
Jangan cemas apabila berlakunya pendarahan awal kehamilan. Ia boleh berlaku terutama di awal trimester kehamilan. Pun begitu, anda perlu tahu apa sebab dan puncanya berlaku pendarahan secara tiba-tiba.
Walaupun tidak semua pendarahan menandakan masalah serius pada kandungan, bakal ibu disarankan untuk mendapatkan pemeriksaan doktor bagi memastikan keadaan diri dan kandungan.
Pendarahan Awal Kehamilan, Adakah Keadaan Normal?
Pendarahan ketika hamil yang dikategorikan sebagai ringan boleh berlaku, terutamanya jika ia berlangsung selama 1 atau 2 hari sahaja. Keadaan ini agak biasa berlaku dan dalam sesetengah kes tidak mendatangkan sebarang masalah kepada kandungan.
Namun, pendarahan ringan juga tidak seharusnya diabaikan kerana ia mungkin merupakan petanda awal komplikasi kehamilan.
Sebaliknya, jika ia pendarahan berat dan disertai dengan gejala-gejala lain, ini mungkin petunjuk kepada keadaan kesihatan yang lebih serius.

8 Punca Pendarahan Awal Kehamilan Yang Ibu Perlu Tahu
Seperti yang dinyatakan awal tadi, jika pendarahan ketika hamil agak teruk, terdapat beberapa kemungkinan yang menjadi penyebab keadaan itu terjadi.
Kenapa berlaku pendarahan walaupun berdasarkan ujian kehamilan, keputusannya positif? Ini antara lapan punca yang patut bakal ibu ketahui.
1. Pendarahan implantasi
Pendarahan di awal kehamilan yang ringan sering disebut sebagai spotting. Salah satu kemungkinan puncanya adalah apabila embrio melekat pada dinding rahim dan sedang berkembang. Selalunya ia terjadi dalam tempoh anda sepatutnya mengalami kedatangan haid.
Berbeza dengan darah haid, pendarahan implantasi biasanya berwarna lebih ringan – merah muda hingga coklat pudar. Biasanya ia berlangsung untuk tempoh beberapa jam hingga beberapa hari dan tidak melibatkan pendarahan berat.
Bagaimanapun, warna dan kuantiti darah sahaja tidak mencukupi untuk memastikan punca sebenar pendarahan.
2. Polip serviks
Dianggarkan 2 hingga 5% wanita menghidap polip atau ketumbuhan kecil pada serviks, pintu masuk daripada saluran faraj ke rahim. Polip serviks biasanya bukan ketumbuhan kanser.
Walau bagaimanapun, ketumbuhan itu boleh menyebabkan keradangan atau iritasi sehingga mengakibatkan berlakunya pendarahan berwarna merah terang.
Anda juga mungkin tidak akan mengalami sebarang simptom lain. Tetapi polip ini boleh dikesan semasa melakukan pemeriksaan pelvis.
3. Hubungan seks atau pemeriksaan fizikal
Bercakap mengenai pemeriksaan pelvis, seperkara perlu difahami, terdapat kemungkinan sentuhan pada serviks berlaku semasa pemeriksaan dilakukan.
Keadaan itu boleh menyebabkan iritasi sekali gus pendarahan faraj. Ini bermakna, aktiviti seksual juga boleh menjadi faktor pendarahan awal kehamilan.
Umumnya, keadaan ini terjadi kerana perubahan hormon kehamilan menjadikan serviks lebih sensitif dan mempunyai bekalan darah yang meningkat.
Anda mungkin melihat darah merah terang pada seluar dalam sejurus selepas hubungan intim atau pemeriksaan fizikal. Keadaan ini boleh berlaku dan reda dengan sendiri, namun maklumkan kepada doktor sekiranya anda mengalami pendarahan.
4. Keguguran
Sebarang pendarahan berat pada trimester pertama, terutamanya jika diikuti dengan kesakitan, ia mungkin berkaitan dengan keguguran. Kebanyakan keguguran berlaku pada trimester pertama kehamilan.
Jika anda mengalami keguguran, terdapat beberapa simptom lain yang mungkin terjadi seperti:
- Pendarahan berwarna merah terang hingga coklat.
- Rasa sakit pada bahagian bawah perut.
- Rasa mencucuk pada bahagian belakang badan.
- Keluar darah beku atau tisu daripada saluran faraj.
Pun begitu, tidak semua pendarahan bermakna seseorang ibu mengalami keguguran. Pemeriksaan doktor dan imbasan ultrabunyi mungkin diperlukan untuk mengetahui keadaan sebenar kandungan.
5. Kehamilan ektopik
Turut dikenali sebagai kehamilan luar rahim, ia terjadi apabila telur disenyawakan melekat pada kawasan luar rahim. Kebanyakan kehamilan jenis ini berlaku pada bahagian tiub fallopio, penghubung antara ovari dan rahim.
Peratusan untuk berlakunya kehamilan ektopik adalah lebih rendah berbanding risiko keguguran. Kehamilan ektopik tidak boleh berkembang dengan selamat dan boleh mengancam nyawa ibu. Maka kehamilan ini perlu mendapatkan rawatan perubatan segera.
Simptom lain yang mungkin dialami adalah:
- Gelombang kesakitan tajam, terutama pada sebelah bahagian perut.
- Kekejangan teruk.
- Tekanan pada rektum.
- Kesakitan pada hujung bahu.
- Pening kepala atau pengsan.
Jika mengalami simptom seperti ini, segera dapatkan rawatan di jabatan kecemasan.
6. Kehamilan molar
Punca lain pendarahan awal kehamilan adalah kehamilan molar atau kehamilan anggur. Komplikasi ini jarang terjadi tetapi ia merupakan keadaan serius. Dianggarkan sekitar 1 daripada setiap 1,000 kehamilan mengalaminya, walaupun kadar ini berbeza mengikut populasi.
Ia terjadi apabila tisu plasenta tumbuh secara tidak normal, yang berpunca daripada kesilapan genetik semasa persenyawaan. Keadaan ini menyebabkan kehamilan tidak dapat berkembang secara normal dan memerlukan rawatan perubatan.
Selain pendarahan ketika hamil yang berwarna merah terang hingga coklat gelap, simptom lain yang mungkin terjadi adalah:
- Sakit perut bahagian bawah.
- Loya.
- Muntah.
7. Subchorionic hematoma
Subchorionic hematoma merupakan keadaan apabila darah terkumpul di antara membran kehamilan dan dinding rahim. Keadaan itu boleh menyebabkan berlakunya pendarahan di awal kehamilan.
Hematoma boleh terjadi dalam pelbagai saiz yang berbeza. Hematoma bersaiz kecil boleh berlaku tanpa simptom. Sebaliknya, saiz yang lebih besar boleh mengakibatkan pendarahan yang lebih banyak.
Kebanyakan wanita yang mengalami hematoma dapat menjalani kehamilan yang sihat. Namun bagi subchorionic hematoma besar, wujud peningkatan risiko komplikasi termasuk keguguran.
Simptom lain yang boleh dialami adalah:
- Pendarahan ringan hingga berat, mungkin berwarna merah jambu hingga coklat.
- Sakit perut bahagian bawah.
- Kekejangan.
8. Jangkitan
Adakalanya pendarahan ketika hamil mungkin tidak berkaitan dengan kandungan anda secara langsung, seperti jangkitan pada kawasan pelvis, faraj, pundi kencing atau saluran kencing.
Ia mungkin berpunca daripada bakteria, virus atau fungus. Jangkitan yis atau keradangan (vaginitis) yang serius turut boleh mengakibatkan iritasi dan pendarahan ringan. Jangkitan saluran kencing pula boleh menyebabkan darah dalam air kencing.
Selain pendarahan ringan berwarna merah jambu hingga merah, simptom lain yang mungkin terjadi adalah:
- Kegatalan.
- Kesakitan bahagian perut bawah.
- Sensasi terbakar ketika kencing.
- Keputihan yang tidak normal.
- Benjolan atau luka pada bahagian luar faraj.
Bilakah Pendarahan Awal Kehamilan Perlu Dirisaukan?
Bakal ibu perlu lebih berhati-hati sekiranya pendarahan yang dialami disertai dengan simptom lain. Jangan bertangguh untuk mendapatkan pemeriksaan doktor walaupun pendarahan yang berlaku hanya sedikit.
Segera dapatkan rawatan kecemasan sekiranya mengalami keadaan berikut:
- Pendarahan yang banyak.
- Kesakitan perut yang kuat atau berterusan.
- Kesakitan pada hujung bahu.
- Pening kepala yang teruk atau pengsan.
- Demam yang disertai pendarahan.
Anda juga boleh mencatatkan warna darah, jumlah pendarahan dan tempoh ia berlaku untuk membantu doktor membuat penilaian.
Berhati-hati Dengan Pendarahan Awal Kehamilan
Pendarahan di awal kehamilan pastinya mendatangkan kerisauan, namun dalam sesetengah kes, ia boleh berlaku tanpa menjejaskan perkembangan kandungan.
Tetapi jika pendarahan berat, ia mungkin petanda masalah lebih serius. Walaupun pendarahan yang dialami ringan, sebaiknya dapatkan nasihat dan pemeriksaan doktor.
Jangan panik, tetapi jangan sesekali mengabaikan perubahan yang berlaku pada tubuh sepanjang tempoh kehamilan. Pemeriksaan awal penting demi keselamatan ibu dan kandungan.

sekarang!


