
Hari pertama persekolahan biasanya penuh dengan momen indah. Ibu ayah menghantar anak dengan kenderaan selesa, membekalkan makanan, mengambil gambar kenangan, dan anak pula segak memakai uniform baru yang masih berbau kain. Semuanya nampak manis dan membahagiakan.
Namun, kisah pengorbanan ibu bapa Sabah ini benar-benar menyentuh hati.
Di sebuah kampung pedalaman di Sabah, hari pertama sekolah bukan sekadar tentang uniform bersih atau gambar kenangan. Ia tentang peluh, keletihan, dan pengorbanan luar biasa. Ada ibu bapa yang sanggup meredah hutan dan sungai lebih empat jam demi hari pertama sekolah.
Bukan kerana suka, tetapi kerana cinta pada pendidikan.
Perjalanan Penuh Cabaran di Kampung Magandai

Di Kampung Magandai, kira-kira 70 kilometer dari Kota Marudu, sekumpulan ibu bapa bersama anak-anak mereka terpaksa berjalan kaki sejauh 20 kilometer melalui laluan hutan tebal dan sungai demi menghantar anak ke asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Magandai yang memulakan sesi persekolahan.
Salah seorang ibu, Suanie Din, 39, berkata mereka memulakan perjalanan seawal jam 6.40 pagi dan hanya tiba di sekolah sekitar jam 10.40 pagi.
“Alhamdulillah, walaupun letih dan lutut sakit kerana mendaki bukit, menempuh hutan tebal serta menyeberang sungai, kami tetap bersyukur dapat sampai dengan selamat,” katanya.
Menurut Suanie, perjalanan itu bukan sesuatu yang mudah. Laluan licin, berbukit dan penuh risiko, namun demi memastikan anak-anak mendapat pendidikan, semua kepayahan terpaksa ditempuhi.
Lintah, Pacat dan Laluan Licin

Antara perkara paling mencabar sepanjang perjalanan ialah kehadiran lintah dan pacat yang melekat di kaki. Inilah realiti pengorbanan ibu bapa Sabah yang berjuang demi anak-anak mereka.
“Kadang-kadang bukan sahaja penat, malah geli dan takut bila lintah mula melekat. Tapi kami tetap teruskan perjalanan,” katanya.
Setiap kali tiba musim persekolahan, ibu bapa di kampung itu akan menghantar anak yang tinggal di asrama sehari lebih awal dengan berjalan kaki, walaupun terpaksa meredah laluan yang sama berulang kali. Apa yang mengagumkan, anak-anak tetap bersemangat untuk ke sekolah walaupun tahu perjalanan yang perlu ditempuhi bukan sesuatu yang mudah.
Jalan Rosak & Kos Kenderaan Terlalu Mahal

Difahamkan, penduduk Kampung Magandai terpaksa berjalan kaki kerana keadaan jalan Sonsogon–Magandai yang rosak teruk. Jika ada kenderaan masuk sekalipun, hanya pacuan empat roda dibenarkan dengan kos sewaan antara RM600 hingga RM700 bagi satu perjalanan.
Bagi penduduk yang kebanyakannya bekerja sebagai petani dan peladang, kos tersebut terlalu tinggi dan di luar kemampuan.
“Kalau ada wang lebih, memang kami akan sewa kenderaan. Tapi kebanyakan masa, kami terpaksa berjalan kaki,” kata Suanie.
Bukan Cerita Rekaan, Ini Realiti Kehidupan
Ada segelintir pihak yang menuduh penduduk kampung itu mengada-adakan cerita untuk meraih simpati. Namun bagi mereka yang hidup di Magandai, inilah realiti harian yang melambangkan pengorbanan ibu bapa Sabah demi pendidikan anak-anak.
“Jika tidak cukup wang, kami terpaksa berjalan kaki setiap kali hendak ke pekan Kota Marudu. Bukan cerita rekaan,” jelasnya.
Penduduk bersama guru-guru SK Magandai sentiasa berharap agar satu hari nanti jalan ke kampung mereka dapat diturap demi memudahkan urusan harian, khususnya bagi pendidikan anak-anak.
Pengorbanan Demi Masa Depan Anak-Anak
Kisah ini menjadi peringatan bahawa menuntut ilmu bukan sekadar tentang kelengkapan sekolah atau perbelanjaan kewangan. Di sesetengah tempat, ia menuntut tenaga, kesabaran, keberanian dan pengorbanan fizikal.
Apa yang dilakukan oleh ibu bapa di Sabah ini membuktikan bahawa kasih sayang kepada anak dan keinginan untuk melihat mereka berjaya mampu mengatasi segala kepayahan.
Walaupun terpaksa meredah hutan dan sungai lebih empat jam demi hari pertama sekolah, mereka tetap melangkah demi masa depan anak-anak yang lebih cerah.
Inilah bukti bahawa pengorbanan ibu bapa Sabah menjadi inspirasi buat seluruh rakyat Malaysia tentang erti sebenar kasih dan perjuangan dalam menuntut ilmu.
Sumber: Buletin TV3
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





