Selepas bayi dilahirkan, doktor atau bidan akan menyepit dan memotong tali pusat — satu proses yang langsung tidak menyakitkan bayi. Bahagian yang tinggal di tubuh bayi hanyalah tunggul tali pusat bayi sepanjang kira-kira 2 hingga 3 sentimeter, dan ia akan kering serta gugur dengan sendirinya dalam tempoh antara 5 hingga 14 hari selepas kelahiran.
Ramai ibu bapa baru rasa risau apabila melihat tali pusat bayi masih terlekat, terutama bila ia kelihatan kehitaman, basah, atau sedikit berdarah. Hakikatnya, penjagaan tali pusat bayi tidak memerlukan langkah yang rumit, asalkan dijaga bersih, kering, dan tidak disentuh terlalu kerap.
1. Pastikan Tali Pusat Sentiasa Kering
Menurut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tali pusat bayi perlu didedahkan dan sentiasa dianginkan supaya cepat kering. Elakkan menutupnya dengan lampin atau kain yang lembap kerana kelembapan boleh menyebabkan jangkitan bakteria. Jika lampin bayi menutupi kawasan pusat, lipat bahagian atas lampin ke bawah supaya tali pusat tidak terperangkap di dalamnya.
Jika tali pusat basah akibat peluh atau terkena air, lap dengan segera menggunakan tuala bersih atau putik kapas kering. Jangan gunakan serbuk atau minyak pada kawasan pusat bayi kerana ia boleh menggalakkan pertumbuhan kuman.
2. Cuci Hanya Bila Perlu
Anda tidak perlu mencuci tali pusat setiap hari. Menurut KKM, tali pusat lebih cepat sembuh jika dibiarkan kering tanpa penggunaan ubat atau antiseptik. Namun, jika terkena najis atau air kencing, barulah ia perlu dibersihkan.
Ads
Gunakan air bersih atau sedikit alkohol swab (spirit) jika disyorkan oleh doktor. Sebelum menyentuh tali pusat bayi, pastikan tangan dibasuh dengan sabun dan air. Pegang tali pusat dengan hujung jari dan lap perlahan-lahan di sekelilingnya menggunakan kain lembut atau putik kapas, kemudian biarkan kering sepenuhnya.
3. Biarkan Gugur Sendiri, Jangan Tarik!
Dalam kebanyakan kes, tali pusat bayi akan gugur sendiri tanpa bantuan luar. Ia biasanya akan menjadi kering, keras, dan akhirnya tertanggal dengan sendirinya. Jangan sesekali cuba menariknya walaupun sudah nampak “longgar” atau hampir tanggal. Menarik tali pusat secara paksa boleh menyebabkan pendarahan dan jangkitan serius.
Ads
4. Waspada Tanda Jangkitan Tali Pusat
Ibu bapa perlu segera membawa bayi berjumpa doktor jika terdapat tanda-tanda berikut:
Kawasan sekeliling pusat kelihatan merah, bengkak atau panas.
Keluar nanah atau bau busuk dari kawasan pusat.
Bayi demam atau kelihatan tidak aktif.
Pendarahan yang tidak berhenti.
Menurut KKM, keadaan ini dikenali sebagai omphalitis (jangkitan tali pusat) dan boleh menjadi serius jika tidak dirawat segera.
5. Petua Tradisional — Boleh Tapi Hati-Hati
Ads
Sesetengah keluarga masih mengamalkan petua tradisional untuk mempercepatkan proses pengeringan tali pusat bayi. Antara yang popular ialah menggunakan air ramasan pucuk jambu untuk disapu sedikit pada pusat bayi. Petua ini dipercayai membantu mengeringkan tali pusat dengan cepat.
Ada juga yang menggunakan tuaman bawang putih dan jintan putih yang dibungkus dalam kain dan disalai ringan sebelum diletakkan pada perut bayi. Walau bagaimanapun, petua ini perlu dilakukan dengan berhati-hati — pastikan tidak terlalu panas dan tidak terkena terus pada kulit bayi bagi mengelakkan lecur.
KKM menegaskan bahawa sebarang bahan selain air bersih atau spirit perlu dielakkan jika tidak disyorkan oleh profesional kesihatan, kerana bayi baru lahir masih sangat sensitif terhadap bahan luar.
Penjagaan Tali Pusat Bayi Dengan Betul
Penjagaan tali pusat mungkin nampak remeh, tetapi ia memainkan peranan penting dalam kesihatan awal bayi. Prinsip utama yang perlu dipegang oleh ibu bapa ialah — biarkan tali pusat kering, bersih dan jangan disentuh berlebihan. Jika terdapat tanda-tanda jangkitan, segera dapatkan nasihat doktor.
Setiap bayi berbeza ada yang tali pusatnya gugur dalam seminggu, ada juga yang mengambil masa dua minggu, dan kedua-duanya masih normal. Yang penting, jangan panik, jangan tarik, dan jangan letak sebarang bahan pelik. Biarkan alam dan tubuh bayi melakukan tugasnya secara semula jadi.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pelbagai persoalan yang berlegar di fikiran bakal ibu yang baru pertama kali hamil dan bakal melalui detik melahirkan anak. Tak pasti bagaimana kontraksi awal, ini panduan untuk bakal ibu.
Apa itu tanda kontraksi?
Kontraksi adalah bahagian normal kehamilan dan berlaku ketika otot rahim mengetat dan melentur, sama seperti proses meregangkan otot lain.
Pada akhirnya, pengecutan otot rahim inilah yang akan membantu anda dalam proses kelahiran bayi, mendorong si manja ke dalam saluran kelahiran dan keluar ke dunia. Pun begitu, bagi kebanyakan wanita hamil, tanda kontraksi atau aktiviti otot rahim ini boleh menjadi sesuatu yang merunsingkan.
6 tanda kontraksi perlu tahu
Umumnya, dikatakan terdapat 6 jenis kontraksi yang akan anda lalui sebelum, semasa dan selepas bersalin.
1. Braxton Hicks – Kontraksi setiap hari
Dinamakan sempena nama doktor, Braxton Hicks pada dasarnya dianggap sebagai kontraksi pemanasan (warm up). Ia adalah satu keadaan normal dan biasanya akan bermula pada trimester kedua. Selalunya anda akan rasa pengerasan atau pengetatan otot rahim yang cepat, terutamanya pada bahagian depan.
Mengalami dehidrasi atau pergerakan yang lebih banyak boleh menyebabkan tanda kontraksi ini terjadi. Bagi sesetengah keadaan ibu selepas bersalin Braxton Hicks lebih dirasai pada waktu malam, terutamanya selepas hari yang memenatkan. Jadi, jangan panik jika mengalami kontraksi ini. Ia bukanlah tanda proses kelahiran bayi sehingga memerlukan anda bergegas ke hospital. Bertenang!
2. Kontraksi fasa awal kelahiran – Masa untuk bersedia tetapi jangan pergi ke hospital lagi
Kontraksi ini mungkin akan menimbulkan rasa tidak selesa. Anda mungkin akan berasa seperti mengalami kekejangan haid tahap ringan sehingga sederhana.
Biasanya tempoh kontraksi itu berselang dan berubah-ubah. Antara 7 hingga 10 minit, bahkan mungkin berselang 20 minit atau lebih. Ketika kekejangan berlaku, anda mungkin boleh tidur atau melakukan sebarang aktiviti lain.
Untuk mengetahui sama ada apa yang anda alami itu kontraksi fasa awal kelahiran atau Braxton Hicks, anda perlu lihat atau kira masa pengecutan dan lihat coraknya. Jika berada dalam fasa awal proses kelahiran bayi, anda perlu mempunyai matlamat untuk kekal berada di rumah selama mungkin.
Minta bantuan pasangan untuk bantu anda tenangkan diri -mungkin menggunakan pencahayaan yang rendah dan suasana tenang.
Jika ia tidak membantu, mungkin anda boleh alihkan perhatian dengan melakukan aktiviti lain seperti berjalan kaki, memasak atau menonton rancangan TV atau filem kegemaran.
3. Kontraksi fasa kelahiran aktif – Ya! Anda boleh mengajak pasangan ke hospital
Tanda kontraksi yang berlaku pada fasa kelahiran aktif ini bermaksud segala-galanya semakin meningkat, kekerapan kontraksi semakin dekat – antara jarak 4 hingga 5 minit dan berlaku sekitar 30 saat hingga 1 minit bagi setiap sesi kontraksi.
Inilah masa yang tepat untuk pergi ke hospital. Ini terutamanya apabila kontraksi semakin kuat, kerap dan dekat. Malah bahagian depan dan belakang rahim menjadi lebih sakit dan tegang. Anda mungkin memerlukan lebih sokongan emosi atau bantuan untuk menenangkan diri sepanjang tempoh ini.
4. Kontraksi peralihan – Menghampiri masa bersalin!
Fasa peralihan ini bermaksud anda akan bersalin tidak lama lagi. Ia adalah di mana bukaan serviks berubah daripada 8 kepada 10 cm.
Keadaan ini selalunya merupakan bahagian yang paling sukar untuk proses kelahiran bayi. Kontraksi yang berlaku pada fasa peralihan ini boleh berlanjutan sehingga 2 minit dan kuat dengan tempoh rehat pendek di antaranya. Biasanya, ia disertai dengan tekanan besar pada bahagian vagina dan rektum.
Dalam tempoh ini, anda mungkin akan mengalami rasa mengigil, muntah, rasa kesejukan dan keinginan untuk bersuara. Kata-kata semangat daripada pasangan pastinya memberikan perbezaan besar antara tekanan kuat pada punggung dan sokongan yang diperolehi.
5. Kontraksi meneran – Bayi bersedia untuk keluar!
Semasa fasa meneran ini, seringkali anda akan merasa seperti ingin untuk membuang air besar. Ketika ini, tanda kontraksi yang berlaku adalah lebih kuat dan tidak berkurangan. Untuk meneran biasanya memerlukan sokongan yang banyak. Pasangan anda boleh membantu memberikan kata semangat seperti “Anda hebat” atau “Anda boleh melakukannya”.
Suami juga mungkin boleh membantu mengelap peluh atau memegang tangan anda untuk memberikan lebih keselesaan.
6. Kontraksi selepas proses kelahiran bayi – Pengecutan otot rahim juga berlaku selepas bersalin
Tanda kontraksi tidak hanya diperlukan untuk mengeluarkan plasenta sejurus selepas bayi dilahirkan, tetapi proses pengucupan rahim – membolehkan rahim kembali ke ukuran asal sebelum kehamilan (involution) – juga boleh menyebabkan kontraksi.
Proses penyusuan susu ibu juga boleh menyebabkan berlakunya kontraksi selepas melahirkan anak. Dikenali sebagai sakit selepas bersalin, ia biasanya berada pada keadaan paling sakit antara 2 hingga 3 hari selepas kelahiran. Namun keadaan ini normal.
Sertai ‘Komuniti Pa&Ma Ikhtiar Hamil‘ untuk mengikuti pelbagai tip kesuburan dan kehamilan serta pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma bersama pakar.
Mempunyai baby comel pasti impian setiap pasangan yang berkahwin, tidak kira sama ada baby comel itu lelaki mahupun perempuan. Namun, dalam keseronokan mendapat baby comel, anda seharusnya tidak mengambil mudah aspek penjagaannya, terutama apabila ia berkaitan dengan kulit, penggunaan produk yang bersesuaian dan masalah kulit yang mungkin dialami oleh baby comel anda.
Keadaan kulit biasa bagi bayi baru lahir
Bayi baru lahir mungkin mengalami banyak masalah kulit memandangkan kulit mereka sedang mengadaptasi persekitaran di luar rahim. Jika dirawat dengan betul, kecacatan kulit tersebut akan hilang dari semasa ke semasa dan membentuk kulit yang cantik dan mulus.
Berikut adalah masalah kulit paling biasa dalam kalangan bayi baru lahir:
Milia
Disebabkan oleh rembesan kelenjar kulit, benjolan kecil putih atau kuning ini, yang berada pada muka bayi, sebenarnya adalah sista yang diisi dengan keratin dan sebum. Milia juga boleh berlaku di gusi. Berita baiknya adalah keadaan ini akan hilang dalam beberapa hari atau minggu pertama tanpa memerlukan sebarang rawatan. Minyak dan krim boleh memburukkan keadaan tersebut.
Miliaria (juga dikenali sebagai “ruam panas” or “panas berduri”)
Berbentuk seperti lepuh kecil diisi cecair (atau nanah) atau benjolan merah di belakang, dada atau ketiak bayi, miliaria disebabkan oleh kelenjar peluh di dalam kulit yang tersumbat. Keadaan ini paling berkemungkinan ditemui di iklim panas dan lembap atau jika bayi dipakaikan pakaian yang terlalu tebal.
Cradle cap (penyakit kulit/dermatitis seboroik)
Cradle cap ialah keadaan kulit di mana penghasilan sebum yang terlalu banyak menyebabkan sel-sel kulit melekat, yang secara normalnya, tidak menyebabkan penghasilan tompok kuning berminyak atau keras di kepala bayi.
Jerawat
Lebih kurang 30% bayi baru lahir mempunyai jerawat dalam tempoh 4 bulan pertama (kebanyakannya bermula selepas 2 minggu). Pakar percaya bahawa kemunculan benjolan merah atau putih ini adalah disebabkan oleh transmisi hormon ibu kepada bayi. Memandangkan keadaan ini boleh hilang sendiri, tiada keperluan kepada minyak atau krim yang boleh memburukkan lagi keadaan.
Eritema toksikum (secara umumnya disebut sebagai “E tox”)
Keadaan ini dicirikan oleh ruam percikan merah (sebahagiannya mempunyai benjolan putih kekuningan di tengah) yang kebiasaannya berada di belakang, muka, dada atau lengan bayi. Berita baiknya adalah ia tidak membahayakan dan kebiasaannya hilang dalam tempoh beberapa bulan.
Tanda lahir
Sesetengah tanda lahir hilang dengan sendiri manakala ada juga yang kekal seumur hidup. Tanda lahir yang kerap berlaku ialah:
−Tompok Mongolia: Ia berlaku dalam lebih 90% dari orang Asia, orang asli Amerika, Afrika Amerika dan bayi Hispanik. Ia adalah tanda lahir berwarna hijau kebiruan atau sinar kebiruan yang paling kerap ditemui di belakang atau punggung bayi. Tanda lahir ini adalah berbentuk leper dan kebiasaannya hilang dalam tempoh 2 tahun.
−Tanda lahir gigitan bangau merah jambu: Ini adalah tanda lahir leper berwarna merah jambu yang berlaku di jambatan hidung, di bawah kelopak mata atau di belakang leher. Tanda tersebut boleh dirujuk sebagai “ciuman malaikat” jika ia berada di depan atau “gigitan bangau” jika di belakang.
−Hemangioma infantil (atau strawberi): Diperbuat dari saluran darah, tanda lahir berwarna merah ini bertambah saiz dan ketinggian dari semasa ke semasa. Kebiasaannya bermula antara umur 2-4 minggu. Ia mungkin mengambil masa sehingga 8 tahun untuk hilang jika tidak dirawat.
Penjagaan baby comel: Aspek penjagaan kulit
Kulit bayi sentiasa sensitif dan perlu dijaga dengan rapi untuk mengelakkan masalah kulit seperti iritasi, kering, melecet atau ruam. Berikut adalah beberapa tip yang anda boleh amalkan untuk mengekalkan kulit baby comel anda dalam keadaan licin, lembut dan mulus.
Memikirkan semula waktu mandi
Bagi waktu mandi, anda perlu ingat bahawa:
Anda tidak perlu menyabunkan seluruh badan bayi anda. Gunakan span mandi di sekitar kawasan lampin, mulut, paha dan pipi sudah mencukupi.
Pilih pembersih cecair ringan iaitu sabun bebas bau dan pewarna. Jenis ini tidak akan mengeringkan kulit bayi atau menyakitkan mata.
Elakkan sabun buku atau mandian buih.
Pegang kepala anak anda.
Periksa suhu air jika terlalu panas sehingga boleh membahayakan anak anda.
Jangan sesekali meninggalkan anak anda semasa mandi. Ia boleh menyebabkan kemalangan yang tidak diingini.
Lindungi dari cahaya matahari
Jika baby comel anda berusia kurang dari 6 bulan, anda harus cuba melindunginya dari cahaya matahari langsung seboleh mungkin terutamanya antara pukul 10 pagi dan 4 petang iaitu waktu di mana cahaya matahari paling kuat.
Apabila sudah melebihi 6 bulan dan anda perlu keluar di siang hari, anda perlu:
Menutup kulit bayi anda menggunakan topi atau baju lengan panjang dan seluar panjang.
Pakaikan mereka cermin mata hitam dengan perlindungan ultraviolet (UV).
Gunakan pelindung matahari ke atas kawasan kecil yang mungkin susah untuk dilindungi dengan baju seperti muka dan tangan. Jangan biarkan pelindung matahari bersentuhan dengan mata. Gunakan semula setiap 2 jam atau selepas bayi membuang air kencing.
Pelembap
Kulit anda perlu dalam keadaan lembap, begitu juga kulit baby comel anda. Berbanding menggunakan losyen, anda patut fikirkan tentang krim atau salap (ointment) pelembap bebas pewangi kerana losyen biasa lebih berkemungkinan untuk merengsa kulit bayi yang sensitif. Anda boleh menyapu krim atau salap tersebut selepas memandikan anak anda untuk mengekalkan kelembutan serta kelicinan kulitnya. Jangan lakukannya dengan kerap. Dua kali sehari mungkin sudah mencukupi jika kulit anak anda agak kering, cuaca sejuk dan kering atau jika anak anda mengalami ekzema.
Melegakan kawasan yang sensitif
Kulit di kawasan lampin kebiasaannya basah dan cenderung kepada alahan. Anda boleh melegakan kawasan sensitif ini dengan beberapa tip berikut:
Tukar lampin dengan kerap.
Gunakan kain lap atau tisu basah bebas alkohol dan wangian untuk memastikan kawasan terbabit bersih.
Biarkan anak anda bebas lampin apabila boleh.
Gunakan salap atau krim pelindung seperti jeli petroleum sebelum meletakkan lampin baru.
Penjagaan jerawat
Perkara terbaik yang anda boleh lakukan adalah dengan memastikan ia sentiasa kering dan bersih dan menahan diri anda dari memecahkan jerawat tersebut kerana ia boleh menyebabkan parut kekal. Jerawat tersebut akan hilang dengan sendiri. Walau bagaimanapun, jika masalah ini berkekalan atau semakin buruk dengan kegatalan dan ketidakselesaan, anda harus meminta nasihat daripada doktor memandangkan ia mungkin disebabkan penyakit kulit lain seperti ekzema.
Penjagaan baby comel: Aspek pemilihan produk
Sila berhati-hati dengan pakaian bayi anda
Untuk mengelakkan alahan dan ruam, anda harus hanya menggunakan sabun basuh baju yang bebas daripada bau dan pewarna. Jangan lupa untuk basuh baju, sarung tilam dan selimut anak anda secara berkala dan berasingan dari pakaian ahli keluarga yang lain.
Pemilihan produk
Produk yang dibuat menggunakan bahan-bahan asli seperti yang ada dalam produk organik adalah selamat untuk bayi kerana tidak mengandungi bahan yang menyebabkan alergi dan toksik. Elakkan daripada membeli produk penjagaan bayi yang mengandungi bahan seperti di bawah:
Bahan kimia berbahaya
Silikon
Paraben
Phthalates
Minyak galian
Lemak haiwan
SLS & SLES
Wangian
Sebaliknya, semasa memilih produk penjagaan bayi, carilah produk dengan kandungan berikut:
Bebas paraben: Paraben adalah bahan yang sering digunakan untuk membuat pewarna rambut dan kosmetik. Paraben juga merupakan antara bahan pengawet yang merbahaya. Justeru itu, carilah produk yang mengandungi bebas paraben.
Bebas kimia: Jika kandungan dalam produk mengandungi air, garam, gula dan berlian, ia adalah dikira sebagai bahan kimia. Selain itu, lihatlah nama-nama kandungan ini; Formaldehyde, DMDM Hydantoin (LS1) dan natrium sulfat- ini juga adalah nama-nama bahan kimia.
Vegan: Kandungan vegan dalam sesuatu produk bermaksud produk tersebut bebas daripada lemak haiwan atau sisa haiwan.
Panduan memilih produk penjagaan baby comel
Produk penjagaan diri bayi yang sering digunakan adalah seperti bedak, losen, minyak urut, salap dan tisu basah. Selain itu, antara produk lain yang perlu diberi perhatian ialah barangan mandian bayi seperti syampu, sabun badan, pencuci baju dan sebagainya.
Bedak– Elakkan menggunakan bedak yang mengandungi talkum atau karsinogen dan carilah bedak yang diperbuat daripada mineral semula jadi dan tanah liat atau tepung jagung.
Losen– Jika anda berhasrat untuk memakaikan bayi anda losen, ketahui tujuan anda ingin memakaikan losen pada bayi. Adakah untuk melembapkan kulit bayi atau sebagai pelindung cahaya matahari atau pencegah serangga atau mengubati ruam lampin? Selain itu, pilih losen yang bertindak lembut pada kulit bayi. Kenal pasti kandungan bahan asli yang berkualiti yang dapat melindungi kulit bayi anda. Pilih juga losen yang bebas wangian.
Minyak urut– Minyak urut adalah salah satu produk yang perlu ada di rumah. Selain bertujuan untuk mengelakkan kembung perut bayi, minyak urut juga dapat merapatkan jalinan ikatan antara ibu dan bayi. Sesi mengurut bayi sebaik-baiknya dilakukan selepas waktu mandi atau sebelum bayi tidur. Ada minyak urut yang berfungsi untuk melegakan ruam lampin dan menghalang ruam baru daripada tumbuh. Pilih minyak urut yang mengandungi minyak lavender atau rosmeri yang berfungsi untuk memelihara kulit dan melawan bakteria. Selain itu, gabungan dua minyak ini juga boleh memudahkan minyak meresap ke dalam kulit dan mengekalkan lembapan supaya kulit kekal halus dan lembut.
Pelindung matahari– Ada ibu bapa yang menggunakan pelindung matahari untuk bayi khususnya jika membawa bayi keluar dari rumah. Walau bagaimanapun, lazimnya pelindung matahari ini dibuat khas untuk bayi seawal usia 6 bulan dan ke atas. Carilah pelindung matahari yang diformulasikan khusus untuk bayi. Kandungannya pula perlulah tidak berminyak atau menyebabkan iritasi pada kulit si manja. Selain itu, pilihlah pelindung matahari yang bersifat bukan-comedogenic (tidak menghalang pori).
Syampu– Carilah syampu yang mengandungi emolien yang bertujuan melembapkan kulit kepala bayi, menghalang keguguran rambut di samping merangsang pertumbuhan rambut baru.
Pencuci baju / detergen– Pencuci baju atau sabun basuh/ detergen untuk mencuci pakaian bayi perlulah tidak mengandungi bahan kimia. Bayi selalunya mengalami ruam-ruam kecil di sekeliling leher, pergelangan tangan dan beberapa bahagian pada badan. Antara punca ruam pada bayi adalah disebabkan kandungan bahan kimia yang ada dalam sabun pencuci pakaian mereka.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ibu akan terus menyayangi anak-anaknya selagi hayat dikandung badan. Kisah ibu ini benar-benar mengusik perasaan tatkala mengetahui anak istimewa sejak dari dalam kandungan lagi.
Bertuahnya Nur Dalila Sofea ini mempunyai ibu penyayang. NoorSuehana Adnan, ibu 3 orang cahaya mata diuji tatkala kandungan ketiganya mencecah 7 bulan.
Apabila ditanya apa perasaan apabila diberitahu anak dalam kandungan mengalami kelainan selepas melakukan imbasan, ibu ini mengakui bukan mudah untuk menerima kenyataan.
SCAN MASA 7 BULAN, DOKTOR KATA ANAK ADA PENYAKIT
“Semasa scan doktor beritahu anak dalam kandungan mengalami penyakit hidraencephaly, saya rasa sangat sedih. Boleh dikatakan saya hanya termenung sampaikan tidak lalu untuk menjamah makanan kerana memikirkannya.
“Selama ini saya tak boleh melihat anak-anak yang sakit, saya akan rasa sedih. Tapi bila ia berlaku kepada anak sendiri, apabila diri sendiri diuji, baru saya faham perasaan ibu-ibu yang mempunyai anak-anak yang begini.” kata Noorsuehana.
MULA-MULA INGATKAN HIDROCEPHALUS
Ibu ini juga turut berkongsi pada mulanya doktor mengesyaki bayi dalam kandungan mengalami penyakit hidrocephalus. Namun selepas melakukan MRI dan CT SCAN doktor mengesahkn Dalila mengalami penyakit hidraencephaly iaitu masalah terlebih air dalam kepala dan sel otak yang sedikit.
Dalila semasa baru lahir.
DALILA PEMINAT SUSU IBU
Kata ibu ini, Nur Dalila Sofea anak yang sangat baik. Dia adalah peminat susu ibu, dan enggan meminum susu formula walau pun sudah banyak kali cuba diberikan. Apa yang merunsingkan ibu ini, Dalila yang berusia 4 bulan kini hanya seberat 4.8kg.
PASANG ALAT KELUARKAN AIR BERLEBIHAN
Terkini Dalila baru sahaja menjalani pembedahan memasang VP shunt yang berfungsi mengeluarkan air yang berlebihan dari dalam kepalanya.
“Dalila baru lepas menjalani pembedahan pasang vp shunt di kepala pada 9 April lalu. Doakn Dalila akan terus kuat & sihat. Apa yang saya amat harapkan ialah alat vp shunt ini boleh berfungsi dengan elok sehingga ke akhir hayat,” kata Noorsuehana. Buat masa ini Dalila masih dalam pemantaun temujanji dengan pakar neuro setiap bulan untuk melihat shunt yang dipasang dapat berfungsi dengan baik.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.