Kesihatan

PKP Mungkin Dilanjutkan, Dr Sheikh Muszaphar Kongsi 10 Tip Nak Buat Sepanjang Duduk ‘Terasing’ Di Rumah. Kena Kuat Fizikal, Mental & Psikologi

Share

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu akan dilanjutkan lagi pada fasa ketiga yang akan bermula pada 15 April hingga 28 April nanti.

Buat yang tinggal bersama keluarga, keadaan mungkin tidak begitu sunyi berbanding untuk mereka yang tinggal bersendirian. Sepanjang tempoh PKP ini memang tidak digalakkan langsung untuk keluar mengunjungi sanak saudara atau pun pulang ke kampung.

Oleh yang demikian persediaan dari segi psikologi, mental dan fizikal perlulah ada supaya kuat untuk menghadapi semua ini sehingga ia berakhir.

Dalam satu perkongsian oleh Datuk Dr Sheikh Muszaphar, beliau berkongsi sepuluh tip yang mungkin boleh dijadikan panduan dalam menjalani tempoh PKP ini.

“Ada masa kita lupa hari apakah hari ini. Setiap hari seolah-olah seperti hari lainnya dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bukan mudah untuk mengasingkan diri. Itu bukan sifat semula jadi kita. Jadi kita perlu kuat secara psikologi, mental dan fizikal untuk menghadapi semua cabaran ini,” tulis Dr. Sheikh Muszaphar dalam Bahasa Inggeris.

Untuk mengurangkan rasa tekanan yang mungkin dihadapi, Dr. Sheikh Muszaphar berkongsi sepuluh tip yang boleh diguna pakai.

Ini ada beberapa tip untuk anda lakukan:

  1. Penuhi masa anda

Senaraikan perkara yang membuatkan anda sibuk dan terhibur. Perkara-perkara yang anda ingin lakukan tetapi tidak punya masa sebelum ini.

2. Bersama dengan orang tersayang
Saling sokong menyokong dan bantu-membantu pada saat-saat begini.

3. Teruskan dengan rutin harian anda
Jangan hanya berbaring di rumah dan tidak berbuat apa-apa. Bangun awal, mandi, sarapan pagi, seperti hari-hari bekerja anda.

4. Berkomunikasi dengan lainnya

Mengetahui keadaan keluarga, teman-teman dan orang tersayang berada dalam keadaan baik sangat membantu.

  1. Belajar sesuatu yang baru
    Masak resepi baru, selesaikan teka teki, betulkan apa yang rosak di rumah – apa saja perkara yang dapat membuatkan anda lupa terpaksa berkurung di rumah.

    6. Jadi Kreatif

Untuk anda yang ada anak-anak di rumah, inilah masanya untuk menguatkan ikatan keluarga dengan melakukan pelbagai perkara bersama.

7. Baca buku
Pastinya ada buku atau novel di rumah yang anda sudah lama ingin baca tapi tidak mempunyai masa.

8. Kekal sihat
Teruskan melakukan senaman walaupun hanya 20 minit sehari. Cari ruang khusus untuk melakukannya.

9. Makan dengan betul
Cuba elakkan daripada memakan jajan. Kebosanan akan membuatkan anda makan tidak berhenti.

10. Dapatkan bantuan
Pengasingan diri untuk tempoh yang lama boleh menyebabkan depresi. Sentiasa hubungi keluarga dan orang tersayang, dan luahkan apa yang anda rasa.

Menurut Dr Sheikh Muszaphar, pengasingan diri boleh menyebabkan kepada depresi, sebaiknya sentiasa berhubung dengan keluarga dan orang tersayang untuk meluahkan apa yang anda rasa. Tambahnya juga PKP ini mungkin akan dilanjutkan untuk yang lebih lama. Beliau mengharapkan agar semua untuk terus kuat dan berada dalam keadaan selamat.

Sumber: Gempak & Drsheikhmuszaphar

IKLAN