
Payudara kecil susu sikit! Betul ke? Ramai ibu menyusu yang risau apabila memiliki payudara bersaiz kecil, bimbang tidak dapat menghasilkan susu yang mencukupi untuk bayi terutama bagi ibu yang baru lepas melahirkan anak. Adakah saiz payudara benar-benar mempengaruhi jumlah susu yang dihasilkan?
Tak perlu khuatir kerana menurut Kaunselor Laktasi, Pn Nad Masrom, saiz payudara ibu tidak menentukan jumlah susu yang dihasilkan.
Saiz payudara ditentukan oleh jumlah tisu lemak, manakala penghasilan susu bergantung kepada tisu kelenjar susu (alveoli). Tisu kelenjar susu, khususnya alveoli, adalah struktur penting dalam payudara yang bertanggungjawab untuk menghasilkan susu ibu.
Oleh itu, ibu tak perlu risau dengan payudara kecil kerana masih mampu menghasilkan susu yang mencukupi untuk bayi mereka.
Tambah Pn Nad lagi, saiz payudara langsung tidak mempengaruhi jumlah susu yang dihasilkan. Tidak semestinya payudara besar menghasilkan lebih banyak susu, dan payudara kecil menghasilkan susu yang sedikit. Ia mitos semata-mata!
Beberapa faktor yang mempengaruhi penghasilan susu ibu termasuklah:
Semakin kerap bayi menyusu, semakin banyak susu yang dihasilkan.
Pelekatan bayi pada puting payudara ibu yang betul membantu merangsang penghasilan susu lebih baik.
Pengambilan makanan seimbang dan air cukup penting untuk penghasilan susu. Jadi minumlah air yang mencukupi setiap hari demi menghasilkan susu yang banyak untuk bayi.
Ibu yang cukup rehat dan kurang stres cenderung menghasilkan lebih banyak susu. Mood tenang dan gembira boleh merembeskan hormone sekaligus menghasilkan susu lebih banyak.
Bagi ibu yang memiliki payudara kecil, jangan terlalu bimbang tentang penghasilan susu. Saiz payudara tidak menentukan banyak atau sedikit susu yang mampu dihasilkan. Perkara paling penting ialah rangsangan penyusuan yang konsisten, pelekatan yang betul serta penjagaan kesihatan ibu.
Susukan bayi setiap dua hingga tiga jam atau mengikut permintaan bayi. Semakin kerap bayi menyusu dan mengosongkan payudara, semakin banyak rangsangan yang diterima oleh tubuh untuk menghasilkan susu. Elakkan menunggu payudara terasa penuh sebelum menyusukan bayi.
Pelekatan yang baik membantu bayi menghisap dan mendapatkan susu dengan lebih berkesan, selain mengurangkan risiko puting luka atau sakit. Pastikan mulut bayi terbuka luas dan merangkumi sebahagian besar kawasan areola. Jika masih keliru atau penyusuan terasa sakit, dapatkan bantuan pakar laktasi.
Ambil makanan yang lengkap dan kaya dengan nutrien seperti protein, sayur-sayuran, buah-buahan serta sumber karbohidrat yang baik. Pastikan ibu juga minum air secukupnya mengikut rasa dahaga. Elakkan berdiet secara keterlaluan kerana tubuh memerlukan tenaga dan nutrien yang mencukupi sepanjang tempoh penyusuan.
Kurang tidur, keletihan dan tekanan boleh menjejaskan proses pengeluaran serta pengaliran susu. Cuba berehat ketika bayi tidur dan minta bantuan pasangan atau ahli keluarga untuk menguruskan kerja rumah. Walaupun sukar mendapat tidur yang panjang, rehat singkat tetap dapat membantu tubuh ibu kembali bertenaga.
Selain melihat jumlah susu yang dipam, ibu boleh memerhatikan kekerapan lampin basah, corak penyusuan dan peningkatan berat badan bayi. Jumlah susu yang sedikit ketika dipam tidak semestinya bermakna bekalan susu ibu tidak mencukupi kerana bayi biasanya menghisap dengan lebih berkesan berbanding pam susu.
Paling penting ibu tak perlu stress jika ada waktunya susu menurun atau sedikit. Pengurusan stres yang baik penting untuk kesihatan ibu dan penghasilan susu.
Kesimpulannya saiz payudara bukan penentu jumlah susu yang dihasilkan. Ibu dengan payudara kecil masih mampu menyusukan bayi mereka dengan jayanya. Yang penting adalah teknik penyusuan yang betul, kekerapan menyusu, dan penjagaan kesihatan ibu secara keseluruhan.
Anak akan dapat akaun Simpan SSPN bernilai RM30, goodies istimewa dan sijil penyertaan. Sambil bermain, dapat hadiah! Daftarkan anak segera di: https://www.majalahpama.my/edutainment-fest/
Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!
Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia
Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!
Sumber: Youtube Pa&Ma