Panggilan keramat seorang mak membuatkan hati pelakon Memey sebagai anak meronta ingin segera pulang ke kampung menyambut puasa bersama keluarga tersayang.
Bulan puasa mesti ramai yang mengingat kembali nostalgia menyambut bulan Ramadan bersama ahli keluarga di kampung halaman. Semua yang bergelar ibu kalau boleh ingin anak-anaknya berkumpul bersama di hari pertama menyambut bulan puasa.
Apabila seorang ibu membuat ucapan selamat berpuasa serta meluahkan perasaannya dalam nada sayu di dalam pesanan suara yang dihantar dalam aplikasi Whatsapp Grup keluarga, apa agaknya perasaan anda?
Itulah yang dialami oleh Memey Suhaiza apabila menerima pesanan suara ibunya dalam Whatsapp Grup ahli keluarga. Dia berkongsi pesanan suara tersebut di laman Instagram peribadinya.
Ni namanya panggilan keramat seorang MAk Tak boleh tahannn.. Walaupun jauh perjalanan lebih 300 km.. Demi mak tercinta.. Berdesup balik.. mmg takde dlm perancangan sbb tgh byk kerja,anak plk tak cuti.. Tapi bayangkan mak cakap mcm tu tak tertahan lagi rasanya.. Kalau ikutkan baru berkumpul adik beradik semua baru ni, Tapi masuk puasa ni mungkin mak rindu kenangan riuh anak2 berebut makan Mujurlah dapat suami yg sgt memahami,baik n rajin melayan… Tq Love dlm tak cukup rehat ,dia yg suggest “ sayang kita balik buka puasa dgn mak abah jap,lepastu kita balik kl semula” Subhanallah dlm sedih n teruja.. Terima kasih suami.. Doakan perjalanan kami sekeluarga selamat.. Surprise utk mak abah.. Adik2 dah tau,mak abah je belum.Tak sabar nak jumpa mak abah,adik beradik semua Shhhhh… jgn bocorkan rahsia ni tau Harap mak tak tgk ig
Ramai netizen mengaku turut rasa sayu mendengar luahan hati ibu Memey dan masing-masing turut merindui ibu ayah sendiri.
Ads
Begitulah kasih seorang ibu, walaupun anaknya sudah bersuami dan mempunyai anak namun kerinduan dan kasih sayangnya tak pernah berubah.
Bertuah Dapat Suami Yang Baik
Ads
Sebagai anak dan isteri yang taat dan kasih pada ibu dan suaminya, Memey bertuah kerana dikurniakan Norman Hakim seorang suami yang amat prihatin dan penyayang juga.
Walaupun sibuk namun Norman sendiri yang mengajak Memey untuk pulang ke kampung menyambut puasa pertama dengan ibu ayah Memey di kampung. Agaknya Norman pun mengalir air mata dengar luahan hati ibu mertuanya!
Ads
Selepas menempuh perjalanan sejauh 410 kilometer dalam masa enam jam, Memey kemudian berkongsi pula video mereka sampai di kampung halaman dan bagaimana reaksi wajah terkejut namun bahagia ayahnya bila menyaksikan anak menantu dan cucu pulang menyambut Ramadan bersama.
Pemilik butik Meylana ini turut berterima kasih di atas segala doa yang dikirimkan oleh peminatnya memohon perjalanan mereka selamat dan lancar. Katanya niat berkongsi perkara ini bertujuan untuk saling mengingatkan supaya sentiasa mengharga kedua ibu bapa selagi masih ada peluang.
“Walaupun jauh balik untuk berbuka puasa sekejap dengan keluarga tersayang ia adalah sebuah nilai yang sangat indah. Syukur untuk peluang ini. Mak abah happy sangat,” kongsinya yang turut berterima kasih pada suami yang sanggup memandu dalam perjalanan yang jauh.
Baguslah Memey kerana masih berpeluang untuk berbakti dengan orang tua. Walaupun sarat mengandung sanggup menempuh perjalanan jauh demi menggembirakan hati ibu ayah tercinta di bulan puasa ini.
Mengantuk cari mama, main cari walid. Ainul Mardhiah makin menunjukkan perkembangan positif. Selepas pembedahan bayi ini semakin bijak dan panjang akal!
Ainul Mardhiah, 10 bulan mengalami Germ Cell Tumor kini sedang dirawat selepas menjalani pembedahan berisiko tinggi membuang ketumbuhan selama 5 jam di sebuah hospital kanak-kanak di London.
SUDAH PANDAI BERMANJA DENGAN MAMA & WALID
Bapa Ainul, Ahmad Safiuddin berkongsi tentang perkembangan terbaru Ainul. Katanya Ainul kini sudah tahu bermanja dengan mama dan walid. Ketika mengantuk mencari mama dan bila ingin bermain, mencari walidnya. Paling comel, Ainul sudah tahu tentang kamera dan gambarnya dirakamkan.
Selain itu, dalam kemaskini terbaru, Ahmad Safiuddin turut berkongsi Ainul kini semakin bijak. Ainul suka bermain dengan tangannya dan tidak suka sekiranya tangannya dibalut.
Ahmad Safiuddin tidak putus mengucapkan kesyukuran atas perkembangan baik anaknya dan turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan.
“Tuan/puan semua orang orang baik yang sentiasa mendoakan kebaikan dan kesejahteraan ainul.
“Semoga doa-doa yang baik tu Allah kembalikan semula kepada tuan/puan dan keluarga.”
Ramai yang mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan buat Ainul Mardhiah. Mereka bersyukur dan gembira melihat perkembangan positif bayi ini.
Ramai ibu menyusu dan hamil timbul kegusaran untuk berpuasa bila tibanya Ramadhan. Dalam masa yang sama, ibu-ibu ini tetap ingin menunaikan ibadah wajib ini untuk merebut pahala di bulan yang mulia. Namun, ibu-ibu harus mendapatkan nasihat pakar berkenaan kesihatan diri dan anak agar tidak terjejas.
Semoga kisah Cik Puan Ammymenjadi inspirasi buat semua ibu lain untuk terus kuat menyusukan anak walauapapun cabaran dan dugaan.
Anak… Ramadhan datang lagi, bulan yang penuh keberkatannya. Bermakna inilah kali ke tiga mama berpuasa sambil menyusukan kamu.
Doakan mama kuat ya sayang. Mama tdk mahu menjadikan penyusuan badan adalah satu asbab mama meninggalkan ibadah puasa dengan sengaja.
08.12.18… Tepat usiamu 2 tahun…
Berlalu dengan pantas sekali… Cepatnya kamu membesar sayang… Tercapai juga impian mama untuk menyusukan kamu dengan susu badan sepenuhnya. Masih terbayang lagi pada hari pertama kamu melihat dunia, hanya tahu menangis, menyusu dan tidur. Kini kamu sudah kenal yang mana mama dan yang mana baba… Kamu petah memanggil abang-abang dan kakak-kakak. Sudah tahu beza antara buah dan juga sayur. Tahu yang mana masam dan yang mana manis. Bijak sungguh anak mama, namun apabila kamu haus, mama juga yang kamu cari… Bukannya sirap didalam peti ais ataupun teh yang telah siap terhidang. Kamu akan memanggil dan terus memanggil selagi mama tidak kelihatan untuk menyusukan kamu.
Pernah sekali mama menduga, mama sembunyi di balik peti ais, kamu memanggil ibarat hilang arah… Seluruh sudut kamu mencari, tidak kenal erti mengalah. Panggilan mama tak lekang dibibir, dari irama perlahan kamu mula lantang, mama bersabar di balik peti ais. Ingin menduga lagi sejauh mana kamu mampu bertahan. Tiba-tiba… Dari lantang bertukar sayu dan mendayu-dayu.
” Mama… Mama… Ooo mama…”
Hati Mama Hiba
Hati mama menjadi hiba walaupun jelas kedengaran ketawa abang-abang dan kakak mempersendakan kamu. Mama tinjau dibalik peti ais, kamu tegak berdiri di penjuru meja. Mata melilau mencari, mengharap mama ada. Baba panggil tidak kamu hirau kan… Abang-abang dan kakak cuba memujuk dengan mengusap lembut rambutmu, kamu tepis dengan kasar.
” Mama… Ooo mama… mama ‘anner’…?”
Gigih kamu memanggil lagi, kali ini suaramu perlahan sekali dan bergetar… Luluh hati mama, lalu mama keluar dari balik peti sejuk laju memeluk kamu…
” Haaaa Mama…”
Jerit kamu riang walaupun kelopak mata bergenang air jernih… Baba ketawa, abang-abang dan kakak juga ketawa… Tetapi mama sayu… Terkenangkan seandainya mama benar-benar tiada lagi… Bagaimanakah keadaanya kamu nanti… Mana arah lagi kamu akan mencari mama… Kamu memeluk mama seerat-eratnya. Tidak mahu lepas lagi. Benar kata orang, anak menyusu badan ni cengeng dan manja.
Dua Tahun Bukan Masa Yang Pendek
2 tahun sayang, bukanlah satu masa yang pendek. Pelbagai cara dan ikhtiar mama usahakan agar kamu sentiasa kenyang memandangkan kamu bukanlah seperti kanak-kanak yang lain. Kamu menolak susu fomula. Kamu menolak botol dan puting susu, ‘jijik’ sungguh ianya dari pandangan kamu sehingga kamu akan muntah jika dipaksa juga. Kamu juga bukanlah jenis yang suka makan apatah lagi nasi. Payah sungguh melihat kamu menghabiskannya, kadangkala mama terpaksa memaksa kamu makan. Menangis nangis kamu menolaknya. Makanan kamu hanyalah buah buahan. Mampukah ianya mengenyangkan kamu…? Hati mama mana yang tidak terguris bila ada yang menegur
” Kenapa kecil jer badan, dah nak masuk 3 tahun kan… Mama tak bagi makan ke…?”
Allah Sahaja Tahu Usaha Mama Nak Buat Kamu Kenyang
Ya Allah, tuhan sahaja yang tahu. Bagaimana mama berusaha untuk membuat kamu kenyang membesar dengan sihat. Semua petua mama amalkan asalkan susu sentiasa ada dan banyak. Air halba mama minum, rebusan jintan manis juga mama telan sehinggakan satu badan dah bau rempah ratus demi kamu mama bertahan. Susu kurma juga mama minum biarpun kadang kala terasa mual dan muak. Air kosong tidak pernah kurang 3 liter sehari walaupun ianya tidak sesedap ‘fresh orange’. Bimbang jika tiba-tiba susu ‘drop’, bagaimana dengan kamu. Bimbangnya jika kamu lapar.
Pernah Kena Serangan Jantung, Tapi Kuat Memikirkan Anak Yang Masih Menyusu
Pernah sekali mama ‘collaps’, hampir kena serangan jantung. Sakitnya hanya Allah SWT yg tahu. Terasa berada di ambang kematian. Namun bergitu, wajah kamu bermain dimata. Tidak putus mama merayu pada Allah, jangan diambil nyawa mama. Masih ada kamu yang memerlukan mama disisi. Anak mama masih menyusu badan. Mama berjuang untuk bernafas demi kamu sayang. Bagi mama, baba, abang-abang dan kakak-kakak mungkin boleh bedikari jika ditakdirkan mama ‘pergi’, tapi kamu…? Alhamdulillah Allah dengar doa mama. Mama berlagak kuat untuk pulang. Mama tidak mahu bermalam di hospital. Mama tidak mahu berjauhan dengan kamu. Mama tidak mahu, celik kamu memandang mama di sebelah… Tiada… Mencari di dapur juga tiada. Mama mahu kamu tahu mama sentiasa ada di sisi kamu.
Rezki kamu sayang, dapat menyusu sehingga 2 tahun. Sedangkan abang-abang dan kakak hanya mampu bertahan sehingga habis pantang sahaja. Mungkin waktu itu mama bekerja. Pagi petang di tempat kerja mencari rezki untuk keluarga membantu baba selagi berdaya, jadi terpaksa mama sia-sia sesuatu bernilai yang diidamkan para ibu iaitu menyusukan anak-anaknya dengan susu sendiri sehingga 2 tahun. Mama pula tidak didedahkan dengan betul cara menyusu bagi ibu yang bekerja. Jadi bila hadirnya kamu selepas 8 tahun mama menjadi suri rumah tangga, mama tidak akan sia-sia kan lagi peluang yang ada. Bila lahirnya kamu, mama bulatkan di hati akan menyusukan kamu selagi terdaya dan alhamdulillah mama berjaya.
Tidak lama lagi, kamu akan ke angka tiga. Tak sanggup rasanya mama memaksa kamu untuk bercerai susu. Tidak puas lagi rasanya mama melihat matamu yang merenung mama dengan kasih sayang ketika menyusu, tangan kecil kamu yang mengusap lembut pipi mama, sentuh mata, sentuh hidung, sentuh telinga dan bertanya…
” ni apaaa… maaaa… ni apaaa”
Jenuh mama menjawab. Tiap kali menyusu sehingga kamu tertidur itulah rutin kamu. Bertanya tentang anggota muka mama… Nanti mesti mama akan rindu.
Banyak Petua & Cara, Tapi Mama Fikir Bukan Sekarang
Banyak petua dan cara lama diberikan kepada mama untuk kamu bercerai susu, namun hati mama berkata, nantilah bukan sekarang. Biarlah kamu menolaknya sendiri. Sekarang, melihat kamu sudah boleh habiskan sesuku senduk nasi, sekeping sandwish dan beberapa jenis makanan ringan pun mama dah bersyukur. Kita perlahan-lahan cuba ya sayang. Jangan bimbang dan takut kerana baba, mama, abang-abang dan kakak akan sentiasa ada di sisi kamu untuk tolong suapkan makan dan cubitkan lauk utk kamu kerana kami sangat sayang kan kamu…
Akibat kedegilan sesetengah rakyat malaysia, Perdana Menteri malam ini menjelaskan sebab-sebab kenapa perintah kawalan pergerakan dikeluarkan. Ikuti perutusan yang disampaikan oleh beliau.
PERUTUSAN YAB TAN SRI MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN PERDANA MENTERI 18 Mac 2020
Assalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.
Saudara-saudari rakyat Malaysia yang saya hormati.
Pada malam ini, saya sekali lagi berdiri di hadapan saudara-saudari sekalian untuk memaklumkan status terkini wabak COVID 19 di negara kita. Hari ini terdapat 117 kes jangkitan baharu yang menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID 19 sebanyak 790.
Ini bukanlah perkembangan yang menggembirakan kita. Langkahlangkah tegas perlu terus diambil untuk membendung wabak ini daripada terus merebak.
Kerana itulah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang mula berkuatkuasa pada hari ini. Saya ingin menjelaskan tujuan kerajaan melaksanakan perintah ini. Kenapa sekolah, universiti dan sebahagian pejabat, premis perniagaan
dan kilang ditutup.
Tujuannya ialah supaya saudara-saudari tidak perlu bergerak ke sana sini. Saudara-saudari tidak perlu bersesak-sesak dalam LRT, MRT atau bas untuk ke tempat kerja. Tidak perlu bersesak di kantin atau kedai makan di waktu rehat tengahari. Anak-anak tidak perlu pergi ke sekolah, tidak perlu mengikuti aktiviti sukan dan lain-lain yang boleh mendedahkan mereka kepada jangkitan virus COVID-19.
Selama tempoh dua minggu ini, saudara-saudari dan anak-anak hanya perlu berada di rumah. Just stay at home. Luangkan masa bersama anak, isteri dan ahli keluarga. Tidak perlu keluar ke mana-mana. Dengan cara ini saudara-saudari terhindar daripada jangkitan COVID 19 dan penularan wabak ini insyaAllah dapat dibendung. Inilah tujuan sebenar Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan oleh kerajaan.
Tujuannya bukan untuk membolehkan saudara-saudari balik ke kampung, memenuhi jemputan kenduri, membeli belah di pasaraya, bersiar-siar di taman atau bercuti di tempat peranginan. Bukan. Tujuannya ialah supaya saudara-saudari duduk di rumah. Stay at home and protect yourself and your family.
Saya sebutkan perkara ini kerana semalam ramai yang balik ke kampung. Saya lihat lebuhraya sesak dengan kenderaan menuju ke arah utara, selatan dan timur. Stesen bas juga sesak dengan orang ramai yang ingin pulang ke kampung.
Saya ingin merayu kepada saudara-saudari. Tolonglah. Stay put where you are. Yang ada di Kuala Lumpur, duduklah di Kuala Lumpur.
Yang ada di Johor Bahru duduklah di Johor Bahru. Yang ada di Pulau Pinang, duduklah di Pulau Pinang. Kalau anda merancang untuk pulang ke kampung, batalkanlah dahulu niat itu. Saya minta tolong untuk tempoh dua minggu ini sahaja.
Kenapa? Kerana kita hendak putuskan rantaian jangkitan. We want to break the chain of infection. Supaya jumlah orang yang dijangkiti wabak COVID-19 ini dapat dikurangkan.
Kenapa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini selama dua minggu?
Ini kerana COVID 19 mempunyai hayat inkubasi (incubation) dua minggu. Terdapat kes di mana simptom hanya muncul selepas itu. Kerajaan berharap selepas habis tempoh dua minggu, mereka yang mempunyai simptom berjaya diasingkan untuk diberikan rawatan, menjadikan Malaysia bebas dari COVID-19.
Jika dalam tempoh ini kita belum berjaya sepenuhnya, Kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan. Oleh itu, adalah penting bagi kita semua untuk mengasingkan diri dan keluarga dari terdedah kepada virus COVID-19 dengan berada di rumah.
Saudara-saudari,
Virus ini berjangkit dari manusia ke manusia menerusi sentuhan. Kalau saudari-saudari bergerak ke sana-sini, apatah lagi bersesak di tempat awam, kemungkinan untuk bersentuhan adalah tinggi.
Kerana itu kerajaan mengisytiharkan penutupan sekolah supaya anakanak kita tidak perlu pergi ke sekolah. Jadi mereka tidak akan bersentuhan dengan rakan-rakan yang mungkin membawa virus COVID19. Saudara-saudari juga tidak perlu ke tempat kerja supaya saudarasaudari tidak bersentuhan dengan orang lain yang mungkin membawa virus ini. Inilah tujuannya.
Tetapi jika saudara-saudari masih bergerak ke sana sini, kemungkinan saudara-saudari bersentuhan dengan orang lain dan mendapat jangkitan wabak ini adalah tinggi.
Jadi, tolonglah. Saya merayu sekali lagi. Duduklah diam-diam di rumah. Stay at home and protect yourself and your family. Saudara-saudari mungkin bertanya. Kalau duduk di rumah sahaja, bagaimana dengan keperluan harian? Bolehkah pergi ke pasar? Atau kedai makan?
Jawapannya boleh. Pasar masih dibuka. Tetapi amalkan penjagaan kesihatan yang rapi. Elakkan bersentuhan dengan cara menjarakkan diri anda daripada orang lain dan sentiasa bersihkan diri. Basuh tangan dengan menggunakan sabun atau hand sanitizer. Kalau boleh mandi dengan lebih kerap supaya badan sentiasa bersih.
Kedai makan juga dibuka. Tetapi untuk mengelakkan risiko jangkitan, saudara-saudari tidak dibenarkan makan di kedai. Pesan makanan, bungkus dan bawa balik ke rumah. Atau lebih baik gunakan perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah atau home food delivery service.
Dengan cara ini, saudara-saudari tidak perlu keluar dari rumah untuk membeli makanan.
Jangan pula gunakan peluang dua minggu ini untuk lepak di kedai mamak. Jangan saudara-saudari. Ini akan meningkatkan risiko jangkitan. Elakkan melepak dengan kawan-kawan di restoran, di kopitiam, di pusat hiburan atau di mana-mana tempat yang boleh mendedahkan
Saudara saudari kepada jangkitan wabak COVID-19. Di kampung-kampung saya tahu ini musim kenduri kahwin. Maklumlah cuti sekolah. Saya ingin mengingatkan saudara-saudari, termasuk dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini ialah perhimpunan ramai, antaranya
kenduri kahwin.
Jadi, kepada ibu-bapa pengantin saya minta tolong sangat-sangat batalkan kenduri. Akad nikah boleh dibuat, tetapi majlis kenduri jangan buat dulu. Tangguhkanlah. Apabila keadaan telah bertambah baik, buatlah kenduri untuk anak kesayangan.
Saya fikir anak tuan-tuan dan saudara-mara yang dijemput hadir faham masalah besar yang sedang kita hadapi ini. Jangan malu, jangan segan.
Beritahulah tetamu yang telah dijemput bahawa kenduri kahwin yang dirancang terpaksa dibatalkan kerana masalah COVID 19. Saya percaya mereka akan berterima kasih kepada tuan-tuan kerana prihatin tentang kesihatan para tetamu.
Ini adalah antara perkara-perkara yang mungkin dianggap kecil, tetapi amat penting untuk dilakukan. Prinsipnya mudah sahaja. Dalam tempoh dua minggu ini, duduklah diamdiam di rumah. Stay at home.
Nampak mudah dan remeh. Tetapi sebenarnya inilah perkara penting yang saudara-saudari mesti lakukan untuk bersama-sama membendung penularan wabak COVID-19 di negara kita.
Sebagai Perdana Menteri, saya ada tanggungjawab besar untuk menangani krisis yang sedang melanda negara kita. Tetapi saya tidak mungkin dapat melaksanakan tugas ini bersendirian. Saya memerlukan sokongan anda semua.
Saya memerlukan sokongan para doktor, jururawat, polis, semua penjawat awam, pekerja swasta, pelajar universiti dan saudara-saudari sekalian untuk membendung wabak COVID-19 daripada menular di negara kita.
InsyaAllah, berkat sokongan, kebersamaan dan kesabaran kita semua, saya berdoa mudah-mudahan kita akan berjaya mengatasi krisis ini. Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamuálaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!