecil
Bagi anak yang sangat pemalu, bahkan menatap wajah orang lain pun tak nak anda harus bersabar. Dalam hal ini anda boleh mulakan dengan cara meminta anak menatap mata orang yang ingin berbual dengannya. Apabila anak dah mula selesa boleh ajar anak untuk bertanya soalan dan menyuruh anak menjawab apabila diajukan soalan. Proses ini harus dimulakan dengan perlahan-lahan dan ibu kena lebih sabar.
Mungkin kali pertama gagal tapi anda perlu praktikkan sepanjang masa setiap kali anak berada dalam kelompok ramai.
4) Tingkatkan Kepercayaan Dirinya
Anak pemalu umumnya memiliki kepercayaan diri yang rendah. Fokus utama untuk membantu anak pemalu ini adalah dengan membina kepercayaan dalam diri anak agar mereka menghargainya. Bagaimana caranya? Mulakan dari perkara kecil seperti memintanya untuk memesan makanan sendiri dan ajar anak untuk bergaul dengan rakan di taman permainan. Sekiranya mereka dapat lakukan dengan baik jangan lupa memberi pujian. Cara ini lebih mengembirakan dan buat anak jadi yakin diri.
5) Jangan putus asa
Dua perkara yang boleh ibu ayah lakukan untuk mengatasi si kecil pemalu adalah jangan mendukungnya jika di depan orang ramai. Biarkan dia bergaul dan ini cara untuk mengurangkan rasa malu. Kalau anak tetap tak mahu dan merengek berikan kata-kata galakan supaya dapat mengalihkan perhatiannya ke arah kelompok yang ramai.
Kedua adalah menyuruh anak melakukan aktiviti. Biarpun dia tak nak anda kena bantunya. Duduk sama-sama dengannya bagi dia rasa selesa dan mulalah anda ke belakang sedikit. Lama-kelamaan dia akan seronok bermain bersama rakan sebayanya. Perlu diingatkan kena sentiasa bersikap terbuka kerana ia mengambil masa untuk anak. Jangan cepat nak marah pada anak kalau dia tak mahu. Kena lebih bersikap terbuka.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!