“Anak Saya Telan 50 Biji Vitamin C…” Ibu Kongsi Pengalaman Hubungi Pusat Racun Negara

Share

Pusat Racun Negara menjadi tempat seorang ibu mendapatkan nasihat selepas anaknya dipercayai menelan sehingga 50 biji vitamin C dalam tempoh 12 jam. Kejadian yang mencemaskan itu sekali lagi mengingatkan ibu bapa bahawa ubat, vitamin dan suplemen tidak sepatutnya disimpan di tempat yang mudah dicapai kanak-kanak.

Anak-anak kecil sememangnya mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi. Apa sahaja yang berada di depan mata mahu dipegang, dibuka, dihidu malah dimasukkan ke dalam mulut tanpa mereka memahami sama ada sesuatu benda itu selamat atau berbahaya.

Lebih-lebih lagi jika melibatkan vitamin berbentuk tablet atau gummy yang berwarna-warni dan mempunyai rasa manis. Pada pandangan anak kecil, ia mungkin kelihatan tidak ubah seperti gula-gula.

Sebab itulah ibu bapa dan penjaga tidak boleh mengambil mudah soal penyimpanan ubat, vitamin, suplemen mahupun bahan kimia di rumah. Walaupun sesuatu produk dianggap biasa digunakan oleh orang dewasa, pengambilan dalam kuantiti yang tidak sepatutnya tetap boleh mendatangkan risiko.

Perkongsian seorang ibu dikenali sebagai Yuna Suraya yang tular di Threads baru-baru ini boleh dijadikan pengajaran buat semua ibu bapa selepas anaknya dipercayai mengambil sehingga 50 biji vitamin C dalam tempoh 12 jam.

Artikel Trending: “Furqan Mukmin Pergi Tanpa Signal, Post-Mortem Tak Detect Apa-Apa” Ibu Reda Pemergian Anak, Doktor Tak Jumpa Punca

Artikel trending:Tragedi FDS Rentap Bahagia Keluarga, Juruterbang Jelas 5 Persoalan, No. 4 Kenapa Mangsa Tak Guna Payung Terjun

Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!

Terus Hubungi Pusat Racun Negara Untuk Dapatkan Nasihat

Menurut Yuna, selepas menyedari kejadian tersebut, dia mengambil langkah menghubungi PRN untuk mendapatkan konsultasi mengenai tindakan yang perlu dilakukan.

“Hari ni aku call Pusat Racun Negara sebab nak consult tentang anak aku yang dah telan 50 biji vitamin C dalam masa 12 jam.”

Menurut perkongsiannya, panggilan tersebut dijawab dengan pantas sebelum petugas mendapatkan beberapa maklumat penting berkaitan anaknya.

Antara yang ditanyakan termasuk jantina, umur dan berat badan anak serta maklumat produk yang diambil seperti jenama, jenis bahan dan sama ada ia berbentuk tablet atau gummy.

Perkara ini selari dengan panduan rasmi PRN. Dalam kes pendedahan kepada sesuatu bahan, antara maklumat yang diperlukan ialah umur dan berat mangsa, nama produk atau bahan, anggaran jumlah yang diambil, waktu kejadian, gejala yang dialami serta sebarang rawatan awal yang telah diberikan.

Selepas mendapatkan maklumat berkenaan, Yuna berkata dia diberikan panduan mengenai perkara yang perlu dilakukan seterusnya.

“Selepas tu dia akan guide apa yang perlu dilakukan seperti monitor simptom-simptom yang mungkin akan muncul seperti sakit perut atau muntah dan jika teruk kena lah bawa ke klinik atau hospital terdekat.”

Menurutnya, ketika perkongsian tersebut dibuat, anaknya berada dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan sebarang gejala tetapi masih perlu dipantau.

Foto Gemini Generated

Terkini,  ibu berkenaan memaklumkan keadaan anaknya selepas dipercayai mengambil sebanyak 50 biji vitamin setakat ini baik dan tiada sebarang simptom yang membimbangkan.

“Sedikit update tentang anak yang makan 50 biji vitamin C tu, setakat ini baik-baik sahaja, tiada simptom yang muncul. Cuma kerap kencing sebab minum banyak air. Terima kasih atas doa yang baik-baik ya,” katanya.

Ibu Bapa Lain Turut Kongsi Pengalaman Sama

Perkongsian berkenaan kemudiannya mendapat perhatian ramai ibu bapa. Malah ada yang turut berkongsi pengalaman pernah mendapatkan khidmat Pusat Racun Negara apabila anak mereka termakan sesuatu yang tidak sepatutnya.

Seorang ibu berkongsi bahawa dia pernah menghubungi PRN kira-kira 10 tahun lalu selepas anaknya yang ketika itu masih bayi termakan krim penjagaan kulit.

“Betul. Pernah experience juga call Pusat Racun Negara, 10 tahun lalu, anak masih baby, makan Sud*cream. Alhamdulillah tak ada apa-apa. Memang kena monitor.”

Seorang lagi ibu yang juga seorang ahli farmasi memberitahu anaknya pernah menghabiskan sebotol vitamin C kanak-kanak.

Walaupun mempunyai latar belakang dalam bidang farmasi, dia tetap memilih untuk menghubungi PRN bagi mendapatkan pandangan daripada petugas di sana.

“Kitanya pharmacist, tetaplah call Pusat Racun Negara nak cakap dengan pharmacist situ. Lepas tanya-tanya semua, rasa tenang sikit dan pantau je.”

Ada juga ibu yang berkongsi pengalaman lebih mencemaskan apabila anaknya dipercayai termakan bahagian bateri alat kawalan jauh yang sudah pecah dan bocor.

Anaknya terus dibawa mendapatkan pemeriksaan di hospital manakala pakar pediatrik turut menghubungi PRN bagi mendapatkan nasihat lanjut.

Baca lagi: Ubat Cacing Kanak-Kanak: 7 Petanda Amaran Anak Dijangkiti Cacing Yang Ramai Ibu Bapa Terlepas Pandang

Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah

Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya

Ramai Rupanya Baru Tahu Kewujudan Pusat Racun Negara

Apa yang menarik perhatian, di ruangan komen perkongsian tersebut, ramai ibu bapa mengakui mereka sebelum ini tidak mengetahui bahawa terdapat pusat rujukan racun yang boleh dihubungi ketika berlaku kejadian sebegini.

“Terima kasih sharing. Tak pernah tahu pun wujud Pusat Racun Negara. Berguna betul perkongsian ni.”

Seorang lagi turut meninggalkan komen:

“First time saya dengar dan tahu kewujudan Pusat Racun Negara. Dapat juga pengetahuan.”

Hakikatnya, PRN di bawah Universiti Sains Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1994 dan antara misinya adalah membantu mengurangkan kesan kesihatan serta kejadian keracunan.

PRN turut mengendalikan Perkhidmatan Maklumat Dadah dan Racun atau Drug and Poison Information Service (DPIS), iaitu pusat panggilan yang menyediakan maklumat toksikologi bagi kes kecemasan keracunan, pengambilan ubat secara berlebihan, keselamatan bahan kimia dan isu berkaitan. Pusat panggilan berkenaan dikendalikan oleh ahli farmasi terlatih.

Perkhidmatan ini bukan hanya untuk hospital atau klinik. Orang awam dan isi rumah juga boleh menghubungi PRN apabila berhadapan dengan situasi berkaitan keracunan.

Simpan Nombor Pusat Racun Negara

Ibu bapa disarankan menyimpan nombor PRN: 04-6536 999 sebagai salah satu nombor penting untuk kecemasan berkaitan keracunan.

Waktu operasi yang dinyatakan PRN ketika ini ialah:

  • Isnin hingga Jumaat: 8.00 pagi hingga 10.00 malam
  • Sabtu, Ahad dan cuti umum: 8.00 pagi hingga 5.00 petang

Telefon merupakan saluran yang diutamakan, manakala PRN turut menyediakan saluran WhatsApp dan Telegram untuk perkhidmatannya.

Antara kes yang boleh dirujuk kepada PRN termasuk pendedahan atau keracunan melibatkan ubat-ubatan, produk perubatan, racun perosak, bahan kimia rumah dan industri serta toksin semula jadi seperti bisa haiwan atau tumbuhan.

Bagaimanapun, sekiranya anak tidak sedarkan diri, mengalami kesukaran bernafas, sawan atau menunjukkan keadaan kecemasan yang serius, jangan berlengah untuk mendapatkan bantuan kecemasan dan rawatan hospital.

Jangan Tunggu Kejadian Berlaku, Cegah Dari Awal

Kejadian seperti ini menjadi peringatan bahawa vitamin juga perlu disimpan dengan tahap keselamatan yang sama seperti ubat.

Jangan meletakkannya di atas meja, dalam beg tangan yang mudah dibuka anak, di tepi katil atau di dalam kabinet rendah yang boleh dicapai mereka. Sebaiknya simpan semua ubat, vitamin, suplemen dan bahan kimia di tempat berkunci atau tinggi serta jauh daripada pandangan dan capaian kanak-kanak.

Elakkan juga menyebut ubat atau vitamin sebagai “gula-gula” semata-mata untuk memujuk anak mengambilnya kerana ia boleh menyebabkan mereka menganggap produk tersebut selamat dimakan sesuka hati.

Dalam situasi anak dipercayai tertelan sesuatu pula, cuba kenal pasti produk dan jumlah yang mungkin diambil serta simpan pembungkusan atau labelnya untuk rujukan. Jangan cuba merawat sendiri atau memaksa anak muntah tanpa arahan profesional kesihatan. Kementerian Kesihatan Malaysia turut menasihatkan supaya mendapatkan bantuan perubatan atau menghubungi PRN sekiranya berlaku keracunan ubat.

Kadang-kadang hanya beberapa saat anak terlepas daripada pandangan sudah cukup untuk sesuatu berlaku. Sebab itu, selain memantau anak, persekitaran rumah sendiri perlu dibuat seaman mungkin.

Mencegah tetap lebih baik daripada berdepan detik cemas apabila perkara yang tidak diingini sudah berlaku.

Sumber:yunasuraya

Published by
Nor Yusoff