
Penjagaan Gigi Bayi Perlu Bermula Seawal Gigi Pertama
Penjagaan gigi bayi sejak awal merupakan aspek penting dalam kesihatan kanak-kanak yang sering dipandang ringan oleh ibu bapa. Ramai beranggapan bahawa penjagaan gigi hanya perlu diberi perhatian apabila anak sudah memiliki gigi yang banyak atau mula pandai memberus gigi sendiri. Hakikatnya, penjagaan kesihatan mulut perlu dimulakan seawal gigi pertama bayi mula tumbuh.

Menurut pakar pergigian, Arissa Aziz, masih ramai ibu bapa yang tidak menyedari kepentingan penjagaan gigi bayi sejak awal walaupun gigi susu sudah mula kelihatan.
“Ramai ibu bapa datang membuat pemeriksaan apabila anak sudah berusia setahun. Tetapi bila ditanya sama ada sudah mula menggosok gigi anak, kebanyakannya menjawab belum,” jelas beliau.
Bila Perlu Mula Berus Gigi Bayi?
Tambah Arissa, sebaik sahaja ibu bapa melihat tanda gigi bayi mula tumbuh, ketika itulah rutin penjagaan gigi bayi perlu dimulakan tanpa berlengah.
“Ingat ya, kalau nampak gigi anak nak tumbuh, dah boleh mula berus gigi,” katanya.
Pada peringkat awal, ibu bapa boleh menggunakan berus gigi khas bayi dengan bulu yang lembut dan saiz kecil. Ini membantu membersihkan sisa susu dan mengurangkan pembiakan bakteria di dalam mulut bayi.
Gigi Susu Ada Peranan Sangat Penting
Walaupun bersifat sementara, gigi susu memainkan peranan yang amat besar dalam perkembangan kanak-kanak. Antaranya membantu proses mengunyah makanan dengan lebih baik, menyokong perkembangan pertuturan serta memastikan ruang yang betul untuk pertumbuhan gigi kekal pada masa hadapan.

Sekiranya penjagaan gigi bayi diabaikan dan gigi susu rosak atau berlubang terlalu awal, ia boleh menyebabkan kesakitan, jangkitan serta ketidakselesaan kepada anak. Keadaan ini juga berisiko menjejaskan susunan gigi kekal dan kesihatan mulut secara keseluruhan apabila anak meningkat dewasa.
Ubat Gigi Berfluorida Selamat Jika Digunakan Dengan Betul
Mengulas kebimbangan segelintir ibu bapa mengenai penggunaan ubat gigi berfluorida untuk bayi dan kanak-kanak kecil, Arissa menjelaskan bahawa perkara tersebut tidak seharusnya menjadi isu jika digunakan mengikut saranan.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengesyorkan penggunaan ubat gigi berfluorida dalam kuantiti yang sangat minimum bagi membantu mencegah gigi berlubang.
“Cukup sekadar secalit kecil pada berus gigi kanak-kanak. Dengan kuantiti yang betul, fluorida adalah selamat walaupun tertelan,” jelasnya.
Anak Menangis Ketika Gosok Gigi? Itu Normal
Tidak dinafikan, ramai kanak-kanak akan menangis dan meronta apabila dipaksa menggosok gigi, terutamanya pada peringkat awal. Namun menurut pakar, reaksi ini adalah perkara biasa kerana anak masih belum biasa dengan rutin penjagaan gigi bayi.
“Penjagaan gigi kanak-kanak bermula daripada didikan ibu bapa di rumah. Anak tak nak gosok? Paksa dahulu. Mula-mula memang akan menangis, tetapi ibu bapa perlu bina rutin untuk mereka,” katanya.
Ketegasan yang konsisten, dilakukan dengan cara lembut dan penuh kesabaran, akan membantu anak memahami bahawa memberus gigi adalah sebahagian daripada rutin harian yang tidak boleh dielakkan.
Peranan Ibu Bapa Dalam Penjagaan Gigi Bayi
Ibu bapa memainkan peranan paling penting dalam memastikan penjagaan gigi bayi dilakukan dengan betul. Menjadi contoh terbaik kepada anak-anak dengan memberus gigi bersama-sama dapat membantu membina tabiat yang positif sejak kecil.
Selain itu, ibu bapa disarankan untuk mengawal pengambilan minuman manis, terutamanya sebelum waktu tidur, dan memastikan gigi anak dibersihkan bagi mengurangkan risiko gigi berlubang pada usia awal.
Kesimpulan: Jangan Tangguh Penjagaan Gigi Bayi
Kesimpulannya, penjagaan gigi bayi tidak wajar dipandang ringan atau ditangguhkan. Walaupun anak menangis pada peringkat awal, rutin yang dibina sejak kecil merupakan pelaburan jangka panjang untuk kesihatan gigi dan mulut anak.
Ingat, gigi yang sihat bermula daripada didikan ibu bapa di rumah dan disiplin sejak awal usia.
BACA LAGI : Gigi Susu Anak Rapat: Benarkah Punca Gigi Kekal Tumbuh Berlapis?
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





