Penularan pandemik Covid-19 semakin hari semakin meruncing bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Sehingga jam 12 tengah hari semalam, sebanyak 179 pertambahan kes baru di Malaysia dengan 4 kematian dicatatkan menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal disebabkan kes ini kepada 61 orang.

Meskipun trend graf kita turun naik namun ia masih ditahap yang membimbangkanJusteru rakyat dan penduduk di Malaysia amatlah disarankan untuk kekal sihat dan tidak mengambil mudah dengan isu ini.

Pemuda 34 tahun sesak nafas, doktor syak dijangkiti Covid

Dalam satu perkongsian yang dibuat oleh Dr. Ahmad Samhan di laman Facebook miliknya. Dia menceritakan pengalaman mengendalikan seorang pemuda yang disyaki menghidap Covid-19. Pemuda tersebut yang merupakan perokok tegar berisiko tinggi untuk dijangkiti virus corona walaupun masih muda dan tidak mempunyai simptom penyakit tersebut.

Lebih memilukan apabila Dr Ahmad Samhan mengetahui tentang isteri lelaki tersebut yang sedang sarat mengandung. Mengenangkan nasib suami dan diri sendiri yang sedang sarat hamil, sebaik sahaja mendapat perkhabaran daripada doktor, wanita tersebut mengalirkan air mata.

“Doktor, pesakit bilik dekon spo2 drop!!”

Seperti yang dijangka. Aku tak tangguh terus berlari dengan gaya Usain Bolt.

“Prepare for intubation!”

“Encik, oksigen dalam badan kurang sangat ni. Kita akan bantu dengan masukkan tiub pernafasan. Sebelum tu kita akan bagi ubat tidur. Encik ikut saya mengucap ya”

“Ashadu Alla Ilahaillah Wa Ashadu Anna Muhammadurasullulah…”

Kalimah syahadah dibisikkan ke telinga pesakit sebelum ubat tidur dimasukkan.
Perlahan. Tenang. Yang berada disitu mengharapkan
rahmat dan bantuan Allah saja semata-mata. Kita hanya mampu berusaha.

IKLAN

Tiada Sejarah Penyakit, tiada kontak rapat, Cuma seorang perokok tegar

 Pesakit ini masih muda. Baru 34 tahun. Tiada sejarah penyakit cuma seorang perokok tegar. Tiada kontak rapat. Dikejarkan ke hospital kerana sesak nafas.

Pada mulanya diberi bantuan oksigen dari luar, nampak kandungan oksigen dalam badan masih stabil tetapi xray dada teruk. Kami syak kemungkinan besar pesakit dijangkiti covid-19.

Perokok Tegar Positif Covid Masa Isteri Sarat Hamil. Doktor Pesan Inilah Masanya Untuk Berhenti, Paru-paru Perokok Syurga Virus Corona!

Covid-19 akan melekat di ACE2 reseptor di paru-paru dan perokok mempunyai ACE2 reseptor yang sangat tinggi. Mereka akan mengalami jangkitan yang teruk jika dijangkiti covid-19.

Semakin banyak ACE2 reseptor, semakin banyaklah virus ini memasuki badan. Dalam masa yang singkat, pesakit akan sesak nafas dan keadaan ini dipanggil ARDS (Acute Respiratory Distress Syndrome).

“Puan ni isteri kepada En. K?”

“Ya,saya.”

IKLAN

“Saya doktor yang merawat suami puan. Kandungan oksigen dalam badan suami puan tadi terlalu kurang. Kami terpaksa masukkan tiub pernafasan.”

“Ya Allah. Boleh saya jumpa dia sekejap doktor”

Kelihatan sesekali dia menggosok perutnya yang sedang sarat mengandung.

“Maaf puan, tidak dibenarkan sesiapa pun jumpa pesakit. Kami syak suami puan dijangkiti Covid-19.”

Terus kelu. Tak tertahan-tahan air matanya menderu-deru meleleh dipipi.

Paru-paru perokok syurga virus Corona, Rebutlah peluang untuk berhenti merokok!

 Antara memikirkan untung nasib suaminya dan keadaan hari depan. Bagaimanalah mahu menghadapi situasi ini dalam keadaan sarat mengandung.

IKLAN

Benar, bukan mudah untuk berhenti. Bukan tak mahu berhenti. Dah berkali cuba tapi gagal. Terus kecewa dan berhenti untuk cuba lagi.

Tapi ingat lah yang kita ada isteri yang memerlukan kasih sayang seorang suami, ada bakal anak kecil yang dahagakan kasih sayang seorang ayah dan kita juga ada ibu bapa yang rindukan kehadiran seorang anak.

Kita perlu korbankan rasa kecewa dan putus asa untuk cuba terus berhenti merokok. Kita perlu korbankan rasa ketagih pada rokok. Kita perlu berkorban demi orang-orang yang paling kita sayang.

Kehadiran wabak ini sepatutnya dapat menginsafi semua perokok. Rebutlah peluang untuk berhenti merokok. Inilah masanya.

Ingat, paru-paru perokok adalah syurga buat virus ini.

Minta tolong kongsikan cerita ini pada yang masih merokok agar mereka berwaspada dan diberi kekuatan untuk berhenti merokok.

Dr Ahmad Samhan
-rokok itu hanya nikmat seketika tapi derita keakhir usia-

Daripada kisah yang diceritakan, Dr Ahmad Samhan berharap agar ini boleh dijadikan teladan dan iktibar kepada perokok tegar di luar sana sebelum terlewat. Beliau menyeru agar perokok yang ada berhenti sebelum terlewat demi kebaikan diri dan ahli keluarga masing-masing.

Sumber: Ahmad Samhan

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI