Rasa mengidam, datang tanpa dirancang. Adakah ia spontan atau ada punca situasi sebegini berlaku?
Menurut Dr. Norintan Zainal Shah, Pakar Perbidanan & Sakit Puan Columbia Asia Seremban, sebahagian wanita hamil akan mengalami suatu keadaan di mana mengidam sesuatu jenis makanan ketika dalam tempoh kehamilan. Keadaan ini berlaku adalah disebabkan oleh perubahan hormon di dalam tubuh masing-masing.
Atas sebab perubahan hormon jugalah, ia menjadi punca mengapa sesetengah wanita mengidam makanan tertentu dan tidak pada wanita yang lain. Keadaan sebegini, sama seperti saat mengalami haid di mana anda menginginkan sesetengah jenis makanan disebabkan oleh pengaruh hormon yang dialami ketika itu.
PERUBAHAN HORMON
Perubahan hormon di kalangan wanita hamil boleh memberi kesan terhadap deria rasa dan bau. Namun, sebab sebenarnya tiada siapa yang tahu dengan pasti. Alahan semasa hamil seperti letih, pening, muntah dan lain-lain yang berlaku akibat perubahan hormon boleh menjadi penyebab mengapa anda mengidamkan sesuatu makanan yang boleh mengurangkan atau melegakan alahan.
Perlu difahami bahawa rasa mengidam bukanlah bererti seseorang wanita itu mengada-ada. Buang anggapan sebegini.Ketahuilah, kehamilan menjadikan kebanyakan wanita mahu mendapatkan lebih perhatian daripada suaminya. Namun, ada juga yang “alah” pada suami sendiri. Contohnya, ada wanita yang tidak tahan dengan bau badan suami masing-masing.
Ads
KEKURANGAN ZAT MAKANAN DAN VITAMIN
Sementara itu, perlu anda tahu bahawa kebiasaannya rasa mengidam boleh timbul sejurus selepas wanita tadi tidak lagi didatangi haid kerana hamil. Tidak kurang juga yang hanya mengalami rasa mengidam hanya apabila usia kehamilan mencecah lapan atau sembilan bulan. Penelitian umum mendapati bahawa keinginan untuk makan makanan tertentu berubah seiring dengan usia kehamilannya.
Menurut Dr. Norintan, kebanyakan doktor percaya bahawa kekurangan zat makanan dan vitamin di dalam tubuh seseorang ibu hamil itu yang mencetuskan rasa mengidam. Sebagai contoh, mengidam makanan laut. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan oleh kekurangan kalsium dan sodium. Bagi anda yang mungkin mengidam kekacang dan bijirin pula, ia berkemungkinan besar berpunca daripada kekurangan magnesium di dalam tubuh.
Ada juga segelintir wanita hamil yang mengidam ais ataupun air batu. Keadaan ini dikenali sebagai pica. Ia sering kali dikaitkan dengan kekurangan zat besi.
Ads
SUMBER BUKAN MAKANAN
Kebanyakan wanita hamil diketahui umum suka mengidam makanan-makanan tertentu. Namun, tidak kurang juga ada yang mengidam sumber bukan makanan. Contohnya seperti mengidam bau minyak tanah, petrol, bahan pewangi dan yang seumpama dengannya. Jika ini berlaku kepada diri anda, ia tidak dapat dikaitkan dengan kekurangan apa –apa jenis zat makanan.
Masalah mengidam sesuatu yang bukan daripada sumber makanan sememangnya amat sukar difahami. Sehingga kini, tidak ada penjelasan dari sudut sains untuk kes-kes sebegini. Apa-apa pun, sekiranya anda mengidam sesuatu yang membahayakan kesihatan diri dan kandungan seperti terlalu ingin menghisap cerut atau merokok, ia semestinya perlu dielakkan.
Ads
Dalam pada itu, ada cara lain untuk menangani keinginan memakan sesuatu yang tidak sihat. Ia dapat dilakukan dengan mengambil sarapan setiap hari. Hal ini kerana amalan tidak bersarapan boleh membuatkan rasa mengidam itu menjadi lebih teruk. Selain daripada itu, anda juga digalakkan untuk lebih kerap melakukansenaman yang selamat untuk ibu hamil. Paling penting, pastikan anda mengamalkan diet yang sihat dan makanan yang diambil setiap hari adalah pelbagai.
NASIHAT DOKTOR NORINTAN
Mengidam ketika hamil mungkin boleh dikaitkan dengan kekurangan zat di dalam badan. Namun, kenyataan ini tidak berlandaskan kepada mana-mana kajian yang boleh menjelaskan masalah mengidam ini dengan sepenuhnya. Secara amnya, mengidam tidak membahayakan wanita hamil dan anak di dalam kandungannya. Namun, bagi anda yang mungkin mengidam bahan-bahan merbahaya seperti rokok, perlu berhenti daripada meneruskan keinginan tersebut.
Adalah penting untuk anda memahami bahawa kepentingan amalan pemakanan yang baik. Ia perlu dititikberatkan bagi membolehkan anda mendapatkan cahaya mata yang sihat. Dalam pada itu, jika anda mengidamkan makanan yang tidak berkhasiat seperti terlalu inginkan gula-gula sedangkan pada masa yang sama, anda sebenarnya sedang mengalami gestational diabetes ketika hamil, disarankan agar anda menahan diri daripada terlalu kerap mengambil gula-gula yang diidamkan.
Tindakan sebegini penting bagi membolehkan anda mengawal tahap glukosa dalam darah. Sekiranya anda tidak berbuat demikian, tahap kencing manis pasti tidak dapat dikawal dengan baik, seterusnya boleh menyebabkan bayi menjadi besar(macrosomia). Paling membimbangkan keadaan ini boleh membawa kepada komplikasi ketika melahirkan anak kelak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Masalah ketidaksuburan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Ada yang menunggu bertahun-tahun lamanya, namun belum dikurniakan cahaya mata. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang perlu dielakkan jika anda dan suami sedang merancang untuk hamil.
Merokok dan menghidu asap rokok
Anda mungkin tidak merokok tetapi berkemungkinan besar, perokok sekunder apabila sering terdedah kepada asap rokok yang dihisap oleh orang lain. Menurut kajian, kekerapan pendedahan diri kepada asap rokok mampu menjejaskan kesihatan dan kesuburan wanita.
Menurut penelitian pakar, suami yang merokok didapati memiliki bilangan sperma yang kurang, kelajuannya yang rendah dan lebih cenderung untuk mengalami masalah abnormaliti.
Obes
Masalah obesiti boleh meningkatkan risiko ketidaksuburan. Hal ini kerana ia mungkin boleh menjadi punca kepada kitaran haid yang tidak teratur. Malah, jika anda berjaya hamil, ia boleh menyebabkan komplikasi kehamilan seperti diabetes dan praeklampsia.
Untuk mengatasi masalah ini, anda digalakkan untuk melakukan senaman secara konsisten dan pada masa yang sama dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada mengamalkan diet yang ekstrem.
Aktiviti harian yang aktif dan pemakanan yang sihat boleh membantu anda untuk lebih sihat dan sekaligus mempercepatkan kehamilan.
Terlalu kurus
Selain tubuh yang obes, tubuh yang terlalu kurus pun boleh memberi kesan negatif kepada tahap kesuburan wanita. Oleh itu, cuba capai BMI ideal melalui pemakanan yang seimbang dan berkhasiat.
Penggunaan barangan plastik ada BPA
BPA atau bisphenol merupakan bahan kimia yang sering dijumpai dalam barangan plastik seperti botol minuman, bekas makanan dan bahagian tertentu pada tin aluminium.
Sesetengah kajian mendapati bahawa pendedahan kepada BPA mampu menjejaskan kesuburan wanita dengan menurunkan bilangan telur yang terhasil dan pada masa yang sama juga boleh merendahkan bilangan sperma pada lelaki.
Jadi, bertukarlah kepada barangan yang bebas BPA memandangkan ia semakin banyak dijual di pasaran.
Abaikan kesihatan oral
Penjagaan mulut sama penting dengan bahagian tubuh yang lain. Sekiranya selama ini anda kurang mengambil berat dan memberi perhatian sepenuhnya kepada kesihatan mulut, apa kata buat temu janji segera dengan doktor gigi. Hal ini kerana pengabaian kesihatan oral seperti kerosakan gigi dan masalah gusi boleh menjejaskan sperma lelaki dan menurunkan kadar kesuburan wanita.
Makanan rapu
Makanan rapu yang padat dengan lemak trans dikaitkan dengan masalah konsentrasi sperma. Ia boleh jadi rendah dan kurang berkualiti. Untuk itu, kurangkan dan seelok-eloknya kurangan pengambilan makanan sebegini terutamanya dalam fasa anda yang sedang berusaha untuk hamil.
Tekanan
Jika berasa tertekan dengan sesuatu perkara, cuba dapatkan bantuan dan sokongan. Elakkan diri daripada memendam perasaan. Tekanan bukan sahaja tidak baik untuk tahap kesihatan secara keseluruhan, malah ia juga boleh mengganggu tahap kesuburan diri anda dan suami juga.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Antara perkara yang sering dititikberatkan apabila disahkan hamil ialah pakaian sepanjang tempoh kehamilan itu. Ada segelintir ibu hamil yang teruja membeli-belah pakaian hamil walaupun dirinya masih boleh memakai pakaian sedia ada.
Sekiranya anda mahu melakukan penjimatan dan tidak mahu terlalu banyak berbelanja untuk pakaian hamil, ada beberapa taktik yang boleh anda aplikasikan. Berikut adalah tip penjimatannya.
Dress atau jubah
Anda pasti memiliki dress longgar atau jubah Muslimah di dalam simpanan. Jika belum ada, dapatkan satu atau dua dress longgar atau jubah untuk anda gayakan semasa hamil ini. Menariknya, pakaian jenis ini bukan sahaja boleh dipakai sepanjang tempoh kehamilan. Malah, anda boleh terus bergaya dengannya selepas tempoh itu. Anda digalakkan untuk membeli dress yang tidak ‘menjerut’ bahagian pinggang dan sesuai untuk digunakan semasa anda menyusukan bayi setelah dia lahir kelak.
Kardigan atau kemeja
Semasa hamil, anda boleh kekal memakai kemeja berbutang yang sedia ada. Jika kemeja itu sudah tidak selesa dipakai apabila dibutang sepenuhnya, anda boleh sarungkan baju T di bahagian dalam dan sarungkan kemeja berkenaan di luarnya. Sama juga halnya dengan penggunaan kardigan. Gaya yang ringkas tetapi anda tetap kelihatan bergaya dengannya.
Getah rambut
Dalam trimester pertama, seluar sedia ada masih boleh dipakai seperti biasa memandangkan perut anda belum terlalu besar. Namun, jika ada seluar yang tidak boleh dikancing butangnya, anda boleh menggunakan getah rambut dengan mengikatnya pada lubang butang dan kancing pada butang seluar anda.
Satu lagi getah diikat di kepala zip dan sangkutkan pada butang seluar. Namun, anda diingatkan untuk menyarung pakaian yang labuh bagi mengelakkan orang mengetahui taktik yang anda gunakan.
Penyambung coli (bra extender)
Sekiranya anda berasa selesa untuk memakai coli sedia anda, tiada salahnya anda terus menggunakannya. Jika terasa ketat, anda boleh gunakan penyambung coli yang boleh dibeli di kedai menjual coli.
Setidak-tidaknya anda boleh memanjangkan lagi penggunaan coli yang sedia ada sehingga tidak lagi berasa selesa menggunakannya.
Bra sukan
Apabila payudara semakin membesar, anda pasti akan berasa tidak selesa jika menggunakan coli yang mempunyai dawai. Sebagai alternatif, anda boleh gunakan bra sukan. Hal ini kerana ia memeri tetapi masih memberikan sokongan yang sepatutnya kepada payudara anda.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ibu hamil yang bakal menempuhi bulan Ramadan perlu tahu mereka tidak perlu memaksa diri untuk meneruskan puasa. Ada kelonggaran untuk berbuka dalam Islam.
Beberapa hari lagi umat Islam akan mengerjakan ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadan. Mungkin bagi ibu hamil ada yang terfikir ini adalah peluang untuk berpuasa sebulan penuh memandangkan tiada haid.
Namun sekiranya anda mempunyai masalah kesihatan dan kemudaratan untuk meneruskan berpuasa, ada kelonggarannya. Pa&Ma mendapatkan informasi daripada Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin mengenai topik ini.
Wanita hamil mempunyai kelonggaran dalam ibadah puasa
Para ahli fiqih (pakar hukum) sepakat bahawa menjadi hak wanita yang hamil untuk berbuka. Dalilnya cukup jelas. Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah mencabut puasa dan separuh solat daripada musafir, dan mencabut puasa daripada perempuan hamil dan menyusui.” (HR Nasa’i dan Ibnu Majah).
Mengapa wanita hamil diberikan kelonggaran dalam ibadah puasa?
Menurut ahli tafsir, wanita yang hamil termasuk dalam kategori “orang yang berat menjalankannya (puasa),” sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT dalam Surah al-Baqarah: ayat 184.
Islam memahami beban kehidupan yang memberat di bahu wanita hamil. Wanita hamil biasanya muntah-muntah, loya, pening dan kembung perut. Wanita hamil juga biasanya mengalami kekejangan apabila kurang kalsium, pedih ulu hati dan sebagainya.
Islam mengiktiraf dan menghargai pengorbanan ini dengan merakam kesusahan wanita hamil di dalam al-Quran. Antaranya, firman Allah SWT, “Ibunya mengandungnya dengan susah-payah, dan melahirkannya dengan susah-payah (pula).” (Al-Ahqaf: 15).
Islam sangat berperi kemanusiaan terhadap kesusahan umatnya. Ia termasuklah kepada wanita hamil bahkan kepada musafir meskipun dia bermusafir dengan kenderaan moden, dan kepada ramai lagi golongan lain. Oleh sebab itulah ada konsep ‘rukhsah’ (kelonggaran/keringanan) dalam Islam.
Keadaan yang membolehkan wanita hamil berbuka puasa
Ada pelbagai keadaan wanita hamil. Wanita hamil kadang kala risaukan keadaan dirinya disebabkan payahnya berpuasa. Wanita hamil juga kadang kala risaukan bayi dalam kandungannya. Bayi itu dikesani oleh sumber makanan ibunya. Lebih kerap, wanita hamil risaukan kedua-duanya secara bersama, dirinya dan bayinya.
Dalil hadis di atas yang memberi kelonggaran kepada wanita hamil untuk berbuka, merujuk kepada keadaan wanita itu yang ‘hamil’ secara umum. Ia tidak merujuk kepada keadaan-keadaan khusus bagi wanita hamil itu.
Maka, apabila hamil sahaja seorang wanita, dan dia berasa berat untuk berpuasa, maka boleh baginya mengambil ‘rukhsah’ (kelonggaran) untuk berbuka puasa pada bulan Ramadhan. Jika dia berasakan tidak berat baginya untuk berpuasa, maka dia boleh meneruskan puasa.
Apakah hukumnya jika wanita hamil itu sihat dan tidak mengalami komplikasi tetapi tetap tidak berpuasa?
‘Harus’ baginya berbuka. Hukum ‘harus’ (mubah) bukan bererti ‘mesti’ berbuka. Hukum ‘harus’ bererti ‘boleh’. Mahu meneruskan puasa, boleh. Mahu berbuka pun, boleh. Dia lebih arif tentang kemampuannya saat itu.
Sesihat manapun wanita hamil, keadaan hamilnya itu menggolongkan dirinya berada dalam keadaan yang lemah. Firman Allah SWT, “Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah.” (Luqman: 14).
Orang yang lemah kadang kala berat untuk mengerjakan puasa. Allah memberikannya kelonggaran.
Firman Allah SWT, “Dan bagi orang yang berat menjalankannya (orang sakit berat, orang yang sangat tua, wanita hamil, wanita menyusui), wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin. Tetapi sesiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan (memberi makan kepada lebih seorang miskin dalam satu hari), maka itu lebih baik baginya. Dan puasamu itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 184).
Fidyah adalah sebanyak secupak beras (anggaran 600 gram) untuk setiap satu hari yang ditinggalkannya, diberikan kepada fakir dan miskin. Fidyah wajib dibayar sebelum datangnya Ramadahan seterusnya. Menurut mazhab Syafie, fidyah bertambah, dengan bertambahnya tahun.
Kaedah untuk menggantikan puasa yang telah ditinggalkan
Masalah wanita hamil ‘unik’ berbanding masalah lain. Setelah 9 bulan 10 hari hamil, dia perlu menyusui pula selama 2 tahun. Disebabkan keadaan ‘susah’ yang panjang ini, maka kaedah ‘menggantikan puasa’ yang telah ditinggalkan bagi wanita hamil mempunyai banyak pandangan ulama.
Antara perbahasan mereka ialah:
Adakah wanita hamil diperlakukan seperti orang sakit biasa yang dimestikan mengganti sebanyak puasa yang ditinggalkan?
Atau mereka diperlakukan seperti orang tua renta, baik lelaki mahupun perempuan?
Atau seperti orang sakit yang tiada harapan sembuh?
Adakah mereka harus membayar fidyah setiap hari atau dibebaskan daripada fidyah?
Bukan itu sahaja, para ulama juga membahaskan:
Adakah berbeza hukumnya, antara orang hamil dengan orang menyusui?
Adakah berbeza orang yang khuatir terhadap dirinya, dengan orang yang khuatir terhadap bayinya?
Dengan membahaskan semua kemungkinan ini, maka keluarlah konklusi yang pelbagai di kalangan para ulama berkaitan kaedah menggantikan puasa yang ditinggalkan. Semuanya merujuk al-Quran dan as-Sunnah yang sama, namun cara tafsir dan sudut pandang mereka berbeza. Inilah antara faktor, isu fiqah mempunyai banyak pendapat.
Pendapat Majoriti
Majoriti ahli fiqih memperlakukan wanita hamil dan wanita menyusui seperti orang sakit. Mereka berkata, “Keduanya berbuka dan mengganti.”
Mazhab Syafie yang biasa diamalkan di Malaysia memperincikan:
1. Ibu yang bimbangkan dirinya, tidak mampu dan tidak berdaya, maka dia boleh berbuka. Kemudian mengganti pada hari lain.
2. Ibu yang bimbangkan dirinya dan anaknya, maka dia boleh berbuka. Kemudian, mengganti dan membayar fidyah pada hari lain.
Masa yang diwajibkan adalah 11 bulan mulai Syawal hingga Syaaban. Jika seseorang telah meninggalkan puasa, kemudian tidak menggantinya dalam tempoh itu dengan sengaja, maka dia berdosa, wajib ganti dan bayar fidyah.
Pendapat Kuat dan Praktikal
Ibnu Umar dan Ibnu Abbas (dari kalangan sahabat), juga Ibnu Sirin (dari kalangan Tabiin), berpendapat, “Mereka hanya perlu membayar fidyah (memberi makan orang miskin) dan tidak perlu mengganti.” Ibnu Abbas menyamakan wanita hamil seperti orang tua renta dalam isu ini.
Profesor Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqih Puasa membuat kesimpulan:
1. Yang paling kuat ialah pendapat Ibnu Umar dan Ibnu Abbas. Wanita hamil dan menyusui hanya perlu membayar fidyah dan tidak perlu mengganti. Itu yang banyak diamalkan oleh kaum wanita pada masa lalu. Ia suatu rahmat apabila mereka tidak perlu mengganti, cukup dengan membayar fidyah.
2. Ada wanita yang tempoh kehamilannya berjauhan dan anaknya tidak ramai. Dia kurang berasa susahnya kehamilan dan menyusui, kecuali dua atau tiga kali sahaja, maka yang paling tepat baginya ialah mengganti, sebagaimana pendapat jumhur.
Kesimpulan ini dibuat kerana hukum dibangun atas prinsip ‘keringanan’ dan ‘menghilangkan kesulitan yang berlebihan’. Apabila kesulitan tidak ada, maka hukumpun tiada. Apabila kesulitan ada, maka hukumpun ada. Kaedah menyebut, “Hukum bergerak bersama alasannya, ada atau tiada.”
Bila seelok-eloknya proses penggantian puasa ini dijalankan sedangkan selepas hamil sudah tentu si ibu tersebut akan menyusukan anak pula?
Sesiapa yang memiliki hutang puasa Ramadhan, tidak kira kerana uzur seperti sakit, musafir, haid, nifas, atau yang merasakan sangat berat mengerjakannya, juga wanita hamil dan menyusui, bagi mazhab yang mengharuskannya qadha’ (ganti), maka hendaklah dia bersegera sebaik sahaja uzurnya hilang. Bersegera untuk mengganti hari-hari yang dia berbuka, dalam rangka melepaskan diri daripada hutangnya dan bersegera untuk menunaikan kewajipan
Tidaklah berdosa orang yang mengakhirkan pelaksanaan ganti puasa sepanjang pada hatinya tetap berniat untuk mengganti, kerana kewajipan ganti bersifat ‘luas’ masanya.
Adakah penggantian puasa boleh dilewatkan atas sebab menyusukan anak? Misalnya selepas anak berusia dua tahun.
Soalan ini timbul bagi mereka yang berpegang pada pendapat wanita hamil dan menyusui wajib menggantikan puasa.
Bagi mereka yang berpegang pada pendapat wanita hamil hanya perlu membayar fidyah, maka soalan ini tidak timbul. Lainlah, jika dia memang berasakan menggantikan puasa tidak berat dalam situasi hidupnya. Islam meraikan kondisi individu yang berbeza-beza.
Huraian seterusnya ini bagi mereka yang berpegang pada pendapat wanita hamil dan menyusui wajib menggantikan puasa.
Barangsiapa kedatangan Ramadhan yang baru, sedangkan hutang Ramadhan sebelumnya belum dibayar, jika hal itu terjadi kerana uzur (menyusukan anak) maka ianya tidaklah mengapa. Itu pendapat ijma’.
Dia wajib menggantinya selepas dia mampu berpuasa semula.
Puasa sunat 6 hari bulan Syawal & puasa ganti, mana perlu didahulukan?
Keutamaan puasa 6 hari di bulan Syawal bersandar kepada hadis yang kuat.
“Barang siapa berpuasa Ramadhan kemudian dia iringi dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa setahun.” (HR Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah).
Realitinya, cuti Hari Raya membuka peluang besar untuk kita beramah mesra dan menjamu selera dengan sanak saudara. Tidak seperti hari-hari lain. Maka eloklah seseorang tidak berpuasa sunah pada hari kaum keluarga atau sahabat handai menjamu selera. Dia boleh berpuasa pada hari-hari lain yang masih berbaki. Menjaga hubungan silaturrahim amat penting. Ini selaras dengan hadis Nabi s.a.w, daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya:
“Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti –jika mahu.” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari).
Kita dalam dilema;
1. Jika mendahulukan yang wajib, bimbang tidak berkesempatan berpuasa enam.
2. Jika mendahulukan yang wajib kemudian terus berpuasa enam, bimbang tidak sempat meraikan majlis menjamu selera bersama sanak-saudara.
3. Jika mendahulukan yang sunah, bimbang puasa wajib terus terhutang dan tidak sempat dilakukan pada masa-masa depan.
Pandangan yang sahih berkenaan isu ini, menurut Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, boleh saja melaksanakan puasa sunah sebelum mengganti. Buat puasa sunah enam hari dahulu pada bulan Syawal. Kemudian, melakukan puasa ganti pada hari-hari lain sebelum masuk Ramadhan berikutnya.
Kesimpulan ini diambil daripada ucapan Aisyah r.ha., “Ketika itu saya memiliki hutang puasa Ramadhan. Saya tidak mampu menggantinya kecuali di bulan Sya’ban.” (Muttafaq a’laih).
Tidak boleh disekalikan niat antara yang wajib dan sunat bagi mereka yang mahu menyelesaikan gantian Ramadhan dahulu. Tapi mereka boleh berdoa kepada Allah mudah-mudahan sempat mendapat kelebihan puasa enam.
Kesihatan adalah aset paling berharga dalam hidup. Ramai yang hanya mula mengambil berat tentang kesihatan selepas mengalami masalah seperti kolesterol tinggi, diabetes, gout, dan...