Kehilangan anak remaja, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, terus meruntun hati masyarakat. Terbaru, hasil keterangan seorang pakar patologi dalam prosiding inkues di Mahkamah Koroner mengesahkan bahawa punca kematian arwah bukanlah kerana terjatuh secara tidak sengaja mahupun ditolak ketika berdiri di lokasi kejadian.
Keterangan Pakar Buka Mata Ramai Pihak
Menurut laporan Harian Metro, Pakar Patologi Forensik Hospital Queen Elizabeth, Dr Jessie Hiu, menjelaskan bahawa selepas meneliti rekod perubatan, imbasan CT, CTA dan juga pemeriksaan lokasi di asrama arwah, kecederaan yang dialami Zara Qairina tidak konsisten dengan jatuh biasa.
Pada 2 Ogos lalu, beliau membuat pemeriksaan di tempat kejadian. Ukuran jarak dari lantai ke rel besi paling atas di tingkat tiga ialah 118 sentimeter, manakala ketinggian arwah ialah 154 sentimeter. Perbezaan 36 sentimeter itu meletakkan rel lebih tinggi daripada pusat graviti arwah.
DR Hiu (kanan) yang menjadi saksi pertama prosiding inkues kematian Zara Qairina. FOTO Mohd Adam Arinin
“Dengan ukuran sebegini, adalah mustahil seseorang jatuh secara tidak sengaja hanya dengan berdiri di tepi. Untuk berada di atas tembok itu, kemungkinan besar mangsa perlu memanjat tembok konkrit dan melepasi rel besi berkenaan,” jelasnya ketika membaca kenyataan bertulis setebal lima muka surat di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Ads
Prosiding Inkues Diteruskan
Prosiding inkues kematian Zara Qairina bermula pada 2 dan 3 September, sebelum bersambung semula pada 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September ini. Inkues ini diadakan untuk mencari punca sebenar kejadian yang meragut nyawa pelajar tingkatan satu itu.
Ads
Dr Jessie yang berkhidmat sejak tahun 1998 turut memaklumkan bahawa beliau mengendalikan purata 100 hingga 150 bedah siasat setahun, serta sering dipanggil sebagai saksi pakar di mahkamah.
Ads
Keluarga Tuntut Keadilan
Di sebalik fakta perubatan yang dibentangkan, jiwa seorang ibu yang kehilangan anak tetap tidak akan terubat. Bagi keluarga Zara Qairina, apa yang mereka harapkan hanyalah kebenaran dan keadilan untuk anak syurga mereka.
Kisah ini menjadi peringatan besar buat semua ibu bapa bahawa keselamatan anak bukan sahaja perlu dipantau, tetapi juga wajar dipertahankan sekiranya sesuatu yang tidak adil menimpa mereka.
Semoga roh Allahyarhamah Zara Qairina ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Buat keluarga yang ditinggalkan, semoga terus tabah menempuh ujian berat ini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hati seorang ibu mana yang mampu bertahan bila melihat anak yang sebelum ini sihat dan ceria, tiba-tiba jatuh sakit tanpa amaran. Itulah situasi mencemaskan yang dilalui oleh Myra Ali, seorang ibu yang berkongsi pengalaman penuh sebak apabila anak lelakinya, Aidan, mengalami perut kembung teruk selepas makan roti hingga muntah berulang kali dan akhirnya terpaksa dimasukkan ke wad. Kisah ini turut mengingatkan ibu bapa tentang kemungkinan intoleransi gluten kanak-kanak yang sering tidak disedari.
Ibu ini berkongsi kisahnya menerusi laman TikTok miliknya, tulisnya segalanya bermula pada pagi 29 Oktober lalu apabila Myra menerima panggilan daripada guru Aidan yang memaklumkan anaknya muntah dua kali di sekolah. Pada masa itu, Aidan belum makan apa-apa. Bimbang anaknya lapar, si ibu segera ke sekolah untuk menjemputnya.
“Guru bagitahu Aidan belum makan, jadi saya bagi dia susu. Tapi dalam perjalanan balik, Aidan muntah lagi banyak susu dalam kereta. Saya terus bawa dia ke klinik sebab rasa tak sedap hati,” cerita Myra.
Di klinik, doktor memeriksa Aidan dan memberinya ubat kerana pada mulanya disyaki influenza. Namun, doktor juga menyebut kemungkinan Aidan “salah makan” kerana terdapat sedikit bengkak pada tonsilnya. Setelah diberi ubat, muntahnya berhenti seketika, tetapi tak lama kemudian, Aidan mula cirit-birit dan mengadu sakit perut.
“Tengah hari tu Aidan menangis kuat, perut dia nampak kembung dan keras. Saya terus bawa dia ke hospital sebab rasa macam ada yang tak kena,” tambahnya.
Di ruang kecemasan, doktor segera melakukan pemeriksaan lanjut termasuk x-ray. Keputusan menunjukkan saluran usus Aidan membengkak dan dipenuhi angin. Itulah punca dia muntah setiap kali makan atau minum perutnya tidak dapat memproses dengan baik kerana tekanan dari angin yang terperangkap.
Doktor kemudian mencadangkan penggunaan tiub melalui hidung untuk mengeluarkan angin, tetapi selepas berbincang dengan pakar, mereka memutuskan untuk memantau dahulu tanpa melakukan prosedur menyakitkan. Myra hanya mampu berdoa agar anaknya pulih.
“Petang tu perut Aidan keras semula. Doktor bagi ubat untuk bantu dia buang air besar pun tak menjadi. Kentut pun tak keluar. Saya cuma mampu urut perut dia perlahan-lahan dengan minyak angin, sambil berdoa. Masa ni saya tak tahu lagi yang roti atau tepung boleh jadi punca,” luahnya sebak.
Malam itu, Aidan akhirnya mula kentut dan cirit sedikit, memberi sedikit kelegaan buat si ibu. Namun, keesokan paginya, keadaan kembali teruk selepas Aidan makan roti untuk sarapan.
“Lepas dia makan roti, petang tu perut Aidan terus naik balik besar dan keras macam batu. Masa tu baru saya sedar, dua kali jadi macam ni lepas makan roti. Mungkin dia tak boleh makan tepung,” jelas Myra.
Selepas beberapa hari di hospital, Aidan akhirnya dibenarkan pulang pada 6 November. Myra dan suaminya kini memantau pemakanan anak dengan lebih ketat dan membuat keputusan untuk elakkan semua makanan berasaskan tepung buat sementara waktu.
Menurut pakar pemakanan, simptom seperti perut kembung, muntah dan cirit-birit selepas makan roti boleh jadi tanda intoleransi gluten kanak-kanak atau alergi gandum. Dalam kes kanak-kanak, keadaan ini biasanya dikenali sebagai wheat sensitivity, di mana sistem pencernaan mereka tidak dapat hadam protein tertentu dalam tepung gandum.
Walaupun tidak semua kanak-kanak sensitif terhadap gluten, ada juga yang menunjukkan reaksi yang sangat kuat antaranya perut menjadi keras, bengkak, dan rasa tidak selesa yang ketara selepas makan roti, biskut atau kek.
Kes seperti ini semakin banyak berlaku. Anak kecil yang sensitif terhadap gluten biasanya akan muntah atau kembung teruk selepas makan produk berasaskan tepung. Ibu bapa perlu perhatikan corak makanan dan simptom supaya boleh dikesan awal.
Antara tanda yang ibu bapa perlu awasi termasuklah:
Jika anak menunjukkan tanda-tanda di atas, segera bawa ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan lanjut. Doktor biasanya akan jalankan food allergy test atau elimination diet bagi mengenal pasti makanan yang mencetuskan reaksi tersebut.
1. Catat ‘food diary’ anak.
Catat setiap makanan yang anak ambil dan tindak balas selepas itu. Ini bantu kesan corak alergi lebih cepat.
2. Elakkan makanan berasaskan tepung sementara waktu.
Jika anak kerap muntah atau kembung selepas makan roti, kek, atau biskut, hentikan dahulu pengambilan makanan tersebut untuk beberapa minggu dan lihat perubahannya.
3. Perkenalkan makanan baru secara berperingkat.
Jangan beri banyak jenis makanan baru dalam satu masa. Cuba satu jenis dulu selama 3 hari, baru tukar kepada makanan lain.
4. Pantau produk tenusu dan gluten.
Ada kanak-kanak sensitif kepada susu lembu atau gluten tanpa kita sedar. Cuba gantikan dengan gluten-free bread atau susu tumbuhan jika perlu. Ini penting terutamanya jika ada risiko intoleransi gluten kanak-kanak.
5. Berunding dengan doktor atau pakar pemakanan.
Jangan sesekali buat andaian sendiri. Dapatkan nasihat pakar untuk tahu sama ada anak benar-benar ada intoleransi gluten atau sekadar masalah pencernaan sementara.
Seorang kanak-kanak lelaki mencuri tumpuan ramai kerana keberaniannya membuat aduan mengenai masalah tandas rosak di sekolahnya kepada PMX Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri yang dalam lawatan bersama rakyat dilihat sempat menyantuni beberapa orang ramai yang turut berada di lokasi tersebut.
Menariknya, PMX berhenti di hadapan seorang kanak-kanak selepas kanak-kanak itu memberitahu mengenai keadaan dua tandas sekolahnya iaitu Sekolah Kebangsaan Long Jaafar, Kamunting, Perak yang rosak teruk dan tidak dapat digunakan.
Walaupun mencuit hati, namun gelagat kanak-kanak itu mendapat respon pantas PMX dengan bertanyakan maklumat penuh sekolah untuk disampaikan kepada Menteri Pendidikan (KPM), Fadhlina Sidek.
“Dua.. dua rosak, dua boleh pakai (boleh digunakan)…Nak call bagitau Fadhlina…” kata Anwar pada kanak-kanak itu.
Malah video berkenaan juga turut mendapat perhatian Menteri Pendidian, Fadhlina Sidek yang turut meninggalkan komen respon yang disuarakan kanak-kanak itu.
Keberanian kanak-kanak ini sudah semestinya dipuji wargamaya yang berani menyuarakan masalah itu ketika berhadapan dengan Perdana Menteri.
Tak semua orang bermula dengan kejayaan dengan mudah. Bagi Zul Hakim Zulhaimi, cukup berani untuk pilih jalan yang lebih susah dan akhirnya, lebih bermakna.
Kalau ikut rekod, keputusan SPM beliau cuma 2A. Tak layak pun masuk universiti awam waktu tu. Tapi anak muda ini tidak berhenti di situ. Dia tak biarkan angka kecil dalam slip peperiksaan menentukan siapa dirinya.
Zul Hakim adalah pelajar aliran sastera, bukan STEM, bukan juga teknikal. Tapi pada tahun 2018, dia nekad keluar dari zon selesa dan menyambung pengajian dalam Diploma Kejuruteraan Teknologi Mekatronik di German-Malaysian Institute (GMI) satu bidang yang memang asing dari latar belakang asalnya.
Nak survive dalam bidang ni bukan senang, apatah lagi datang dari bukan aliran sains. Tapi Zul tak cari alasan. Dia kerja keras, ulang kaji sampai lewat malam, hadap silibus teknikal yang berat, dan akhirnya berjaya tamatkan diploma dengan keputusan cemerlang pada 2021.
Kejayaan di GMI membuka pintu besar untuknya tajaan pengajian ke luar negara daripada MARA. Zul pilih Purdue University, Indiana, Amerika Syarikat, salah satu universiti kejuruteraan terbaik di dunia.
Di sana, Zul bukan sekadar pelajar biasa. Dia bukan saja menggenggam dua ijazah serentak dalam bidang:
Mechatronics Engineering Technology, dan Automation & Systems Integration Engineering Technology, malah berjaya habiskan pengajian lebih awal dari tarikh asal yang dijadualkan (Fall 2025) kepada Spring 2025. Lebih padat, lebih cepat, dan tetap cemerlang.
Zul aktif dengan pelbagai projek teknologi termasuk pembangunan prototaip exoskeleton pintar dengan sensor untuk aplikasi industri dan pendidikan.
Dia turut dilantik sebagai Teaching Assistant bagi kursus Lean Six Sigma satu pengiktirafan yang biasanya hanya diberikan kepada pelajar luar biasa. Di Tech Expo Purdue pula, dia mewakili kumpulan untuk bentangkan hasil projek kepada pihak industri dan akademik.
Sebagai kemuncak, beliau dianugerahkan Golden Honor Cord, simbol tertinggi kecemerlangan akademik di Purdue.
Apa yang Zul Hakim capai ini bukan sekadar kejayaan individu, tapi kisah penuh pengajaran. Bahawa kita semua boleh berubah dari titik rendah ke kemuncak asalkan ada tekad, kerja keras dan percaya pada diri sendiri.
Beliau tidak bermula dengan kelebihan, tapi beliau bermula dengan keberanian. Dan hari ini, dia berdiri sebagai inspirasi buat ribuan anak muda Malaysia yang rasa keputusan SPM mereka “tak cukup bagus”. Kerana realitinya keputusan kita hari ini tak pernah menentukan siapa kita akan jadi esok.
Penyebab utama anemia di kalangan wanita mengandung adalah kekurangan zat besi. Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.