
Pelan Pembangunan Pendidikan 2026–2035 yang bakal dilancarkan kerajaan dijangka membawa perubahan besar kepada sistem pendidikan negara apabila sasaran prestasi utama (KPI) yang lebih tegas diperkenalkan bagi meningkatkan standard akademik murid.
Antara fokus utama pelan ini ialah keperluan murid di peringkat sekolah rendah dan menengah untuk memperoleh sekurang-kurangnya gred C dalam empat mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.

Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad, menegaskan bahawa sasaran tersebut adalah mandatori dan perlu dipandang serius oleh semua pihak.
“Ini merupakan sasaran mandatori. Sekiranya ia tidak dicapai, kita perlu mempersoalkan mengapa ia berlaku,” katanya seperti dilaporkan oleh The Star.
Empat Subjek Teras, Asas Kepada Kejayaan Murid
Pemilihan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah sebagai subjek teras dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2026–2035 bukanlah tanpa sebab. Keempat-empat mata pelajaran ini dianggap sebagai asas penting yang membentuk kefahaman, kemahiran berfikir serta jati diri murid.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melihat penguasaan minimum pada tahap gred C sebagai penanda aras yang munasabah bagi memastikan murid benar-benar memahami asas pembelajaran sebelum melangkah ke peringkat seterusnya.
Langkah ini juga bertujuan mengelakkan situasi murid terus naik tahap walaupun masih lemah dalam kemahiran asas, yang akhirnya memberi kesan negatif kepada prestasi akademik jangka panjang.

Bukan Akademik Sahaja, Kecergasan Fizikal Turut Dinilai
Menariknya, Pelan Pembangunan Pendidikan 2026–2035 tidak hanya menekankan pencapaian akademik semata-mata. KPM turut menetapkan sasaran agar 90 peratus murid Tahap Dua sekolah rendah hingga Tingkatan Lima melepasi piawaian standard penilaian kecergasan fizikal dan kesihatan.
Pendekatan ini selari dengan matlamat melahirkan murid yang seimbang dari segi mental, fizikal dan emosi, sejajar dengan keperluan perkembangan kanak-kanak dan remaja masa kini.

Berteraskan Tujuh Teras Utama Pendidikan
Pelan ini dirangka berasaskan tujuh teras utama yang merangkumi petunjuk prestasi yang jelas serta inisiatif “quick wins” bagi memastikan hasil awal yang positif dapat dicapai.
Menerusi laporan Sin Chew Daily, Mohd Azam Ahmad menjelaskan bahawa keutamaan tujuh teras tersebut adalah untuk memastikan sistem pendidikan negara menjadi lebih inklusif, dinamik dan relevan, selain memaksimumkan potensi setiap murid melalui pengalaman pembelajaran yang bermakna.
Fokus Kualiti Guru Dan Sistem Sokongan
Selain murid, Pelan Pembangunan Pendidikan 2026–2035 turut memberi perhatian kepada pengukuhan infrastruktur pendidikan, peningkatan kualiti guru serta kecekapan sistem sokongan merentasi agensi.
Kerjasama strategik antara pelbagai pihak berkepentingan dilihat penting bagi memastikan pelaksanaan pelan ini benar-benar memberi impak sehingga ke peringkat sekolah dan bilik darjah.
Menurut Mohd Azam, kejayaan pelan ini tidak seharusnya diukur melalui keputusan peperiksaan semata-mata, sebaliknya perlu dinilai melalui kualiti pengajaran, aktiviti sekolah serta interaksi harian antara guru dan murid.

Unit Khas Pantau Pelaksanaan Pelan
Bagi memastikan setiap sasaran yang ditetapkan dapat dicapai, KPM telah menubuhkan unit khas bagi memantau kemajuan, menyelaras strategi dan memastikan setiap pembaharuan dilaksanakan dengan berkesan di peringkat akar umbi.
Pelan Pembangunan Pendidikan 2026–2035 ini dijangka dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada hari Selasa.
Menurut Perdana Menteri, matlamat pendidikan negara adalah untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi pengetahuan, kemahiran, kognitif, kesejahteraan psikologi dan kematangan emosi satu proses yang memerlukan pendidikan jangka panjang dan berterusan.
BACA LAGI :UPSR dan PT3 Dikaji Semula? Keputusan KPM Ini Jadi Harapan Baharu Ibu Bapa
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





