
Mendaki sememangnya menjadi minat sesetengah orang. Namun mendaki sambil menggendong anak kecil untuk sampai ke puncak pastinya satu hal yang mustahil. Ibu muda ini, Nur Dhiya Hasim sudahpun membuktikan impiannya untuk ke puncak gunung terbukti walaupun terpaksa menggendong anaknya.
Bagi wanita hebat ini, menggendong anaknya, Ameer Aiman Faris Abdul Aziz yang baru berusia 5 tahun langsung tidak menjadi satu masalah baginya.
“Saya akui sudah biasa dengan keadaan sebegini. Malah setiap kali mendaki biasanya saya bawa beg seberat 21kg dan membawa Aiman bukan satu masalah besar bagi saya. Cuma saya terpaksalah meminta orang lain untuk bawakan beg dan kelengkapan saya naik ke atas.
Bila dapat sampai ke puncak saya rasa puas hati. Apa lagi dapat bawa anak sekali ke atas untuk melihat ciptaan Allah. Sepanjang jalan juga saya rasa lebih dekat dengan Aiman malah bonding dengannya pun makin kuat. Sepanjang jalan ada saja pertanyaan daripadanya. Saya rasa seronok.
“ Saya mula membawa Aiman mendaki ketika usianya baru 1 tahun 11 bulan ke puncak Bukit Broga, di Semenyih. Saya kendong dia untuk naik ke puncak dan alhamdulillah dia langsung tidak menangis. Malah tidak meragam.
Kalau hujung minggu, inilah aktiviti kami. Saya sebenarnya kurang gemar bawa anak saya ke pusat membeli belah pada hujung minggu. Saya pilih alam semulajadi dan mahu dia dekat dengan alam. Bukan saja sihat malah banyak yang boleh dipelajari dengan aktiviti semacam ini,” ujarnya lagi.
Anak kecil ini sememangnya tidak pernah meragam ketika mendaki. Sesekali kata ibunya, dia mengadu kepenatan dan dikendong ibunya untuk sampai ke puncak gunung.
Berbekalkan air secukupnya, biskut dan makanan kegemarannya serta tidak dilupakan patung Ultraman yang sentiasa dipegangnya sepanjang mendaki, Aiman cukup gembira menghabiskan pendakian.
Aiman sememangnya anak yang cukup cintakan alam. Sepanjang perjalanan dia bukan hanya sentiasa bertanya malah rasa ingin tahunya pada satu-satu benda sememangnya tinggi.
Bagi Dhiya yang juga merupakan seorang jurulatih kecergasan dan merupakan team leader Program Jom Kurus ini sememangnya amat berpengalaman dalam dunia pendakian. Malah ibu muda ini juga sudah melakukan pendakian lebih 20 bukit dan gunung di seluruh negara.
Daki Puncak Kinabalu
Anak kecil ini rupanya sudah dua kali melakukan pencubaan untuk sampai ke puncak Gunung Kinabalu. Malah ibunya sendiri sudah 5 kali menjejakkan kaki ke puncak gunung gah ini. Namun kedua-dua cubaan Aiman tidak membuahkan hasil bila mana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
“Pertama kali saya bawa Aiman adalah ketika tahun 2016 dan usianya ketika itu baru 3 tahun. Aiman berjaya sampai pada ketinggian 3200 meter sahaja dan kami terpaksa turun disebabkan oleh cuaca yang tidak mengizinkan.
“Kami memulakan perjalanan pada jam 2 pagi dan kerana hujan terlalu lebat dan ribut ketika itu, kami dinasihatkan untuk berpatah balik kerana bimbang oksigen yang tidak semakin berkurangan dan tidak sesuai bagi kanak-kanak.
Cubaan kali kedua pula adalah pada Januari lalu. Pendakian kali ini juga merupakan satu ekspedisi untuk membentang bendera terbesar Negeri Sembilan oleh Club Trekzo Resources. Pendakian ini disertai oleh 21 orang pendaki lain termasuk 3 orang kanak-kanak yang menjadi peneman setia Aiman.
Kali ini Aiman menunjukkan peningkatan prestasinya bila berjaya mendaki pada ketinggian 3500 meter. Bukan itu sahaja malah Aiman juga mendaki sendiri dari Timpohon Gate hingga ke Layang-Layang Hut sejauh 4km dan baki 1km lagi dikendong oleh saya kerana sudah terlalu letih hingga tertidur. Kami berjaya menghabiskan pendakian dengan masa hanya 5 jam sahaja.
Keesokkan harinya kami meneruskan pendakian dari Layang-Layang Hut ke Panalaban dan saya kendong dia untuk naik ke atas sejauh 2km. Namun malangnya Aiman menangis sepanjang perjalanan kerana mengadu sakit tengkuk.
Biarpun kecewa namun saya akan pastikan misi untuk membawa Aiman ke puncak berjaya. Insyaallah kami akan mendaki semula pada April ini. Doakan kami berjaya,” luah ibu muda yang sudah melakukan rekod Genius Book Of Record, First Duo Cycle Across Sahaja pada Februari 2017.
Bukan hanya Gunung Kinabalu, bahkan anak cekal ini sudahpun menawan lebih 14 gunung. Antara gunung yang pernah didaki anak kecil ini adalah Gunung Ledang, Gunung Datuk, Rembau, Gunung Berembun, Jelebu, Gunung Irau dan Gunung Berinchang, Cameron Highland, Gunung Nuang, Hulu Langat serta tidak ketinggalan Bukit Broga, Semenyih dan Bukit Saga di Ampang.