Setakat 30 Januari 2020, angka bagi individu yang dijangkiti virus korona telah melebihi 7,000. Jangkitan virus korona baharu ini lebih agresif berbanding dengan sindrom pernafasan akut teruk (SARS) dan sindrom pernafasan timur tengah (MERS).
Namun berbanding dengan kedua-dua penyakit tersebut, jangkitan virus korona baharu masih tidak mempunyai kadar kematian yang tinggi.
Akan tetapi, masih awal untuk kita buat kesimpulan. Setakat ini, sebanyak 170 kematian akibat virus korona direkodkan berbanding SARS dan MERS yang memiliki kadar kematian yang lebih tinggi.
Wabak ini telah membuatkan semua individu panik, lantas sibuk mencari topeng muka dan sanitizer sebagai langkah pencegahan. Namun, peralatan perlindungan ini kekurangan stok di Malaysia, sekali gus menimbulkan huru-hara di kalangan penduduk tempatan.
Walau bagaimanapun, adakah wajib bagi setiap individu untuk membeli kedua-dua produk ini bagi mengelakkan jangkitan virus korona?
Ketahui alternatif lain jika stok topeng muka dan sanitizer telah kehabisan dengan membaca artikel ini.
Wajib pakai topeng muka ke?
Sedar tak, ramai individu yang sudah mula memakai topeng muka dalam pengangkutan awam dan di pejabat?
Permintaan terhadap produk tersebut telah meningkat menyebabkan banyak kedai dan farmasi mengalami kehabisan stok. Yang lebih merisaukan, ada penjual yang sengaja menaikkan harga topeng muka dan sanitizer bagi meraih keuntungan besar.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengeluarkan amaran keras terhadap mereka yang mengambil kesempatan menjual produk tersebut pada harga yang tinggi.
Namun, persoalannya di sini, adakah wajib untuk anda memakai topeng muka bagi menghindari jangkitan virus korona baharu?
Menurut Konsultan Penyakit Berjangkit, Dr Benedict Sim,
“Setakat ini tiada keperluan untuk rakyat Malaysia memakai topeng muka memandangkan tiada jangkitan virus korona baharu di antara manusia berlaku di sini.”
Akan tetapi, tidak salah jika anda ingin mengambil langkah berjaga-jaga dengan membeli topeng muka. Namun jika tiada topeng muka, janganlah pula anda takut hendak keluar rumah.
Jika berlaku jangkitan di antara manusia, anda boleh menggunakan surgical mask yang mempunyai tiga lapisan perlindungan.
Oleh sebab virus korona disebarkan melalui titisan air, tidak semestinya anda perlu memakai topeng muka N95 yang sering diguna untuk menghindarkan penyakit yang tersebar melalui bawaan udara (airborne).
Jika topeng muka sukar untuk didapati, anda boleh mengamalkan langkah berjaga-jaga. Jika anda mempunyai simptom selesema, elakkan berlegar-legar di tempat awam dan amalkan etika bersin/ batuk yang betul.
Perlu basuh tangan guna sanitizer ke?
Apabila berbincang mengenai jangkitan, pasti anda akan terfikir berkenaan hand sanitizer kan?
Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) menyarankan setiap individu untuk menggunakan air dan sabun. Jika tiada air atau sabun, sanitizer boleh digunakan.
Ini berikutan sabun dan air berkesan dalam membasmi pelbagai jenis mikroorganisma dan bahan kimia yang melekat pada permukaan tangan.
Pembersih tangan yang mengandungi sekurang-kurangnya 60% alkohol boleh menghindari penyebaran penyakit berjangkit. Namun keberkesanannya kurang jika dibandingkan dengan penggunaan air dan sabun.
Menurut CDC lagi, berbanding dengan air dan sabun, mereka yang menggunakan sanitizer cenderung untuk tidak menggunakan pembersih tangan tersebut dengan cara yang betul.
Ada yang menggunakannya pada kuantiti yang sedikit dan ada yang mengelapnya sebelum ia betul-betul kering.
Terdapat beberapa sebab mengapa anda perlu menggunakan air dan sabun semasa membasuh tangan dan bukan sanitizer semata-mata. Ini antara sebabnya:
Sanitizer kurang berkesan pada tangan yang kotor dan berminyak. Kajian-kajian yang dijalankan untuk menguji keberkesanan pembersih tangan tersebut kebanyakannya dibuat pada pekerja hospital. Dari perspektif komuniti pula, kebanyakan individu pergi bersukan, berkebun, berkhemah atau memancing. Dalam situasi tersebut, air dan sabun terbukti lebih berkesan
Sanitizer tidak mampu membasmi racun perosak atau keluli berat daripada tangan. Kajian pada tahun 2012 oleh Gloria D.C. et al telah menunjukkan bahawa mereka yang menggunakan sanitizer mempunyai paras racun perosak yang tinggi berbanding mereka yang menggunakan air dan sabun. Jadi, apa anda perlu lakukan jika tiada air dan sabun?
Pastikan sanitizer yang anda guna mempunyai kepekatan alkohol sekurang-kurangnya 60%. Sanitizer yang mempunyai kepekatan alkohol yang rendah mungkin:
-Tidak berkesan untuk membasmi pelbagai jenis kuman
-Tidak membasmi, hanya merencatkan pertumbuhan kuman
-Apabila anda menggunakan sanitizer, gunakan pada keseluruhan tangan dan pastikan ia kering dengan sendiri. Jangan gunakan kain atau peralatan lain untuk mengeringkan tangan anda.
Amalkan langkah-langkah pencegahan
Setakat ini, kesemua kes positif virus korona baharu di Malaysia melibatkan pelancong dari China. Mereka telah dikuarantin dan sedang menerima rawatan hospital. Ini bermakna, peratusan penyebaran penyakit berada pada tahap yang sangat rendah.
Namun, itu tidak bermakna kita tidak perlu mengamalkan langkah pencegahan bagi menghindarkan diri daripada jangkitan virus korona.
Panik berkenaan dengan virus ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di negara-negara lain yang mempunyai kes positif.
Kedai-kedai farmasi di Hong Kong telah kehabisan stok topeng muka dan Taiwan telah menghentikan urusan eksport topeng muka bagi memastikan stok domestik mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa.
Setakat ini, 3 prinsip pencegahan telah diamalkan bagi mengurangkan penyebaran penyakit terutamanya di China yang menjadi pusat kepada jangkitan virus korona baharu.
-Basuh tangan secara kerap
-Pemakaian topeng muka
-Elakkan daripada pergi ke tempat yang ramai orang
-Di Malaysia, jika anda tidak dapat membeli topeng muka atau sanitizer, anda masih boleh pergi ke tempat kerja, menjalani aktiviti sosial dan sebagainya. Namun, perkara ini mungkin berubah mengikut keadaan semasa.
Langkah pencegahan yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia setakat ini berjaya menghindarkan berlakunya jangkitan antara manusia di Malaysia. Ya, kita ada kes positif, namun tiada individu yang berjangkit daripadanya setakat ini.
Pastikan anda mengamalkan langkah pencegahan penyebaran virus yang betul. Jika anda mengalami simptom selesema, dapatkan rawatan doktor dan elakkan daripada pergi ke tempat awam.
Anda boleh membeli topeng muka dan sanitizer jika ada dijual. Namun, jika tiada, jangan panik. Masih tiada lagi berlakunya kes jangkitan antara manusia di Malaysia. Ini bermakna kebarangkalian untuk jangkitan tersebut merebak berada pada paras rendah.
Sumber: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI